jump to navigation

Usaha Memurtadkan Pramugari Muslim MAS July 31, 2008

Posted by membelaislam in Article 11, Constitution, Rights of Muslims.
Tags: , , , , , , ,
33 comments

Terdapat usaha-usaha di kalangan beberapa kakitangan MAS yang cuba memurtadkan krew dan pramugari-pramugari MAS semasa mereka dalam penerbangan. Usaha sebegini dikatakan sudah sekian lama berlaku tanpa tindakan serious diambil oleh pihak yang berwajib.

Pada awal tahun ini [22 Jan 2008] terdapat satu lagi usaha tersebut yang dilakukan oleh seorang Chief Steward semasa dalam penerbangan MH0140 dari Brisbane ke KL. Beliau dikatakan telah cuba mempengaruhi pramugari-pramugari MAS untuk meninggalkan agama Islam dan memeluk agama Kristian dengan memberi hujah-hujah yang mengelirukan.

Satu laporan polis telah dibuat oleh salah seorang pramugara Muslim terhadap tindakan beliau dan semua barangan bukti telah diserahkan kepada polis.

Sebagai bantahan demi membela Islam, sayugialah orang ramai menghantar bantahan samada secara persendirian mahupun secara kumpulan atas nama pelbagai pertubuhan kepada

Dato Idris Jala
Pengarah Urusan Malaysia Airlines
1st Floor Admin Building 1, Complex A, SAAS Airport
47200 Subang, Selangor DE
Fax: 03-78439400 Tel: 03-78404801

Harus diingat Dato Idris adalah adalah seorang beragama Kristian dan jangan pula dia yang nanti berusaha melindungi kakitangan yang telah melakukan kesalahan serious di bawah Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan.

Article 11 (4)

State law and in respect of the Federal Territories of Kuala Lumpur and Labuan, federal law may control or restrict the propagation of any religious doctrine or belief among persons professing the religion of Islam.

Sehingga kini, selepas pelbagai pihak telah menyuarakan bantahan, termasuk NGO-NGO Islam telah bersemuka dan menyatakan bantahan mereka kepada Pengerusi MAS sendiri, namun belum ada tindakan rasmi yang dilaporkan diambil terhadap kakitangan MAS tersebut yang secara terangan telah menyalahi perlembagaan Persekutuan.

Siasatan polis juga dilaporkan tidak diteruskan.

Perpaduan Islam wajar teras muzakarah July 31, 2008

Posted by membelaislam in Uncategorized.
Tags: , , , , , , , , , ,
add a comment

Oleh Zainul Rijal Abu Bakar

[di petik dari Laman Rasmi Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sila layari http://peguamsyarie.blogspot.com]

Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) berasa amat gembira apabila pelbagai pihak mula membincangkan mengenai muzakarah antara PAS dan UMNO baru-baru ini. Ini bermakna sesi percambahan fikiran sedang diadakan. Kebaikan dan keburukan perkara ini diperhalusi oleh semua pihak yang akhirnya akan membuahkan suatu keputusan yang jitu lagi padu di kedua belah pihak.

Selepas semua perbincangan diadakan, terserahlah kepada pihak PAS dan UMNO membuat keputusan sendiri berhubung dengan isu ini setelah mengambil kira semua pertimbangan dan faktor semasa.

Cakap-cakap politik mengenai perkara ini terus rancak berhubung dengan pertemuan PAS dan UMNO dalam rangka kerjasama demi menjaga kepentingan agama Islam dan bangsa Melayu. Perkara ini terus diperkatakan sama ada di kedai-kedai kopi mahupun di peringkat pimpinan parti-parti politik PAS dan UMNO. Malah parti-parti siasah lain seperti PKR, MCA dan DAP juga turut memberi komentar masing-masing berhubung dengan perkara ini.

Dalam menangani isu politik negara, kita harus menerima hakikat bahawa kedudukan parti-parti politik di Parlimen ketika ini ialah tiada sebuah pun parti politik yang mempunyai kelebihan majoriti. Daripada 222 kerusi di Parlimen pembahagian kedudukan kerusi adalah seperti berikut: UMNO (79), PAS (22), PKR(31), DAP(28), MCA(15), MIC (3), PBB(14) dan seterusnya.

Jika diteliti sebaiknya, kedudukan kerusi ini memang wajar mendesak kedua pihak iaitu PAS dan UMNO untuk bersemuka bagi membincangkan kepentingan agama dan bangsa. Walau apa pun nama yang diberikan sama ada muzakarah (ingat mengingati), muqabalah (pertemuan), hiwar, musyawarah (bermesyuarat) ataupun muhadasah (perbincangan) namun tujuan utamanya adalah bagi membincangkan kepentingan agama Islam dan bangsa Melayu. Istilah ini tidaklah penting berbanding dengan pengisian yang ingin dicari melalui wadah yang dinyatakan tersebut.

Sudah tentu pemimpin pelbagai peringkat di kedua-dua buah parti akan berasa tidak selesa dan sedikit canggung dengan perkembangan terbaru ini kerana sejarah telah membuktikan betapa renggangnya hubungan antara kedua parti ini. Kita sering melihat kedua parti ini saling bercakaran antara satu sama lain, bahkan kadang-kadang sampai ke tahap yang agak membimbangkan.

Sering pula sesuatu strategi politik digarap bagi menjatuhkan parti yang satu lagi dan membiarkan parti lain yang tidak berteraskan Islam dan bangsa Melayu mempunyai ruang yang cukup mengatur percaturan politik mereka. Natijahnya orang Islam tidak bersatu dan saling bercakaran antara satu sama lain.

Melihat kepada senario kedudukan politik semasa, sebenarnya PAS mempunyai kata pemutus dalam banyak hal. Ini adalah kerana ke mana pun PAS berada, kerajaan Persekutuan akan dapat dibentuk. Sebagaimana yang dimaklumi, Kerajaan Persekutuan tidak mempunyai majoriti dua pertiga di Parlimen.

Sekiranya PAS menyokong usul Kerajaan maka Kerajaan mungkin juga mempunyai kuasa yang lebih besar lagi. Sekiranya PAS tidak menyertainya maka undang-undang hanya membenarkan Kerajaan bertindak dalam fungsi yang terhad sahaja.

Begitu juga di pihak Pakatan Rakyat, sekiranya terjadi pemindahan parti sebagaimana yang dikatakan oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekiranya PAS tidak menyertainya maka kerajaan Pakatan Rakyat mungkin tidak akan dapat dibentuk.

Walau apa pun kelebihan atau kekurangan, sepatutnya itu bukanlah itu faktor utama yang perlu diambil kira. Apa yang lebih penting ialah berbincang dan mencari jalan penyelesaian bagaimana dapat meletakkan Islam itu di tempat yang sebenar. Sudah tentulah pelbagai formula perlu digarap ke arah mencapai matlamat ini.

Walaupun sebelum PRU 12 perkara sebegini tidak pernah diperkatakan bahkan tidak terfikir di benak fikiran rakyat Malaysia, namun kemungkinan ini perlu diterokai semata-mata dengan harapan dapat mengembalikan kegemilangan Islam yang telah sekian lama pudar.

Beberapa minggu yang lepas ruangan ini telah menyiarkan beberapa pilihan yang ada bagi sebarang bentuk kerjasama, tetapi senarai pilihan tersebut tidaklah terhad kepada apa yang dinyatakan itu sahaja. Lebih banyak pilihan perlu dicari ke arah ini.

Reaksi yang diterima di kedua belah pihak adalah bercampur-campur. Ini dapatlah difahami kerana sejarah pertelingkahan antara kedua belah pihak sukar dilupakan oleh pihak pimpinan mahu pun pihak ahli kedua belah pihak. Ketidakpuasan hati ini mungkin tidak dapat dipadamkan dari memori pemikiran mereka.

Beberapa pemimpin NGO Islam seperti ABIM dan PKPIM juga telah menzahirkan sokongan mereka terhadap muzakarah ini. Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) juga menyokong sebarang langkah bagi mengukuhkan kedudukan Islam di Malaysia. Tetapi kedengaran juga suara yang mempertikai dan menempelak sokongan ini kerana khuatir parti-parti politik ini apabila bekerjasama akan menjadi terlalu bersifat perkauman dan menindas agama lain.

Perkara ini perlu diteliti dengan mendalam agar tidak ada mana-mana rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama akan ditindas hasil daripada kerjasama sebegini.

Sebenarnya kerjasama sebegini hendaklah diteraskan kepada semangat Islam. Jika teras Islam itu diterima oleh kedua belah pihak maka akan lebih mudahlah mendatangkan keadilan kepada semua pihak. Ini bermakna sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa, rasuah, penindasan, kekejaman dan mencabul hak asasi hendaklah dibuang dan tidak diamalkan. Malah orang bukan Islam juga tidak perlu khuatir kerana jika dilaksanakan Islam sebenarnya, hak-hak orang bukan Islam itu akan terus dijaga dan dipertahankan.

Oleh yang demikian sekiranya hanya melihat kepada rupa dan warna kulit sahaja, sudah tentu orang bukan Islam gusar dengan perkembangan ini. Namun Islam itu sebuah agama yang adil, ia adalah jaminan tidak akan berlaku penindasan kepada orang bukan Islam.

Berbalik kepada muzakarah antara PAS dan UMNO ini, penulis berpendapat sekiranya kedua-dua pihak ikhlas mahu mempertahankan Islam, maka ada baiknya setiap ruang di lihat bagi menilai sejauh mana kerjasama dapat dilakukan. Walaupun sekiranya kerajaan campuran tidak dibentuk, tetapi sekurang-kurang suatu tahap pemahaman dapat ditingkatkan antara kedua parti ini agar apa pun tindakan selepas ini ia semestinya berteraskan kepada Islam.

Pertelingkahan yang terlalu lama antara PAS dan UMNO tidak mudah dipadamkan dalam sekelip mata ataupun melalui beberapa siri pertemuan sahaja. Tetapi langkah pertama itu telah pun diambil bagi menuju ke arah ini.

Oleh itu kedua pihak mesti lebih berhati-hati selepas ini di dalam mengeluarkan sebarang kenyataan ataupun membuat sebarang tindakan agar ianya selaras dengan hasrat menegakkan kalimah Allah di bumi Malaysia. Tanpa kesatuan aqidah ini yang disertai dengan keikhlasan hati tidak mungkin sebarang kerjasama dapat diadakan.

Jika PAS dan UMNO menoleh ke belakang, sudah tentu tidak akan dapat dicapai kata sepakat. Tetapi lihatlah ke hadapan tentang masa depan Islam di Malaysia itu sendiri. Namun kedua belah pihak berhak berhati-hati dan berwaspada dalam semua tindakan mereka kerana mungkin terdapat pelbagai helah yang akan memakan diri sendiri dari sudut politiknya. Sudah sampai masanya orang Islam melihat sesuatu menjangkaui batasan siasah kepartian dan berusaha mempastikan Islam itu dipertahan.

Sebenarnya terlalu banyak lagi yang perlu dilakukan untuk Islam sama ada di Malaysia ataupun di peringkat global. Orang Islam perlu mengorak langkah ke hadapan dan menjadi model kepada orang lain, bukan menjadi bahan cemuhan dan diperlekehkan setiap masa.

Namun begitu, sekiranya muzakarah ini tidak berjaya menghasilkan sesuatu dalam masa terdekat, kita semua tidak boleh berputus asa. Apa yang lebih penting ialah kesedaran tentang perpaduan umat Islam ini dapat disemai di kedua belah pihak sekarang. Mungkin masa belum sesuai lagi bagi merealisasikan impian ini tetapi usaha ke arah itu hendaklah dimulakan mulai saat ini.

Dalam membincangkan perkara ini, penulis berpendapat adalah lebih molek sekiranya PKR yang diterajui oleh orang Islam juga dijemput menyertai muzakarah ini. Dengan cara ini umat Islam akan bersatu, dengan izin Allah. Selaku sebuah badan Islam, Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menyokong sepenuhnya sebarang usaha ke arah menjayakan muzakarah tersebut.

Penulis adalah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sila layari http://peguamsyarie.blogspot.com

Zaid Ibrahim Sudah Mula Memainkan Peranannya July 28, 2008

Posted by membelaislam in Article 11, Artikel 121(1A) Perlembagaan Persekutuan, Interfaith Council (IFC).
Tags: , , , , ,
2 comments

Oleh Ibrahim Baba (dari blog http://ibrahimbaba.wordpress.com)

Sepertimana yang telah IB sebutkan sebelum ini, bahawa Zaid Ibrahim adalah seorang “Pendokong Kuat IFC dan Article 11″ dan kini beliau telah dilantik menJadi Menteri.

Tidak sampai sebulan dilantik menjadi menteri, Zaid dilaporkan telah mengarah Jabatan Peguam Negara untuk mengubal undang-undang untuk membolehkan orang-orang Islam murtad.

Penjelmaan Zaid dalam kabinet bukan melalui restu rakyat. Rakyat telahpun menolak Zaid. Ahli-ahli UMNO pun tidak lagi mahu menerima Zaid. Namun, Pak Lah telah memberi laluan mudah dari pintu belakang untuk Zaid melaksanakan agenda memusnahkan aqidah umat dan kemurnian Islam.

Zaid adalah di antara segelintir nama orang Melayu Islam yang agak sinonim sebagai pendokong IFC dan Article 11 serta mempersoalkan keperluan wujudnya Fasal 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan.

Zaid antara panel yang mempertikaikan kewujudan Artikel 121 (1A)

Sebaik pengumuman dibuat oleh Pak Lah, suara-suara yang memusuhi Islam mula kedengaran menyokong perlantikan Zaid. Senarai mereka yang memberi sokongan itu dibarisi oleh mereka yang sudah terkenal menentang serta kerap menghina Islam.

Di kalangan frateniti perundangan, mereka amat kenal dan faham siapa Zaid, personalitinya, kehidupan sosialnya, pesta arak yang mencurah-curah di pejabat guamannya, dan banyak lagi. Syarikat guaman Zaid dikatakan yang terbesar di Malaysia, tetapi cuba lihat senarai peguamnya. Berapa keratkah anak-ank bangsa Melayu yang diambilnya.

Jika dari pengalaman lepas, Zaid tidak mampu kita taruh harapan untuk mempertahankan Islam malah Islam akan lebih terancam dengan kehadiran Zaid dalam kabinet – dan lebih-lebih lagi bila dia diamanahkan untuk melakukan reformasi perundangan.

Amat ditakuti nanti, apabila usulnya dibawa ke Parlimen, walaupun dalam keadaan BN tidak mempunyai majoriti 2/3 pun, usulnya akan dapat sokongan untuk diluluskan. Ini kerana di kalangan MP dari Pakatan Rakyat sendiri ada yang berfikiran sama dengan Zaid dalam hal-hal seperti ini.

Moga-moga ada MP UMNO yang sayangkan anak bangsanya dari murtad akan membangkang usul yang dibawa oleh Zaid. Tetapi, apakah boleh kita harapkan mereka dari UMNO ini apabila bertembung dengan masalah menjaga periuk nasi mereka?

Sama-samalah kita doakan agar Islam terpelihara di Tanah Air kita.

(Petikan dari: http://ibrahimbaba.wordpress.com/2008/04/16/zaid-ibrahim-sudah-mula-memainkan-peranannya/)

Pendokong Kuat IFC dan Article 11 Kini Jadi Menteri July 28, 2008

Posted by membelaislam in Article 11, Artikel 121(1A) Perlembagaan Persekutuan, Constitution, Interfaith Council (IFC).
Tags: , , , , ,
add a comment

Oleh Ibrahim Baba (dari blog http://ibrahimbaba.wordpress.com)

IB yakin masyarakat Islam di Tanah Air ini masih ingat isu-isu perbahasan Fasal 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan, cadangan penubuhan Inter-Faith Council (IFC) dan pertubuhan Artikel 11.

Satu-satunya nama orang Melayu Islam yang agak sinonim sebagai pendokong IFC dan Article 11 serta mempersoalkan keperluan wujudnya Fasal 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan ialah Zaid Ibrahim.

Fasal 121(1A) hangat dibincangkan selepas isu kematian Muhammad (Moorthy) Abdullah. Zaid adalah antara mereka yang mengesa kerajaan untuk membatalkan peruntukan yang telah memartabatkan Mahkamah Syariah pada tahun 1988.

Zaid antara panel yang mempertikaikan kewujudan Artikel 121 (1A)

Kini Pak Lah telah melantik dia sebagai senator dan menjawat menteri yang bakal melakukan “reform” perundangan.

Apakah yang bakal Zaid lakukan? Apakah dia akan cadang untuk pinda Perlembagaan Persekutuan Fasal 121 (1A)? Jika itulah yang Pak Lah harapkan dengan membawa masuk Zaid sebagai menteri maka Mahkamah Syariah akan hilang wibawanya.

Zaid juga terlibat dalam beberapa sesi penerangan yang dilakukan oleh pertubuhan Article 11 (lanjutan kes Shamala) yang dibantah oleh orang ramai dengan dokongan pelbagai NGO Islam sekitar 2007. IB pasti ramai yang masih ingat bantahan yang dilakukan di JB dan Pulau Pinang. Tidak kurang juga ada di kalangan kita ditangkap dan terpaksa dihadapkan di mahkamah demi membela Islam.

Sebagaimana dilaporkan oleh pertubuhan Prowaris, Menteri Besar Johor, Ghani Othman, pernah memperakui bawa Zaid adalah “pencadang asal kandungan Akta WPI 664″ dalam mewujudkan Wilayah Pembangunan Iskandar yang diluluskan dengan tergesa-gesa dan dilihat sebagai “menjual” wilayah tersebut kepada Singapura.

Apakah hebat sangat Zaid hingga dialah diharapkan oleh Pak Lah untuk “reform” sistem perundangan? Seorang blogger mengatakan bahawa orang Kota Bharu “tidak bodoh kerana menolak Zaid“.

Cuba baca komen-komen dan pujian yang diperolehi oleh Zaid selepas pengumuman dibuat. Kesemua yang memujinya adalah mereka yang kerap dilihat pernah memusuhi Islam.

Zaid memang di antara segelintir orang Melayu yang menyokong IFC.

Sama-samalah kita doakan agar Islam terpelihara di Tanah Air kita.

(petikan dari http://ibrahimbaba.wordpress.com/2008/03/19/pendokong-kuat-ifc-dan-article-11-kini-jadi-menteri/)

Gereja Yang Besar Bakal Dibina Di Putrajaya July 28, 2008

Posted by membelaislam in Uncategorized.
Tags: ,
add a comment

Pihak kami baru mendapat suatu maklumat bahawa sebuah gereja yang besar bakal dibina di suatu kawasan yang amat strategik di Putrajaya yang ratanya majoriti Muslim malah jika ada pun mereka yang beragama Kristian hanyalah segelintir sahaja.

Buat masa ini maklumat yang diperolehi belum lengkap dan kami sangat mengalu-alukan sesiapa sahaja yang mempunyai maklumat lanjut untuk dikongsikan bersama agar semua dapat maklum dan serta melakukan bantahan yang sewajarnya.

Demi Membela Islam

Gejala murtad tinggi July 27, 2008

Posted by membelaislam in Uncategorized.
Tags: , , , , ,
2 comments

Laporan Harian Metro Ahad, 27 Julai 2008

Oleh ASMIZAN MOHD SAMIRAN

KUALA LUMPUR: Gejala murtad di kalangan orang Melayu kini di tahap membimbangkan. Itu pendedahan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Mohd Nakhaie Ahmad, berdasarkan satu kajian Yadim berhubung isu murtad tahun lalu.

Menurut Mohd Nakhaie, meskipun kajian itu mendapati gejala murtad di kalangan saudara baru mencatat jumlah tertinggi, tetapi jumlah orang Melayu yang murtad juga membimbangkan.

“Walaupun kebanyakan orang yang murtad ini daripada saudara baru.. masuk agama Islam dan kemudian kembali ke agama asal, ada juga orang Melayu yang mula (memilih untuk murtad).

“Saya tak kata sedikit (jumlahnya), tetapi ia membimbangkan,” katanya yang tidak menyatakan jumlah orang Melayu yang murtad,” katanya.

Mohd Nakhaie berkata demikian selepas merasmikan Seminar Peperangan dan Kesengsaraan Umat Islam Iraq anjuran Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), di sini, semalam. Turut hadir, Presiden Isma, Abdullah Zaik Abd Rahman.

Seminar itu turut mengundang wakil Nahrain Relief Foundation For Development Iraq, Dr Alla Makki untuk memberi gambaran sebenar keadaan di Iraq.

Dalam nada kesal, Mohd Nakhaie berkata, satu ketika dulu sukar melihat orang Melayu murtad kerana mereka masih sayang pada agama, tetapi hari ini situasinya berbeza.

“Dulu susah untuk lihat orang kita murtad. Walaupun orang (Islam) itu samseng, tapi kalau kita kata dia bukan Islam, dia (sampai ke tahap sanggup) tumbuk… dia marah walaupun dia samseng.

“Sekarang ini ada di kalangan terpelajar, penuntut universiti murtad (dan mereka) daripada kalangan orang Melayu,” katanya.

Pada Julai 2006, Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria, membuat kejutan apabila mendakwa 100,000 umat Islam di negara ini murtad.

Harussani dipetik sebagai berkata, jumlah terbabit diperoleh menerusi kajian sekumpulan Melayu profesional dan intelektual.

Menjaga Keharmonian Ummah July 24, 2008

Posted by membelaislam in Uncategorized.
Tags: , ,
add a comment

Oleh : Zainul Rijal Abu Bakar
dipetik dari laman Peguam Syarie http://peguamsyarie.blogspot.com

Bagi golongan yang prihatin, kita pasti sedar bahawa akhir-akhir ini negara berdepan dengan pelbagai situasi begitu asing dan tidak pernah berlaku sebelum Pilihanraya Umum ke 12. Walaupun PRU 12 telah menzahirkan pilihan rakyat namun kesannya masih dirasai oleh rakyat Malaysia. Ahli-ahli politik sama ada yang menang atau yang kalah sebenarnya masih belum dapat menerima hakikat kemenangan atau kekalahan mereka. Lantaran meletakkan politik kepartian mengatasi kepentingan rakyat.

Seharian masih sering diperkatakan tentang kesan PRU 12 ini serta natijah daripada keputusan tersebut. Malah terdapat segelincir pihak yang seolah tidak dapat menerima keputusan itu dan mencari pelbagai jalan atau helah bagi menjayakan cita-cita politik mereka.

PRU 12 sebenarnya memberi impak yang besar kepada rakyat Malaysia khususnya orang Islam. Kestabilan politik seperti dahulu tidak lagi jelas malah ahli-ahli politik diuji dengan pelbagai ujian bagi menegakkan prinsip masing-masing.

Apa yang menyedihkan ialah risikonya terpaksa ditanggung oleh rakyat apabila ahli-ahli politik saling tuduh menuduh, salah menyalahkan dan menuding jari antara satu sama lain samada di dalam Parlimen ataupun di luar Parlimen. Rakyat sekarang ini adalah lebih bijak dan berinformasi berbanding dengan 30 tahun yang lalu di dalam menilai keberkesanan dan khidmat yang diberikan oleh wakil-wakil rakyat.

Orang Islam yang merupakan tunjang masyarakat Malaysia amat khuatir dengan apa yang berlaku dewasa ini. Apatah lagi sekiranya ia memberi kesan terhadap kedudukan agama Islam dan budaya Melayu. Ini adalah kerana kita dapat melihat sebahagian ahli-ahli politik Melayu Islam meletakkan politik kepartian melampaui kepentingan agama dan bangsa.

Seharusnya ahli-ahli politik Islam meletakkan Islam di tempat yang teratas di dalam menggarap tindakan ataupun keputusan mereka. Dengan cara ini kepentingan agama dan bangsa akan terjaga.

Yang lebih menghairankan, kadang-kadang kita lebih mempercayai orang lain berbanding dengan saudara seagama kita. Kita lebih meredai perbuatan orang lain dan apabila perkara itu dilakukan oleh saudara seagama yang nampak hanyalah kesilapan sahaja. Perkara ini amatlah menyedihkan.

Seringkali kita membaca di dalam akhbar-akhbar, media elektronik dan sebagainya, ahli politik Islam ini bercakaran antara satu sama lain dan alpa terhadap amanah sebenar yang diberikan iaitu untuk mempertahankan kepentingan Islam sebagai jatidiri negara. Ia dilakukan semata-mata bagi menjaga parti politik tanpa mengambilkira kepentingan agama.

Kita menyeru kepada semua ahli politik tanpa mengira parti politik yang diwakili agar berbalik kepada perjuangan yang sebenar. Apalah guna kita menjadi popular tetapi menggadaikan agama dan bangsa kita. Penulis mengajak ahli-ahli parti siasah Islam agar bersatu dalam membela kepentingan Islam kerana ini adalah perkara dasar. Namun sebagai seorang yang tidak terlibat secara langsung dalam politik, idea ini dilontarkan supaya dikupas dengan terperinci dan semoga idea ini dapat difikirkan dengan minda terbuka dan meletakkan Islam sebagai asas keputusan.

Sudah tentu tidak dalam semua keadaan kesatuan fikiran boleh dimanifestasikan seperti dalam hal ehwal lain yang lebih bersifat furu’ atau cabangan. Adalah normal untuk ahli politik tidak bersependapat di dalam perkara tersebut, tetapi sepatutnya ia tidak berlaku dalam mempertahankan kedudukan Islam. Namun penulis akur bahawa bersatu dalam konteks politik Malaysia ketika ini mungkinlah tidak bersifat bersatu dalam ertikata mengujudkan sebuah parti siasah Islam sahaja kerana ia amatlah sukar atau hampir mustahil untuk direalisasikan ketika ini. Kaedah ini mungkin sangat ideal tetapi terlalu sukar untuk dicapai.

Namun begitu, adalah tidak mustahil beberapa alternatif lain boleh dicari dalam melaksanakan bentuk kerjasama antara parti siasah Islam.Antaranya kerajaan campuran boleh dibentuk diantara parti-parti politik Melayu/Islam. Alternatif ini sebenarnya juga amat sukar untuk dicapai sekiranya semua pihak menoleh ke belakang.

Ini adalah kerana sejarah telah tercatat betapa renggangnya parti-parti politik tersebut suatu ketika dulu. Walau bagaimanapun sekiranya mereka melihat ke hadapan, mungkin terdapat sedikit harapan untuk membicarakan ke arah ini. Kerajaan sementara berteraskan Islam ini sudah tentu dapat memartabatkan Islam dan meletakkannya di tetap yang sepatutnya.

Jikapun kerajaan campuran tidak dapat dibentuk, mungkin juga persefahaman dapat dicapai di mana walaupun tidak menyertai kerajaan, pihak yang tidak membentuk kerajaan ini boleh bersifat anjal. Mereka boleh menyokong rang undang-undang dan dasar kerajaan jika ianya bersesuaian dengan Islam dan dalam keadaan yang lain menentang sesuatu rang undang-undang dan dasar kerajaan sekiranya ia tidak adil dan bertentangan dengan Islam. Dengan cara ini kepentingan rakyat dan islam akan sentiasa terjamin. Banyak negara lain telahpun mengadakan kerajaan sebegini dan ianya bukan lagi asing.

Setelah limapuluh tahun merdeka, mungkin lakaran politik Malaysia terpaksa dilakar semula dengan corak yang berbeza. Namun dalam menentukan corak mana yang akan dilakarkan itu, jatidiri negara iaitu Islam sebagai agama Persekutuan hendaklah sentiasa disematkan di dalam diri kita. Identiti negara ini perlu dipertahan dan diperjelas disamping menolak sebarang usaha menggugat atau mempersoal jatidiri ini.

Tiga kaedah yang disebut di atas mungkin boleh difikirkan oleh kepimpinan parti siasah Islam demi menjaga kedudukan Islam di Malaysia. Namun begitu ia tidaklah bermakna orang Islam akan memencilkan orang bukan Islam di Malaysia. Sumbangan orang bukan Islam di Malaysia memang tidak boleh dinafikan dan agama Islam sebenarnya mengiktiraf kedudukan ini. Dalam hal yang demikian sekiranya Islam dapat ditegakkan maka sudah tentu orang bukan Islam akan lebih terjamin dari sudut peribadatan mereka, keperluan dan juga kebajikan.

Sesiapa yang membaca nukilan-nukilan berhubung dengan negara Islam sudah tentu memahami betapa Islam menjaga golongan minoriti bukan Islam dalam negara Islam. Oleh itu orang bukan Islam tidak perlu khuatir apabila Islam dilaksanakan.

Sudah sampai masanya cerdik pandai politikus Melayu/Islam mencari jalan memelihara kepentingan Islam ini agar tidak diperlekeh, dipermain atau diperkotak-katikkan oleh mana-mana pihak termasuk orang Islam sendiri. Percakaran di antara sesama orang Islam ini amatlah memalukan. Ia berlaku kerana kurangnya kesedaran di kalangan sebahagian ahli politik untuk berbalik kepada Islam sebagai jalan penyelesaian.

Parti-parti yang mengakui memperjuangkan Islam hendaklah menterjemahkan motto atau objektif mereka ini kepada reality dan tidak hanya menjadi bahan kosmetik untuk tujuan-tujuan tertentu sahaja.

Demi Islam, lupakanlah masalah silam dan perbaharui tekad dan usaha untuk memartabatkan Islam dalam segala ruang yang ada. Janji Allah pasti benar. Allah telah berjanji sesiapa yang menolong agamaNya sudah pasti Allah akan menolong mereka pula. Oleh demikian sekiranya kita meletakkan Islam sebagai asas perjuangan, sudah pasti terdapat ruang yang luas untuk bergerak demi Islam.

Penulis tidak berhasrat menceburi bidang politik, sekadar memberi pendapat dan melontarkan idea supaya perkara ini dapat difikirkan bersama. Sebagai salah seorang pemimpin NGO Islam arus perdana penulis merasa terpanggil meluahkan pandangan ini kerana keanjalan politik ketika ini cukup membimbangkan orang Islam. Ahli politik Melayu/Islam adalah pejuang kepada keagungan Islam di Malaysia, tanpa mereka sudah tentu Islam akan tidak terbela. Memang banyak jasa mereka dan sewajarnya peranan ini terus dimainkan mereka dengan lebih berkesan lagi.

Penulis adalah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sila layari http://peguamsyarie.blogspot.com

Kedudukan Undang-undang Islam di Tanah Melayu July 12, 2008

Posted by membelaislam in Constitution, Rights of Muslims, rights-of-malays.
Tags: , , ,
2 comments

Oleh: Nurhidayah Muhd Hashim

[Artikel Peguam Syarie Menulis disiarkan dalam Berita Harian pada 9 Julai 2008. Dipetik dari Laman Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM).]

Masyarakat kita semakin celik dengan isu perundangan di negara ini. Salah satu isu penting yang kita wajar ketahui adalah kedudukan undang-undang Islam dalam negara kita. Beberapa persoalan yang perlu dibincangkan adalah bagaimanakah Undang-undang Islam mula dilaksanakan di Malaysia? Bagaimana pula Undang-undang Inggeris bertapak di negara kita dan apakah Mahkamah Syariah yang ada sekarang ini merupakan Mahkamah yang baru ditubuhkan?

Usaha untuk memberi kefahaman kepada masyarakat perlu digiatkan supaya masyarakat lebih jelas tentang sejarah dan perkembangannya. Walaupun mengetahui sejarah ini mungkin dianggap sesetengah orang sebagai kurang penting kerana ia hanyalah sejarah silam negara ini, tetapi hakikatnya, sejarah sangat penting dalam hidup kita. Dengan mengetahui sejarah, kita akan tahu bagaimana sesuatu perkara itu bermula. Dengan mengetahui sejarah juga, barulah kita akan menghargai susah payah pejuang terdahulu berhempas-pulas untuk kesejahteraan hari ini. Sudah pasti membawa kita menghargai nikmat dirasai pada hari ini.

Sebelum kedatangan penjajah, negara ini yang dipanggil Tanah Melayu telah melaksanakan Undang-undang Islam dalam urusan kehidupan seharian. Mereka mengadili kes di hadapan Sultan, pemerintah kawasan dan sebagainya berdasarkan undang-undang Islam dalam semua urusan termasuklah hal-ehwal kekeluargaan, muamalat dan juga jenayah. Catatan bertulis berkenaan hukum dan peraturan Islam dalam beberapa tulisan seperti Undang-undang 99 Perak, Hukum Kanun Melaka dan lain-lain menjadi bukti bahawa wujudnya peruntukan undang-undang Islam yang dijalankan di Tanah Melayu.

Apabila Inggeris datang ke Tanah Melayu, mereka telah mengetahui dan menyedari bahawa undang-undang Islam adalah undang-undang yang diterima pakai dan dilaksanakan di sini. Jika kita merujuk kepada kes-kes yang berlaku dan diputuskan di Mahkamah, Hakim Inggeris yang bertugas di Tanah Melayu ketika itu tidak menafikan kedudukan undang-undang asal yang dilaksanakan. Contohnya dalam satu kes iaitu kes Rahmah v. Laton yang diputuskan pada tahun 1927. Kes ini melibatkan pertikaian antara dua orang isteri terhadap harta sepencarian yang ditinggalkan oleh suaminya selepas suami meninggal. Dalam penghakimannya, mahkamah telah memutuskan bahawa Undang-undang Islam bukanlah undang-undang asing tetapi ia merupakan undang-undang asal yang wujud dan diterima pakai serta dilaksanakan di Tanah Melayu.

Selepas Inggeris masuk ke Tanah Melayu, pihak Inggeris dan Raja-Raja Melayu telah memeterai beberapa perjanjian atau dipanggil triti. Dalam triti tersebut, diletakkan syarat bahawa Residen Inggeris dibenarkan datang dan memberi bantuan kepakaran dalam mentadbir urusan negara kepada pihak Sultan. Namun begitu residen tidak akan mencampuri urusan pentadbiran agama serta perlaksanaan undang-undang Islam di Tanah Melayu.

Pada ketika itu urusan undang-undang mula dibahagikan kepada zon-zon yang terpisah. Undang-undang muamalat atau transaksi dianggap urusan keduniaan yang tidak berkait dengan Islam. Begitu juga urusan undang-undang jenayah dan sebagainya. Akhirnya yang dianggap urusan agama dan adat-istiadat hanya merujuk kepada urusan ibadah orang Islam dan juga urusan perkahwinan yang dipanggil ‘personal law’ serta beberapa kesalahan yang melibatkan hukum agama yang khusus seperti tidak berpuasa dan sebagainya.

Dalam tulisan seorang pengkaji Barat iatu MB Hooker, beliau menulis selepas menduduki Pulau Pinang pada tahun 1786, Inggeris telah berusaha bersungguh-sungguh membawa undang-undang mereka ke sini. Mereka menubuhkan mahkamah dan melantik hakim-hakim yang mahir dengan Undang-undang Inggeris untuk bertugas dan mengadili kes-kes di Tanah Melayu. Perkara yang sama berlaku di Singapura dan di negeri Melaka (yang dipanggil ketika itu sebagai Negeri-negeri Selat).

Inggeris juga memperkenalkan tiga piagam yang dipanggil Charters of Justice (Piagam Keadilan Pertama) pada tahun 1807, (Piagam Keadilan Kedua) pada tahun 1826 dan (Piagam Keadilan Ketiga) pada tahun 1885. Semua ini bertujuan untuk mengangkat taraf Undang-undang Inggeris dan secara tidak langsung menenggelamkan serta menyisihkan Undang-undang Islam yang dulunya diamalkan sebagai undang-undang tempatan.

Campur tangan secara langsung terhadap urusan kekeluargaan orang Islam di Tanah Melayu juga telah berlaku pada tahun 1880. Inggeris telah memperkenalkan satu Ordinan yang dipanggil Muhammedan Marriage Ordinance (Ordinance no. 5, 1880). Ordinan ini digubal dengan tujuan untuk menetapkan sejauh mana Undang-undang Islam boleh diterima dan diiktiraf oleh mahkamah.

Dengan terlaksananya Ordinan ini juga, maka cita-cita dan usaha British untuk memisahkan di antara urusan sivil dan urusan keagamaan yang telah dirancang semenjak kedatangannya ke Tanah Melayu telah mula terzahir dengan begitu jelas. Apa yang berlaku menunjukkan Inggeris telah campur tangan secara langsung atau tidak langsung terhadap perkara-perkara yang berkaitan dengan agama dan juga adat-istiadat Melayu.

Dalam Ordinan ini, perkara mengenai pendaftaran perkahwinan dan perceraian orang Islam, pengiktirafan kepada kedudukan Kadi dan peraturan terhadap harta perempuan yang berkahwin telah diperuntukkan. Ordinan tersebut telah mengalami beberapa pindaan pada tahun 1894, 1902, 1908, 1909 dan juga pada tahun 1917. Dalam pindaan tersebut, British telah membuat peruntukan yang menyentuh secara terbuka tentang Undang-undang Keluarga Islam. Ordinan ini dan pindaannya telah digubal kembali dan disebut Ordinan No. 26 tahun 1920 dan seterusnya dipinda lagi pada tahun 1923 dan 1934 sehingga akhirnya dimasukkan ke dalam Chapter 57 of the Revised Laws of the Straits Settlement, 1936.

Begitu juga bagi Negeri-negeri Tidak Bersekutu pula iaitu negeri Kedah, Johor dan Kelantan, diperkenalkan kod undang-undang yang dipanggil Kedah, Mohammedan Marriages (Separation) Enactment 1913, 1932, atau dikenali sebagai Undang-undang Syiqaq 1332H (1913M) dan juga Syariah Court Enactment No. 109/1934.. Manakala bagi penduduk Kelantan pula dikuatkuasakan satu kod undang-undang yang dipanggil Notis Fasal Orang Islam Berkehendakkan Berbini Dua, Tiga dan Empat 1914 yang kemudiannya ditambah dengan kod The Notice On Matters Relating to Marriage, Divorce, Recohabition and Ta’lik 1915. Kod lain turut diperkenalkan pada tahun 1919 iaitu Muhammadan Division of Property between Husband and Wife of 1919.

Dengan tergubal dan terlaksananya undang-undang tersebut, kita melihat bagaimana sistem perundangan di negara kita berkembang. Melihat kepada kedudukan perundangan Syariah pula, pejuang-pejuang Syariah telah mula mengorak langkah untuk memartabatkan perundangan Islam dan usaha itu masih lagi berterusan hingga ke hari ini. Justeru, kita semua wajar menyokong usaha murni ini agar perundangan Syariah di Malaysia akan lebih mantap hari demi hari.

Penulis ialah Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sebarang komentar boleh dihantar ke excopgsm@yahoo.com. Sila layari http://peguamsyarie.blogspot.com

Resolusi Masjid Wilayah 23 Julai 2006/26 Jamadilthani 1427H July 7, 2008

Posted by membelaislam in Article 11, Artikel 121(1A) Perlembagaan Persekutuan, Constitution, Interfaith Council (IFC), Rights of Muslims.
Tags: , , , , , ,
1 comment so far
Forum Shariah dan Isu Semasa yang berlangsung pada 23 Julai 2006 di Masjid Wilayah, Kuala Lumpur mendapat sambutan luar dugaan dan melebihi ruang dewan yang disediakan oleh pihak penganjur. Berikut adalah RESOLUSI FORUM tersebut: Kami, yang berkumpul di Masjid Wilayah, Kuala Lumpur pada hari ini untuk membincangkan cabaran semasa dalam pelaksanaan sistem Syariah di Negara ini menyatakan rasa bimbang terhadap usaha-usaha pihak yang sedang cuba meminggirkan kedudukan Islam dalam sistem kenegaraan dengan berselindung di sebalik nama Kumpulan sekular ini tidak mendapat sokongan bagi membawa agendanya di kalangan besar masyarakat Malaysia, perjuangan mempertahankan hak-hak asasi.

Usaha-usaha ini merupakan satu langkah untuk membelakangkan hakikat sejarah semenjak ratusan tahun lalu di mana Syariah diterimapakaikan di dalam kehidupan individu dan masyarakat di negara kita. Kami juga bimbang dengan ruang yang diberikan kepada usaha-usaha negatif ini dalam media masa tempatan dan antarabangsa walaupun pandangan ini hanya merupakan suara-suara terpencil dan pinggiran berbanding dengan faham dan penghayatan majoriti umat Islam.

Kita bimbang mungkin usaha negatif ini didalangi oleh unsur-unsur luar negara yang berhasrat melumpuhkan Islam. Situasi ini pasti akan bertambah buruk jika pandangan-pandangan liar ini turut dilayan oleh pihak-pihak yang berwewenang dalam negara kita. Sekiranya masyarakat Islam tidak cukup prihatin dan peka terhadap perkembangan ini mereka akan terus menyalah-gunakan saluran perundangan untuk mencapai matlamat mereka. Menyedari hakikat ini maka kami yang berkumpul di Masjid Wilayah untuk Forum Syariah dan Cabaran Semasa pada 23 Julai 2006 bersetuju dengan resolusi berikut:

1. Kedudukan istimewa Islam merupakan elemen penting dalam Perlembagaan dan sistem perundangan Negara. Ia turut merupakan hak asasi umat Islam di negara ini. Jika dasar ini diganggu-gugat ia mampu menimbulkan pelbagai kesan negatif dalam masyarakat. Oleh itu, formula yang sedia ada dan sudah terbukti mengekalkan kesejahteraan bersama ini, harus dipertegaskan dan diterima oleh semua pihak, Islam dan bukan Islam.

2. Semua peruntukan Perlembagaan dan Undang-undang yang berkaitan dengan Islam perlu diperkukuhkan untuk menutup semua ruang usaha untuk menggunakan saluran mahkamah bagi melemahkan kedudukan Islam.

3. Seluruh umat Islam perlu menyatukan suara, sikap dan tindakan dalam mempertahankan kedudukan Islam yang sedang diancam.
4. Setiap ancaman terhadap Islam adalah bermakna ancaman terhadap martabat dan kedudukan Raja-Raja Melayu yang menjadi Ketua Agama di setiap negeri dan terhadap kewibawaan institusi-institusi Islam.

5. Menuntut agar dihentikan segera semua percubaan usaha merombak dan menghakis kedudukan Islam dalam Perlembagaan dan sistem perundangan Negara. Mana-mana ketidakpuasan hati berkenaan dengan Islam harus disalurkan ke meja rundingan dengan pihak-pihak yang berautoriti. Pendekatan konfrontasi melalui roadshow (majlis penerangan ) dan pertikaian mahkamah hanya akan mengakibatkan ketegangan dan mengancam ketenteraman masyarakat.

6. Kita menuntut media aliran perdana mengambil pendirian tegas dan tidak berpihak dalam isu-isu berkaitan Islam dan tidak mempelopori pandangan bahawa Malaysia adalah negara sekular dan amalan Islam adalah hak peribadi. Kita menuntut pihak media memberi ruang kepada pihak Islam untuk menyuarakan pendapat mereka dan tidak lagi meminggirkan suara arus perdana (mainstream) Islam. Media aliran perdana mestilah bersikap professional dan beretika di dalam lapuran dan analisa mereka mengenai Islam.

7. Hak dan kebebasan beragama perlu difahami dalam ruanglingkup Islam, bukannya mengikut kecenderungan individu. Fahaman kebebasan dan hak asasi acuan sekular-liberal adalah bercanggah dengan ajaran Islam serta agama-agama lain.

8. Semua Dewan-dewan Undangan Negeri dan Parlimen (bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan) hendaklah meluluskan segera enakmen/akta yang menghalang dakyah bukan Islam kepada umat Islam dan pihak berkuasa hendaklah melaksanakan enakmen/akta berkenaan dengan segera.

9. Kerajaan hendaklah menetapkan pendirian untuk menolak usaha-usaha barat dan badanbadan bukan kerajaan yang bersekongkol dan menggunakan NGO tempatan, ahli-ahli akademik dan orang perseorangan untuk mempengaruhi polisi dan undang-undang berkaitan orang Islam.

10. Ada di kalangan pemimpin Muslim yang menyuarakan pandangan yang menyokong kelompok yang mengatakan amalan Islam adalah hak individu dan undang-undang moral tidak harus dilaksanakan di Malaysia. Kenyataan seperti ini amatlah dikesali kerana undang-undang moral di dalam Islam di Malaysia telah merupakan intipati kepada undang-undang di Semenanjung Malaysia jauh lebih dahulu sebelum kedatangan penjajah-penjajah.

11. Majlis Peguam Malaysia yang mewakili lebih 12,000 peguam di Semenanjung telah mengambil pendirian berpihak tanpa mengambilkira pandangan peguam Islam yang membentuk lebih dari 40% dari jumlah keseluruhan peguam. Majlis Peguam Malaysia atas nama hak asasi manusia telah mencampuri urusan agama Islam dan ini bertentangan dengan matlamat Majlis Peguam ditubuhkan dan kita menuntut Majlis Peguam sebagai penjaga kedaulatan undang mematuhi undang-undang negara ini.

Abdullah: Stop Activities On Inter-faith Issue July 7, 2008

Posted by membelaislam in Article 11, Artikel 121(1A) Perlembagaan Persekutuan, Constitution, Interfaith Council (IFC), Rights of Muslims.
Tags: , ,
add a comment
NST 26 Jul 2006 M. K. Megan and Azura Abbas

KUALA LUMPUR: All activities relating to the formation of the Inter-Faith Commission should cease immediately as the religious tension in the country has reached a worrying level, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi said last night.

The Prime Minister said the Cabinet had already decided to postpone the setting up of the commission. “I don’t know why this group of people have to carry out activities related to it. It is creating unnecessary problems. The Government will, in the near future, make an announcement on the Inter-Faith Commission,” he added. Abdullah, who is also the Internal Security Minister, reminded the people that religious issues were very sensitive. “They evoke emotions. When discussed openly, and without control, they create anger, and this leads to unwanted situations.” He said Umno was worried about the current situation, where the issue of religion was being hotly debated by various parties. “We have to be careful and be moderate so as not to create a situation where people from various faiths get all tensed up,” he said. Abdullah, who was speaking to reporters after chairing an Umno supreme council meeting, was commenting on the Article 11 forum in Johor Baru recently that was disrupted by a few thousand people, including members from Umno Youth and Pas.

To a question, he said he was generally satisfied with the media’s reporting of sensitive issues such as the Article 11 Forum and other issues involving religion. The conference, which ends today, will address topics such as media law and control, local media and the challenges of globalisation, and the competition between print and the web media. At the session on media law and control, the panelists debated whether current laws were outdated because of new media technology, and whether laws were applied fairly to all media, as print and electronic media were regulated by different ministries.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.