Kedudukan Undang-undang Islam di Tanah Melayu

Oleh: Nurhidayah Muhd Hashim

[Artikel Peguam Syarie Menulis disiarkan dalam Berita Harian pada 9 Julai 2008. Dipetik dari Laman Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM).]

Masyarakat kita semakin celik dengan isu perundangan di negara ini. Salah satu isu penting yang kita wajar ketahui adalah kedudukan undang-undang Islam dalam negara kita. Beberapa persoalan yang perlu dibincangkan adalah bagaimanakah Undang-undang Islam mula dilaksanakan di Malaysia? Bagaimana pula Undang-undang Inggeris bertapak di negara kita dan apakah Mahkamah Syariah yang ada sekarang ini merupakan Mahkamah yang baru ditubuhkan?

Usaha untuk memberi kefahaman kepada masyarakat perlu digiatkan supaya masyarakat lebih jelas tentang sejarah dan perkembangannya. Walaupun mengetahui sejarah ini mungkin dianggap sesetengah orang sebagai kurang penting kerana ia hanyalah sejarah silam negara ini, tetapi hakikatnya, sejarah sangat penting dalam hidup kita. Dengan mengetahui sejarah, kita akan tahu bagaimana sesuatu perkara itu bermula. Dengan mengetahui sejarah juga, barulah kita akan menghargai susah payah pejuang terdahulu berhempas-pulas untuk kesejahteraan hari ini. Sudah pasti membawa kita menghargai nikmat dirasai pada hari ini.

Sebelum kedatangan penjajah, negara ini yang dipanggil Tanah Melayu telah melaksanakan Undang-undang Islam dalam urusan kehidupan seharian. Mereka mengadili kes di hadapan Sultan, pemerintah kawasan dan sebagainya berdasarkan undang-undang Islam dalam semua urusan termasuklah hal-ehwal kekeluargaan, muamalat dan juga jenayah. Catatan bertulis berkenaan hukum dan peraturan Islam dalam beberapa tulisan seperti Undang-undang 99 Perak, Hukum Kanun Melaka dan lain-lain menjadi bukti bahawa wujudnya peruntukan undang-undang Islam yang dijalankan di Tanah Melayu.

Apabila Inggeris datang ke Tanah Melayu, mereka telah mengetahui dan menyedari bahawa undang-undang Islam adalah undang-undang yang diterima pakai dan dilaksanakan di sini. Jika kita merujuk kepada kes-kes yang berlaku dan diputuskan di Mahkamah, Hakim Inggeris yang bertugas di Tanah Melayu ketika itu tidak menafikan kedudukan undang-undang asal yang dilaksanakan. Contohnya dalam satu kes iaitu kes Rahmah v. Laton yang diputuskan pada tahun 1927. Kes ini melibatkan pertikaian antara dua orang isteri terhadap harta sepencarian yang ditinggalkan oleh suaminya selepas suami meninggal. Dalam penghakimannya, mahkamah telah memutuskan bahawa Undang-undang Islam bukanlah undang-undang asing tetapi ia merupakan undang-undang asal yang wujud dan diterima pakai serta dilaksanakan di Tanah Melayu.

Selepas Inggeris masuk ke Tanah Melayu, pihak Inggeris dan Raja-Raja Melayu telah memeterai beberapa perjanjian atau dipanggil triti. Dalam triti tersebut, diletakkan syarat bahawa Residen Inggeris dibenarkan datang dan memberi bantuan kepakaran dalam mentadbir urusan negara kepada pihak Sultan. Namun begitu residen tidak akan mencampuri urusan pentadbiran agama serta perlaksanaan undang-undang Islam di Tanah Melayu.

Pada ketika itu urusan undang-undang mula dibahagikan kepada zon-zon yang terpisah. Undang-undang muamalat atau transaksi dianggap urusan keduniaan yang tidak berkait dengan Islam. Begitu juga urusan undang-undang jenayah dan sebagainya. Akhirnya yang dianggap urusan agama dan adat-istiadat hanya merujuk kepada urusan ibadah orang Islam dan juga urusan perkahwinan yang dipanggil ‘personal law’ serta beberapa kesalahan yang melibatkan hukum agama yang khusus seperti tidak berpuasa dan sebagainya.

Dalam tulisan seorang pengkaji Barat iatu MB Hooker, beliau menulis selepas menduduki Pulau Pinang pada tahun 1786, Inggeris telah berusaha bersungguh-sungguh membawa undang-undang mereka ke sini. Mereka menubuhkan mahkamah dan melantik hakim-hakim yang mahir dengan Undang-undang Inggeris untuk bertugas dan mengadili kes-kes di Tanah Melayu. Perkara yang sama berlaku di Singapura dan di negeri Melaka (yang dipanggil ketika itu sebagai Negeri-negeri Selat).

Inggeris juga memperkenalkan tiga piagam yang dipanggil Charters of Justice (Piagam Keadilan Pertama) pada tahun 1807, (Piagam Keadilan Kedua) pada tahun 1826 dan (Piagam Keadilan Ketiga) pada tahun 1885. Semua ini bertujuan untuk mengangkat taraf Undang-undang Inggeris dan secara tidak langsung menenggelamkan serta menyisihkan Undang-undang Islam yang dulunya diamalkan sebagai undang-undang tempatan.

Campur tangan secara langsung terhadap urusan kekeluargaan orang Islam di Tanah Melayu juga telah berlaku pada tahun 1880. Inggeris telah memperkenalkan satu Ordinan yang dipanggil Muhammedan Marriage Ordinance (Ordinance no. 5, 1880). Ordinan ini digubal dengan tujuan untuk menetapkan sejauh mana Undang-undang Islam boleh diterima dan diiktiraf oleh mahkamah.

Dengan terlaksananya Ordinan ini juga, maka cita-cita dan usaha British untuk memisahkan di antara urusan sivil dan urusan keagamaan yang telah dirancang semenjak kedatangannya ke Tanah Melayu telah mula terzahir dengan begitu jelas. Apa yang berlaku menunjukkan Inggeris telah campur tangan secara langsung atau tidak langsung terhadap perkara-perkara yang berkaitan dengan agama dan juga adat-istiadat Melayu.

Dalam Ordinan ini, perkara mengenai pendaftaran perkahwinan dan perceraian orang Islam, pengiktirafan kepada kedudukan Kadi dan peraturan terhadap harta perempuan yang berkahwin telah diperuntukkan. Ordinan tersebut telah mengalami beberapa pindaan pada tahun 1894, 1902, 1908, 1909 dan juga pada tahun 1917. Dalam pindaan tersebut, British telah membuat peruntukan yang menyentuh secara terbuka tentang Undang-undang Keluarga Islam. Ordinan ini dan pindaannya telah digubal kembali dan disebut Ordinan No. 26 tahun 1920 dan seterusnya dipinda lagi pada tahun 1923 dan 1934 sehingga akhirnya dimasukkan ke dalam Chapter 57 of the Revised Laws of the Straits Settlement, 1936.

Begitu juga bagi Negeri-negeri Tidak Bersekutu pula iaitu negeri Kedah, Johor dan Kelantan, diperkenalkan kod undang-undang yang dipanggil Kedah, Mohammedan Marriages (Separation) Enactment 1913, 1932, atau dikenali sebagai Undang-undang Syiqaq 1332H (1913M) dan juga Syariah Court Enactment No. 109/1934.. Manakala bagi penduduk Kelantan pula dikuatkuasakan satu kod undang-undang yang dipanggil Notis Fasal Orang Islam Berkehendakkan Berbini Dua, Tiga dan Empat 1914 yang kemudiannya ditambah dengan kod The Notice On Matters Relating to Marriage, Divorce, Recohabition and Ta’lik 1915. Kod lain turut diperkenalkan pada tahun 1919 iaitu Muhammadan Division of Property between Husband and Wife of 1919.

Dengan tergubal dan terlaksananya undang-undang tersebut, kita melihat bagaimana sistem perundangan di negara kita berkembang. Melihat kepada kedudukan perundangan Syariah pula, pejuang-pejuang Syariah telah mula mengorak langkah untuk memartabatkan perundangan Islam dan usaha itu masih lagi berterusan hingga ke hari ini. Justeru, kita semua wajar menyokong usaha murni ini agar perundangan Syariah di Malaysia akan lebih mantap hari demi hari.

Penulis ialah Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sebarang komentar boleh dihantar ke excopgsm@yahoo.com. Sila layari http://peguamsyarie.blogspot.com

About these ads

2 thoughts on “Kedudukan Undang-undang Islam di Tanah Melayu

  1. Melalui perbincangan di atas adakah ini bermakna pihak British campur tangan dalam urusan perlantikan kadi, urusan perkahwanan dan juga dalam hal ehwal perlantikan mufti negeri?

    Jika ia benar adakah ia bermakna British tidak mematuhi prinsip untuk tidak campur tangan dalam hal ehwal agama dan adat istiadat orang Melayu?

  2. saya sedang membuat kajian tentang sejarah undang-undang islam pada zaman kesultanan melayu bagi thesis saya..mntk jasa baik dari pihak cik/puan utk bantu bg idea..

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s