Majlis Peguam perlu adil August 30, 2008
Posted by membelaislam in Uncategorized.Tags: IFC, Peguam Syarie, Kontrak Sosial, Zainul Rijal, bantahan, Mahkamah Syariah, forum memeluk Islam, Majlis Peguam, Moorthy
add a comment
Dipetik dari http://peguamsyarie.blogspot.com/
PADA 9 Ogos lalu, Majlis Peguam mengadakan forum ‘Memeluk Islam’. Tindakan majlis berkenaan dikatakan menimbulkan kemarahan umat Islam. Lanjutan itu, lebih 1,000 orang berkumpul membantah penganjuran forum tersebut yang disifatkan sengaja mahu mencemarkan imej Islam.
Mengulas perkara itu, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Zainul Rijal Abu Bakar menyifatkan tindakan Majlis Peguam tersebut hanya akan mewujudkan tafsiran bahawa majlis berkenaan sememangnya anti Islam.
Bercakap dalam pertemuan dengan wartawan Mingguan Malaysia, ZULKIFLEE BAKAR dan HERMAN HAMID, beliau menganggap Majlis Peguam tidak bertindak jujur apabila mengadakan forum seumpama itu.
Ini kerana kata beliau, Majlis Peguam sengaja mempertikaikan perkara yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan biarpun majlis itu acap kali membuat kenyataan bahawa Perlembagaan harus dihormati dan diletakkan di tempat tertinggi serta tidak boleh dipertikaikan.
Bagi beliau, isu sensitif melibatkan agama seharusnya dibincangkan secara tertutup kerana ia boleh mencetuskan perbalahan.
Dalam pertemuan tersebut juga, Zainul Rijal turut meminta Majlis Peguam agar bertindak jujur dan ikhlas dalam tindakan mereka serta tidak terus melakukan provokasi dengan menganjurkan forum-forum yang dilihat hanya bertujuan memburukkan Islam. Contohnya, kata beliau walaupun kerajaan dan pelbagai pihak membantah forum tersebut namun Majlis Peguam tetap berdegil dengan meneruskannya.
‘‘Semua ini adalah satu tindakan provokasi yang boleh menimbulkan tafsiran bahawa majlis itu anti Islam dan ini pastinya boleh membangkitkan kemarahan orang Islam,’’ katanya.
Menurut beliau yang juga seorang peguam sivil, jika Majlis Peguam ikhlas mereka seharusnya menganjurkan forum tertutup bagi memberikan kefahaman kepada bukan Islam mengenai perkara-perkara berkaitan Islam. Tetapi malangnya kata beliau, Majlis Peguam tidak berbuat demikian. Mereka sebaliknya seolah-olah hanya mencari keburukan apabila seseorang memeluk Islam.
MINGGUAN: Apakah motif Majlis Peguam mengadakan forum ‘Memeluk Islam’ pada 9 Ogos lalu?
ZAINUL RIJAL: Sebenarnya Majlis Peguam mempertikaikan banyak perkara, tetapi dalam masa yang sama mereka berkata Perlembagaan Persekutuan adalah paling tinggi dan mesti dihormati serta tidak boleh dipertikaikan.
Tetapi apa yang kita lihat apa-apa perkara mengenai kelebihan Islam dan kedudukan orang Melayu seperti mana termaktub dalam Perlembagaan seolah-olah dipertikaikan. Ini jelas apabila mereka menganjurkan forum ‘Kontrak Sosial’ pada Jun lalu serta terkini forum ‘Memeluk Islam’.
Begitu juga dalam beberapa kes melibatkan hal ehwal Islam, majlis itu menghantar peguam pemerhati. Mereka bukan sahaja memerhati tetapi juga terlibat sama berhujah. Semua ini memberi gambaran di kalangan orang Islam seolah-olah Majlis Peguam anti Islam.
Pada hal Majlis Peguam mengatakan memperjuangkan Perlembagaan Persekutuan. Jadi mereka mempunyai pendirian yang berbeza satu masa kata macam ini, satu kata macam lain pula. Ini yang kita tidak boleh terima.
Kita sebagai rakyat Malaysia yang menjunjung Perlembagaan mesti mengakui hakikat bahawa ada perbezaan antara Islam dan juga agama-agama lain. Tetapi soal ini tidak diketengahkan oleh Majlis Peguam.
Apakah kesannya jika majlis berkenaan terus bertindak demikian?
ZAINUL RIJAL: Kesan segera yang kita dapat lihat ialah pada 9 Ogos lalu apabila umat Islam berkumpul di hadapan Pejabat Majlis Peguam di mana berlangsungnya forum ‘Memeluk Islam’.
Ia menyaksikan bagaimana orang Islam bangkit. Hakikatnya, orang Melayu Islam tidak mudah ‘naik semangat’ tetapi apabila betul-betul marah barulah tercetus suasana seperti mana kita lihat itu. Kita tidak mahu apa yang berlaku pada tahun 1969 berulang, ia tidak baik untuk negara.
Namun bagi orang Melayu apabila mereka melihat kedudukan agama dihakis barulah mereka bangkit. Begitulah juga apa yang berlaku pada 9 Ogos lalu apabila Majlis Peguam dilihat mempertikaikan agama Islam, barulah orang Melayu bersatu.
Secara terperinci apa bahayanya forum seumpama itu?
ZAINUL RIJAL: Pada mulanya saya berpendapat ia hanya satu forum, jadi saya tidak ada masalah. Saya yakin wakil orang Islam di dalam forum berkenaan boleh memberikan perspektif Islam yang betul. Tetapi apabila saya melihat kepada surat jemputan forum berkenaan yang turut tertera mereka yang memeluk Islam dijemput memberi pandangan tentang masalah yang dihadapi, saya mula terfikir mengenai tujuan forum berkenaan. Adalah jelas ia bertujuan untuk mengatakan apabila orang bukan Islam masuk Islam, ia akan ada masalah dan ini seolah-olah ingin menggambarkan memeluk Islam adalah satu kesalahan sedangkan ada ramai lagi yang memeluk Islam tetapi tidak ada masalah.
Namun malangnya Majlis Peguam tidak menjemput golongan yang tidak bermasalah tersebut walaupun mereka memahami bahawa dalam prinsip undang-undang, keadilan harus dilihat dilaksanakan.
Majlis Peguam tidak pernah berusaha untuk menunjukkan kebaikan mereka yang memeluk Islam. Kalau mereka mahu bertindak adil sepatutnya mereka jemput dua peserta yang berbeza iaitu seorang ada masalah apabila memeluk Islam dan seorang lagi tidak ada masalah. Oleh itu maksud sebenar majlis berkenaan mengadakan forum seumpama itu adalah untuk melakarkan bahawa memeluk Islam salah.
Apabila perkara seumpama itu ditimbulkan berkali-kali ia akan menimbulkan tafsiran bahawa tindakan memeluk Islam akan ada masalah. Ini agendanya. Ia akan menghalang orang bukan Islam daripada memeluk Islam. Inilah bahayanya jika kita membenarkan forum seumpama itu diadakan secara terbuka.
Di dalam forum itu mereka menjemput golongan yang memeluk Islam menghadapi masalah, adakah ia wajar?
ZAINUL RIJAL: Kita tidak kata semua orang yang memeluk Islam itu mempunyai niat yang baik. Kita tidak tahu niat orang. Mungkin ada satu dua kes yang dia hendak melarikan diri daripada undang-undang. Tetapi sebenarnya untuk kes seperti itu, orang berkenaan sendiri tidak faham undang-undang Islam kerana berpendapat apabila memeluk Islam dia tidak perlu membayar nafkah isteri dan anak-anaknya yang bukan Islam. Sedangkan jika ikut undang-undang Islam, tanggungjawab dia tidak terputus. Undang-undang Islam mempunyai mekanisme berhubung perkara itu.
Apakah mungkin tindakan orang Islam yang bercerai dengan mualaf menyebabkan Islam dilihat tidak adil?
ZAINUL RIJAL: Saya pernah cadangkan kepada pihak yang berkuasa bahawa sebelum kita hendak hukum orang yang mahu keluar daripada Islam, kita patut hukum orang Islam yang menyebabkan mualaf itu bertindak demikian.
Sebagai contoh, ada satu kes seorang wanita saudara baru bertunang dengan orang Islam. Belum sempat berkahwin mereka menjadi rakan kongsi dalam perniagaan bagaimanapun si lelaki meninggal dunia. Jadi wanita mualaf itu tidak boleh mewarisi harta yang ditinggalkan si mati kerana mereka baru bertunang. Walaupun ada insurans dan perniagaan, si wanita saudara baru ini tidak mendapat apa-apa kerana dihalang oleh keluarga lelaki. Padahal mereka tahu yang perniagaan diusahakan ialah secara bersama.
Malah dalam afidavit di mahkamah, keluarga lelaki itu menuduh wanita itu bukan Islam. Jadi wanita ini marah kerana dia memeluk Islam dan mengamalkan ajaran Islam. Lalu wanita itu kata orang Islam hanya menunjukkan dia jalan keluar daripada Islam, tetapi orang bukan Islam termasuk keluarganya yang bukan Islam sanggup mengalu-alukannya kembali. Jadi dalam kes ini kalau wanita itu mahu kembali ke agama lamanya macam mana. Siapa yang salah? Tentulah orang Islam yang zalim kepada wanita itu yang salah.
Sebab itu saya cadang sebelum ini jika ada kes macam ini kita hukum orang Islam berkenaan. Ertinya, kalau ada permohonan keluar Islam, kita siasat siapa orang Islam yang menyebabkan orang itu mahu keluar Islam. Kita tuduh dia di mahkamah kerana menyebabkan seseorang keluar Islam kerana seolah-olah orang itu reda kepada orang lain keluar Islam.
Dalam membincangkan masalah sensitif seperti soal memeluk Islam ini, benarkah hujah yang mengatakan tidak ada saluran lain untuk berbuat demikian selain forum terbuka?
ZAINUL RIJAL: Perkara-perkara sensitif seperti itu sudah banyak kali dibincangkan secara tertutup sebelum ini pun saya sudah menghadiri dialog tertutup yang bertajuk ‘dialog kehidupan’. Kami berbincang tidak ada masalah dan cuba memahami permasalahan yang ditimbulkan.
Dialog yang saya maksudkan ialah dialog antara agama dan bukannya seperti mana dilakukan oleh Majlis Peguam yang hanya menyaksikan pandangan satu pihak sahaja. Tindakan mereka seolah-olah menyuruh bukan Islam menunjukkan kepada orang Islam apa yang sepatutnya dilakukan jika ada orang memeluk Islam. Sedangkan dalam hukum Islam semua perkara itu sudah dinyatakan.
Begitu juga orang Islam, kalau kita hendak berdialog, kita tidak boleh mempertikaikan soal agama lain seperti tuhan mereka dan sebagainya. Apa yang boleh kita lakukan ialah menjelaskan sesuatu yang menimbulkan keraguan di kalangan bukan Islam mengenai Islam.
Atas sebab itulah kita tidak boleh menerima penubuhan Suruhanjaya Antara Agama (IFC) kerana mereka yang bukan Islam pun boleh jadi pesuruhjaya di dalamnya dan boleh membuat keputusan untuk pihak Islam.
Bagaimana satu hari nanti IFC ini dapat aduan contohnya, solat Jumaat itu menyusahkan bukan Islam kerana menimbulkan kesesakan lalu lintas dan IFC membuat keputusan tidak perlu solat Jumaat. bolehkah orang Islam terima? Jadi semua pihak perlu memahami sempadan masing-masing dan bukannya melepasi sempadan berkenaan.
Bagaimana pula dengan pandangan sesetengah peguam Islam sendiri yang menegaskan forum ‘Memeluk Islam’ itu perlu dibenarkan kerana ia bertujuan membincangkan masalah yang timbul apabila salah seorang pasangan bukan Islam memeluk Islam?
ZAINUL RIJAL: Memang permasalahan itu diakui. Namun bolehkah forum itu menyelesaikannya? Yang boleh atasi adalah pihak berkuasa. Sebenarnya masalah-masalah yang dikatakan itu tidak akan wujud sekiranya mereka bersedia untuk ke Mahkamah Syariah. Isunya sekarang mereka tidak mahu. Jadi ini yang jadi masalahnya. Mahkamah Syariah mempunyai mekanisme untuk menentukan soal nafkah, hak penjagaan dan isu-isu lain yang timbul selepas seseorang memeluk Islam.
Kalau setakat anjur forum sampai 20 kali pun, masalah tak akan selesai. Sebab itu yang penting semua pihak mesti beri kerjasama dengan mahkamah. Beri keterangan apabila diminta. Jangan hanya pandai menyalak. Dalam banyak kes, orang bukan Islam enggan ke mahkamah syariah.
Apakah tindak tanduk Majlis Peguam menyinggung perasaan peguam Islam?
ZAINUL RIJAL: Ada kalangan peguam Islam yang bertanya tidakkah ada cara bagi membolehkan mereka keluar dari Majlis Peguam. Ini kerana kita tidak boleh menerima apa yang dilakukan Majlis Peguam khususnya penganjuran forum 9 Ogos lalu.
Tetapi masalahnya undang-undang kita hanya membenarkan satu sahaja Majlis Peguam. Kalau kita keluar Majlis Peguam, kita tak boleh jadi peguam pula kerana kita bukan di Britain yang ada beberapa badan statutori peguam.
Itulah dilema yang kita hadapi. Kalau diikutkan memang ramai yang hendak keluar kerana tidak sehaluan. Malah dalam hal ini peguam syarie pun sedang berjuang menubuhkan Majlis Peguam Syarie tetapi sehingga hari ini belum terlaksana lagi. Jika ia dapat diwujudkan ia setidak-tidaknya dapat mengimbangi pandangan Majlis Peguam walaupun ia hanya untuk peguam syarie.
Apakah nasihat kepada Majlis Peguam supaya mereka menjaga sensitiviti orang Melayu dan Islam?
ZAINUL RIJAL: Sensitiviti masyarakat paling utama. Kalau kita gagal memahami sensitiviti masyarakat, negara akan kucar-kacir. Justeru kena faham dan hormat budaya masyarakat Malaysia. Pada saya, Majlis Peguam boleh buat perbincangan secara tertutup termasuk adakan dialog untuk satu-satu isu.
Sebagai contoh hendak tentukan jenazah orang Islam, kita boleh duduk berbincang. Sebenarnya Mahkamah Syariah hendak pastikan yang orang itu Islam atau tidak pada saat kematiannya. Itu sahaja. Dalam kes yang digembar-gembur seperti kes Moorthy, masalahnya pihak keluarga bukan Islam tidak mahu pergi ke Mahkamah Syariah. Mereka abaikan sapina.
Jadi bagaimana mahkamah hendak buat keputusan yang adil tanpa keterangan daripada keluarga mangsa. Dalam kes Nyonya Tahir, seluruh keluarga tampil ke Mahkamah Syariah dan kemuka keterangan yang Nyonya Tahir tak pernah amalkan Islam. Jadi Mahkamah Syariah putuskan yang Nyonya Tahir bukan seorang Islam di saat kematian. Selesai masalah, ini cara yang paling baik. Tapi oleh kerana orang bukan Islam tak menghormati Mahkamah Syariah, ini jadinya.
Orang bukan Islam perlu faham hukum Islam bahawa adalah satu kesalahan atau dosa kepada orang Islam untuk kebumikan orang bukan Islam ikut cara Islam dan satu kesalahan juga biarkan orang Islam dikebumi cara bukan Islam. Bukan kita hendak rebut semua orang meninggal dunia. Cuma bila ada keterangan prima facie yang si mati pernah peluk Islam melalui perakuan, maka Mahkamah Syariah perlu tentukan sama ada di saat kematiannya, si mati itu Islam atau tidak. Maka bantulah beri keterangan kepada Mahkamah Syariah. Kalau si mati ada pergi ke gereja atau kuil, beritahu mahkamah. Dan jika ini berlaku, mahkamah puas hati yang memang betul si mati tidak Islam, mahkamah akan benarkan keluarga bukan Islam tuntut si mati. Tapi ini tidak berlaku dalam banyak kes cuma segelintir kes sahaja seperti Nyonya Tahir.
Di Selangor, ada juga kes di mana jabatan agama berjumpa keluarga si mati memaklumkan yang si mati telah memeluk Islam melalaui perakuan sijil. Walaupun mayat telah dimasukkan dalam keranda, namun keluarga si mati benarkan untuk mayat itu diuruskan mengikut Islam. Namun mereka letakkan syarat supaya majlis pengkebumian dapat dibenarkan keluarga yang bukan Islam hadir. Jabatan agama tidak mempunyai masalah. Keluarga bukan Islam dibenarkan lihat dari awal proses sehinggalah ke liang lahad. Tidak timbul masalah, keluarga si mati itu berpuas hati bagaimana jenazah itu disempurnakan dengan penuh hormat.
Apa yang menjadi masalah jika keluarga tidak mahu memberikan kerjasama dengan pihak berkuasa Islam. Sepatutnya inilah yang perlu dilakukan oleh Majlis Peguam iaitu memberikan fahaman kepada bukan Islam. Tetapi malangnya mereka bertindak sebaliknya sehingga dilihat lebih gemar mencari keburukan Islam. Justeru Majlis Peguam seharusnya adil dalam memperkatakan soal Islam.
Provokasi terhadap kesabaran Melayu August 10, 2008
Posted by membelaislam in Uncategorized.Tags: Zainul Rijal, provokasi, forum memeluk Islam, Majlis Peguam
add a comment
Merujuk Isu – Forum Memeluk Islam Anjuran Bar Council
Dipetik dari blog Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) – Disiarkan dalam Utusan Malaysia 7 Ogos 08
KUALA LUMPUR 7 Ogos – Forum Memeluk Islam yang akan dianjurkan Majlis Peguam pada Sabtu ini disifatkan provokasi terhadap kesabaran masyarakat Melayu selain mengundang keresahan dan rasa tidak tenteram orang Islam.
Exco Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Pirdaus Ismail berkata, walau atas alasan apa sekali pun forum berkenaan diadakan kesabaran orang Islam tetap terusik.
”Tindakan Majlis Peguam merupakan pendekatan yang sama dengan usaha segelintir pihak yang suka mengganggu ketenteraman awam menerusi kenyataan sensitif, forum, penerbitan, laman web dan demonstrasi jalanan. ”Hal ini menunjukkan anasir luar sudah menyusup masuk untuk menggugat kestabilan dan keamanan negara,” kata beliau dalam kenyataannya, di sini hari ini.
Sementara itu, Presiden Persatuan Peguam Syariah Malaysia (PGSM), Zainul Rijal Abu Bakar berkata, tindakan Majlis Peguam seolah-olah mencemar kehormatan Perlembagaan Persekutuan negara.
”Saya tidak menghalang usaha untuk berdialog, namun dialog anjuran Majlis Peguam seolah-olah prejudis, berat sebelah dan ada agenda tersembunyi.
”Mereka hanya memperjuangkan hak bukan Islam bagaimana dengan hak orang Islam. Tidak semua orang bukan Islam teraniaya seperti didakwa Majlis Peguam apabila pasangannya memeluk Islam ada yang mendapat pembelaan yang sewajarnya,” katanya.
Tambah Zainul Rizal, mengenai perbezaan bidang kuasa Mahkamah Sivil dan Syariah, ia bukanlah satu kekurangan dalam perundangan Malaysia.
Mengenai hak ibu atau bapa bukan Islam yang membawa anak mereka memeluk Islam bersama-sama pula, beliau menjelaskan, Perlembagaan Persekutuan membenarkan salah seorang iaitu ibu atau bapa membawa anak kecil mereka mengikut agama mereka.
”Perlembagaan tidak menetapkan agama seseorang anak itu perlu ditentukan oleh kedua-duanya, tetapi salah seorang iaitu ibu atau bapa.
”Oleh itu, dalam kes Subashini yang menjadi rujukan Majlis Peguam, tindakan bekas suaminya yang memeluk Islam bersama salah seorang anaknya yang berusia empat tahun adalah sah mengikut undang-undang,” kata Zainul Rijal.
Demo bantah Majlis Peguam jam 8 pagi esok August 8, 2008
Posted by membelaislam in Uncategorized.Tags: Add new tag, Artikel 11, Artikel 121(1A) Perlembagaan Persekutuan, Azmi Hamid, bantahan, IFC, Mahkamah Syariah, Majlis Peguam
add a comment
dipetik dari harakahdaily – (http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=016275&Itemid=85)
KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Hrkh) – Pelbagai pihak mendesak penganjuran forum awam bertajuk ‘Memeluk Islam’ anjuran Majlis Peguam yang akan diadakan di Auditorium Majlis Peguam esok dihentikan.
Sehubungan itu, umat Islam yang pritahin untuk mempertahankan kesucian Islam diajak beramai-ramai membuat bantahan secara aman terhadap Majlis Peguam mulai jam 8 pagi esok.
Koordinator Majlis Bertindak Mempertahankan Akidah dan Syariah Islam, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pihaknya mengutuk dan membantah sekeras-kerasnya forum mengenai isu Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh soal memeluk Islam dan bidang kuasa Mahkamah Syariah itu.
Dalam kenyataan yang dipersetujui 18 Badan Bukan Kerajaan (NGO) itu, beliau yang juga Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras) menyatakan forum anjuran Jawatankuasa Undang-undang Keluarga Majlis Peguam itu menunjukkan Majlis Peguam cuba untuk memprovokasi masyarakat Islam.
Tegasnya, provokasi yang tidak perlu itu akan mencetuskan kemarahan masyarakat Islam kerana Majlis Peguam bukan pihak yang layak untuk membahaskan hal ehwal Islam.
“Kami mengingatkan agar Majlis Peguam jangan cuba bermain dengan api. Isu hal ehwal Islam adalah isu sangat sensitif kepada umat Islam.
“Tindakan ini jelas cuba menghidupkan semula usaha terdahulu yang dilakukan oleh beberapa kelompok dari Majlis Peguam bagi menubuhkan IFC dan kemudian diikuti pula oleh satu lagi usaha dari kumpulan yang menggelarkan dirinya sebagai Kumpulan Artikel 11,”katanya.
Tambahnya, usaha tersebut telah mendapat bantahan sebahgian besar masyarakat Islam dan dari pihak berkuasa sendiri.
Katanya, edaran surat jemputan mengenai pengenalan kepada forum tersebut jelas menunjukkan tujuan Majlis Peguam menganjurkan program tersebut adalah untuk mempersoalkan dan mencabar bidangkuasa Mahkamah Syariah yang termaktub dalam Artikel 121 (1A), yang mana Kes Subashini dan Shamala dijadikan asas untuk perbahasan ini diadakan.
“Kami menegaskan bahawa Majlis Peguam tidak ada hak untuk memandai-mandai dan cuba membahaskan hal yang berkaitan dengan undang-undang Islam secara terbuka.
“Kami mendesak supaya forum ini dihentikan oleh pihak berkuasa kerana ia boleh membawa kepada kemarahan masyarakat Islam yang tidak mahu undang-undang Islam dicabar oleh mana-mana pihak,”katanya yang mempersoalkan kenapa Majlis Peguam mahu mencampuri urusan yang bukan bidang kuasanya?
Mohamad Azmi menegaskan sebagai sebuah badan statutori sepatutnya menumpukan perhatian kepada memperkemaskan profesionalisme para peguam yang masih tidak diuruskan dengan sempurna.
Katanya, sebarang perbahasan yang berkaitan dengan urusan Islam hendaklah diutarakan kepada saluran khas.
Sehubungan itu katanya, Majlis Bertindak Mempertahankan Akidah dan Syariah Islam mencadangkan pihak kerajaan menubuhkan saluran khas ini supaya sebarang pandangan yang berkaitan dengan hal ehwal Islam didengari oleh mereka yang pakar dalam ilmu agama Islam .
Saluran khas tersebut katanya bertujuan untuk mengelakkan urusan Islam dibahaskan secara terbuka dan menimbulkan kekeliruan yang tidak perlu dikalangan masyarakat.
Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Dr Roslan Mohd Nor juga berpandangan sebarang perbahasan mengenai hukum-hukum Islam, perundangan, sistem dan hak-hak orang-orang Islam yang terkandung dalam perlembagaan tanpa merujuk kepada pihak yang berautoriti akan mengakibatkan kekeliruan dan salah faham terhadap Islam.
“Tindakan berkenaan adalah suatu usaha yang terancang yang disusun oleh pihak tertentu untuk secara berterusan mempertikaikan hak-hak yang terkandung dalam perlembagaan terhadap Islam.
“Kami memberi amaran kepada Majlis Peguam agar menghentikan segera penganjuran forum berkenaan atau menghadapi tindakan penentangan serius umat Islam di negara ini,” katanya.
Sementara itu Pengerusi Badan Bertindak Anti Murtad (FORKAD), Ustaz Riduan Mohamad Nor turut sama menggesa umat Islam menghentikan keangkuhan golongan anti Islam di sebalik program Majlis Peguam.
Katanya, hak agama Islam yang harus diutamakan dan kontrak sosial tidak seharusnya dipertikaikan mana-mana pihak.
“Justeru kami mahu perbincangan terbuka persoalan yang sensitif ini dihentikan segera.
“Majlis Peguam angkuh kerana enggan mendengar nasihat Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi yang meminta forum tersebut dihentikan,” tegasnya. – mr _
Umat Islam Jangan Terpengaruh Dengan Ajaran Sesat August 8, 2008
Posted by membelaislam in Uncategorized.Tags: ajaran sesat, Enakmen Jenayah Syariah
3 comments
Oleh: Nurhidayah Muhd Hashim
dipetik dari: http://peguamsyarie.blogspot.com/2008/08/ajaran-sesat.html
Ajaran sesat yang berlawanan dengan pegangan agama yang diiktiraf sering kali mengganggu ketenteraman dan keharmonian hidup setempat. Walaupun sesuatu ajaran itu bersifat pelik dan menyeleweng dari apa yang biasa kita pelajari, tetapi masih ada segelintir umat Islam yang terpengaruh dan menjadi sebahagian dari pengikut ajaran-ajaran sebegini. Antara ajaran yang telah difatwakan sesat dalam negeri Selangor adalah ajaran Qadiani, fahaman Syiah, ajaran haji Banuar Roslan, ajaran tarikat Samaniah Ibarahim Bonjol, a-Arqam, ajaran Martabat Tujuh, ajaran zikir Hasan anak Rimau dan sebagainya.
Terdapat juga di kalangan pengikut ajaran sebegini tidak tahu bahawa apa yang dipegang dan dipertahankan itu adalah sesat dan menyimpang dari ajaran Islam. Justeru itu ilmu tentang asas agama sangat perlu kita pelajari supaya dengan akal dan iman yang waras, kita dapat mengenali bahawa sesuatu perkara baru yang diberitahu kepada kita adalah sesat ataupun sebaliknya.
Apakah yang dikatakan sesuatu ajaran itu sesat dan menyeleweng? Sesuatu ajaran sesat sebenarnya merujuk kepada ajaran atau amalan yang didakwa sebagai ajaran Islam sedangkan ia bercanggah dengan isi kandungan al-Quran dan al-Sunah.
Ajaran sesat ini sebenarnya mempunyai beberapa ciri yang perlu kita fahami agar kita dapat menyelamatkan diri. Antaranya ciri ajaran sesat adalah:
-Mencemarkan kesucian al-Quran dan hadis seperti memansuhkan, mengubah, mempertikai atau membuat satu tafsiran menyeleweng terhadap al-Quran dan hadis. Contohnya mengatakan bahawa ayat al-Quran mengenai sembahyang tidak ada dan telah dimansuhkan. Atau mengatakan bahawa Nabi Muhamad adalah bukan seorang yang terpuji, bukan Nabi terakhir dan ada lagi Nabi selepas Nabi Muhammad.
-Mengubah prinsip asas dalam akidah Islam seperti ajaran yang menggabungkan Islam dengan agama lain sehingga menjadi satu ajaran yang sangat pelik dan terasing. Atau mengatakan semua agama tidak berbeza dan sama taraf serta datang dari Tuhan yang sama.
-Memuja dan mendewakan ketua ajaran sehingga ke tahap mengatakan ketuanya suci dari dosa, menjadi Nabi, menjadi jelmaan Tuhan di dunia ini dan boleh mencipta dan membuat mukjizat seperti Nabi terdahulu. Apabila sampai ke tahap memuja, pengikut akan berusaha melakukan segala perkara untuk ketuanya sehingga kepada memberikan keseluruhan harta, mencium kaki, meminum air basuhan kaki pemimpin, meminta syafaat dari pemimpin serta pelbagai perkara yang tidak ada dalam ajaran Nabi Muhammad.
-Menolak perkara yang mutlak (qat’ie) dalam Islam. Contohnya mengatakan berkahwin secara batin tanpa saksi adalah sah, ketua ajaran dan pengikutnya boleh berkahwin dengan seberapa ramai yang dikehendaki. Ketua dan ahlinya sudah bebas dari hukum-hakam agama dan tidak perlu mengerjakan sembahyang, puasa dan sebagainya. Atau pun mengajarkan bahawa solat tidak perlu mengerjakan dengan perbuatan, sebaliknya memadai dilakukan dengan niat sahaja.
-Mengubah konsep pahala dan dosa seperti memberi kuasa pengampunan dosa kepada ketua ajaran. Ketua boleh memberi pahala dan menjamin pengikutnya masuk ke syurga atau pun semua yang mengikutnya tidak akan dihisab amalannya di akhirat kelak.
-Mendakwa boleh melakukan sesuatu yang pelik yang bersangkutan dengan perkara ghaib. Contohnya ketua ajaran mengatakan dia boleh bercakap dengan Tuhan, boleh memanggil roh simati termasuklah boleh berinteraksi dengan Nabi, Malaikat atau pun mengatakan syaitan tidak berani menggodanya kerana maqamnya terlalu tinggi dan sebagainya.
-Mendewakan sesuatu yang lain selain Allah atau mensyirikkan Allah dengan sesuatu sembahan yang lain. Ini termasuklah meminta bantuan bukan daripada Allah tetapi menyeru nama-nama jin, makhluk halus dan sebagainya.
-Menolak hadis Nabi serta membenci semua yang diriwayatkan dari Nabi Muhammad.
Apabila sesuatu ajaran bertentangan dengan prinsip asas dalam Islam, maka setiap kita yang beriman perlu menjauhinya dan berusaha menyelamatkan orang yang dikenali dari terpengaruh dengan ajaran sebegini.
Terdapat beberapa peruntukan dalam Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 berkenaan kesalahan ajaran sesat. Contohnya Seksyen 4 (1) memperuntukkan kesalahan melibatkan memuja alam semula jadi atau melakukan apa-apa perbuatan yang menunjukkan pemujaan atau rasa hormat kepada mana-mana orang, binatang, tempat atau benda dengan apa-apa cara menyalahi Hukum Syarak.
Seksyen 7 Enakmen yang sama pula memperuntukkan mengenai mana-mana orang mengajar atau menjelaskan apa-apa doktrin atau melaksanakan apa-apa upacara bertentangan dengan Hukum Syarak dan fatwa yang berkuat kuasa sama ada di tempat sendiri atau di tempat umum boleh disabitkan denda tidak lebih RM5000 atau dipenjara tidak lebih 3 tahun atau disebat tidak lebih 6 kali sebatan.
Apakah yang boleh kita lakukan jika kita mendapat tahu ada ajaran sesat yang berlaku dalam kawasan kita? Kita perlu membuat aduan kepada Pegawai Penguat kuasa Agama (PKA) di tempat kita berada memaklumkan terdapat satu ajaran yang disyaki bertentangan dengan Islam. Selepas aduan dibuat, pihak PKA akan mengadakan siasatan ke atas aduan tersebut.
Seksyen 54 dalam Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Selangor) 2003 memperuntukkan cara-cara seseorang awam boleh membuat aduan. Pengadu perlu memberi aduan bertulis dengan mengisi borang tertentu, mencatat dengan terperinci apa dan di mana perkara disyaki tersebut berlaku. Borang tersebut perlu ditandatangani dan maklumat tentang diri pengadu juga perlu disertakan. Ini bertujuan menjaga pertanggungjawaban pengadu terhadap aduan yang dibuat. Jika aduan diberi secara lisan, ia juga perlu dipindahkan kepada bentuk bertulis.
Walaupun pada dasarnya PKA akan bertindak apabila ada aduan, tetapi dalam keadaan tertentu berdasarkan Seksyen 57 Enakmen yang sama, PKA boleh juga terus bertindak dan menangkap walaupun tanpa aduan dari orang awam jika terdapat sebab untuk mensyaki perlakuan sesuatu kesalahan boleh tangkap berlaku. Contohnya kes yang sudah dihebohkan dalam media, PKA boleh terus bertindak melakukan siasatan kerana jika menunggu laporan dari orang awam terlebih dahulu, mungkin masa sudah menjadi terlalu lambat dan pihak bersalah juga mungkin berjaya melarikan diri. Ini perlu diperhalusi antara kes melibatkan kesalahan boleh tangkap, kes umum dan kes yang dikecualikan.
Demi untuk menyelamatkan masyarakat kita dari terjerumus dalam ajaran sesat yang dibawa oleh mana-mana pihak, kita mengharapkan supaya:
1- Semua orang Islam perlu berusaha mencari ilmu melibatkan ajaran Islam dari pihak-pihak yang diketahui berilmu atau dari badan-badan yang diiktiraf agar tidak terpengaruh dengan ajaran pelik yang terasing.
2- Kita juga perlu memantapkan kefahaman tentang perkara asas dalam Islam sehingga berjaya membezakan antara ajaran yang tepat dengan ajaran yang menyeleweng.
3- Membuat aduan kepada pihak bertanggungjawab atau PKA di tempat kita berkenaan apa-apa ajaran yang disyaki menyeleweng.
4- Memohon pihak Kerajaan menambah bilangan PKA yang profesional dan mahir dalam kaedah siasatan dan tangkapan di setiap negeri dan kawasan agar mampu menangani permasalahan dan kesalahan berbentuk agama yang bertambah.
5- Memohon setiap ajaran yang dikenal pasti sesat dan menyeleweng disegerakan fatwanya oleh pihak berwajib dan diwar-warkan kepada orang awam dengan seberapa segera.
Penulis ialah Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sebarang komentar boleh dihantar ke excopgsm@yahoo.com. Sila layari http://peguamsyarie.blogspot.com
Batalkan forum Memeluk Islam August 7, 2008
Posted by membelaislam in Uncategorized.1 comment so far
KUALA LUMPUR 6 Ogos – Pelbagai pihak mendesak Majlis Peguam supaya membatalkan penganjuran forum awam bertajuk Memeluk Islam kerana ia dikhuatiri menggugat keharmonian rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini.
Badan profesional guaman itu turut dibidas kerana memberi perhatian yang keterlaluan sejak kebelakangan ini kepada isu-isu sensitif yang boleh mengundang syak wasangka.
Presiden Persatuan Peguam Muslim, Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata, jika isu berkaitan agama Islam mahu dibincangkan, ia perlu dibuat antara Majlis Peguam dengan pihak berwajib, bukannya melalui forum awam.
Katanya, perbincangan isu sensitif melalui forum awam itu pada Sabtu ini boleh menyebabkan ada pihak yang berasa marah dan tidak berpuas hati.
“Negara kita mempunyai Akta Hasutan, jika berlaku kemarahan kaum dan penganut agama Islam, Majlis Peguam perlu bertanggungjawab.
“Kita tidak mahu Majlis Peguam dianggap oleh banyak pihak sebagai badan yang menghasut. Ahli-ahlinya merupakan golongan profesional… jika ada masalah bawalah berbincang kerana kerajaan hari ini cukup terbuka,” kata Abu Zahar ketika dihubungi di sini.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan amaran Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar terhadap Majlis Peguam supaya tidak ‘bermain api’ dengan menganjurkan forum awam bertajuk Memeluk Islam pada Sabtu ini.
Forum itu dijangka menyentuh peruntukan Perlembagaan Persekutuan mengenai Islam yang menetapkan Mahkamah Tinggi tidak boleh membuat sebarang keputusan melibatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah dan umat Islam di negara ini.
Forum itu juga akan membincangkan keperluan untuk mengkaji semula beberapa kes berkaitan pertukaran agama di negara ini.
Abu Zahar berkata, beliau selaku ahli Majlis Peguam turut dukacita dengan tindak tanduk kepimpinan badan itu yang memberi lebih perhatian kepada isu-isu sensitif berbanding kebajikan para peguam di negara ini.
Sementara itu, Ketua Umum Barisan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM), Osman Abu Bakar berkata, Majlis Peguam perlu membatalkan forum tersebut kerana ia akan mengusutkan keadaan.
Kerajaan juga, katanya, perlu bertindak tegas bagi menghalang penganjuran forum awam seumpama itu pada masa depan.
“Apa tujuan penubuhan Majlis Peguam? Adakah untuk bercakap hal-hal agama? Dalam hal berkaitan agama, biarlah kumpulan agama yang bercakap.
“BBPM akan bangkit bertindak sekiranya kedudukan perkara-perkara yang terkandung dalam piagam penubuhan BBPM seperti agama Islam, bahasa, budaya dan raja-raja Melayu disentuh oleh mana-mana pihak,” tegasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Satu Gabungan Penulis Nasional, Profesor Madya Datuk Zainal Abidin Borhan berkata, forum awam Majlis Peguam itu seolah-olah suatu usaha secara halus kepimpinan badan guaman itu untuk mempersoalkan kedudukan agama Islam.
Beliau berkata, tindakan itu perlu dibalas melalui hujah-hujah yang kukuh bagi memberi kefahaman terhadap pihak yang cuba membuat pertikaian.
“Ia perlu ditangani secara rasional dan menuntut tahap kematangan yang tinggi,” katanya.
Usaha Mengarakkan dewa Murugan ke kawasan Masjid India August 1, 2008
Posted by membelaislam in Uncategorized.Tags: Hindu, Islam, Masjid India, Murugan, Thaipusam
1 comment so far
Satu demi satu umat kita diasak. Satu asakan terbaru yang diusahakan oleh pihak agama Hindu ialah untuk mengubah perarakan patung dewa Murugan mereka untuk sambutan hari Thaipusam tahun hadapan, supaya dapat memasuki kawasan sesak di dalam bandar yang majoritinya di situ adalah umat Islam.
Satu permohonan telah dibuat dengan sokongan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan untuk mengusulkan agar patung dewa mereka ini dapat melalui kawasan kependudukan padat Muslim seperti Masjid India. Usaha seperti ini MESTI dibantah oleh umat Islam.
Beberapa persatuan peniaga dan persatuan penduduk di kawasan tersebut dikatakan telah menyuarakan bantahan mereka. Namun suara mereka yang kecil ini belum dapat didengari oleh pihak atasan. Mereka amat memerlukan sokongan kita untuk menyatakan bantahan agar permohonan untuk membenarkan laluan baru untuk perarakan patung Murugan yang hanya sekitar beberapa bulan lagi.
Bukan sahaja ianya sengaja dilakukan untuk “provoke” umat Islam di bandaraya Kuala Lumpur tetapi juga bakal menyusahkan peniaga serta penduduk sekitar dengan penutupan jalan dan kesesakan yang bakal berlaku di kawasan yang sedia sempit.
Sayugia NGO-NGO Islam bergabung menyatakan bantahan permohonan ini. Segerakanlah bantahan samada secara berpersatuan mahupun sevcara individu.
