jump to navigation

Peguam Syarie kesal – 4 negeri belum gubal undang-undang kawal pengembangan agama lain September 29, 2008

Posted by membelaislam in Uncategorized.
Tags: , , , , , , ,
add a comment

KUALA LUMPUR 28 Sept. – Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) kesal kerana sehingga kini empat negeri yang telah diarahkan menggubal undang-undang bagi mengawal atau menyekat pengembangan iktikad atau kepercayaan agama lain di kalangan orang Islam masih belum berbuat demikian.

Presiden PGSM, Zainul Rijal Abu Bakar berkata, isu tersebut sudah berlarutan lebih dua tahun sejak Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengarahkan negeri berkenaan iaitu Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan segera berbuat demikian.

‘‘Apa yang saya nampak macam tidak ada apa-apa pergerakan termasuk di Wilayah Persekutuan sendiri kecuali beberapa kenyataan daripada pemimpin negeri-negeri berkenaan yang menyatakan persetujuan mereka.

‘‘Tiada penjelasan diberikan mengapa banyak masa diambil untuk menggubal undang-undang tersebut. Saya pun tidak tahu kajian apa lagi yang hendak dibuat,’’ katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Pada Ogos 2006, Perdana Menteri mengarahkan empat kerajaan negeri mengambil tindakan yang sesuai untuk menggubal undang-undang bagi mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan agama lain di kalangan orang Islam.

Pada masa ini semua negeri beraja – Perlis, Johor, Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Selangor dan Terengganu serta Melaka sudah menjalankan kuasa itu melalui enakmen negeri masing-masing.

Kelantan adalah negeri paling awal berbuat demikian pada tahun 1981 dan paling akhir ialah Johor pada tahun 1991.

Berdasarkan laporan akhbar, pelaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang itu dikatakan amat mengecewakan kerana hampir tiada rekod menunjukkan undang-undang berkenaan pernah dilaksanakan.

Antara kesalahan yang disebut pada undang-undang ini ialah memujuk, mempengaruhi, memaksa atau menghasut seorang Islam untuk menjadi seorang pengikut atau anggota suatu agama bukan Islam.

Turut dianggap sebagai kesalahan ialah mendedahkan seorang yang beragama Islam di bawah umur lapan belas tahun kepada pengaruh-pengaruh suatu agama bukan Islam dan menghantar atau menyerahkan terbitan-terbitan mengenai apa-apa agama bukan Islam kepada seorang yang beragama Islam.

Sementara itu, Zainul menegaskan apa yang lebih penting pada enakmen itu ialah untuk menjadikannya lebih berkesan daripada sudut penguatkuasaan.

Kata beliau, kekurangan itu dapat dilihat bagaimana setakat ini bukan sahaja masyarakat umum kurang mengetahuinya tetapi di kalangan penguat kuasa sendiri juga tidak begitu arif mengenainya.

“Penguat kuasa enakmen ini bukan penguat kuasa agama tetapi pihak polis kerana ia melibatkan pengawalan terhadap mereka yang bukan beragama Islam,’’ jelasnya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya pihak berkuasa menubuhkan sebuah unit khas dengan menempatkan pegawai dan anggota yang khusus bagi menguatkuasa enakmen itu.

Katanya, melihat kepada perkembangan kebelakangan ini apabila banyak isu yang menyentuh sensitiviti umat Islam berlaku, tentunya penguatkuasaan undang-undang itu menjadi semakin mustahak.

“Namun perlu ditegaskan bukan tujuan kita untuk meminta ada sesiapa yang ditangkap di bawah enakmen ini. Cuma kita mahu enakmen ini mampu menimbulkan kegerunan yang secara langsung menjadi satu bentuk pencegahan.

“Harus diingat enakmen ini mempunyai asas rapat dengan Perlembagaan Persekutuan melalui Perkara 11 (4) yang membenarkan undang-undang digubal bagi mengawal dan menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan agama lain di kalangan orang Islam,’’ jelasnya.

Pada perkembangan yang sama, Zainul Rijal menyarankan negeri lain supaya mencontohi Kelantan yang telah meningkatkan hukuman dalam enakmen tersebut.

Katanya, dengan pindaan yang dibuat pada tahun lalu, membolehkan Kelantan mengenakan hukuman denda tertinggi dan penjara paling lama antara negeri-negeri di Malaysia.

Sementara itu, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim ketika diminta mengulas perkara tersebut berkata, kerajaan Persekutuan tidak boleh campur tangan dalam urusan kerajaan negeri berhubung perkara tersebut.

“Kita tiada kuasa untuk memaksa pihak berkaitan menggubal undang-undang itu kerana kuasa terletak di bawah kerajaan negeri terutama bagi negeri yang beraja.

“Apa yang boleh kita buat adalah kita meminta pihak berkaitan supaya mengambil perhatian perkara ini dengan segera kerana dalam keadaan hari ini, enakmen tersebut perlu diberikan perhatian,” jelasnya.

Beliau menambah, langkah itu perlu demi kepentingan dan masa depan umat Islam negara ini.

Pendakwaan terhadap Abdul Kahar sah September 27, 2008

Posted by membelaislam in Uncategorized.
Tags: , , , , , , ,
1 comment so far

PUTRAJAYA 26 Sept. – Mahkamah Persekutuan hari ini mengisytiharkan Enakmen Jenayah Syariah Selangor dan Terengganu sah dari segi Perlembagaan untuk menuduh seorang lelaki, Abdul Kahar Ahmad, 57, atas tuduhan mendakwa dirinya nabi serta tiga lagi yang dikatakan pengikut ajaran sesat.

Keputusan bersejarah itu dibuat oleh panel tiga hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad yang bersidang bersama Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zaki Azmi dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin.

Keputusan ini amat penting kerana mereka mencabar beberapa peruntukan dalam enakmen berkenaan yang dihujahkan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan kesannya segala pendakwaan yang dibuat terhadap kes-kes ajaran sesat yang berkaitan, dengan sendirinya tidak sah dan terbatal.

Permohonan Abdul Kahar menyempitkan skop ajaran Islam bertujuan menghadkan kuasa Dewan Undangan Negeri menggubal undang-undang bagi kesalahan yang melanggar ajaran Islam atau perintah agama.

Bagaimanapun, penghakiman sebulat suara itu antara lain berpuas hati bahawa kesalahan melibatkan akidah yang dilakukan oleh keempat-empat mereka bertentangan dengan hukum syarak dan melanggar ajaran Islam serta harus dibendung bagi memelihara kesucian agama.

Penghakiman ‘perpisahan’ Hakim Abdul Hamid sebelum bersara wajib pada 17 Oktober ini dibacakan oleh Timbalan Pendaftar, Norhayati Mat.

Selain Abdul Kahar, tiga yang lain ialah Mazli Mansor, 49, (sudah meninggal dunia) dan Mat Razali Kasan, 43, didakwa pengikut ajaran Kahar bin Ahmad (Abdul Kahar) manakala Sulaiman Takrib, 59, didakwa anak murid Ayah Pin.

Peguam Malik Imtiaz Sarwar mewakili pemohon-pemohon manakala Peguam-Peguam Kanan Persekutuan terdiri daripada Datin Paduka Zauyah Be Loth Khan mewakili Kerajaan Selangor, Noorbahri Baharuddin (Kerajaan Terengganu) dan Datuk Kamaludin Md. Said sebagai pencelah bagi Kerajaan Malaysia.

Abdul Kahar dan tiga yang lain memohon perisytiharan mahkamah bahawa beberapa peruntukan tertentu dalam enakmen jenayah syariah negeri yang digunakan untuk mendakwa mereka, bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Bagi Abdul Kahar, peruntukan itu melibatkan Seksyen 7, 8(a), 10(b), 12 dan 13 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 dan Seksyen 49, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

Abdul Kahar yang menetap di Kampung Kemensah, Ampang, dituduh di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada 17 Ogos 2005 kerana mengisytiharkan dirinya nabi Melayu, menyebarkan ajaran sesat, menghina dan melanggar ajaran agama Islam serta menentang fatwa dan Mufti.

Hakim Abdul Hamid dalam penghakiman setebal 40 muka surat berpendapat, Dewan Undangan Negeri tidak memberi kuasa kepada Jawatankuasa Fatwa menggubal undang-undang jenayah syariah kerana fungsinya hanya menyediakan fatwa berkaitan isu kontrovesi yang belum selesai melibatkan hukum syarak.

Oleh itu, ujar Hakim Abdul Hamid, bukan Jawatankuasa Fatwa yang mengisytiharkan mana-mana fatwa harus dipatuhi dan dikuatkuasakan, sebaliknya ia merupakan bidang kuasa Dewan Undangan Negeri.

Menurut beliau, mahkamah telah menilai makna perkataan ‘melanggar hukum syarak’ yang dipertikaikan oleh peguam bela selepas meneliti terjemahan Istilah Undang-Undang, Kamus Inggeris-Melayu Dewan, Siri Glosari Undang-Undang dan Kamus Inggeris Oxford.

Selain itu kata Ketua Hakim Negara, mahkamah turut mendengar pandangan tiga pakar iaitu Tan Sri Sheikh Ghazali Abdul Rahman, Profesor Dr. Kamal Hassan dan Profesor Muhammad Hashim Kamali.

Pengumuman: Keputusan Kes Kahar & Sulaiman Takrib September 22, 2008

Posted by membelaislam in Uncategorized.
Tags: , , , , ,
1 comment so far

Pengumuman Kes Ajaran Sesat

Keputusan Kes Kahar Ahmad dan Sulaiman Takrib

Kes Kahar Ahmad yang mengaku menjadi Rasul Melayu dan kes Sulaiman Takrib, pengikut Ayah Pin akan diputuskan pada hari Jumaat ini 26 September 08 jam 9 pagi di Mahkamah Persekutuan Putrajaya. Dalam kes tersebut, mereka menggunakan hujah bahawa Undang-undang Jenayah Syariah hanya boleh digubal terhadap kesalahan Rukun Islam sahaja. Mereka juga mempertikaikan kuasa Mufti membuat fatwa dan orang Islam berhak memilih apa sahaja pandangan untuk diikuti walaupun bertentangan dengan prinsip Islam.

PGSM menyeru supaya semua orang Islam yang prihatin supaya dapat ramai-ramai hadir ke Mahkamah bagi menzahirkan sokongan terhadap Islam. Jangan biarkan mereka menggunakan Mahkamah untuk menghina dan menindas Islam.

Yang benar

Presiden

Persatuan Peguam Syariah Malaysia (PGSM)