jump to navigation

Mahkamah sivil, syariah tidak harus bersaing November 30, 2009

Posted by membelaislam in Artikel 121(1A) Perlembagaan Persekutuan, Constitution, Rights of Muslims.
Tags: , , , , , , , ,
add a comment

Oleh Zainul Rijal Abu Bakar

dari Berita Harian 30 November 2009

Pemahaman garis panduan dalam Perlembagaan Persekutuan perlu bagi elak pertembungan

BANYAK isu perundangan Islam dipaparkan dalam media sejak kebelakangan ini dan ia bagaikan tiada kesudahan. Pelbagai pihak tidak mahu ketinggalan untuk membincang dan membahaskannya meskipun sesetengahnya tidak terdidik dalam bidang berkaitan. Kerana terlalu teruja dan berhujah berasaskan akal fikiran semata-mata, maka mereka mengetepikan hukum syarak yang digariskan Allah dan Rasulnya.

Terbaru, Presiden Majlis Peguam, Ragunath Kesavan membantah cadangan yang membolehkan perkahwinan sivil seorang mualaf dibubarkan secara automatik selepas tiga bulan disahkan sebagai Islam. Beliau juga mahu mengenakan larangan kepada mualaf mendaftarkan penukaran agama anak yang berusia 18 tahun.

Menurutnya, agama seorang anak patut kekal seperti waktu ibu dan bapa mereka melangsungkan perkahwinan sehingga anak terbabit membuat keputusan memilih sendiri agama yang mahu dianuti apabila mencecah usia 18 tahun.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Mohd Isa Abd Ralip pula dengan tegas menyatakan, apabila seseorang itu memeluk Islam dengan kerelaannya sendiri, dia hendaklah ditadbir undang-undang Islam. Sudah tiada pilihan lagi dan tiada juga pilihan bagi orang Islam memilih undang-undang mana ingin dikawal.

Memang jelas kedua-dua pandangan di atas, bertentangan antara satu sama lain. Senario ini bukan baru berlaku, malah sudah kerap kali terjadi sehinggakan Majlis Peguam sendiri dilihat sebagai suatu badan yang bersifat anti-Islam oleh umat Islam arus perdana.

Sama ada perspektif ini betul atau sebaliknya, hanya Majlis Peguam dapat menjelaskannya dengan terperinci tetapi itulah lakaran yang digambarkan oleh Majlis Peguam kepada umat Islam. Sebagai seorang peguam bela dan peguam cara, dan juga peguam syarie, saya dapat mengkaji kedua-dua aspek undang-undang ini.

Sering kali saya menegaskan mahkamah sivil dan mahkamah syariah tidak harus bersaing antara satu sama lain, sebaliknya hendaklah saling lengkap melengkapi dalam segala aspek.

Oleh itu, segala undang-undang yang hendak digubal wajar mengambil kira untuk mengelakkan pertembungan ini. Suatu garis jelas yang tidak meminggirkan Perlembagaan Persekutuan patut digarap dan piawaian yang tinggi berdasarkan Perlembagaan Persekutuan itu, hendaklah mantap.

Amat jelas Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Islam adalah agama persekutuan seperti yang termaktub dalam Perkara 3. Malah agama bagi negeri-negeri di Malaysia mengikut perlembagaan negeri-negeri juga adalah Islam.

Islam dalam konteks perlembagaan ini mestilah diberi tafsirannya yang sebenar, bukan tafsiran Islam seperti difahami orang jahil. Sudah menjadi asas kaedah penafsiran perlembagaan memberikan makna sebenar sesuatu perkataan di dalam perlembagaan itu. Dalam hal yang demikian, bermakna Islam itu secara harfiah atau literal sebagai penyerahan diri kepada Allah dan suatu cara hidup yang sempurna.

Lantas, mengambil Islam dalam aspek yang tertentu saja, tidak tepat dan bertentangan dengan perlembagaan itu sendiri. Apatah lagi sekiranya kita mengambil suatu kedudukan yang bertentangan dengan agama Islam, sudah tentulah ia juga pincang daripada sudut perlembagaan. Pemakaian Islam tidak harus dihadkan kepada perkara tertentu kerana ia mencakupi perkara yang lebih luas lagi.

Seperti yang sering diperkatakan, tiada seorang pun mualaf yang dipaksa memeluk Islam. Mereka memeluk Islam atas kerelaan sendiri walaupun tujuan yang pelbagai. Malah Islam sendiri tidak mengiktiraf keIslaman seseorang yang dipaksa memeluk Islam.

Oleh itu, tatkala mualaf terbabit memeluk Islam, Perlembagaan Persekutuan itu sendiri menjamin haknya untuk mengamalkan agama barunya itu. Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan menjamin setiap orang menganut dan mengamalkan agamanya. Sekiranya mualaf ini masih lagi dipaksa, dikawal oleh undang-undang yang bertentangan dengan agama barunya itu, Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan akan hanya menjadi retorik dan tidak mampu dipertahankan. Begitu juga kedudukan pengIslaman kanak-kanak dan remaja bawah umur 18 tahun oleh salah seorang ibu atau bapa atau penjaganya yang mualaf. Perkara ini juga jelas di dalam Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan.

Malah Perkara 12(4) itu sendiri ditafsirkan Mahkamah Persekutuan di dalam kes ‘Subahsini vs Saravan @ Mohd Shafi’ beberapa tahun lalu. Dalam kes ini, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa Perkara 12(4) itu hanya memerlukan salah seorang ibu, bapa atau penjaga yang sah saja mendaftar keislaman anak kecil di bawah 18 tahun.

Ia tidak memerlukan ibu, bapa atau anak berkenaan kekal di dalam agama asalnya. Sekiranya kedudukan ini hendak diubah, maka Perlembagaan Persekutuan itu perlu dipinda dan bukan dengan mengadakan undang-undang baru yang bertentangan dengan perlembagaan dan tafsiran Mahkamah Persekutuan.

Kemelut ini tidak dapat dinoktahkan sekiranya skima perlembagaan tidak jadi penanda aras bagi menyelesaikannya. Kedua belah pihak perlu akur dengan kedudukan istimewa Islam di dalam perlembagaan.

Walaupun Islam diletakkan di tempat istimewa, agama lain masih boleh diamalkan dengan aman dan damai. Malah tidak ada seorangpun boleh dipaksa menukar agama mereka kepada Islam menurut undang-undang. Undang-undang Islam juga melarang orang bukan Islam dipaksa memeluk Islam kerana tiada paksaan di dalam beragama. Saranan Majlis Peguam supaya mereka dipanggil untuk berbincang jalan penyelesaian polemik ini adalah baik kerana Majlis Peguam adalah badan bertanggungjawab menegakkan undang-undang.

Bagaimanapun sekiranya Majlis Peguam berhasrat mencampuri urusan dalaman agama Islam atau hal-ehwal antara agama Islam itu sendiri, sudah tentu umat Islam tidak akan duduk diam kerana kegusaran terhadap tindakan Majlis Peguam sebelum ini memang mempunyai asas kukuh. Sebagai sebuah badan perundangan, Majlis Peguam perlu bersikap adil dan tidak dilihat menyebelahi mana-mana pihak.

Persenda Islam boleh jejas keharmonian November 9, 2009

Posted by membelaislam in Uncategorized.
add a comment

Dipetik dari Berita Harian

Oleh Zainul Rejal Abu Bakar

Laungan azan oleh pelajar di gereja timbulkan keraguan masyarakat pelbagai kaum

TINDAKAN sekumpulan pelajar sekolah menengah di Betong, Sarawak baru-baru ini merakamkan perbuatan mereka meniru cara umat Islam bersolat jemaah termasuk melaungkan azan dalam sebuah gereja, boleh menimbulkan kekeliruan dan masalah di kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Sebagai rakyat yang mentaati undang-undang, seseorang itu hendaklah menghormati sentimen dan agama orang lain. Timbul soal apakah sekolah yang menjadi pusat pendidikan pelajar berkenaan gagal menyemai sikap toleransi dan saling hormat antara satu sama lain atau adakah ibu bapa pelajar tidak mendidik anak mereka ke arah itu?

 

Akibat tindakan itu, umat Islam diseru bertenang dan tidak mengambil sebarang tindakan di luar undang-undang. Sebenarnya memang kebiasaannya umat Islam bertenang di dalam perkara begini. Namun hakikatnya umat Islam menagih supaya tindakan yang adil diambil terhadap orang yang mencabuli kesucian agama Islam.

Siasatan yang dilakukan Jabatan Agama Islam Sarawak (Jais) mungkin tidak dapat mencapai matlamatnya kerana pelaku kesalahan itu, orang bukan Islam. Jais hanya boleh menyiasat terhadap orang Islam dan mendakwa mereka di Mahkamah Syariah yang hanya ada dalam bidang kuasa kes jenayah terhadap orang yang menganut Islam.

Dalam hal ini, siasatan Jais hanya menjadi persoalan akademik dan tinggal sebagai siasatan saja. Sebenarnya pihak polis yang perlu mengadakan siasatan dan menyiasat kes berkenaan. Sekiranya benar, ada kesalahan dilakukan, maka mereka boleh didakwa mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang tidak mengasingkan orang Islam dan orang bukan Islam.

Kesalahan yang dilakukan itu adalah amat serius dan mengguris hati umat Islam. Selama ini umat Islam amat berhati-hati dan tidak mendokong sebarang usaha menghina agama selain Islam. Malah, dalam banyak keadaan, umat Islam sendiri menyokong mana-mana orang Islam yang menghina agama bukan Islam agar disiasat dan dipertanggungjawabkan atas kesalahan mereka.

Pihak berkuasa juga didapati amat cekap apabila kesalahan berkenaan dilakukan orang Islam tetapi sebaliknya terlalu banyak birokrasi jika dilakukan orang bukan Islam. Ini terbukti misalnya di dalam kes perarakan kepala lembu baru-baru ini, bukanlah saya menyokong perarakan itu tetapi hanya menzahirkan contoh perbezaan darjah tindakan yang diambil pihak berkuasa.

Oleh yang demikian, saya menyarankan agar pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya dengan kadar segera di dalam kes menghina agama Islam itu.

Perkara sebegini amat tidak wajar berlaku di mana-mana bahagian negara ini. Yang lebih menyedihkan ialah Sarawak adalah salah satu daripada empat negeri di Malaysia yang masih belum meluluskan undang-undang kawalan penyebaran agama bukan Islam di kalangan orang Islam. Negeri lain yang masih belum meluluskan undang-undang itu ialah Pulau Pinang, Sabah dan Wilayah Persekutuan.

Walaupun undang-undang ini tidak dapat membendung penghinaan terhadap agama Islam seperti diperuntukkan di dalam Kanun Keseksaan, dengan wujudnya undang-undang itu ia akan dapat memberi panduan kepada orang bukan Islam agar tidak mencemarkan kesucian agama Islam atau cuba mendakyah orang Islam.

Ia sesuai dengan kedudukan agama Islam sebagai ‘Agama Persekutuan’ seperti termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pernah berjanji beberapa tahun lalu bahawa keempat-empat negeri itu akan menggubal undang-undang kawalan berkenaan tetapi sehingga kini walaupun bertukar pucuk pimpinan, undang-undang itu masih lagi menjadi impian umat Islam di negeri berkenaan.

Berbalik kepada penghinaan yang dilakukan oleh sekumpulan pelajar di Betong itu, tindakan tegas perlu diambil terhadap mereka melakukan kesalahan terbabit. Sekiranya tindakan gagal diambil seolah-olah ia akan menjadi manifestasi diskriminasi terhadap orang Islam. Perkara sedemikian juga sebenarnya menunjukkan kegagalan sistem pendidikan kita menyemai sifat saling menghormati antara satu sama lain.

Mungkin prasarana pendidikan kita yang mengasingkan pelajar mengikut bangsa dan agama menjadikan timbul persepsi negatif antara satu sama lain. Walaupun disuarakan pembentukan sekolah satu aliran, ia masih sukar dilaksa-nakan kerana sebahagian kita masih lagi melihat sekolah aliran jenis kebangsaan itu dalam konteks mikro saja.

Mereka tidak melihatnya daripada aspek lebih besar iaitu keperluan menyemai fikrah yang sama dan saling bekerjasama dan mengenali antara satu sama lain.

Natijahnya, rakyat Malaysia daripada bangsa tertentu akan mempunyai keraguan terhadap rakannya daripada kalangan bangsa yang lain walaupun selalunya keraguan itu tidak dizahirkan. Tetap jauh di lubuk hati mereka terpahat sikap gusar dan tidak mempercayai antara satu sama lain.

Sekali lagi saya meminta supaya tindakan tegas diambil terhadap sesiapa saja yang mencemar hubungan baik antara agama dan memperlekehkan mana-mana agama. Seharusnya keharmonian dan keamanan yang kita sudah kecapi ini dipertahankan bukan dirobek serta diperkotak-katik.

Penulis ialah peguam bela, peguam cara dan peguam syarie dan boleh dihubungi melalui e-mel zainul.rijal@abubakar.my

CID Bukit Aman Ambil Kenyataan SIS Mengenai Isu Kartika November 5, 2009

Posted by membelaislam in Uncategorized.
add a comment

 

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) — Dua wakil dari Sisters in Islam (SIS) memberi kenyataan kepada Jabatan Siasatan Jenayah (CID) Bukit Aman pada Rabu mengenai laporan polis terhadap kenyataan SIS di Kuantan yang mempersoal hukuman sebat ke atas Kartika Sari Dewi Soekarno.

Pengarah Eksekutif SIS Hamidah Marican dan ahli lembaganya Zainah Anwar dipanggil memberi kenyataan mereka bagi siasatan di bawah Seksyen 4(i) (a) Akta Hasutan oleh CID pada 10.35 pagi.

Mereka, yang diiringi oleh peguam, berada hampir dua jam di Bahagian Pendakwaan Undang-undang CID, kata Pengurus Program (Penyelidikan dan Penerbitan) SIS Masjaliza Hamzah.

“SIS harap selepas merekod kenyataan ini, polis akan memperakukan bahawa tidak ada tindakan lanjut diambil terhadap organisasi itu.

“Kami ingin menegaskan bahawa dalam kerangka sebuah masyarakat demokratik, perlu ada dialog terbuka, bertanggungjawab, rasional dan yang dihormati mengenai Islam dan impaknya ke atas kehidupan kita – peribadi dan awam,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut laporan media, 14 badan NGO di Pahang baru-baru ini menggesa pihak berkuasa menghukum mereka yang mempersoal hukuman sebat ke atas Kartika Sari Dewi.

Kartika Sari Dewi, wanita pertama yang dihukum sebat oleh Mahkamah Syariah kerana kesalahan meminum alkohol di sebuah hotel di Kuantan tahun lepas, menyatakan kesediaan menerima hukuman itu.

Kartika juga didenda RM5,000.

– BERNAMA

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.