Penghakiman Kes Kalimah Allah Memberi Kesan Terhadap Agama Persekutuan

OLEH:

ZAINUL RIJAL ABU BAKAR

Keputusan Hakim Datuk Lau Bee Lan 31 Disember 2009 lepas yang membenarkan Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur menggunakan kalimah Allah  dalam penerbitan mingguannya, Herald –The Catholic Weekly merupakan suatu tamparan yang hebat kepada usaha memartabatkan agama Islam sebagai “ Agama Negara”.  Masyarakat Islam arusperdana melihat penghakiman ini sebagai suatu perkara yang akan menimbulkan kekeliruan dan kegusaran di kalangan umat Islam. Penghakiman ini juga dilihat menghakis keistimewaan agama Islam sebagai agama Persekutuan.

Saya sendiri mendapat banyak panggilan telefon , emel dan surat bertanyakan kesan penghakiman tersebut terhadap kedudukan agama Islam di Malaysia khususnya. Dalam beberapa hari sahaja penghakiman tersebut dikeluarkan keluhan dan ketidakpuasan hati umat Islam ini telah dizahirkan di dalam media-media arusperdana dan media alternatif.

Sebenarnya pendirian umat Islam bukanlah hendak memadam kalimah Allah di dalam kitab-kitab suci agama lain tetapi hanyalah berkisar di sebalik undang-undang yang berkuatkuasa di dalam negara dan keluhuran Perlembagaan Persekutuan. Perkara ini jelas kerana agama Sikh umpamanya yang menggunakan kalimah Allah di dalam bahasa asal kitab suci mereka tidak pernah dihalang daripada membaca ataupun  mengamalkan ajaran di dalam kitab asal mereka. Malah pendirian yang diambil oleh umat Islam bukanlah “peperangan antara kitab suci” tetapi lebih kepada memberi makna dan tafsiran yang jelas kepada peruntukan yang ada di dalam Perlembagaan Persekutuan yang disanjung oleh segenap warganegara Malaysia. Permasalahan yang timbul ialah penerbitan  Herald- The Catholic Weekly ini boleh digapai oleh orang ramai termasuklah orang Islam. Ia sudah tentu diedarkan dan tiada jaminan ia tidak akan sampai kepada orang Islam.

Walaupun usaha beberapa Majlis Islam negeri-negeri seperti Selangor, Wilayah Persekutuan, Trengganu, Johor, Melaka, Pulau Pinang, Perak  dan Kedah  serta Malaysian Chinese Muslim Association (MACMA) gagal mencelah di dalam kes ini, namun usaha ini haruslah diberi penghargaan yang tinggi kerana khususnya Majlis Agama telah menjalankan tanggungjawab statutori mereka di dalam mempertahankan agama Islam dan MACMA yang merupakan NGO tunggal berbuat demikian. Namun persoalan lain pula, di manakah Majlis-Majlis Agama Islam negeri lain? Adakah mereka juga bersekongkol dan bersetuju kalimah Allah ini boleh digunakan oleh pihak Gereja di dalam penerbitan mereka? Majlis-Majlis Agama mempunyai tanggungjawab statutori  menasihati Sultan di dalam hal ehwal agama malah menjaga agama juga diletakkan di bawah tanggungjawab Majlis Agama.

Hanya Islam sahaja satu-satunya  agama yang disebut di dalam Perlembagaan Persekutuan. Tiada agama lain disebut secara spesifik di dalam Perlembagaan Persekutuan melainkan hanya disebut sebagai boleh diamalkan dalam keadaan aman dan harmoni dalam negara sahaja. Ini adalah jaminan Perlembagaan bahawa pengamalan agama lain oleh orang bukan Islam dibenarkan tertakluk kepada Perkara 11(4) iaitu berkaitan sekatan penyebaran agama bukan Islam kepada orang Islam.

Umat Islam adalah umat majoriti di  negara kita. Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan Agama Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan. Makna ‘boleh diamalkan dengan aman dan damai’ ialah agama lain selain agama Islam boleh diamalkan di mana-mana bahagian Persekutuan selagi ia tidak menghakis kedamaian dan keamanan agama bagi Persekutuan iaitu Islam. Inilah kedudukan istimewa Islam.

Kedudukan istimewa Islam ini bolehlah di fahami kerana terdapat peruntukan-peruntukan yang lain yang memberi kelebihan kepada Islam sebagai agama Persekutuan sebagaimana yang termaktub di dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan, antaranya

a)  Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa negeri-negeri boleh mewartakan undang-undang menghalang orang-orang bukan Islam menyebarkan dakyah agama mereka kepada orang Islam Undang-undang Negeri dan mengenai Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan ugama antara orang-orang yang menganuti ugama Islam.;

b) Perkara 12(2) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan Kerajaan Persekutuan diberikuasa untuk mengurus dan menghulur bantuan kepada institusi Islam seperti masjid, sekolah agama dan juga bagi tujuan pembagunan syiar Islam;

c) Perkara 74(2) Perlembagaan Persekutuan pula memperuntukkan Kerajaan Negeri berkuasa membuat undang-undang bagi mentadbir urusan agama Islam.

d) Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan juga telah memberi pengiktirafan kepada Mahkamah Syariah untuk mendengar kes-kes dan persoalan mengenai agama Islam dan Mahkamah Sivil tidak boleh campurtangan, membatalkan ataupun tidak menghiraukan keputusan Mahkamah Syariah.

Penghakiman Hakim Datuk Lau Bee Lan itu memberi kesan yang amat ketara terhadap orang Islam. Ini bermakna orang bukan Islam bebas menggunakan kalimah Allah di dalam penerbitan mereka tersebut selagi ianya adalah di edarkan di kalangan orang bukan Islam. Persoalan yang timbul pula apakah jaminan ianya tidak akan diedarkan kepada orang Islam? Penerbitan tersebut tidak hanya diedarkan di gereja sahaja. Kenapakah pihak gereja begitu beria-ia mahu menggunakan kalimah Allah ini? Tidakkah dengan menggunakan kalimah Allah ini ia akan menggugat kedamaian dan keamanan agama bagi Persekutuan?

Malah keujudan Enakmen Kawalan Pengembangan Agama Bukan Islam Di Kalangan Orang Islam  yang digubal berdasarkan Perkara 11(4) juga tidak mempunyai signifikan secara realitinya.  Enakmen yang telah ujud di beberapa negeri sejak berpuluh tahun masih tidak dilaksanakan. Malah ada negeri yang telah meluluskan enakmen ni masih tidak mewartakan dan memberi tarikh pelaksanaannya. Empat buah negeri pula iaitu Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak masih belum menggubal undang-undang yang sama walaupun mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi sendiri semasa menjadi Perdana Menteri telah berjanji dan mengarahkan negeri-negeri ini menggubal undang-undang tersebut. Sememangnya kepentingan agama Islam seringkali dipinggirkan semasa membuat sebarang tindakan oleh pelbagai pihak. Kenapa kita terlalu abai dalam perkara ini?

Dalam keadaan yang agak tegang ini saya menyeru kepada pihak kerajaan supaya dengan kadar yang segera memfailkan rayuan terhadap keputusan Hakim Lau Bee Lan ini serta memohon menggantung perintah yang dikeluarkan itu. Saya juga menyeru supaya pihak Kerajaan melaksanakan segera Enakmen Kawalan Pengembangan Agama Bukan Islam di Kalangan Orang Islam dan bagi negeri-negeri yang belum menggubal undang-undang tersebut hendaklah berbuat demikian dengan kadar segera.

Majlis Raja –Raja Melayu sebagai ketua  agama negeri-negeri juga perlu membuat ketetapan yang tegas berkaitan dengan perkara ini selaras dengan sumpah jawatan baginda mempertahankan Islam pada setiap masa. Malah  Yang Di Pertuan Agong menurut Perkara 130 Perlembagaan Persekutuan  juga boleh merujuk  ke Mahkamah Persekutuan bagi pentafsiran Perkara 3 tersebut.

Perkara 130 tersebut menyebut Yang di-Pertuan Agong boleh merujukkan kepada Mahkamah Persekutuan untuk pendapatnya apa-apa soal tentang kesan mana-mana peruntukan Perlembagaan ini yang telah berbangkit atau yang tampak padanya mungkin berbangkit, dan Mahkamah Persekutuan hendaklah mengumumkan pendapatnya tentang apa-apa soal yang dirujukkan sedemikian kepadanya itu di dalam mahkamah terbuka.

Oleh yang demikian jika Yang di Pertuan Agong merujuk kepada Mahkamah Persekutuan berkaitan isu ini mungkin akan meredakan ketegangan yang dihadapi oleh umat Islam sekarang.

Tindakan Kementerian Dalam Negeri melarang pihak Gereja menggunakan kalimah Allah adalah kerana KDN sebagai salah sebuah organ kerajaan perlu mempertahankan ikrar Yang Di Pertuan Agong semasa menaiki tahkta iaitu mempertahankan Islam pada setiap masa. Oleh itu segala tindakan yang dibuat oleh pihak kerajaan perlulah sejajar dengan ikrar mempertahankan Islam ini. Secara mudahnya, setiap urusan kerajaan adalah disifatkan sebagai Urusan Seri Paduka Baginda (sebagaimana tertera di dalam sampul surat jabatan kerajaan). Oleh yang demikian adalah tidak masuk akal, urusan tersebut mencabul ikrar yang dibuat oleh Seri Paduka Baginda itu.

Kementerian Dalam Negeri perlu segera merayu keputusan kes ini kerana ia melibatkan kedudukan agama Islam di Malaysia apatah lagi keputusan mahkamah tertinggi di dalam negara perlu bagi menyelesaikan kedudukan ini secara muktamad.

Penulis adalah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia dan boleh dihubungi di zainul.rijal@abubakar.my.

About these ads

3 thoughts on “Penghakiman Kes Kalimah Allah Memberi Kesan Terhadap Agama Persekutuan

  1. Sebelum berlangsungnya Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) iaitu pada Januari 2008, Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) sudah pun ‘menggadai’ kalimah ALLAH untuk ditukar dengan undi-undi kepada calon Pakatan Rakyat (PR). DUPP telah mengeluarkan “fatwa politik” seperti berikut:

    ******
    Tidak Salah Penganut Kristian Guna Kalimah Allah – Dewan Ulamak Pas Pusat

    Ditulis oleh Harakah, Khamis, 03 Januari 2008
    Oleh: Azamin Amin

    KUALA LUMPUR: Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, YB Dato’ Ustaz Haji Mohamed Daud Al-Iraqi menjelaskan, tidak menjadi kesalahan kepada penganut Kristian dan Yahudi menggunakan kalimah ‘Allah’ malah ia sering digunakan oleh umat Kristian dan Yahudi sejak dari dahulu.
    ****

    “Fatwa politik” untuk raih undi PRU-12 pada Mac 2008 ini sememangnya mendapat pujian dari bukan Islam, secara spesifiknya dari pihak gereja Kristian. Malah, pihak gereja Kristian secara terang-tarangan telah menyatakan sokongan politiknya kepada PR dalam PRU-12 yang lalu.

    Surat-surat sokongan politik oleh pihak gereja Kristian dikeluarkan dan boleh didapati secara meluas menjelang hari pengundian PRU-12 menyeru diberikan sokongan kepada PR. Dan kita semua tahu hasilnya — PR berjaya menafikan penguasaan 2/3 Barisan Nasional (BN) dalam Parlimen dan berjaya menguasai 5 buah negeri +1 — Pulau Pinang, Selangor, Perak, Kedah, Kelantan, dan Wilayah Persekutuan.

    Pengundi sebenarnya tidak sedar bahawa undi dan sokongan padu yang diberikan oleh pihak gereja Kristian bukanlah secara percuma. Sokongan pihak gereja Kristian demi memastikan kemenangan PR sebenarnya melibatkan kos yang sangat tinggi. “Lampu hijau” penggunaan perkataan “ALLAH” oleh Pas dijadikan hujah oleh pihak Gereja Kristian dengan memetik bahawa perjuangan Gereja Kristian turut disokong kuat oleh PAS.

    Sokongan Pas itu dicanang oleh pihak Geraja Kristian dalam laman sesawang Herald Malaysia Online. Berikut sedikit sedutan petikan:

    ******
    The Malaysia Islamic Party (PAS) says it supports the Catholic Church’s fight to overturn a government ban on the use of the term ‘Allah’ to describe God in Christian texts. “I personally believe and Pas as well believe the way forward for a mutually respecting religious relationship, especially in a plural, multi-racial and multicultural society like Malaysia, is not to deny the right of others to use the name of Allah,” Zulfikar Ahmad, a PAS official said.
    ****

    Penghujahan hakim menentang perintah KDN yang yakin bahawa penggunaan kalimah Allah akan menyebabkan ketidak tenteraman awam ditolak kerana ‘lampu hijau’ yang diberikan oleh Pas dan segelintir Islam ini.

    Hakim nampaknya melihat ‘sokongan’ yang diberikan Pas dan PR ini tidak menyalahi Perlembagaan Persekutuan yang menggariskan bahawa agama lain selain Islam boleh diamalkan secara aman di Malaysia. Hakim mungkin sengaja melihat bahawa orang Islam dilihat tidak mempunyai masalah dengan penggunaan perkataan Allah oleh orang bukan Islam semata-mata adanya ‘fatwa politik’ pancing undi oleh Dewan Ulamak Pas Pusat ini.

    Inilah yang berlaku apabila PAS sudah hilang kewarasan berfikir secara lebih mendalam dan jauh apabila sudah dikuasai nafsu terlalu obses ingin berkuasa.

    Pas gagal membaca (kerana dibutakan oleh sikap bencikan UMNO) agenda tersembunyi pihak yang sememangnya tidak pernah redha akan agama Islam.

    -antihipokrit-

  2. The concern here is the manner of such translation. Here are my questions:

    1.
    Is it the publication is just for Christians (as outlined in the hearing), and the content will not be used to preach other non-Christians? [Adakah penerbitan itu hanya untuk penganut Kristian, dan kandungan terjemahan itu tidak digunakan untuk berdakwah kepada bukan Kristian?]
    2.
    Are the current Malaysian Christians do not understand that God (in English) is “Tuhan” in Bahasa Malaysia? (I’m sorry, but I have to ask this.. because this shows how good is your English and Bahasa Malaysia. :) ) [Adakah penganut Kristian di Malaysia tidak memahami "God" (dalam Bahasa Inggeris) adalah "Tuhan" dalam Bahasa Malaysia"? (Maaf, tetapi saya terpaksa bertanya.. kerana ini menunjukkan tahap penguasaan Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia juga. :) )]
    3.
    Why the translation of God to be Allah being done now? Even though it is said hundreds years ago, why now? Why wouldn’y it be done years ago? [ Kenapa terjemahan itu dilakukan sekarang? Walaupun dikatakan sudah beratus tahun, kenapa sekarang? Kenapa tidak bertahun dahulu?]
    4.
    Why just the translation of God to be “Allah” just in Bahasa Malaysia”? Will it be used in other languages? [ Kenapa terjemahan "God" kepada "Allah" cuma dalam Bahasa Malaysia? Adakah ianya akan digunakan didalam bahasa lain?]

    * I’ve taken the liberty of translating the questions to be answered either in Bahasa Malaysia or English.

    I do hope somebody can give me an honest answer.

    Thank you.

    ~ OnDaStreet
    http://ondastreet.wordpress.com

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s