Pusat pemulihan akidah sedia ada akan dimanfaatkan sepenuhnya, tidak perlu dibina yang baru: Jakim

SEMPORNA: Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Othman Mustapha berkata pusat pemulihan akidah yang ada di beberapa buah negeri setakat ini akan dimanfaatkan sepenuhnya tanpa perlu membina pusat pemulihan yang baru.

“Sudah ada pusat pemulihan akidah di (negara kita), (tetapi) tidak semua negeri ada pusat pemulihan akidah. Jadi kita nak manfaatkan pusat akidah berkenaan kepada negeri-negeri lain. Negeri lain juga boleh menggunakan (pusat pemulihan akidah itu).”

Mana-mana negeri yang mempunyai kes yang dirujuk daripada Mahkamah Syariah boleh membawa mereka yang berkenaan ke negeri-negeri yang mempunyai pusat pemulihan seperti itu tanpa perlu menambah pusat yang baru, katanya kepada pemberita di sini, malam tadi.

Othman berkata demikian ketika menghadiri Persidangan Ketua-Ketua Jabatan/Majlis Agama Islam Seluruh Malaysia kali ke-88. Majlis berkenaan yang bermula Jumaat lepas, dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Nasir Tun Sakaran.
Othman berkata pada masa ini, beberapa buah negeri termasuk Selangor, Negeri Sembilan dan Sabah mempunyai pusat pemulihan akidah.
Menurut Othman bagi mengukuhkan lagi pusat-pusat berkenaan dalam melaksanakan proses pemulihan akidah, ia akan dilengkapkan dengan pakar-pakar kaunseling agama yang memahami secara mendalam berkaitan kes-kes penyelewengan akidah.

“Pakar-pakar ini sudah ada. Pegawai-pegawai kita yang mempunyai maklumat dan kemahiran dalam mengendalikan kes-kes seperti ini sudah ada di negeri-negeri. Kita boleh memanfaatkan mereka atau menambahbaik lagi jika perlu. Mungkin di negeri-negeri tertentu ada yang lebih faham mengenai isu-isu tertentu, maka kita bawa mereka ke negeri berkeaan,” katanya.

Menurut Othman selain memiliki tenaga pakar sedia ada di pusat-pusat pemulihan akidah, Jakim juga boleh mendapatkan khidmat tenaga pakar pemulihan akidah dari institusi pengajian tinggi di negara ini untuk memulihkan akidah umat Islam termasuk yang terlibat dengan ajaran sesat. – BERNAMA

About these ads