Isu penggunaan kalimah ‘Allah’: DAP digesa menghormati keluhuran Perlembagaan serta proses undang-undang

Kenyataan Media Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) 26 Disember 2012 bersamaan 12 Safar 1434

Di dalam perutusan perayaan Hari Krismas YAB Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Lim Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP telah menggesa Kerajaan Persekutuan yang diterajui oleh Barisan Nasional supaya membenarkan penganut Kristian menggunakan perkataan ‘Allah’ dalam Alkitab versi Bahasa Malaysia bagi merujuk kepada amalan agama mereka.

Menurut YAB Lim, “sebuah kerajaan yang mesra rakyat juga boleh membawa keamanan dan kemakmuran yang berdasarkan prinsip-prinsip kebenaran, kebebasan, keadilan, demokrasi dan integriti. Atas sebab ini, DAP menggesa Kerajaan Persekutuan BN untuk membenarkan penggunaan perkataan Allah dalam Alkitab versi Bahasa Malaysia bagi merujuk kepada amalan agama Kristian seperti yang telah dibenarkan di Sabah dan Sarawak sejak 50 tahun lalu dan diamalkan di Timur Tengah selama lebih daripada seribu tahun.”

Pihak PPMM bersimpati dengan kejahilan YAB Lim berhubung hal ini. Adalah menjadi sesuatu yang pelik dan menghairankan bagi seseorang pemimpin sebuah parti sekular yang ingin bercakap tentang “prinsip-prinsip kebenaran, kebebasan, keadilan, demokrasi dan intergriti”, tetapi telah dengan sengaja tidak menghormati keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan proses undang-undang. Pada hakikatnya, Mahkamah belum lagi mendengar rayuan pihak kerajaan berhubung perkara ini, maka penganut kristian tetap dilarang dari menggunakan kalimah ‘Allah’ bagi merujuk pada Tuhan di dalam agama kristian di dalam sebarang bentuk penerbitan. Walaupun Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Herald dalam kes tersebut namun perintah tersebut telah digantung sementara menunggu Rayuan pihak Kerajaan dan Majlis Majlis Agama Islam Negeri-Negeri. Dalam erti kata lain, kedudukan hal ini masih bersifat ‘status quo’.

Selain itu, kenyataan YAB Lim yang mengaitkan penggunaan perkataan Allah di kalangan penganut kristian dengan “prinsip-prinsip kebenaran, kebebasan, keadilan, demokrasi dan integriti” ternyata bersifat simplistik serta sebenarnya percubaan berterusan sebuah parti politik memperjuang prinsip sekular seperti DAP untuk menyemarakkan nilai-nilai faham sekular di dalam sebuah Negara yang mengiktiraf kedudukan Islam sebagai agama Negara.

Fahaman kebebasan dan demokrasi yang dianuti YAB Lim serta mereka di dalam parti politik DAP adalah berlandaskan kerangka sekular yang beracuan barat. Justeru dalam mencari apa yang didakwa sebagai ‘kebenaran, kebebasan, keadilan dan integriti”, DAP berpandangan bahawa sensitiviti umat Islam di Malaysia boleh diketepikan dan mesti dikorbankan demi kepentingan minoriti kira-kira sepuluh peratus (10%) penganut kristian. Sebaliknya, sesiapapun yang memahami dengan jujur konteks dan realiti sejarah serta latarbelakang kedudukan Islam sebagai agama bagi Negara akan bersetuju bahawa penggunaan kalimah Allah ini perlu dihadkan untuk mereka yang menganut Islam di Malaysia.

PPMM menggesa YAB Lim dan keseluruhan masyarakat Malaysia, demi semangat keluhuran Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan menghormati ‘due process of law”, agar mengelakkan dari sikap oportunis dalam membuat tuntutan-tuntutan yang tidak munasabah dan mencabar sensitiviti keagamaan. Apatah lagi di dalam konteks kemajmukan masyarakat Malaysia yang berteraskan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang memaktubkan Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai agama bagi Persekutuan; namun agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman damai di mana-mana bahagian Persekutuan dengan erti kata boleh diamalkan selagi tidak menghakis keamanan dan kedamaian agama Persekutuan iaitu Islam.

Apatah lagi Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas memperuntukkan undang-undang negeri dan Persekutuan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan boleh dibuat bagi mengawal dan menghadkan penyebaran doktrin atau kepercayaan agama bukan Islam di kalangan orang Islam. Sehubungan dengan itu sepuluh buah negeri telahpun menggubal undang-undang tersebut yang antara lain menghalang penggunaan kalimah-kalimah tertentu di kalangan orang bukan Islam bagi merujuk kepada agama mereka. PPMM menggesa empat buah negeri iaitu Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan menggubal undang-undang tersebut. PPMM juga mendesak negeri-negeri yang telah meluluskan undang-undang tersebut segera melaksanakannya. Bagi negeri Pulau Pinang pula PPMM difahamkan bahawa suatu fatwa telah digazetkan oleh Kerajaan Negeri sendiri tentang pengharaman penggunaan kalimah tersebut.

PPMM menegaskan budaya dan undang-undang di Malaysia adalah amat berbeza dengan budaya dan undang-undang di luar Negara. Keharmonian dan keamanan acuan Malaysia sudah terbukti berkesan dan jangan diganggu gugat.

Sesuai dengan semangat mewujudkan keamanan dan keharmonian di kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama di Malaysia, maka DAP dan parti-parti politik tanpa mengira dalam Barisan Nasional ataupun Pakatan Rakyat hendaklah mematuhi dan menghormati keluhuran undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan di dalam mendepani isu dan permasalahan yang timbul, khususnya berkaitan penghayatan dan pengamalan kehidupan beragama di Malaysia. Hanya dengan kepatuhan sebegini maka kedudukan adil semua agama-agama di Malaysia, sesuai dengan kedudukan dan peranan masing-masing mengikut realiti sejarah dan konteks budaya, akan dapat diaturkan dengan sempurna dan saksama. Sensitiviti kaum dan agama janganlah diusik semata-mata bagi meraih undi.

Kenyataan bertarikh pada 26hb Disember 2012 oleh Dato’ Hj. Zainul Rijal Abu Bakar, Presiden, Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM)

About these ads

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s