Hormati Kalimah Allah Sebagai Hak Umat Islam – Ilmuan Islam

KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) — Makna kalimah Allah sebagai tuhan yang disembah umat Islam perlu dihormati semua pihak tanpa kompromi, dan pada masa sama masyarakat Islam dituntut bersatu mempertahankan kesucian kalimah dan agama Islam itu sendiri.
Beberapa ilmuan Islam hari ini sependapat orang bukan Islam tidak layak menggunakan kalimah Allah dalam apa cara sekalipun bagi merujuk kepada tuhan yang mereka sembah.

Pensyarah Pusat Kajian Lanjutan mengenai Islam, Sains dan Tamadun (Casis), Universiti Teknologi Malaysia Prof Madya Dr Khalif Muammar A.Harris berkata penggunaan kalimah Allah adalah hak mutlak umat Islam.

“Kalau mereka (bukan Islam) kata guna kalimah itu sebagai hak asasi yang perlu dipegang, maka kita kata dalam sejarah negara ini selepas lebih 1,000 tahun kedatangan Islam di Tanah Melayu, tiada maksud lain bagi nama Allah melainkan yang diingini oleh Islam,” katanya.

forum Kalimah AllahBeliau berkata demikian pada Forum Islam dan Cabaran Semasa: Polemik Isu Kalimah Allah anjuran Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) di Universiti Antarabangsa Malaysia di sini.

Pengerusi Pembela Aminuddin Yahya bertindak selaku moderator forum.

Dr Khalif Muammar menegaskan percubaan mendangkalkan kalimah Allah yang telah disepakati dengan maksud berbeza adalah satu proses ‘deislamisasi’ (pemasukan konsep asing ke dalam pemikiran Muslim).

Beliau beberapa kali menyeru masyarakat Islam agar memahami dengan jelas maksud Allah yang sebenarnya agar tidak ‘termakan’ dengan kekeliruan yang cuba disebarkan musuh Islam.

“Kita perlu jelas siapa itu Allah. Sebagai Muslim, kita kena akur dengan apa yang dijelaskan dalam al-Quran dan diamalkan oleh sunnah. Masih ramai yang keliru dan ingat Allah itu sebagai nama am, sedangkan Allah yang sebenar adalah tulen, ada konsep dan sifat tersendiri yang tiada pada tuhan lain (yang disembah orang bukan Islam),” katanya.

Anggota biro Undang-undang Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Mahamad Naser Disa pula menyifatkan memberi kebenaran kepada orang bukan Islam untuk menggunakan kalimah Allah sebagai satu penghinaan kepada umat Islam.

Beliau berkata ia memberi gambaran seolah-olah apa sahaja yang disembah golongan bukan Islam adalah ‘Allah’, sedangkan ia jelas tidak membawa makna sebenar Allah yang esa.

“Kita ghairah nak biarkan mereka guna kononnya nanti akan terbuka hati mereka untuk menerima Islam, sedangkan mereka sebenarnya bukan mahu mengganggap Allah itu tuhan, tetapi menganggap tuhan mereka adalah Allah. Sebab bagi mereka Allah hanyalah terjemahan. Bayangkan apa akan jadi kepada umat Islam nanti,” tegasnya.

Mahamad Naser berkata larangan penggunaan kalimah Allah dan beberapa perkataan lain yang khusus untuk umat Islam oleh orang bukan Islam telah termaktub dalam undang-undang di 10 negeri.

“Justeru, beberapa pihak yang membantah titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung perkara ini kita lihat sebagai kempen untuk melanggar undang-undang sebab mereka menganggap itu hak mereka,” tegasnya.

Beliau berkata sebarang perbuatan yang cuba menyentuh sensitiviti masyarakat termasuk pada aspek agama, merupakan kesalahan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan.

Dekan Kulliyah Syariah Kolej Universiti Insaniah Prof Madya Dr Abdul Aziz Hanafi berkata umat Islam di negara ini harus bersatu mempertahankan kesucian kalimah Allah agar tidak sewenang-wenangnya digunakan orang bukan Islam.

Tegasnya perpaduan juga penting di kalangan pemimpin Melayu Islam untuk menegakkan syiar agama dan bukan semata-mata mengejar undi rakyat.

“Jangan sampai menang sorak tapi kampung tergadai. Tidak kira apa pun perjuangan politik kita, parti mestilah mengutamakan Islam daripada kepartian,” katanya.

– BERNAMA

About these ads

One thought on “Hormati Kalimah Allah Sebagai Hak Umat Islam – Ilmuan Islam

  1. Pingback: Forum Islam dan Cabaran Semasa: Polemik Isu Kalimah Allah « Aeshah Adlina’s Weblog

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s