jump to navigation

Peguam Syarie kesal – 4 negeri belum gubal undang-undang kawal pengembangan agama lain September 29, 2008

Posted by membelaislam in Uncategorized.
Tags: , , , , , , ,
add a comment

KUALA LUMPUR 28 Sept. – Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) kesal kerana sehingga kini empat negeri yang telah diarahkan menggubal undang-undang bagi mengawal atau menyekat pengembangan iktikad atau kepercayaan agama lain di kalangan orang Islam masih belum berbuat demikian.

Presiden PGSM, Zainul Rijal Abu Bakar berkata, isu tersebut sudah berlarutan lebih dua tahun sejak Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengarahkan negeri berkenaan iaitu Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan segera berbuat demikian.

‘‘Apa yang saya nampak macam tidak ada apa-apa pergerakan termasuk di Wilayah Persekutuan sendiri kecuali beberapa kenyataan daripada pemimpin negeri-negeri berkenaan yang menyatakan persetujuan mereka.

‘‘Tiada penjelasan diberikan mengapa banyak masa diambil untuk menggubal undang-undang tersebut. Saya pun tidak tahu kajian apa lagi yang hendak dibuat,’’ katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Pada Ogos 2006, Perdana Menteri mengarahkan empat kerajaan negeri mengambil tindakan yang sesuai untuk menggubal undang-undang bagi mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan agama lain di kalangan orang Islam.

Pada masa ini semua negeri beraja – Perlis, Johor, Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Selangor dan Terengganu serta Melaka sudah menjalankan kuasa itu melalui enakmen negeri masing-masing.

Kelantan adalah negeri paling awal berbuat demikian pada tahun 1981 dan paling akhir ialah Johor pada tahun 1991.

Berdasarkan laporan akhbar, pelaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang itu dikatakan amat mengecewakan kerana hampir tiada rekod menunjukkan undang-undang berkenaan pernah dilaksanakan.

Antara kesalahan yang disebut pada undang-undang ini ialah memujuk, mempengaruhi, memaksa atau menghasut seorang Islam untuk menjadi seorang pengikut atau anggota suatu agama bukan Islam.

Turut dianggap sebagai kesalahan ialah mendedahkan seorang yang beragama Islam di bawah umur lapan belas tahun kepada pengaruh-pengaruh suatu agama bukan Islam dan menghantar atau menyerahkan terbitan-terbitan mengenai apa-apa agama bukan Islam kepada seorang yang beragama Islam.

Sementara itu, Zainul menegaskan apa yang lebih penting pada enakmen itu ialah untuk menjadikannya lebih berkesan daripada sudut penguatkuasaan.

Kata beliau, kekurangan itu dapat dilihat bagaimana setakat ini bukan sahaja masyarakat umum kurang mengetahuinya tetapi di kalangan penguat kuasa sendiri juga tidak begitu arif mengenainya.

“Penguat kuasa enakmen ini bukan penguat kuasa agama tetapi pihak polis kerana ia melibatkan pengawalan terhadap mereka yang bukan beragama Islam,’’ jelasnya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya pihak berkuasa menubuhkan sebuah unit khas dengan menempatkan pegawai dan anggota yang khusus bagi menguatkuasa enakmen itu.

Katanya, melihat kepada perkembangan kebelakangan ini apabila banyak isu yang menyentuh sensitiviti umat Islam berlaku, tentunya penguatkuasaan undang-undang itu menjadi semakin mustahak.

“Namun perlu ditegaskan bukan tujuan kita untuk meminta ada sesiapa yang ditangkap di bawah enakmen ini. Cuma kita mahu enakmen ini mampu menimbulkan kegerunan yang secara langsung menjadi satu bentuk pencegahan.

“Harus diingat enakmen ini mempunyai asas rapat dengan Perlembagaan Persekutuan melalui Perkara 11 (4) yang membenarkan undang-undang digubal bagi mengawal dan menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan agama lain di kalangan orang Islam,’’ jelasnya.

Pada perkembangan yang sama, Zainul Rijal menyarankan negeri lain supaya mencontohi Kelantan yang telah meningkatkan hukuman dalam enakmen tersebut.

Katanya, dengan pindaan yang dibuat pada tahun lalu, membolehkan Kelantan mengenakan hukuman denda tertinggi dan penjara paling lama antara negeri-negeri di Malaysia.

Sementara itu, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim ketika diminta mengulas perkara tersebut berkata, kerajaan Persekutuan tidak boleh campur tangan dalam urusan kerajaan negeri berhubung perkara tersebut.

“Kita tiada kuasa untuk memaksa pihak berkaitan menggubal undang-undang itu kerana kuasa terletak di bawah kerajaan negeri terutama bagi negeri yang beraja.

“Apa yang boleh kita buat adalah kita meminta pihak berkaitan supaya mengambil perhatian perkara ini dengan segera kerana dalam keadaan hari ini, enakmen tersebut perlu diberikan perhatian,” jelasnya.

Beliau menambah, langkah itu perlu demi kepentingan dan masa depan umat Islam negara ini.

Demo bantah Majlis Peguam jam 8 pagi esok August 8, 2008

Posted by membelaislam in Uncategorized.
Tags: , , , , , , ,
add a comment

dipetik dari harakahdaily – (http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=016275&Itemid=85)

KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Hrkh) – Pelbagai pihak mendesak penganjuran forum awam bertajuk ‘Memeluk Islam’ anjuran Majlis Peguam yang akan diadakan di Auditorium Majlis Peguam esok dihentikan.

Sehubungan itu, umat Islam yang pritahin untuk mempertahankan kesucian Islam diajak beramai-ramai membuat bantahan secara aman terhadap Majlis Peguam mulai jam 8 pagi esok.

Koordinator Majlis Bertindak Mempertahankan Akidah dan Syariah Islam, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pihaknya mengutuk dan membantah sekeras-kerasnya forum mengenai isu Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh soal memeluk Islam dan bidang kuasa Mahkamah Syariah itu.

Dalam kenyataan yang dipersetujui 18 Badan Bukan Kerajaan (NGO) itu, beliau yang juga Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras) menyatakan forum anjuran Jawatankuasa Undang-undang Keluarga Majlis Peguam itu menunjukkan Majlis Peguam cuba untuk memprovokasi masyarakat Islam.

Tegasnya, provokasi yang tidak perlu itu akan mencetuskan kemarahan masyarakat Islam kerana Majlis Peguam bukan pihak yang layak untuk membahaskan hal ehwal Islam.

“Kami mengingatkan agar Majlis Peguam jangan cuba bermain dengan api. Isu hal ehwal Islam adalah isu sangat sensitif kepada umat Islam.

“Tindakan ini jelas cuba menghidupkan semula usaha terdahulu yang dilakukan oleh beberapa kelompok dari Majlis Peguam bagi menubuhkan IFC dan kemudian diikuti pula oleh satu lagi usaha dari kumpulan yang menggelarkan dirinya sebagai Kumpulan Artikel 11,”katanya.

Tambahnya, usaha tersebut telah mendapat bantahan sebahgian besar masyarakat Islam dan dari pihak berkuasa sendiri.

Katanya, edaran surat jemputan mengenai pengenalan kepada forum tersebut jelas menunjukkan tujuan Majlis Peguam menganjurkan program tersebut adalah untuk mempersoalkan dan mencabar bidangkuasa Mahkamah Syariah yang termaktub dalam Artikel 121 (1A), yang mana Kes Subashini dan Shamala dijadikan asas untuk perbahasan ini diadakan.

“Kami menegaskan bahawa Majlis Peguam tidak ada hak untuk memandai-mandai dan cuba membahaskan hal yang berkaitan dengan undang-undang Islam secara terbuka.

“Kami mendesak supaya forum ini dihentikan oleh pihak berkuasa kerana ia boleh membawa kepada kemarahan masyarakat Islam yang tidak mahu undang-undang Islam dicabar oleh mana-mana pihak,”katanya yang mempersoalkan kenapa Majlis Peguam mahu mencampuri urusan yang bukan bidang kuasanya?

Mohamad Azmi menegaskan sebagai sebuah badan statutori sepatutnya menumpukan perhatian kepada memperkemaskan profesionalisme para peguam yang masih tidak diuruskan dengan sempurna.

Katanya, sebarang perbahasan yang berkaitan dengan urusan Islam hendaklah diutarakan kepada saluran khas.

Sehubungan itu katanya, Majlis Bertindak Mempertahankan Akidah dan Syariah Islam mencadangkan pihak kerajaan menubuhkan saluran khas ini supaya sebarang pandangan yang berkaitan dengan hal ehwal Islam didengari oleh mereka yang pakar dalam ilmu agama Islam .

Saluran khas tersebut katanya bertujuan untuk mengelakkan urusan Islam dibahaskan secara terbuka dan menimbulkan kekeliruan yang tidak perlu dikalangan masyarakat.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Dr Roslan Mohd Nor juga berpandangan sebarang perbahasan mengenai hukum-hukum Islam, perundangan, sistem dan hak-hak orang-orang Islam yang terkandung dalam perlembagaan tanpa merujuk kepada pihak yang berautoriti akan mengakibatkan kekeliruan dan salah faham terhadap Islam.

“Tindakan berkenaan adalah suatu usaha yang terancang yang disusun oleh pihak tertentu untuk secara berterusan mempertikaikan hak-hak yang terkandung dalam perlembagaan terhadap Islam.

“Kami memberi amaran kepada Majlis Peguam agar menghentikan segera penganjuran forum berkenaan atau menghadapi tindakan penentangan serius umat Islam di negara ini,” katanya.

Sementara itu Pengerusi Badan Bertindak Anti Murtad (FORKAD), Ustaz Riduan Mohamad Nor turut sama menggesa umat Islam menghentikan keangkuhan golongan anti Islam di sebalik program Majlis Peguam.

Katanya, hak agama Islam yang harus diutamakan dan kontrak sosial tidak seharusnya dipertikaikan mana-mana pihak.

“Justeru kami mahu perbincangan terbuka persoalan yang sensitif ini dihentikan segera.

“Majlis Peguam angkuh kerana enggan mendengar nasihat Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi yang meminta forum tersebut dihentikan,” tegasnya. – mr _