jump to navigation

Resolusi Masjid Wilayah 23 Julai 2006/26 Jamadilthani 1427H July 7, 2008

Posted by membelaislam in Article 11, Artikel 121(1A) Perlembagaan Persekutuan, Constitution, Interfaith Council (IFC), Rights of Muslims.
Tags: , , , , , ,
1 comment so far
Forum Shariah dan Isu Semasa yang berlangsung pada 23 Julai 2006 di Masjid Wilayah, Kuala Lumpur mendapat sambutan luar dugaan dan melebihi ruang dewan yang disediakan oleh pihak penganjur. Berikut adalah RESOLUSI FORUM tersebut: Kami, yang berkumpul di Masjid Wilayah, Kuala Lumpur pada hari ini untuk membincangkan cabaran semasa dalam pelaksanaan sistem Syariah di Negara ini menyatakan rasa bimbang terhadap usaha-usaha pihak yang sedang cuba meminggirkan kedudukan Islam dalam sistem kenegaraan dengan berselindung di sebalik nama Kumpulan sekular ini tidak mendapat sokongan bagi membawa agendanya di kalangan besar masyarakat Malaysia, perjuangan mempertahankan hak-hak asasi.

Usaha-usaha ini merupakan satu langkah untuk membelakangkan hakikat sejarah semenjak ratusan tahun lalu di mana Syariah diterimapakaikan di dalam kehidupan individu dan masyarakat di negara kita. Kami juga bimbang dengan ruang yang diberikan kepada usaha-usaha negatif ini dalam media masa tempatan dan antarabangsa walaupun pandangan ini hanya merupakan suara-suara terpencil dan pinggiran berbanding dengan faham dan penghayatan majoriti umat Islam.

Kita bimbang mungkin usaha negatif ini didalangi oleh unsur-unsur luar negara yang berhasrat melumpuhkan Islam. Situasi ini pasti akan bertambah buruk jika pandangan-pandangan liar ini turut dilayan oleh pihak-pihak yang berwewenang dalam negara kita. Sekiranya masyarakat Islam tidak cukup prihatin dan peka terhadap perkembangan ini mereka akan terus menyalah-gunakan saluran perundangan untuk mencapai matlamat mereka. Menyedari hakikat ini maka kami yang berkumpul di Masjid Wilayah untuk Forum Syariah dan Cabaran Semasa pada 23 Julai 2006 bersetuju dengan resolusi berikut:

1. Kedudukan istimewa Islam merupakan elemen penting dalam Perlembagaan dan sistem perundangan Negara. Ia turut merupakan hak asasi umat Islam di negara ini. Jika dasar ini diganggu-gugat ia mampu menimbulkan pelbagai kesan negatif dalam masyarakat. Oleh itu, formula yang sedia ada dan sudah terbukti mengekalkan kesejahteraan bersama ini, harus dipertegaskan dan diterima oleh semua pihak, Islam dan bukan Islam.

2. Semua peruntukan Perlembagaan dan Undang-undang yang berkaitan dengan Islam perlu diperkukuhkan untuk menutup semua ruang usaha untuk menggunakan saluran mahkamah bagi melemahkan kedudukan Islam.

3. Seluruh umat Islam perlu menyatukan suara, sikap dan tindakan dalam mempertahankan kedudukan Islam yang sedang diancam.
4. Setiap ancaman terhadap Islam adalah bermakna ancaman terhadap martabat dan kedudukan Raja-Raja Melayu yang menjadi Ketua Agama di setiap negeri dan terhadap kewibawaan institusi-institusi Islam.

5. Menuntut agar dihentikan segera semua percubaan usaha merombak dan menghakis kedudukan Islam dalam Perlembagaan dan sistem perundangan Negara. Mana-mana ketidakpuasan hati berkenaan dengan Islam harus disalurkan ke meja rundingan dengan pihak-pihak yang berautoriti. Pendekatan konfrontasi melalui roadshow (majlis penerangan ) dan pertikaian mahkamah hanya akan mengakibatkan ketegangan dan mengancam ketenteraman masyarakat.

6. Kita menuntut media aliran perdana mengambil pendirian tegas dan tidak berpihak dalam isu-isu berkaitan Islam dan tidak mempelopori pandangan bahawa Malaysia adalah negara sekular dan amalan Islam adalah hak peribadi. Kita menuntut pihak media memberi ruang kepada pihak Islam untuk menyuarakan pendapat mereka dan tidak lagi meminggirkan suara arus perdana (mainstream) Islam. Media aliran perdana mestilah bersikap professional dan beretika di dalam lapuran dan analisa mereka mengenai Islam.

7. Hak dan kebebasan beragama perlu difahami dalam ruanglingkup Islam, bukannya mengikut kecenderungan individu. Fahaman kebebasan dan hak asasi acuan sekular-liberal adalah bercanggah dengan ajaran Islam serta agama-agama lain.

8. Semua Dewan-dewan Undangan Negeri dan Parlimen (bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan) hendaklah meluluskan segera enakmen/akta yang menghalang dakyah bukan Islam kepada umat Islam dan pihak berkuasa hendaklah melaksanakan enakmen/akta berkenaan dengan segera.

9. Kerajaan hendaklah menetapkan pendirian untuk menolak usaha-usaha barat dan badanbadan bukan kerajaan yang bersekongkol dan menggunakan NGO tempatan, ahli-ahli akademik dan orang perseorangan untuk mempengaruhi polisi dan undang-undang berkaitan orang Islam.

10. Ada di kalangan pemimpin Muslim yang menyuarakan pandangan yang menyokong kelompok yang mengatakan amalan Islam adalah hak individu dan undang-undang moral tidak harus dilaksanakan di Malaysia. Kenyataan seperti ini amatlah dikesali kerana undang-undang moral di dalam Islam di Malaysia telah merupakan intipati kepada undang-undang di Semenanjung Malaysia jauh lebih dahulu sebelum kedatangan penjajah-penjajah.

11. Majlis Peguam Malaysia yang mewakili lebih 12,000 peguam di Semenanjung telah mengambil pendirian berpihak tanpa mengambilkira pandangan peguam Islam yang membentuk lebih dari 40% dari jumlah keseluruhan peguam. Majlis Peguam Malaysia atas nama hak asasi manusia telah mencampuri urusan agama Islam dan ini bertentangan dengan matlamat Majlis Peguam ditubuhkan dan kita menuntut Majlis Peguam sebagai penjaga kedaulatan undang mematuhi undang-undang negara ini.

Resolusi Forum Syariah Disokong July 7, 2008

Posted by membelaislam in Artikel 121(1A) Perlembagaan Persekutuan, Constitution, Interfaith Council (IFC), Rights of Muslims.
Tags: , , , , , ,
add a comment

Sumber : Berita Harian 25 Julai 2006 (Selasa)

KUALA LUMPUR: Pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan Islam menyokong resolusi Forum Syariah dan Cabaran Semasa Umat Islam kelmarin yang mahu semua pihak tidak menjadikan Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan untuk menggugat Islam.

Ia penting bagi menjamin perpaduan masyarakat pelbagai kaum, memastikan Malaysia terus maju dari segala aspek, terutama politik, ekonomi dan sosial kerana tanpa perpaduan, Wawasan 2020 tidak mungkin menjadi kenyataan. Pengarah Unit Kajian dan Pembangunan (R&D) Pertubuhan Kebajikan Dakwah Islamiyah Malaysia (Pekida), Dr Masjuki Mohd Masri berkata, Islam tidak pernah menganjurkan umatnya mencipta ketegangan dengan penganut agama lain. Beliau berkata, Islam menganjurkan umatnya berdakwah secara hikmah, iaitu menggunakan diplomasi dan berusaha mengangkat kedudukan umat dalam pelbagai bidang yang secara tidak langsung mempamerkannya sebagai ugama yang syumul.

Bagaimanapun, musuh sentiasa mencari peluang untuk melemahkan umat Islam apabila menyedari kita alpa dan tidak bersatu padu. Jika kita terlalu menggunakan Artikel 11 Perlembagaan yang menyatakan Islam agama rasmi negara dan masyarakatnya bebas mengamalkan agama masing-masing tetapi agama lain tidak boleh disebarkan kepada umat Islam, kita akan dilihat sebagai tidak demokratik atas alasan hak asasi manusia, katanya ketika dihubungi, di sini semalam. Sehubungan itu, katanya, di samping mengingatkan masyarakat bukan Islam supaya menghormati Artikel 11, umat Islam sendiri tidak harus hanyut dalam arus kemajuan, sebaliknya berpegang teguh kepada akidah dan syariat Islam.

Beliau diminta mengulas resolusi dicapai pada forum berkenaan yang dihadiri kira-kira 10,000 umat Islam di Masjid Wilayah Persekutuan, kelmarin. Forum itu dihadiri ahli panel seperti Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria; Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Yusri Mohamad; Pengerusi Jawatankuasa Penaja Persatuan Peguam bela Islam, Zainur Zakaria; pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof Dr Abdul Aziz Bari dan peguam syarie, Kamar Ainiah Kamaruzaman. Perbincangan forum itu berkisar pada gesaan supaya kerajaan memastikan hal perundangan berkaitan Islam, terutama isu umat Islam memohon menukar agama tidak diputuskan mahkamah sivil, sebaliknya dikendalikan Mahkamah Syariah. Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), Mohd Nazri Yunus berkata, aspek menghormati Islam bukan bermaksud masyarakat bukan Islam harus memeluk Islam, sebaliknya tidak mencuba mencabar hak umat Islam. Sekarang ada golongan tertentu yang tidak tahu menghormati prinsip agama lain hingga berani mencabar hak penganut agama lain sedangkan perkara itu sudah termaktub dalam Perlembagaan. Sikap hormat menghormati semakin terhakis. Islam menganjurkan umatnya supaya menghormati agama lain tetapi pada masa yang sama mahukan umatnya mempertahankan agamanya jika dicabar pihak tertentu, katanya.