Mufti mahu SIS disiasat June 14, 2009
Posted by membelaislam in Uncategorized.Tags: Harussani, Mufti, SIS, Sisters-in-Islam
add a comment
dipetik dari Sinar Harian
SHAH ALAM – Majlis Fatwa Kebangsaan digesa melakukan siasatan segera terhadap pertubuhan Sister in Islam (SIS) yang banyak mencetuskan pendirian kontroversi terhadap sesuatu isu yang berkaitan ajaran Islam.
Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, pandangan dan pemikiran Islam liberal SIS didakwa boleh mengelirukan masyarakat perlu disekat kerana boleh membahayakan akidah umat Islam.
“Terdapat beberapa tafsiran SIS antaranya berkaitan isu poligami dan pembahagian harta pusaka berbeza dengan pandangan sedia ada. Keadaan seperti ini tidak seharusnya berlaku kerana boleh membawa seseorang ke arah murtad.
“Saya setuju dibuat siasatan terhadap SIS. Pertubuhan ini perlu disiasat dengan teliti supaya dapat menyelesaikan kekalutan yang ada secepat mungkin,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Menurut Harussani, pemikiran yang dibawa SIS juga didakwa mudah diresapi golongan muda dan golongan berpendidikan sekular yang boleh menimbulkan kekeliruan dan salah faham terhadap sesuatu isu.
“Pemikiran Islam liberal perlu ditolak kerana ianya boleh membahayakan akidah umat Islam dan siasatan segera perlu dilakukan bagi mengelakkan penyelewengan yang berterusan,” katanya.
Sementara itu, penceramah bebas, Dr Ridwan Tee Abdullah berkata, tindakan menyiasat SIS adalah wajar dan cadangan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohammad Khir Toyo supaya menggugurkan perkataan Islam pada nama pertubuhan itu juga tepat.
“Secara peribadi, saya menyokong SIS disiasat kerana sebagai pertubuhan Islam, adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk menjaga kemurnian dan kesucian agama supaya tidak dicemari dengan unsur-unsur yang tidak baik.
“Saya pernah berforum dengan ahli Jawatankuasa SIS dan mendapati pandangan yang dilontarkan kebanyakannya menyeleweng dari landasan agama, banyak hadis yang digunakan tidak pernah didengari dan tindakan itu seolah-olah memperlekehkan agama,” katanya.
Katanya lagi, Islam mempunyai cabang ilmu yang luas termasuklah syariah, tauhid dan usuluddin yang memastikan perjuangan berlandaskan Islam tepat dan tidak menyimpang.
“Penting bagi mendapatkan pandangan pakar dalam sesuatu bidang agama untuk menjawab segala persoalan bagi mengelakkan sebarang kesilapan dalam membuat kenyataan berhubung isu agama.
“Kalau kita bodoh jangan berlagak pandai sedangkan kita jahil bab-bab agama sehingga berani membuat tafsiran sendiri tetapi menyimpang keluar daripada agama,” katanya.
Gejala murtad tinggi July 27, 2008
Posted by membelaislam in Uncategorized.Tags: Mufti Perak, murtad, YADIM, Harussani, Melayu, Muslim
1 comment so far
Laporan Harian Metro Ahad, 27 Julai 2008
Oleh ASMIZAN MOHD SAMIRAN
KUALA LUMPUR: Gejala murtad di kalangan orang Melayu kini di tahap membimbangkan. Itu pendedahan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Mohd Nakhaie Ahmad, berdasarkan satu kajian Yadim berhubung isu murtad tahun lalu.
Menurut Mohd Nakhaie, meskipun kajian itu mendapati gejala murtad di kalangan saudara baru mencatat jumlah tertinggi, tetapi jumlah orang Melayu yang murtad juga membimbangkan.
“Walaupun kebanyakan orang yang murtad ini daripada saudara baru.. masuk agama Islam dan kemudian kembali ke agama asal, ada juga orang Melayu yang mula (memilih untuk murtad).
“Saya tak kata sedikit (jumlahnya), tetapi ia membimbangkan,” katanya yang tidak menyatakan jumlah orang Melayu yang murtad,” katanya.
Mohd Nakhaie berkata demikian selepas merasmikan Seminar Peperangan dan Kesengsaraan Umat Islam Iraq anjuran Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), di sini, semalam. Turut hadir, Presiden Isma, Abdullah Zaik Abd Rahman.
Seminar itu turut mengundang wakil Nahrain Relief Foundation For Development Iraq, Dr Alla Makki untuk memberi gambaran sebenar keadaan di Iraq.
Dalam nada kesal, Mohd Nakhaie berkata, satu ketika dulu sukar melihat orang Melayu murtad kerana mereka masih sayang pada agama, tetapi hari ini situasinya berbeza.
“Dulu susah untuk lihat orang kita murtad. Walaupun orang (Islam) itu samseng, tapi kalau kita kata dia bukan Islam, dia (sampai ke tahap sanggup) tumbuk… dia marah walaupun dia samseng.
“Sekarang ini ada di kalangan terpelajar, penuntut universiti murtad (dan mereka) daripada kalangan orang Melayu,” katanya.
Pada Julai 2006, Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria, membuat kejutan apabila mendakwa 100,000 umat Islam di negara ini murtad.
Harussani dipetik sebagai berkata, jumlah terbabit diperoleh menerusi kajian sekumpulan Melayu profesional dan intelektual.