JPM Akan Kemuka Rayuan Berhubung Kalimah Allah – Jamil Khir January 2, 2010
Posted by membelaislam in Kes Kalimah Allah.Tags: Allah, Datuk Jamil Khir Baharom, Gereja Katolik, Herald, Islam, JPM, Kes Kalimah Allah, Mahkamah Tinggi, NGO Islam, Perlembagaan Persekutuan
add a comment
KUALA LUMPUR, 2 Jan (Bernama) — Jabatan Perdana Menteri (JPM) akan bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri akan merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengenai penggunaan perkataan “Allah” di Mahkamah Rayuan bagi tindakan dan pembelaan sewajarnya demi memastikan kesucian Islam di Malaysia terpelihara.
Justeru itu, Menteri di JPM Mej Jen (B) Datuk Jamil Khir Baharom meminta semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan umat Islam di negara ini supaya bertenang dan menghormati keputusan mahkamah serta memberi peluang perkara itu diselesaikan melalui proses perundangan.
“Dalam hal ini, saya akan mengambil langkah untuk mengadakan pertemuan dengan pihak NGO dalam masa terdekat bagi mendengar pandangan mereka dan membincangkan perkara ini selanjutnya, ” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Sabtu.
Beliau mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis lepas yang membenarkan akhbar mingguan Herald-The Catolic Weekly menggunakan perkataan “Allah”.
Pada 16 Feb lepas, Ketua Paderi Roman Katolik Kuala Lumpur Tan Sri Murphy Pakiam, sebagai penerbit majalah itu, memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman bagi menuntut satu deklarasi bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri melarang beliau menggunakan perkataan “Allah” dalam majalah itu adalah haram dan perkataan itu bukan eksklusif bagi agama Islam.
Jamil Khir juga berkata Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang bersidang kali ke-82 pada 5 hingga 7 Mei 2008 mencapai keputusan bersetuju bahawa lafaz “Allah” merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam.
Kandungan itu berbunyi: “Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam yang lain.
“Oleh itu, wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
– BERNAMA
Tun M: Kebenaran Penggunaan Kalimah Allah Perlu Diiringi Syarat Ketat January 2, 2010
Posted by membelaislam in Kes Kalimah Allah.Tags: Allah, Artikel 121(1A) Perlembagaan Persekutuan, Gereja Katolik, Herald, Kalimah Allah, KDN, Mahkamah Syariah, Perlembangaan Persekutuan, Tun Mahathir
add a comment
KUALA TERENGGANU, 2 Jan (Bernama) — Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan akhbar mingguan Gereja Katholik menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya perlu diiringi syarat yang ketat.
Beliau berkata walau apapun alasan yang diberi sebagai justifikasi keputusan berkenaan, ia tetap menimbulkan kemarahan umat Islam di negara ini.
“Ini kerana terjemahan ‘God’ yang diguna dalam agama lain dalam bahasa Melayu atau Arab ialah ‘Tuhan’, bukan Allah. Allah spesifik Tuhan bagi orang Islam. Kalau mereka faham mereka akan guna perkataan Tuhan, bukan Allah.
“Saya akui kalimah Allah diguna di Sabah dan Sarawak sebelum mereka masuk (bergabung) dalam Malaysia…tapi di Semenanjung ni kita tak pernah dengar pula,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Konvensyen Mahasiswa Melayu di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) pada Sabtu.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis lepas yang membenarkan akhbar mingguan Herald-The Catolic Weekly menggunakan perkataan “Allah”.
Pada 16 Feb lepas, Ketua Paderi Roman Katolik Kuala Lumpur Tan Sri Murphy Pakiam, sebagai penerbit majalah itu, memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman bagi menuntut satu deklarasi bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri melarang beliau menggunakan perkataan “Allah” dalam majalah itu adalah haram dan perkataan itu bukan eksklusif bagi agama Islam.
Dr Mahathir berkata sensitiviti umat Islam perlu dipertimbang oleh bukan Islam, sebagaimana umat Islam di negara ini menjaga sensitiviti penganut agama lain bagi mengekalkan keharmonian negara.
“Yang saya khuatir bila Allah diguna oleh mereka, mungkin mereka akan guna secara yang akan timbulkan perasaan marah di kalangan orang Islam, kalau buat sepanduk dan tulis sesuatu yang tak cerminkan agama Islam.
“Kalau mereka nak gunakan (kalimah) Allah, ia harus dikenakan syarat yang ketat,” katanya yang menyerahkan kepada pihak bertanggungjawab untuk mengambil tindakan yang perlu bagi menyelesaikan kemelut itu.
– BERNAMA
MAPIM Merayu Untuk Mengadap Majlis Raja-raja Melayu January 2, 2010
Posted by membelaislam in Kes Kalimah Allah.Tags: Allah, Artikel 121(1A) Perlembagaan Persekutuan, Azmi Hamid, Gereja Katolik, Herald, Kalimah Allah, KDN, Mahkamah Tinggi, Majlis Raja –Raja Melayu, MAPIM, Perlembangaan Persekutuan
add a comment
Kenyataan Media
1 hb Januari 2010
KES KALIMAH ALLAH – MAPIM MERAYU UNTUK MENGADAP MAJLIS RAJA-RAJA MELAYU
MAPIM menyeru seluruh NGO Islam di seluruh negara untuk bersama-sama bersatu menyatakan keprihatinan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi kelmarin yang mengizinkan penggunaan Kalimah Allah oleh pihak gereja di Malaysia dalam majalahnya Herald.
Bagi kami keputusan yang diistiharkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur kelmarin , Datuk Lau Bee Lan , adalah keputusan yang telah menyentuh persoalan Islam dan kuasa Raja-raja .
MAPIM juga melihat keputusan tersebut juga telah menyentuh persoalan kedudukan istimewa agama Islam dalam Perlembagaan.
MAPIM melihat secara serius implikasi dari keputusan ini . Ia menjadi prisiden untuk pelbagai lagi isu lain yang berkaitan dengan Islam yang dimasa akan datang boleh dibawa ke Mahkamah sivil . Ini dengan jelas akan menggugat kestabilan sosial jika kesucian agama Islam dilihat sering dicabar melalui Mahkamh sivil.
Ternyata pihak yang berkenaan telah menyalahguna kuasa Mahkamah sivil untuk menceroboh dalam urusan agama Islam .
Kami dengan ini mengesa agar pihak berkuasa agama terutama Majlis Raja-raja Melayu segera menegaskan kedudukan Islam dan bidangkuasa institusi Islam dinegeri-negeri .
MAPIM berpendapat proses undang-undang telah disalahguna dan ini tidak boleh dibenarkan selagi bidangkuasa pihak Majlis Raja-raja Melayu terhadap urusan Islam adalah jelas dalam Perlembagaan Persekutuan sendiri.
Dalam hal ini sumpah menjaga agama Islam pada setiap masa dalam pertabalan KDYMM YDP Agong hendaklah diterjemahkan segera demi menjaga martabat dan maruah Islam di negara ini.
Kalimah Allah bagi umat Islam bukan sekadar sebuah nama malah adalah penegasan mengenai Keesaaan Allah yang tidak boleh disamakan dengan maksud yang hendak diguna oleh agama lain dari Islam. Kalimah Allah yang khusus itu ternyata tidak boleh dikompromikan dengan maksud Tuhan yang ada dalam agama lain.
Kami berpendirian kebebasan bersuara dalam mengguna kalimah Allah yang menyentuh soal yang sangat sensitif bagi pengganut agama Islam , tidak boleh hanya dilihat sebagai istilah yang bersifat umum. Perbahasan mengenai hal ini bukan bidang Mahkamh sivil untuk memutuskannya .
Kami mendapati pertimbangan terhadap suasana dan latarbelakang masyarakat Islam serta sejarah kebersamaan hidup bernegara di tanah air ini antara umat Islam dan penganut agama lain telah tidak dihormati oleh pihak yang berkenaan.
Proses undang-undang yang telah diguna oleh gereja untuk mencabar bidangkuasa KDN dalam hal mengguna Kalimah Allah hanya dilihat secara pentadbiran (administrative) dan tidak menimbangkannya secara teliti terhadap sensitiviti umat Islam.
Suasana dan latarbelakang masyarakat negara ini sejak Merdeka telah disepakati agar tidak menggugat kehormanian yang sedia ada. Kenapa sekarang pihak gereja tiba-tiba mahu mencabar keharmonian tersebut?
MAPIM melihat ini sebagai suatu pencerobohan yang sengaja untuk mencabar wibawa pihak berkuasa Islam serta menguji kesabaran umat Islam.
Kami dengan itu merayu agar Majlis Raja-raja Melayu mengadakan sidang tergempar dengan segera untuk menggunakan kuasa yang ada bagi memperbetulkan kekecohan yang timbul.
Kami sangat mengharapkan pihak Majlis Raja-raja melihat isu ini secara serius dan memberi perhatian khusus untuk memastikan tidak ada pihak yang cuba mempermain-mainkan isu agama Islam sebagaimana umat Islam tidak dibenarkan menceroboh dalam urusan agama yang lain.
MAPIM akan mengembleng suluruh umat Islam untuk merayu Majlis Raja-raja Melayu segera berindak.
Kami akan memohon pemegang Mohor di Raja untuk dapat memanjangkan usul ini kepada Majlis Raja-raja Melayu.
Mohd Azmi Abdul Hamid
Setiausaha Agung
Majlis Perunding Pertubuhan-pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM)
Perlu bijaksana bagi menjamin keharmonian kaum January 2, 2010
Posted by membelaislam in Kes Kalimah Allah.Tags: Allah, Artikel 121(1A) Perlembagaan Persekutuan, Gereja Katolik, Herald, Kalimah Allah, KDN, Kes Kalimah Allah, Mahkamah Tinggi, Perlembangaan Persekutuan, Sharizat Jalil
add a comment
KUALA LUMPUR 1 Jan. – Isu penggunaan perkataan Allah dalam penerbitan mingguan Gereja Katolik, Herald-The Catholic Weekly perlu ditangani dengan bijaksana bagi menjamin keharmonian kaum.
Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, dalam negara majmuk seperti Malaysia, konsep adat, budaya, konvensyen, etika dan undang-undang memainkan peranan penting bagi menjamin keharmonian antara kaum.
“Ramai orang bukan Islam di negara ini, menerima hakikat bahawa perkataan Allah dikhaskan kepada orang Islam sahaja.
“Bagaimanapun, saya amat khuatir isu ini akan meletup, oleh itu, ia mesti ditangani dengan bijaksana oleh semua pihak,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin meminta semua pihak bertenang dan tidak bertindak terburu-buru berlandaskan emosi semata-mata.
Menurut beliau, keputusan mahkamah itu masih lagi tertakluk kepada proses pengadilan yang lebih tinggi di Mahkamah Rayuan dan Persekutuan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein jelas Khairy, telah menyatakan bahawa pihaknya akan mengemukakan rayuan berhubung keputusan itu.
”Saya harap semua pihak dapat menunggu proses rayuan diselesaikan,” katanya.
Beliau mengakui perkara tersebut amat sensitif kepada umat Islam dan Pemuda UMNO amat khuatir ia boleh mengundang kepada keadaan yang lebih tegang.
Justeru, katanya, perkara terpenting yang perlu dilakukan adalah memastikan keadaan tidak menjadi lebih tegang sehingga boleh menjejaskan kestabilan politik negara.
Timbalan Pengerusi Tetap UMNO, Datuk Mohamed Aziz berkata, perasaannya bercampur-baur antara sedih, kecewa dan takut dengan keputusan itu yang bakal membawa impak terlalu besar sekiranya tidak ditangani dengan sebaik mungkin.
“Saya amat berharap Majlis Raja-Raja tampil memainkan peranan mereka dan lindungi hak Melayu beragama Islam di negara ini.
“Perkataan Allah adalah kalimah paling suci bagi agama Islam yang tidak boleh dipermain dan dipersenda tanpa sebarang alasan,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib berkata, keputusan mahkamah itu merupakan sesuatu yang tidak boleh diterima kerana ia jelas melanggar peruntukan Perlembagaan Persekutuan bahawa Islam adalah agama rasmi negara.
“Penerbitan bahan-bahan mengenai Kristian menggunakan perkataan Allah boleh mengelirukan penganut agama Islam di negara ini. Maka, kerajaan perlu bertegas dan ia tidak salah kerana selari dan selaras dengan Perlembagaan.
“Isu ini amat sensitif, seperti kes Natrah, walaupun saya tidak suka merujuk kepada peristiwa yang sudah lama berlaku itu tetapi kita tidak boleh mengambil sikap mudah dengan berharap semua pihak tidak akan merujuk peristiwa itu,” katanya.
Kalimah Allah eksklusif untuk Islam – PUM January 2, 2010
Posted by membelaislam in Kes Kalimah Allah.Tags: Allah, Artikel 121(1A) Perlembagaan Persekutuan, Gereja Katolik, Herald, Kalimah Allah, KDN, Mahkamah Tinggi, Perlembangaan Persekutuan, Persatuan Ulamak Malaysia, PUM
add a comment
KUALA LUMPUR 1 Jan. – Penggunaan kalimah Allah adalah eksklusif untuk agama Islam sahaja kerana ia sebahagian daripada ayat-ayat suci al-Quran dan langsung tidak terdapat dalam kitab agama lain.
Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Datuk Sheikh Abdul Halim Abdul Kadir berkata, keputusan mahkamah membenarkan kalimah itu digunakan oleh agama lain adalah satu tragedi dan hadiah paling tidak berharga kepada umat Islam sempena tahun baru.
Tegasnya, kalimah Allah bukan sesuatu yang boleh dipermainkan tambahan pula jika digunakan oleh penganut agama lain kerana boleh menyentuh sensitiviti umat Islam bukan sahaja di negara ini malah di seluruh dunia.
”Walaupun terpaksa menerima keputusan mahkamah dengan berat hati tetapi kami menyifatkannya sebagai tragedi.
“Kalimah Allah merupakan sebahagian daripada ayat-ayat suci al-Quran yang pada setiap masa tanpa sebarang kompromi tidak boleh dikongsi oleh mana-mana pihak selain penganut Islam.
”Ia tiada dalam ‘kamus’ agama lain dan jika masih ingin digunakan, ia membawa maksud untuk mempermain-mainkan kesucian kalimah ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sheikh Abdul Halim turut mempertikaikan tindakan KDN sebelum ini yang membenarkan penggunaan perkataan Allah itu tanpa terlebih dahulu merujuk kepada pihak berkuasa agama Islam dalam membuat keputusan.
Sehubungan itu katanya, PUM mendesak kerajaan supaya menjernihkan perkara itu kerana sensitiviti agama bukannya hak persatuan itu sahaja tetapi turut membabitkan kepentingan umat Islam di negara ini yang merupakan kumpulan majoriti.
Sementara itu, Timbalan Dekan Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (Istac), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abd. Majid menegaskan masalah itu berpunca daripada sikap umat Islam sendiri.
Katanya, perpecahan di kalangan umat Islam di negara ini menyebabkan penganut agama lain secara terang-terangan berani mengambil kesempatan daripada kelemahan itu.
“Jika pemimpin politik yang berkuasa dan mempunyai pengaruh masih lagi tidak sedar dan insaf, kebarangkalian pada masa akan datang penganut agama lain untuk terus mengambil kesempatan adalah terlalu besar.
“Tidak mustahil akan ada lagi beberapa kejutan besar dan semuanya berpunca daripada kelemahan kita sendiri yang terlalu sibuk berpolitik. Fikir, renung dan muhasabah diri sendiri jangan sampai maruah agama terus tergadai,” katanya.
Mahmood Zuhdi seterusnya menggesa kerajaan supaya menggunakan peruntukan kuasa-kuasa pentadbiran legislatif dan eksekutif bagi merungkai ketegangan ini.
Ini kerana katanya, jika dibiarkan berlanjutan ia dikhuatiri boleh mengundang musibah yang akhirnya sukar untuk ditangani apabila isu tersebut menjadi terlalu serius.
“Pandangan saya ini bukan bermakna umat Islam tidak menghormati keputusan mahkamah, kita terima dan akur sebagai menghormati keluhuran undang-undang tetapi dengan perasaan penuh dukacita dan sedih,” katanya.
Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) pula dalam satu kenyataan membantah keputusan mahkamah itu dan menggesa KDN supaya segera memfailkan rayuan.
Setiausaha Agungnya, Datuk Dr. Ma’amor Osman berkata, pihaknya bimbang keputusan itu boleh mencetuskan keadaan huru-hara dalam negara akibat sentimen beragama umat Islam yang amat sensitif terhadap perkara yang menyentuh soal kepercayaan mereka.
“PPIM hairan mengapa kini baru ditimbulkan soal merujuk tuhan agama Kristian sebagai Allah. Selama ini tuhan yang mereka sembah itu hanya dirujuk di dalam kitab suci mereka sebagai Lord sahaja.
“Kita percaya penerbitan itu mempunyai agenda tertentu apabila mahu menggunakan kalimah Allah dan sudah tentu ia bukan sesuatu yang baik untuk semua pihak termasuk penganut agama Kristian kerana tiada siapa yang beruntung jika rusuhan agama berlaku,” ujarnya.
Melayu berpecah Islam dipertikai January 2, 2010
Posted by membelaislam in Kes Kalimah Allah.Tags: Allah, Artikel 121(1A) Perlembagaan Persekutuan, Gereja Katolik, Harussani Zakaria, Herald, Kalimah Allah, KDN, Mahkamah Tinggi, Mufti Perak, Perlembangaan Persekutuan
add a comment
pengarang@utusan.com.my
PUTRAJAYA 1 Jan. – Perpecahan orang Melayu menjadi penyumbang kepada tindakan pihak tertentu berani mempertikaikan sesuatu perkara yang menjadi hak Islam di negara ini.
Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, tahap perpaduan yang rendah itu memberi peluang kepada pihak terbabit sewenang-wenangnya menyuarakan pendapat mereka mengenai isu-isu yang menyentuh sensitiviti umat Islam.
Sedangkan, kata beliau, sebelum ini tidak pernah timbul isu mempertikaikan larangan penggunaan perkataan Allah.
”Keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan Gereja Katolik menggunakan perkataan Allah dalam penerbitan mingguannya, Herald The Catholic Weekly boleh dianggap sebagai penghinaan kepada umat Islam di negara ini.
”Tindakan tersebut juga hanya akan menambahkan lagi kekeliruan kepada banyak pihak,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Menurut Harussani, keputusan mahkamah itu dikhuatiri bakal mendatangkan kesan lebih buruk seperti kemungkinan tercetusnya pergaduhan dan perpecahan pada masa depan disebabkan perselisihan pendapat.
Beliau menegaskan realitinya perkataan Allah tidak boleh digunakan oleh agama lain memandangkan pegangan dan amalan yang berbeza.
”Mana boleh kita samakan Allah Yang Maha Esa bersifat tunggal dengan pegangan agama yang menganggap Tuhan sebagai tiga elemen,” jelasnya.
Ditanya mengenai kesan penggunaan perkataan Allah di tadika kelolaan guru beragama Kristian yang turut disertai kanak-kanak Islam, beliau berkata, perkara itu hanya akan mendatangkan kekeliruan berpanjangan kepada golongan tersebut.
“Mereka bakal keliru tentang perkataan Allah kerana menganggapnya sebagai sesuatu yang sama.
“Adalah bahaya jika ia dibiarkan berterusan sehingga mereka memasuki universiti nanti,” katanya.
Harussani turut menyifatkan tindakan mempertikaikan larangan penggunaan perkataan Allah selama ini seolah-olah mempunyai niat dan motif tersendiri untuk mengelirukan umat Islam.
“Kenapa mereka (pihak Kristian) perlu mempertikaikan larangan yang telah ditetapkan selama ini dan mahu terus menggunakan perkataan Allah,” jelasnya.
Beliau turut menyelar golongan liberal Islam yang menyokong penggunaan perkataan Allah oleh orang bukan Islam sebagai kononnya sesuatu yang tidak salah.