jump to navigation

Kalimah Allah: Antara Nama dan Hakikat January 13, 2010

Posted by membelaislam in Kes Kalimah Allah.
Tags: ,
2 comments

Oleh MD. ASHAM AHMAD

AKHIRNYA mahkamah memutuskan bahawa gereja Kristian ‘berhak’ menggunakan kalimah ‘Allah’ bagi merujuk kepada Tuhan yang disembah oleh mereka.

Pastinya mereka telah mengemukakan hujah mereka bagi mempertahankan ‘hak’ itu, dan tidak kurang juga golongan Muslim sendiri termasuk golongan ustaz-ustaz yang memperakui kebenaran hujah itu serta menyokongnya pula.

Di kalangan mereka ialah ustaz-ustaz politik yang hanya melihat keuntungan politik ekoran masalah ini. Akibatnya, belum pun mahkamah memutuskan apa-apa umat Islam di negara ini sudah berkecamuk fikirannya dan berpecah-belah pandangannya.

Hujah utama yang dikemukakan bagi mempertahankan hak orang Kristian itu ialah bukti sejarah, bahawa kalimah Allah telah digunakan oleh orang Arab semenjak sebelum Islam, dan terus digunakan oleh orang Arab Kristian khususnya sehingga kini.

Justeru, mereka berhujah kaum Muslimin, lebih-lebih lagi di Malaysia ini, tiada hak untuk melarang penggunaannya.

Sebelum kita mematahkan hujah yang dikemukakan itu perlu dinyatakan dua perkara dasar: pertama, bahawa isu ini berkait dengan penggunaan kalimah ‘Allah’ dalam bahasa Melayu, yakni salah satu bahasa yang tergolong dalam rumpun bahasa Islam.

Kedua, hak menggunakan sesuatu kalimah hanya sah apabila hakikat yang dirujuk dengan kalimah itu tidak lain daripada kenyataan yang dimaksudkan oleh kalimah itu. Justeru menjadi kesalahan bagi seseorang yang meletakkan gelaran Ir. di hadapan namanya jika dia bukan seorang jurutera, dan dia tidak boleh mendakwa itu haknya.

Hujah di atas boleh dipatahkan dengan jawapan-jawapan berikut.

Pertama: kalimah Allah adalah nama khas, bukan kata terbitan daripada mana-mana perkataan Arab. Justeru, ia bukan boleh digunakan sebagai kata ganti bagi menterjemahkan sesuatu perkataan daripada bahasa lain.

Sebagai bandingan seorang yang bernama Mr. Black tidak boleh ditukarkan namanya kepada Encik Hitam kalau kita berbicara tentangnya dalam bahasa Melayu kerana nama itu adalah nama khas yang merujuk kepada orang yang tertentu.

Kedua: memang benar kalimah itu telah sedia wujud dan digunakan oleh orang Arab semenjak sebelum Islam, akan tetapi itu tidak bermakna mereka memahami maknanya yang hakiki.

Sebaliknya mereka telah mensyirikkan maknanya sehinggakan kalimah Allah yang mereka sebut itu sudah hilang hakikatnya, yakni mereka menyebut Allah, tetapi mereka maksudkan yang lain.

Contohnya: sekiranya yang dimaksudkan itu ialah Tuhan yang beranak atau diperanakkan maka itu bukanlah Allah, kerana Allah Maha Esa, tidak beranak mahupun diperanakkan.

Sekiranya mereka berkeras dengan pendapat mereka walaupun setelah nyata kebenaran, maka itu adalah pendustaan dan kekufuran. Justeru al-Quran mengisytiharkan: “Sesungguhnya kufurlah orang-orang yang berkata bahawa Allah itu satu dari tiga” (al-Ma’idah: 73).

Mereka kufur kerana apa yang mereka katakan tentang Allah itu tidak benar, dengan kata lain apa yang mereka maksudkan itu pada hakikatnya adalah pendustaan terhadap Allah.

Ketiga: kedatangan Islam adalah bagi menyucikan kalimah itu daripada penyelewengan makna yang telah berleluasa dan berlarutan zaman-berzaman. Justeru Islam datang dengan kalimah tayyibah (kalimah yang elok): la ilaha illallah, yang mengandungi penafian segala kepalsuan yang dinisbahkan kepada Allah dan pengisbatan bahawa yang layak disembah hanyalah Allah.

Adalah jauh daripada kebenaran mereka yang mendakwa Islam tidak pernah melarang sesiapa pun menggunakan kalimah Allah. Bukankah syirik kemungkaran terbesar yang diperangi oleh Islam? Sesiapa pun yang mensyirikkan Allah pada hakikatnya telah memalsukan makna kalimah itu walaupun mereka tetap menuturkan kalimah itu dengan lidah mereka.

Keempat: oleh kerana bahasa Melayu adalah bahasa Islami, makna yang diisbatkan bagi kalimah ‘Allah’ ialah makna yang dikehendaki oleh al-Quran.

Justeru, usaha memberikan makna yang lain bagi kalimah itu mesti dianggap sebagai usaha merosakkan keaslian bahasa Melayu, dan oleh itu menjadi tanggungjawab orang Melayu dan kerajaan yang dipimpin mereka memelihara kesucian bahasa mereka agar tidak dicemari oleh unsur-unsur asing yang boleh mengelirukan pandangan hidupnya.

Dalam kekalutan menghadapi acahan ini kita melihat langkah sumbang para ustaz yang diharapkan oleh masyarakat untuk meleraikan kekeliruan mereka. Seorang ustaz berkata: bahasa dan kalimah yang disebut tidak penting dalam soal akidah Islam.

Daripada ustaz ini harus dituntut penjelasan apakah perbezaan antara kalimah yang baik (kalimah tayyibah) dengan kalimah yang keji (kalimah khabithah) kerana al-Quran sendiri membangkitkan persoalan ini (Ibrahim: 24-27), dan menegaskan bahawa “Allah menetapkan hati orang-orang yang beriman dengan kata-kata yang sabit (yakni la’ilaha illallah) dalam kehidupan dunia dan akhirat, dan Allah menyesatkan orang-orang yang zalim”.

Apa yang ustaz itu katakan adalah suatu kekeliruan kerana akidah yang benar tidak boleh dipisahkan daripada kalimah yang benar. Alangkah berlawanan sekali apa yang dikatakan itu berbanding seruannya agar umat Islam kembali kepada al-Quran dan Sunnah sedangkan apa yang tercatat pada kedua-duanya itu tidak lain daripada kalimah-kalimah!

Ustaz yang sama juga dengan semberononya menyalahkan ilmu kalam sebagai punca kelemahan akidah kaum Muslimin hari ini. Pada hakikatnya para ustaz yang jahil ilmu kalam seperti beliaulah yang menjadi punca kemerosotan pemikiran Muslim hari ini.

Lantaran kejahilan mereka sendiri, telah memusuhi ilmu kalam dan ahlinya (mutakallimun) yang banyak berjasa itu. Bagaimana boleh dimusuhi ilmu yang memberikan keahlian kepada seseorang bagi memahami Kalam Allah?

Para mutakallimun adalah orang yang amat menginsafi hakikat bahawa bahasa tidak boleh dipisah daripada akal. Justeru al-Quran diturunkan dalam bentuk bahasa kepada makhluk Allah yang berakal kerana hanya yang berakal mampu memahami dan memanfaatkan bahasa.

Sebagaimana Allah mengajarkan kita agamanya dengan perantaraan bahasa, demikian jugalah kita menyampaikannya kepada seluruh manusia. Adakah bahasa yang lebih baik daripada yang disusun menurut tertib berfikir yang sihat? Kerana bahasa juga boleh dijadikan alat menyebarkan pemikiran dan akidah yang sesat.

Di sinilah sumbangan besar ilmu Kalam dan para mutakallimun. Mereka mara ke hadapan menghadapi ancaman pemikiran asing menggunakan bahasa bertertib logik bagi mengisbatkan tauhid dan menghancurkan syirik.

Syirik dalam bentuk penyembahan berhala amat mudah difahami walaupun oleh si badwi yang hidup berkelana di padang pasir. Akan tetapi Islam bukan diturunkan hanya untuk orang yang tahap pemikirannya seperti si badwi itu.

Allah mengangkat darjat orang-orang yang beriman dan dikurniakan ilmu kepada darjat-darjat yang berbagai (al-Mujadalah: 11) kerana tahap akal dan kefahaman mereka tidak setaraf.

Persoalan yang mendasari perbezaan antara agama khususnya antara agama Islam dan Kristian memerlukan kefahaman yang mendalam terhadap dasar-dasar pemikiran, yakni falsafah.

Asas-asas pemikiran yang mendasari kebudayaan Barat yang begitu berpengaruh pada hari ini juga adalah berakar-umbikan falsafah. Justeru, bagi menghadapi mereka, ilmu kalam dan tradisinya perlu dihidupkan kembali bukan diperangi dan diperlekehkan.

Unsur-unsur syirik yang terkandung dalam falsafah dan ideologi tidak mungkin difahami oleh si badwi dan orang-orang yang memiliki tahap pemikiran setaraf dengannya.

Demikian jugalah tauhid, ia hanyalah omongan kosong jika diserahkan pengajarannya di tangan orang yang bukan sahaja tiada kewibawaan tetapi juga terlalu bongkak untuk mengenali dan mengakui empunya wibawa yang sebenar. Inilah masalah sebenar kita.

PENULIS ialah Fellow Pusat Syariah, Undang-undang dan Sains Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia

Sumber: Utusan Malaysia

dipetik dari http://www.iii.com.my/

Penggunaan kalimah Allah January 11, 2010

Posted by membelaislam in Kes Kalimah Allah.
Tags: ,
add a comment
Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

SEMINGGU dua ini, negara amnya dan masyarakat Islam khasnya hangat membicarakan tentang penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama selain Islam. Ruangan ini turut terpanggil untuk cuba menjernihkan fahaman dalam isu ini.

Terutama apabila ada juga tokoh dan individu Islam yang mengeluarkan pandangan mempertahankan keputusan mahkamah tinggi baru-baru ini yang membenarkan satu penerbitan Kristian Katholik untuk menggunakan kalimah Allah.

Apabila menimbangkan boleh atau tidak sesuatu itu dilakukan di sisi Islam, kaedah syarak menuntut kita mengenal-pasti hukum asal perkara tersebut serta turut memahami realiti sebenar atau situasi yang melatari sesuatu perbuatan atau isu.

Dalam ruang yang terbatas ini, kami akan membentangkan beberapa hujah di sebalik pandangan yang mengharamkan penggunaan kalimah Allah oleh agama-agama selain Islam.

Di dalam al-Quran sendiri terdapat beberapa ayat yang membawa larangan dan peringatan tentang menyalah-gunakan nama Allah.

Allah SWT berfirman yang maksud-Nya: Tuhan yang mencipta dan mentadbir langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya; oleh itu, sembahlah engkau akan Dia dan bersabarlah dengan tekun tetap dalam beribadat kepadanya. Adakah engkau mengetahui sesiapa pun yang senama dan sebanding dengan-Nya? (Maryam: 65)

Ayat ini ditafsirkan oleh para ulama dengan beberapa tafsiran:

lDi dalam kitab Tafsir Hadaiq al Rauh wa al Raihan H: 187 ayat ini ditafsirkan dengan maksud: Adakah kamu mengetahui, wahai Muhammad! Bagi Tuhan Yang Maha Suci ada perkongsian pada namaNya (pada menamakan-Nya dengan lafaz al Jalalah atau dengan Tuhan tujuh petala langit dan bumi. Ayat istifham (soalan) ini didatangkan dengan tujuan ingkar, iaitu maknanya: Sesungguhnya Allah itu tidak ada baginya misal atau bandingan sehingga Dia boleh disekutukan dalam ibadah dan dari sini akan melazimkan nama ini tidak khusus bagi Allah. Apabila ternafinya sekutu bagi Allah, maka layaklah Allah itu di-Esakan dalam ibadah dan dikhususkan baginya.

lPendapat kedua mengatakan maknanya: Adakah kamu mengetahui seseorang yang dinamakan dengan Allah selain Allah. Atau, nama yang lain dari nama yang Allah sendiri namakan bagi diri-Nya.

lPendapat ketiga mengatakan maknanya: Adakah kamu mengetahui seseorang yang layak dengan kesempurnaan nama-nama dan sifat-sifat yang layak bagi Allah.

lPendapat keempat mengatakan maknanya: Adakah kamu mengetahui nama yang lebih agung daripada nama yang unggul ini. Atau, nama-Nya diterbitkan dari sesuatu seperti nama-nama makhluk-Nya.

Sesungguhnya Allah itu tiada satu pun yang menyerupai-Nya. Ia adalah nama yang hanya menunjukkan kepada Zat Tuhan yang tertegak pada-Nya sifat-sifat.

Sama seperti isim alam yang lain yang menunjukkan kepada apa yang dinamakan tanpa diambil daripada mana-mana nama. Ia adalah nama yang diungguli oleh Allah, yang dikhususkan bagi diri-Nya dan disifatkan bagi Zat-Nya.

Ia didahulukan dari nama-nama-Nya yang lain dan nama-nama-Nya yang lain bersandar kepada nama ini dan semua nama yang datang selepasnya adalah sifat bagi-Nya dan bersangkutan dengannya.

Nama-nama Allah

Nama-nama Allah SWT yang lain disifatkan sebagai nama-nama Allah SWT yang lain dan kebiasaannya hanya dikenali dengan disandarkan kepadanya (Allah).

Oleh itu disebut, ia adalah nama-nama Allah dan tidak disebut ia adalah nama-nama al Sabur, al Ghafur, al Jabbar dan sebagainya.

Demikian juga keIslaman seseorang itu tidak akan sempurna melainkan dengan menyebut nama yang satu ini. Ia tidak menerima sebarang gantian dan tidak disebut nama gantiannya yang lain.

Misalnya dengan mengucapkan dalam syahadah dengan kalimah, “Tiada Tuhan melainkan al Ghaffar, atau al Rahim atau al Jabbar dan sebagainya.

Hanya yang digunakan dan disebut adalah, “Tiada Tuhan melainkan Allah”. Inilah juga yang disebut oleh al-Quran dan hadis kerana ia adalah nama yang paling menunjukkan kepada hakikat makna Ilahiyyah dan dikhususkan baginya.

Ia juga adalah nama yang tidak memerlukan kepada nama-nama yang lain untuk diperkenalkan tetapi nama-nama yang lain itu dikenali dengan disandarkan kepadanya.

Perkataan Allah itu sudah mencukupi bagi pertuturan dan zikir (sebutan) tanpa perlu disifatkan dan di takhalluq (disifatkan manusia dengan sifat-Nya).

Allah telah menegaskan di dalam Kitabnya yang mulia: Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepada-Nya dengan menyebut nama-nama itu, dan pulaukanlah orang yang berpaling dari kebenaran dalam masa menggunakan nama-nama-Nya. Mereka akan mendapat balasan mengenai apa yang mereka telah kerjakan. (al-A’raaf: 180)

Berdasarkan ayat di atas, terdapat beberapa pendapat ulama tentang maksud mulhid:

Berkata Mujahid: Mulhid ialah orang yang menamakan Allah sebagai bapa dan berhala-berhala mereka sebagai tuhan-tuhan dan seumpamanya.

Berkata Ibnu Abbas makna (Yulhidun) ialah mendustai.

Berkata Qatadah: Maknanya mensyirikkan Allah.

Berkata al Khattabi: Salah dalam menamakan Allah dan menyimpang dari nama-Nya yang sebenar adalah Mulhid. (Al Bahr al Muhit fi al Tafsir jld 5 H: 232)

Maksud ayat ini, Allah Yang Maha Suci, bukan yang lain-Nya, mempunyai nama-nama yang sebaik-baiknya dan seagung-agungnya bagi menunjukkan kepada sebaik-baik dan semulia-mulia nama-Nya.

Merujuk kepada ayat-ayat di atas, kita boleh menyimpulkan bahawa nama-nama Allah, apatah lagi kalimah Allah itu sendiri sebagai nama yang khusus bagi Allah SWT bukanlah boleh digunakan sewenang-wenangnya dan tanpa batasan.

Pelbagai hujah lain yang mendokong larangan penggunaan kalimah Allah ini datangnya dari pelbagai sudut termasuk bahasa, falsafah dan seumpamanya.

Oleh kerana kesuntukan ruang, kami mengesyorkan dua tulisan yang memuatkan hujah-hujah ini secara lebih panjang.

Ia boleh didapati dengan mudah di Internet iaitu makalah bertajuk ‘Antara Nama dan Hakikat’ oleh Md. Asham Ahmad serta makalah ‘Hujah Menolak Penggunaan Kalimah Allah oleh Kristian’ oleh Mohd. Aizam Mas’od.

‘Bermain’

‘Bermain’ hujah dan dalil berkaitan isu ini sebenarnya bukanlah urusan orang awam dan mereka yang bukan berkeahlian.

Oleh itu kita harus bersyukur kerana sebenarnya sudah ada suatu keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dalam isu ini yang bertarikh 7 Mei 2008.

Keputusan fatwa ini jelas mengkhususkan penggunaan kalimah Allah bagi orang Islam. Kami dimaklumkan bahawa hanya empat negeri sahaja yang belum mewartakan keputusan fatwa ini sebagai fatwa rasmi negeri.

Perlu juga diingat bahawa terdapat beberapa keputusan Kabinet mengenai larangan yang sama.

Dari segi undang-undang perlembagaan dan sivil pula, Perkara 11(4) telah membolehkan negeri-negeri di Malaysia meluluskan Enakmen Kawalan Pengembangan Agama di kalangan orang Islam.

Undang-undang yang telah diluluskan di 10 negeri ini jelas melarang penggunaan kalimah Allah dan beberapa kalimah lain oleh agama selain Islam.

Kita tidak menafikan bahawa mungkin masih ada perbezaan pandangan di kalangan segelintir para ulama dan ilmuwan Islam tentang hal ini.

Namun bukankah hujah-hujah yang melarangnya seperti yang sebahagiannya kami nukilkan di sini menuntut kita lebih berhati-hati dan berwaspada dalam isu ini?

Apatah lagi jika diinsafi bahawa kita sekarang bukannya membicarakan isu-isu cabangan dalam agama yang lebih rendah kedudukannya.

Isu yang kita bahaskan ini melibatkan adab kita dengan Allah Rabbul Jalil.

Jika kita tidak berhati-hati kita boleh tergelincir hingga berlaku kurang beradab dan hormat kepada Allah, Tuhan sekelian alam.

Rasulullah SAW ada berpesan dalam suatu hadis yang dianggap antara hadis-hadis induk dalam Islam bahawa, Perkara yang Halal itu jelas dan perkara yang haram itu jelas. Dan di antara kedua-duanya ada perkara-perkara yang Syubhah yang tidak diketahui hakikatnya oleh kebanyakan manusia. Dan sesiapa yang menjauhi perkara Syubhah maka dia telah benar-benar menjaga kesucian agamanya dan maruahnya. Seumpama pengembala yang membawa ternaknya ke sempadan kawasan larangan. Sangat dibimbangi akan termasuk ke dalamnya. (riwayat Imam Bukhari dan selainnya serta termasuk dalam himpunan Hadis 40 oleh Imam al-Nawawi)

Lalu kita ingin tanyakan, bukankah dalam isu ini yang melibatkan hak dan adab dengan Allah SWT kita lebih-lebih wajar menjauhi batas-batas syubhat kalaupun ada di kalangan kita tidak meyakini pengharamannya secara pasti?

Berasaskan semangat ini dan berbekalkan fatwa, undang-undang dan keputusan yang sedia ada marilah kita sekalian umat Islam di Malaysia mempersatukan saf dalam mengambil pendirian dalam hal ini.

Maslahah ummah amat jelas memerlukan sikap ini sedangkan maslahah untuk membenarkan penggunaan kalimah Allah bagi agama yang lain dalam konteks Malaysia sangatlah kabur dan rapuh.

Umat Islam yang cintakan kesepaduan dan kekuatan ummah seharusnya mengenepikan perbezaan pandangan yang terlalu akademik dalam isu ini dan mengutamakan perkiraan maslahah ini.

Semoga Allah SWT membuka jalan penyelesaian dan keselamatan bagi kita semua dalam menghadapi persoalan ini. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

Utusan Malaysia 10 Januari 2010

Gugurkan tuntutan January 11, 2010

Posted by membelaislam in Kes Kalimah Allah.
Tags: ,
add a comment

Oleh Zulhisham Ishak – pengarang@utusan.com.my

KOTA KINABALU 10 Jan. – Akhbar Herald-The Catholic Weekly perlu bersedia menggugurkan kes tuntutan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam di mahkamah berikutan perkembangan yang semakin membimbangkan hingga mengakibatkan beberapa gereja dibakar.

Presiden Majlis Jaksa Pendamai Malaysia, Datuk Clarence Bongkos Malakun berkata, langkah tersebut perlu untuk keamanan dan kestabilan rakyat berbilang kaum di negara ini.

‘‘Sudah tiba masanya kita, masyarakat Kristian khususnya Katholik membuat penilaian kepada keadaan sekarang demi keselamatan dan ketenteraman awam supaya dengan senang hati menggugurkan perkataan Allah untuk menenangkan saudara Islam kita.

‘‘Daripada terus mendesak hak untuk menggunakan perkataan Allah adalah lebih baik jika Katholik hanya menggunakan perkataan ‘Tuhan’ atau ‘Tuhan Yang Maha Kuasa’.

‘‘Biarlah saudara Islam kita sahaja yang menggunakan perkataan Allah untuk kebajikan supaya kita dapat hidup aman damai dan harmoni di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kelmarin, dua gereja – satu di Desa Melawati, Kuala Lumpur dan satu lagi di Jalan Templer, Petaling Jaya – mengalami kebakaran manakala satu lagi juga di Petaling Jaya menerima ugutan.

Kejadian itu mendapat kecaman daripada parti komponen Barisan Nasional (BN) dan pembangkang selain turut mengundang reaksi serupa dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang melawat gereja di Desa Melawati, semalam, mengumumkan peruntukan RM500,000 untuk membolehkan pentadbiran gereja itu membuka rumah ibadat baru di kawasan lain.

Sementara itu Clarence berkata, alasan sesetengah pemimpin Kristian bahawa kalimah Allah perlu dibenarkan hanya kerana ia sudah digunakan sejak sekian lama adalah tidak wajar.

Tegas beliau, Kristian di negara ini juga tidak sama seperti diamalkan di Indonesia, Mesir, Iraq atau Yemen kerana Malaysia mempunyai perlembagaan yang berbeza.

‘‘Tidak harus bagi kita mempertikai yang Allah biasa digunakan oleh masyarakat Kristian di negara luar kerana kita berada di Malaysia, jadi kita harus patuhi semua undang-undang dan peraturan.

‘‘Adakah kalau kita atau pihak gereja tidak gunakan perkataan Allah maka secara tiba-tiba para pengikut agama Kristian akan bertambah atau berkurang 10 kali ganda,” soalnya.

Beliau sedar ramai penganut Kristian akan mengkritik pendiriannya tetapi mereka perlu faham dan menghayati ajaran agama itu yang menyuruh pengikutnya memaafkan orang lain.

“Jika kita benar-benar Kristian, kita harus jadi orang yang memaafkan, bertanggungjawab dan cintakan keamanan. Kenapa kita harus bergaduh untuk satu perkataan,” ujarnya.

Clarence yang juga Pengerusi Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah berkata, umat Kristian perlu faham mengapa orang Islam amat marah apabila kalimah itu dibenarkan penggunaannya.

Jelasnya, Allah adalah Tuhan bagi orang Islam manakala orang-orang Kristian pula lain kepercayaannya dan kalimah itu juga sudah lama digunakan secara tradisinya oleh agama Islam.

Artikel berkaitan: Back To The Future – Pengeboman Gereja

Gambar-gambar Perhimpunan Bantah Penggunaan Kalimah Allah January 9, 2010

Posted by membelaislam in Kes Kalimah Allah.
Tags: , , , ,
add a comment

Di Masjid Kg Baru, Kuala Lumpur

Di Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu

Di Masjid Negara, Kuala Lumpur

Sidang Media Bantahan Bersama NGO-NGO Islam Terhadap Keputusan Penghakiman Kes Kalimah Allah January 7, 2010

Posted by membelaislam in Kes Kalimah Allah.
Tags: , ,
add a comment

Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT) bersama NGO-NGO Islam akan mengadakan satu sidang media membantah keputusan penghakiman kes kalimah Allah oleh mahkamah tinggi baru-baru ini

Tarikh: 7hb Januari 2010/21 Muharam 1431 (Khamis)

Masa: 11:30 pagi

Tempat: Pejabat MUAFAKAT

No. 25 Jalan Bandar 3
Taman Melawati,
53100 Kuala Kumpur

(untuk peta sila rujuk: http://muafakatmalaysia.wordpress.com/about/)

Pengesahan atau sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Setiausaha Agung MUAFAKAT Sdr. A. Karim Omar (019-3199-788) atau e-mel (akarimomar@yahoo.com).

Atau rujuk http://muafakatmalaysia.wordpress.com/2010/01/06/sidang-media-berhubung-kalimah-allah/

Kalimah Allah: Kerajaan Tidak Halang Rakyat Suarakan Pendapat – Hishammuddin January 7, 2010

Posted by membelaislam in Kes Kalimah Allah.
Tags: , , ,
add a comment

PUTRAJAYA, 6 Jan (Bernama) — Kerajaan tidak menghalang rakyat untuk menyuarakan pendapat mereka berhubung penggunaan kalimah “Allah” oleh majalah mingguan Katolik, Herald, dengan syarat ia tidak menjejaskan keselamatan negara.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata kementerian juga akan melakukan pemantauan terhadap laman-laman blog berhubung perkara itu dan akan mengambil tindakan jika ia mengancam keselamatan negara.

“Jika menjejaskan keselamatan, itu memang tugas kita untuk memastikan bahawa tindakan mereka itu akan diadili, atau ambil tindakan sebelum ia berlarutan dan wujud insiden yang tidak diingini,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pasca Kabinet peringkat kementerian di sini Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai rancangan beberapa pertubuhan untuk mengadakan demonstrasi Jumaat ini bagi membantah penggunaan kalimah Allah bagi agama lain.

Ditanya sama ada kementerian akan membenarkan demonstrasi sedemikian diadakan, beliau berkata: “Buat masa ini, dalam keadaan seperti ini, jika tidak dibenarkan, ia akan mewujudkan emosi dan jika dibenarkan, emosi itu akan sampai ke tahap yang tidak dapat dikawal, ini akan menjejaskan keselamatan negara,” katanya.

Ditanya sama ada demonstrasi yang akan diadakan Jumaat ini akan dihalang oleh kementerian, beliau berkata: “Kita tengoklah, ada permohonan atau tidak.

Di kementerian ini, kami tidak berdasarkan kepada kemungkinan dari segi demonstrasi dan sebagainya. Mereka perlu memohon permit.

“Kami mempunyai kaedah untuk memantau apa yang dirancang tetapi pokok pangkalnya adalah soal keselamatan,” katanya.

Hishammuddin turut meminta semua pihak agar bertenang bagi membolehkan proses mahkamah berjalan seperti yang diharapkan berikutan keputusan Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan penangguhan perintah yang dikeluarkan sebelum ini.

“Perkara ini sedang dibicarakan di mahkamah. Saya harap semua pihak agar tidak menggembar-gemburkan perkara ini lebih daripada apa yang sepatutnya,” katanya.

Beliau berkata menjadi tugas kementerian untuk memastikan negara dan rakyat selamat dan mengenai isu sensitif dan beremosi, pihak berkuasa juga perlu bijak dan sabar dalam usaha menangani perkara itu.

“Isu berhubung agama dan kaum, sentiasa menjadi perkara yang sensitif yang boleh mengancam dan menidakkan keharmonian negara. Dalam hal ini, hanya pemimpin yang bijaksana, tidak ada kepentingan peribadi, politik atau kaum sahaja yang boleh membuat keputusan yang tepat.

– BERNAMA

Nyatakan Bantahan Anda Terhadap Keputusan Penghakiman Penggunaan Kalimah Allah January 6, 2010

Posted by membelaislam in Kes Kalimah Allah.
Tags: , ,
1 comment so far
Ape respon anda?

Pada 31 Disember 2009, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Lau Bee Lan memutuskan Majalah mingguan Katolik, Herald, boleh menggunakan perkataan “Allah” dalam penerbitannya.

Nyatakan pendirian anda di laman PPIM ini:

BORANG PETISYEN BANTAHAN
Bantahan terhadap keputusan mahkamah tinggi yang membenarkan Gereja Herald menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya.

http://www.muslimconsumer.org.my/herald/

Kementerian Dalam Negeri Fail Rayuan Terhadap Penggunaan Kalimah Allah January 5, 2010

Posted by membelaislam in Kes Kalimah Allah.
Tags: , ,
add a comment

KUALA LUMPUR, 4 Jan (Bernama) — Kementerian Dalam Negeri pada Isnin memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan perkataan “Allah” digunakan dalam majalah mingguan terbitan gereja Katholik, Herald.

Selasa, kementerian itu akan memfailkan permohonan bagi penangguhan pelaksanaan perintah mahkamah itu yang dibuat pada 31 Dis.

“Notis penangguhan pelaksanaan perintah itu akan difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur manakala notis rayuan difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan,” kata Peguam Kanan Persekutuan Datuk Kamaluddin Md Said semasa dihubungi.

Semasa Mahkamah Tinggi mengumumkan keputusan itu pada 31 Dis, Kamaluddin telah memaklumkan mahkamah yang beliau akan mendapatkan arahan lanjut daripada Kementerian Dalam negeri dan kerajaan sama ada akan merayu atau memohon penangguhan pelaksanaan keputusan itu.

Hakim Datuk Lau Bee Lan memutuskan mengikut Perkara 11 dan 12 Perlembagaan Persekutuan, Herald mempunyai hak perlembagaan untuk menggunakan perkataan itu bagi tujuan tunjuk ajar dan pendidikan penganut agama Kristian.

Beliau juga berkata mengikut Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan, adalah menjadi satu kesalahan bagi bukan Islam menggunakan perkataan “Allah” untuk menyebarkan agama itu kepada orang Islam tetapi bukan satu kesalahan bagi bukan Islam menggunakan perkataan itu kepada bukan Islam bagi tujuan keagamaan.

Pada 16 Feb lepas, Ketua Paderi Roman Katolik Kuala Lumpur Tan Sri Murphy Pakiam, sebagai penerbit majalah itu, memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman bagi menuntut satu deklarasi bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri melarang beliau menggunakan perkataan “Allah” dalam majalah itu adalah haram dan perkataan itu bukan eksklusif bagi agama Islam.

Herald, yang diterbitkan dalam empat bahasa, telah menggunakan perkataan ‘Allah’ sebagai terjemahan bagi ‘God’ dalam bahagian bahasa Malaysia. Perkataan ‘Allah’ digunakan secara meluas di kalangan pelbagai etnik beragama kristian di Sabah dan Sarawak, kebanyakan mereka bertutur dalam bahasa Malaysia.

Kementerian Dalam Negeri memberikan justifikasi bagi larangan penggunaan perkataan itu oleh majalah itu atas alasan demi keselamatan negara dan mengelakkan salah faham dan kekeliruan di kalangan orang Islam.

– BERNAMA

Kes Kalimah Allah – Kenyataan Media KP JAKIM January 4, 2010

Posted by membelaislam in Kes Kalimah Allah.
Tags: , , , ,
add a comment

Ruj. Kami : Jakim(2.00)/8/3 Jld. 3(34)
Tarikh : 4 Januari 2010

KENYATAAN MEDIA

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Berkenaan Keputusan Mahkamah Tinggi Mengenai Penggunaan Kalimah Allah

1. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berpandangan TS Murphy Pakiam Archbishop Roman Catholic Kuala Lumpur harus mengguna kebijaksanaannya agar tidak menggunakan lafaz Allah dalam sebarang bahan terbitan pihaknya atau lain-lain. Selain dari kes ini belum muktamad dan masih dalam proses kehakiman, sensitiviti umat Islam dan martabat Islam dalam Perlembagaan Persekutuan wajib diambil kira. Kita sama-sama bertanggungjawab menyekat ruang bagi kelompok ekstremis bergerak dalam pertubuhan agama masing-masing. Pengalaman di India di mana pelampau Hindu membakar gereja dan masjid harus dijadikan iktibar. Keharmonian yang sedia wujud di Malaysia perlu dihargai bersama. Nasihat Y.A.B. Perdana Menteri perlu kita beri perhatian bersama.

2. JAKIM hairan kerana dalam Perlembagaan Persekutuan, agama Islam adalah satu-satunya nama agama yang disebut tetapi kelihatan agama lain yang lebih diraikan.

3. Islam sebagai Agama Persekutuan di negara ini perlu dijunjung dan dihormati oleh semua sebagaimana S.P.B. Yang Di Pertuan Agong sebagai Ketua Negara perlu ditaati oleh semua. Begitu juga kedudukan Raja-Raja yang menjadi Raja bagi seluruh rakyat jelatanya dan bukan untuk kaum-kaum tertentu.

4. Inilah realiti Malaysia yang perlu difahami semua, pengundi yang tidak pernah seumur hidupnya mengundi parti pimpinan Perdana Menteri mesti menerima kenyataan bahawa beliau adalah Perdana Menteri untuk semua.

5. Sehubungan itu, saya menasihati semua pihak agar memahami dan menghayati realiti serta menjunjung semangat Perlembagaan di negara Malaysia, Islam tetap agama negara yang dimartabatkan oleh Perlembagaan Persekutuan walaupun anda tidak menganutnya.

6. Sementara itu bagi umat Islam, apapun pandangan penganut lain tentang lafaz Allah, ia adalah lafaz suci yang merujuk kepada tuhan yang Esa, tidak beranak dan tidak diperanakkan.

7. Oleh itu, sukacita dipohon pihak media dapat memaklumkan perkara ini kepada masyarakat.
Sekian, terima kasih.

BERKHIDMAT UNTUK NEGARA
Saya yang menurut perintah,
DATO’ HAJI WAN MOHAMAD BIN DATO’ SHEIKH ABDUL AZIZ

13 NGO Buat Laporan Polis Bantah Majalah Guna Kalimah Allah January 3, 2010

Posted by membelaislam in Kes Kalimah Allah.
Tags: ,
add a comment

KUALA LUMPUR, 3 Jan (Bernama) — Sebanyak 13 badan bukan kerajaan (NGO) Ahad membuat laporan polis kerana membantah tindakan majalah Herald – The Catholic Weekly, menggunakan perkataan Allah dalam penerbitannya.

Antara NGO terbabit ialah Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Ikatan Rakyat India Muslim Malaysia (IRIM), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Belia 4B.

Kesemua NGO tersebut yang diketuai oleh Setiausaha Agung PPIM Datuk Dr Maamor Osman membuat 10 laporan polis berkaitan perkara itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul.

Maamor berkata mereka kecewa dengan keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan perkataan Allah digunakan oleh majalah itu kerana dikhuatiri akan disalahgunakan sehingga menyinggung perasaan umat Islam.

“Kita membuat laporan polis ini kerana bimbang dengan implikasi yang timbul berikutan keputusan mahkamah itu dan akan berjuang bagi menentukan kedudukan dan kesucian agama Islam tidak dicemarkan.

“Justeru kita membuat laporan polis agar dalang isu ini disiasat kerana isu sensitif sebegini boleh memporakperandakan 1Malaysia sedangkan ianya tidak patut diprovokasikan,” katanya kepada pemberita di luar perkarangan IPD Sentul.

Beliau berkata jika isu terbabit tidak dapat diselesaikan segera, kesemua NGO tersebut akan mengadakan perhimpunan besar-besaran selepas Solat Jumaat di masjid-masjid utama di Kuala Lumpur bagi membantah keputusan tersebut.

Sementara itu Presiden PKPIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata tidak mustahil selepas ini nama Allah digantung dan digunakan sewenang-wenangnya di premis dan restoran makanan bukan Islam jika isu tersebut tidak disekat.

– BERNAMA

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.