jump to navigation

Kalimah Allah: Kerajaan Tidak Halang Rakyat Suarakan Pendapat – Hishammuddin January 7, 2010

Posted by membelaislam in Kes Kalimah Allah.
Tags: , , ,
add a comment

PUTRAJAYA, 6 Jan (Bernama) — Kerajaan tidak menghalang rakyat untuk menyuarakan pendapat mereka berhubung penggunaan kalimah “Allah” oleh majalah mingguan Katolik, Herald, dengan syarat ia tidak menjejaskan keselamatan negara.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata kementerian juga akan melakukan pemantauan terhadap laman-laman blog berhubung perkara itu dan akan mengambil tindakan jika ia mengancam keselamatan negara.

“Jika menjejaskan keselamatan, itu memang tugas kita untuk memastikan bahawa tindakan mereka itu akan diadili, atau ambil tindakan sebelum ia berlarutan dan wujud insiden yang tidak diingini,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pasca Kabinet peringkat kementerian di sini Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai rancangan beberapa pertubuhan untuk mengadakan demonstrasi Jumaat ini bagi membantah penggunaan kalimah Allah bagi agama lain.

Ditanya sama ada kementerian akan membenarkan demonstrasi sedemikian diadakan, beliau berkata: “Buat masa ini, dalam keadaan seperti ini, jika tidak dibenarkan, ia akan mewujudkan emosi dan jika dibenarkan, emosi itu akan sampai ke tahap yang tidak dapat dikawal, ini akan menjejaskan keselamatan negara,” katanya.

Ditanya sama ada demonstrasi yang akan diadakan Jumaat ini akan dihalang oleh kementerian, beliau berkata: “Kita tengoklah, ada permohonan atau tidak.

Di kementerian ini, kami tidak berdasarkan kepada kemungkinan dari segi demonstrasi dan sebagainya. Mereka perlu memohon permit.

“Kami mempunyai kaedah untuk memantau apa yang dirancang tetapi pokok pangkalnya adalah soal keselamatan,” katanya.

Hishammuddin turut meminta semua pihak agar bertenang bagi membolehkan proses mahkamah berjalan seperti yang diharapkan berikutan keputusan Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan penangguhan perintah yang dikeluarkan sebelum ini.

“Perkara ini sedang dibicarakan di mahkamah. Saya harap semua pihak agar tidak menggembar-gemburkan perkara ini lebih daripada apa yang sepatutnya,” katanya.

Beliau berkata menjadi tugas kementerian untuk memastikan negara dan rakyat selamat dan mengenai isu sensitif dan beremosi, pihak berkuasa juga perlu bijak dan sabar dalam usaha menangani perkara itu.

“Isu berhubung agama dan kaum, sentiasa menjadi perkara yang sensitif yang boleh mengancam dan menidakkan keharmonian negara. Dalam hal ini, hanya pemimpin yang bijaksana, tidak ada kepentingan peribadi, politik atau kaum sahaja yang boleh membuat keputusan yang tepat.

– BERNAMA

Kementerian Dalam Negeri Fail Rayuan Terhadap Penggunaan Kalimah Allah January 5, 2010

Posted by membelaislam in Kes Kalimah Allah.
Tags: , ,
add a comment

KUALA LUMPUR, 4 Jan (Bernama) — Kementerian Dalam Negeri pada Isnin memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan perkataan “Allah” digunakan dalam majalah mingguan terbitan gereja Katholik, Herald.

Selasa, kementerian itu akan memfailkan permohonan bagi penangguhan pelaksanaan perintah mahkamah itu yang dibuat pada 31 Dis.

“Notis penangguhan pelaksanaan perintah itu akan difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur manakala notis rayuan difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan,” kata Peguam Kanan Persekutuan Datuk Kamaluddin Md Said semasa dihubungi.

Semasa Mahkamah Tinggi mengumumkan keputusan itu pada 31 Dis, Kamaluddin telah memaklumkan mahkamah yang beliau akan mendapatkan arahan lanjut daripada Kementerian Dalam negeri dan kerajaan sama ada akan merayu atau memohon penangguhan pelaksanaan keputusan itu.

Hakim Datuk Lau Bee Lan memutuskan mengikut Perkara 11 dan 12 Perlembagaan Persekutuan, Herald mempunyai hak perlembagaan untuk menggunakan perkataan itu bagi tujuan tunjuk ajar dan pendidikan penganut agama Kristian.

Beliau juga berkata mengikut Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan, adalah menjadi satu kesalahan bagi bukan Islam menggunakan perkataan “Allah” untuk menyebarkan agama itu kepada orang Islam tetapi bukan satu kesalahan bagi bukan Islam menggunakan perkataan itu kepada bukan Islam bagi tujuan keagamaan.

Pada 16 Feb lepas, Ketua Paderi Roman Katolik Kuala Lumpur Tan Sri Murphy Pakiam, sebagai penerbit majalah itu, memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman bagi menuntut satu deklarasi bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri melarang beliau menggunakan perkataan “Allah” dalam majalah itu adalah haram dan perkataan itu bukan eksklusif bagi agama Islam.

Herald, yang diterbitkan dalam empat bahasa, telah menggunakan perkataan ‘Allah’ sebagai terjemahan bagi ‘God’ dalam bahagian bahasa Malaysia. Perkataan ‘Allah’ digunakan secara meluas di kalangan pelbagai etnik beragama kristian di Sabah dan Sarawak, kebanyakan mereka bertutur dalam bahasa Malaysia.

Kementerian Dalam Negeri memberikan justifikasi bagi larangan penggunaan perkataan itu oleh majalah itu atas alasan demi keselamatan negara dan mengelakkan salah faham dan kekeliruan di kalangan orang Islam.

– BERNAMA

Penghakiman Kes Kalimah Allah Memberi Kesan Terhadap Agama Persekutuan January 2, 2010

Posted by membelaislam in Artikel 121(1A) Perlembagaan Persekutuan, Constitution, Kes Kalimah Allah, Rights of Muslims.
Tags: , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , , ,
3 comments

OLEH:

ZAINUL RIJAL ABU BAKAR

Keputusan Hakim Datuk Lau Bee Lan 31 Disember 2009 lepas yang membenarkan Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur menggunakan kalimah Allah  dalam penerbitan mingguannya, Herald –The Catholic Weekly merupakan suatu tamparan yang hebat kepada usaha memartabatkan agama Islam sebagai “ Agama Negara”.  Masyarakat Islam arusperdana melihat penghakiman ini sebagai suatu perkara yang akan menimbulkan kekeliruan dan kegusaran di kalangan umat Islam. Penghakiman ini juga dilihat menghakis keistimewaan agama Islam sebagai agama Persekutuan.

Saya sendiri mendapat banyak panggilan telefon , emel dan surat bertanyakan kesan penghakiman tersebut terhadap kedudukan agama Islam di Malaysia khususnya. Dalam beberapa hari sahaja penghakiman tersebut dikeluarkan keluhan dan ketidakpuasan hati umat Islam ini telah dizahirkan di dalam media-media arusperdana dan media alternatif.

Sebenarnya pendirian umat Islam bukanlah hendak memadam kalimah Allah di dalam kitab-kitab suci agama lain tetapi hanyalah berkisar di sebalik undang-undang yang berkuatkuasa di dalam negara dan keluhuran Perlembagaan Persekutuan. Perkara ini jelas kerana agama Sikh umpamanya yang menggunakan kalimah Allah di dalam bahasa asal kitab suci mereka tidak pernah dihalang daripada membaca ataupun  mengamalkan ajaran di dalam kitab asal mereka. Malah pendirian yang diambil oleh umat Islam bukanlah “peperangan antara kitab suci” tetapi lebih kepada memberi makna dan tafsiran yang jelas kepada peruntukan yang ada di dalam Perlembagaan Persekutuan yang disanjung oleh segenap warganegara Malaysia. Permasalahan yang timbul ialah penerbitan  Herald- The Catholic Weekly ini boleh digapai oleh orang ramai termasuklah orang Islam. Ia sudah tentu diedarkan dan tiada jaminan ia tidak akan sampai kepada orang Islam.

Walaupun usaha beberapa Majlis Islam negeri-negeri seperti Selangor, Wilayah Persekutuan, Trengganu, Johor, Melaka, Pulau Pinang, Perak  dan Kedah  serta Malaysian Chinese Muslim Association (MACMA) gagal mencelah di dalam kes ini, namun usaha ini haruslah diberi penghargaan yang tinggi kerana khususnya Majlis Agama telah menjalankan tanggungjawab statutori mereka di dalam mempertahankan agama Islam dan MACMA yang merupakan NGO tunggal berbuat demikian. Namun persoalan lain pula, di manakah Majlis-Majlis Agama Islam negeri lain? Adakah mereka juga bersekongkol dan bersetuju kalimah Allah ini boleh digunakan oleh pihak Gereja di dalam penerbitan mereka? Majlis-Majlis Agama mempunyai tanggungjawab statutori  menasihati Sultan di dalam hal ehwal agama malah menjaga agama juga diletakkan di bawah tanggungjawab Majlis Agama.

Hanya Islam sahaja satu-satunya  agama yang disebut di dalam Perlembagaan Persekutuan. Tiada agama lain disebut secara spesifik di dalam Perlembagaan Persekutuan melainkan hanya disebut sebagai boleh diamalkan dalam keadaan aman dan harmoni dalam negara sahaja. Ini adalah jaminan Perlembagaan bahawa pengamalan agama lain oleh orang bukan Islam dibenarkan tertakluk kepada Perkara 11(4) iaitu berkaitan sekatan penyebaran agama bukan Islam kepada orang Islam.

Umat Islam adalah umat majoriti di  negara kita. Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan Agama Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan. Makna ‘boleh diamalkan dengan aman dan damai’ ialah agama lain selain agama Islam boleh diamalkan di mana-mana bahagian Persekutuan selagi ia tidak menghakis kedamaian dan keamanan agama bagi Persekutuan iaitu Islam. Inilah kedudukan istimewa Islam.

Kedudukan istimewa Islam ini bolehlah di fahami kerana terdapat peruntukan-peruntukan yang lain yang memberi kelebihan kepada Islam sebagai agama Persekutuan sebagaimana yang termaktub di dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan, antaranya

a)  Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa negeri-negeri boleh mewartakan undang-undang menghalang orang-orang bukan Islam menyebarkan dakyah agama mereka kepada orang Islam Undang-undang Negeri dan mengenai Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan ugama antara orang-orang yang menganuti ugama Islam.;

b) Perkara 12(2) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan Kerajaan Persekutuan diberikuasa untuk mengurus dan menghulur bantuan kepada institusi Islam seperti masjid, sekolah agama dan juga bagi tujuan pembagunan syiar Islam;

c) Perkara 74(2) Perlembagaan Persekutuan pula memperuntukkan Kerajaan Negeri berkuasa membuat undang-undang bagi mentadbir urusan agama Islam.

d) Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan juga telah memberi pengiktirafan kepada Mahkamah Syariah untuk mendengar kes-kes dan persoalan mengenai agama Islam dan Mahkamah Sivil tidak boleh campurtangan, membatalkan ataupun tidak menghiraukan keputusan Mahkamah Syariah.

Penghakiman Hakim Datuk Lau Bee Lan itu memberi kesan yang amat ketara terhadap orang Islam. Ini bermakna orang bukan Islam bebas menggunakan kalimah Allah di dalam penerbitan mereka tersebut selagi ianya adalah di edarkan di kalangan orang bukan Islam. Persoalan yang timbul pula apakah jaminan ianya tidak akan diedarkan kepada orang Islam? Penerbitan tersebut tidak hanya diedarkan di gereja sahaja. Kenapakah pihak gereja begitu beria-ia mahu menggunakan kalimah Allah ini? Tidakkah dengan menggunakan kalimah Allah ini ia akan menggugat kedamaian dan keamanan agama bagi Persekutuan?

Malah keujudan Enakmen Kawalan Pengembangan Agama Bukan Islam Di Kalangan Orang Islam  yang digubal berdasarkan Perkara 11(4) juga tidak mempunyai signifikan secara realitinya.  Enakmen yang telah ujud di beberapa negeri sejak berpuluh tahun masih tidak dilaksanakan. Malah ada negeri yang telah meluluskan enakmen ni masih tidak mewartakan dan memberi tarikh pelaksanaannya. Empat buah negeri pula iaitu Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak masih belum menggubal undang-undang yang sama walaupun mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi sendiri semasa menjadi Perdana Menteri telah berjanji dan mengarahkan negeri-negeri ini menggubal undang-undang tersebut. Sememangnya kepentingan agama Islam seringkali dipinggirkan semasa membuat sebarang tindakan oleh pelbagai pihak. Kenapa kita terlalu abai dalam perkara ini?

Dalam keadaan yang agak tegang ini saya menyeru kepada pihak kerajaan supaya dengan kadar yang segera memfailkan rayuan terhadap keputusan Hakim Lau Bee Lan ini serta memohon menggantung perintah yang dikeluarkan itu. Saya juga menyeru supaya pihak Kerajaan melaksanakan segera Enakmen Kawalan Pengembangan Agama Bukan Islam di Kalangan Orang Islam dan bagi negeri-negeri yang belum menggubal undang-undang tersebut hendaklah berbuat demikian dengan kadar segera.

Majlis Raja –Raja Melayu sebagai ketua  agama negeri-negeri juga perlu membuat ketetapan yang tegas berkaitan dengan perkara ini selaras dengan sumpah jawatan baginda mempertahankan Islam pada setiap masa. Malah  Yang Di Pertuan Agong menurut Perkara 130 Perlembagaan Persekutuan  juga boleh merujuk  ke Mahkamah Persekutuan bagi pentafsiran Perkara 3 tersebut.

Perkara 130 tersebut menyebut Yang di-Pertuan Agong boleh merujukkan kepada Mahkamah Persekutuan untuk pendapatnya apa-apa soal tentang kesan mana-mana peruntukan Perlembagaan ini yang telah berbangkit atau yang tampak padanya mungkin berbangkit, dan Mahkamah Persekutuan hendaklah mengumumkan pendapatnya tentang apa-apa soal yang dirujukkan sedemikian kepadanya itu di dalam mahkamah terbuka.

Oleh yang demikian jika Yang di Pertuan Agong merujuk kepada Mahkamah Persekutuan berkaitan isu ini mungkin akan meredakan ketegangan yang dihadapi oleh umat Islam sekarang.

Tindakan Kementerian Dalam Negeri melarang pihak Gereja menggunakan kalimah Allah adalah kerana KDN sebagai salah sebuah organ kerajaan perlu mempertahankan ikrar Yang Di Pertuan Agong semasa menaiki tahkta iaitu mempertahankan Islam pada setiap masa. Oleh itu segala tindakan yang dibuat oleh pihak kerajaan perlulah sejajar dengan ikrar mempertahankan Islam ini. Secara mudahnya, setiap urusan kerajaan adalah disifatkan sebagai Urusan Seri Paduka Baginda (sebagaimana tertera di dalam sampul surat jabatan kerajaan). Oleh yang demikian adalah tidak masuk akal, urusan tersebut mencabul ikrar yang dibuat oleh Seri Paduka Baginda itu.

Kementerian Dalam Negeri perlu segera merayu keputusan kes ini kerana ia melibatkan kedudukan agama Islam di Malaysia apatah lagi keputusan mahkamah tertinggi di dalam negara perlu bagi menyelesaikan kedudukan ini secara muktamad.

Penulis adalah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia dan boleh dihubungi di zainul.rijal@abubakar.my.

Tun M: Kebenaran Penggunaan Kalimah Allah Perlu Diiringi Syarat Ketat January 2, 2010

Posted by membelaislam in Kes Kalimah Allah.
Tags: , , , , , , , ,
add a comment

KUALA TERENGGANU, 2 Jan (Bernama) — Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan akhbar mingguan Gereja Katholik menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya perlu diiringi syarat yang ketat.

Beliau berkata walau apapun alasan yang diberi sebagai justifikasi keputusan berkenaan, ia tetap menimbulkan kemarahan umat Islam di negara ini.

“Ini kerana terjemahan ‘God’ yang diguna dalam agama lain dalam bahasa Melayu atau Arab ialah ‘Tuhan’, bukan Allah. Allah spesifik Tuhan bagi orang Islam. Kalau mereka faham mereka akan guna perkataan Tuhan, bukan Allah.

“Saya akui kalimah Allah diguna di Sabah dan Sarawak sebelum mereka masuk (bergabung) dalam Malaysia…tapi di Semenanjung ni kita tak pernah dengar pula,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Konvensyen Mahasiswa Melayu di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis lepas yang membenarkan akhbar mingguan Herald-The Catolic Weekly menggunakan perkataan “Allah”.

Pada 16 Feb lepas, Ketua Paderi Roman Katolik Kuala Lumpur Tan Sri Murphy Pakiam, sebagai penerbit majalah itu, memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman bagi menuntut satu deklarasi bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri melarang beliau menggunakan perkataan “Allah” dalam majalah itu adalah haram dan perkataan itu bukan eksklusif bagi agama Islam.

Dr Mahathir berkata sensitiviti umat Islam perlu dipertimbang oleh bukan Islam, sebagaimana umat Islam di negara ini menjaga sensitiviti penganut agama lain bagi mengekalkan keharmonian negara.

“Yang saya khuatir bila Allah diguna oleh mereka, mungkin mereka akan guna secara yang akan timbulkan perasaan marah di kalangan orang Islam, kalau buat sepanduk dan tulis sesuatu yang tak cerminkan agama Islam.

“Kalau mereka nak gunakan (kalimah) Allah, ia harus dikenakan syarat yang ketat,” katanya yang menyerahkan kepada pihak bertanggungjawab untuk mengambil tindakan yang perlu bagi menyelesaikan kemelut itu.

– BERNAMA

MAPIM Merayu Untuk Mengadap Majlis Raja-raja Melayu January 2, 2010

Posted by membelaislam in Kes Kalimah Allah.
Tags: , , , , , , , , , ,
add a comment

Kenyataan Media

1 hb Januari 2010

KES KALIMAH ALLAH – MAPIM MERAYU UNTUK MENGADAP MAJLIS RAJA-RAJA MELAYU

MAPIM menyeru seluruh NGO Islam di seluruh negara untuk bersama-sama bersatu menyatakan keprihatinan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi kelmarin yang mengizinkan penggunaan Kalimah Allah oleh pihak gereja di Malaysia dalam majalahnya Herald.

Bagi kami keputusan yang diistiharkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur kelmarin , Datuk Lau Bee Lan , adalah keputusan yang telah menyentuh persoalan Islam dan kuasa Raja-raja .

MAPIM juga melihat keputusan tersebut juga telah menyentuh persoalan kedudukan istimewa agama Islam dalam Perlembagaan.

MAPIM melihat secara serius implikasi dari keputusan ini . Ia menjadi prisiden untuk pelbagai lagi isu lain yang berkaitan dengan Islam yang dimasa akan datang boleh dibawa ke Mahkamah sivil . Ini dengan jelas akan menggugat kestabilan sosial jika kesucian agama Islam dilihat sering dicabar melalui Mahkamh sivil.

Ternyata pihak yang berkenaan telah menyalahguna kuasa Mahkamah sivil untuk menceroboh dalam urusan agama Islam .

Kami dengan ini mengesa agar pihak berkuasa agama terutama Majlis Raja-raja Melayu segera menegaskan kedudukan Islam dan bidangkuasa institusi Islam dinegeri-negeri .

MAPIM berpendapat proses undang-undang telah disalahguna dan ini tidak boleh dibenarkan selagi bidangkuasa pihak Majlis Raja-raja Melayu terhadap urusan Islam adalah jelas dalam Perlembagaan Persekutuan sendiri.

Dalam hal ini sumpah menjaga agama Islam pada setiap masa dalam pertabalan KDYMM YDP Agong hendaklah diterjemahkan segera demi menjaga martabat dan maruah Islam di negara ini.

Kalimah Allah bagi umat Islam bukan sekadar sebuah nama malah adalah penegasan mengenai Keesaaan Allah yang tidak boleh disamakan dengan maksud yang hendak diguna oleh agama lain dari Islam. Kalimah Allah yang khusus itu ternyata tidak boleh dikompromikan dengan maksud Tuhan yang ada dalam agama lain.

Kami berpendirian kebebasan bersuara dalam mengguna kalimah Allah yang menyentuh soal yang sangat sensitif bagi pengganut agama Islam , tidak boleh hanya dilihat sebagai istilah yang bersifat umum. Perbahasan mengenai hal ini bukan bidang Mahkamh sivil untuk memutuskannya .

Kami mendapati pertimbangan terhadap suasana dan latarbelakang masyarakat Islam serta sejarah kebersamaan hidup bernegara di tanah air ini antara umat Islam dan penganut agama lain telah tidak dihormati oleh pihak yang berkenaan.

Proses undang-undang yang telah diguna oleh gereja untuk mencabar bidangkuasa KDN dalam hal mengguna Kalimah Allah hanya dilihat secara pentadbiran (administrative) dan tidak menimbangkannya secara teliti terhadap sensitiviti umat Islam.

Suasana dan latarbelakang masyarakat negara ini sejak Merdeka telah disepakati agar tidak menggugat kehormanian yang sedia ada. Kenapa sekarang pihak gereja tiba-tiba mahu mencabar keharmonian tersebut?

MAPIM melihat ini sebagai suatu pencerobohan yang sengaja untuk mencabar wibawa pihak berkuasa Islam serta menguji kesabaran umat Islam.

Kami dengan itu merayu agar Majlis Raja-raja Melayu mengadakan sidang tergempar dengan segera untuk menggunakan kuasa yang ada bagi memperbetulkan kekecohan yang timbul.

Kami sangat mengharapkan pihak Majlis Raja-raja melihat isu ini secara serius dan memberi perhatian khusus untuk memastikan tidak ada pihak yang cuba mempermain-mainkan isu agama Islam sebagaimana umat Islam tidak dibenarkan menceroboh dalam urusan agama yang lain.

MAPIM akan mengembleng suluruh umat Islam untuk merayu Majlis Raja-raja Melayu segera berindak.

Kami akan memohon pemegang Mohor di Raja untuk dapat memanjangkan usul ini kepada Majlis Raja-raja Melayu.

Mohd Azmi Abdul Hamid

Setiausaha Agung

Majlis Perunding Pertubuhan-pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM)

Perlu bijaksana bagi menjamin keharmonian kaum January 2, 2010

Posted by membelaislam in Kes Kalimah Allah.
Tags: , , , , , , , , ,
add a comment

KUALA LUMPUR 1 Jan. – Isu penggunaan perkataan Allah dalam penerbitan mingguan Gereja Katolik, Herald-The Catholic Weekly perlu ditangani dengan bijaksana bagi menjamin keharmonian kaum.

Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, dalam negara majmuk seperti Malaysia, konsep adat, budaya, konvensyen, etika dan undang-undang memainkan peranan penting bagi menjamin keharmonian antara kaum.

“Ramai orang bukan Islam di negara ini, menerima hakikat bahawa perkataan Allah dikhaskan kepada orang Islam sahaja.

“Bagaimanapun, saya amat khuatir isu ini akan meletup, oleh itu, ia mesti ditangani dengan bijaksana oleh semua pihak,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin meminta semua pihak bertenang dan tidak bertindak terburu-buru berlandaskan emosi semata-mata.

Menurut beliau, keputusan mahkamah itu masih lagi tertakluk kepada proses pengadilan yang lebih tinggi di Mahkamah Rayuan dan Persekutuan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein jelas Khairy, telah menyatakan bahawa pihaknya akan mengemukakan rayuan berhubung keputusan itu.

”Saya harap semua pihak dapat menunggu proses rayuan diselesaikan,” katanya.

Beliau mengakui perkara tersebut amat sensitif kepada umat Islam dan Pemuda UMNO amat khuatir ia boleh mengundang kepada keadaan yang lebih tegang.

Justeru, katanya, perkara terpenting yang perlu dilakukan adalah memastikan keadaan tidak menjadi lebih tegang sehingga boleh menjejaskan kestabilan politik negara.

Timbalan Pengerusi Tetap UMNO, Datuk Mohamed Aziz berkata, perasaannya bercampur-baur antara sedih, kecewa dan takut dengan keputusan itu yang bakal membawa impak terlalu besar sekiranya tidak ditangani dengan sebaik mungkin.

“Saya amat berharap Majlis Raja-Raja tampil memainkan peranan mereka dan lindungi hak Melayu beragama Islam di negara ini.

“Perkataan Allah adalah kalimah paling suci bagi agama Islam yang tidak boleh dipermain dan dipersenda tanpa sebarang alasan,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib berkata, keputusan mahkamah itu merupakan sesuatu yang tidak boleh diterima kerana ia jelas melanggar peruntukan Perlembagaan Persekutuan bahawa Islam adalah agama rasmi negara.

“Penerbitan bahan-bahan mengenai Kristian menggunakan perkataan Allah boleh mengelirukan penganut agama Islam di negara ini. Maka, kerajaan perlu bertegas dan ia tidak salah kerana selari dan selaras dengan Perlembagaan.

“Isu ini amat sensitif, seperti kes Natrah, walaupun saya tidak suka merujuk kepada peristiwa yang sudah lama berlaku itu tetapi kita tidak boleh mengambil sikap mudah dengan berharap semua pihak tidak akan merujuk peristiwa itu,” katanya.

Kalimah Allah eksklusif untuk Islam – PUM January 2, 2010

Posted by membelaislam in Kes Kalimah Allah.
Tags: , , , , , , , , ,
add a comment

KUALA LUMPUR 1 Jan. – Penggunaan kalimah Allah adalah eksklusif untuk agama Islam sahaja kerana ia sebahagian daripada ayat-ayat suci al-Quran dan langsung tidak terdapat dalam kitab agama lain.

Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Datuk Sheikh Abdul Halim Abdul Kadir berkata, keputusan mahkamah membenarkan kalimah itu digunakan oleh agama lain adalah satu tragedi dan hadiah paling tidak berharga kepada umat Islam sempena tahun baru.

Tegasnya, kalimah Allah bukan sesuatu yang boleh dipermainkan tambahan pula jika digunakan oleh penganut agama lain kerana boleh menyentuh sensitiviti umat Islam bukan sahaja di negara ini malah di seluruh dunia.

”Walaupun terpaksa menerima keputusan mahkamah dengan berat hati tetapi kami menyifatkannya sebagai tragedi.

“Kalimah Allah merupakan sebahagian daripada ayat-ayat suci al-Quran yang pada setiap masa tanpa sebarang kompromi tidak boleh dikongsi oleh mana-mana pihak selain penganut Islam.

”Ia tiada dalam ‘kamus’ agama lain dan jika masih ingin digunakan, ia membawa maksud untuk mempermain-mainkan kesucian kalimah ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sheikh Abdul Halim turut mempertikaikan tindakan KDN sebelum ini yang membenarkan penggunaan perkataan Allah itu tanpa terlebih dahulu merujuk kepada pihak berkuasa agama Islam dalam membuat keputusan.

Sehubungan itu katanya, PUM mendesak kerajaan supaya menjernihkan perkara itu kerana sensitiviti agama bukannya hak persatuan itu sahaja tetapi turut membabitkan kepentingan umat Islam di negara ini yang merupakan kumpulan majoriti.

Sementara itu, Timbalan Dekan Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (Istac), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abd. Majid menegaskan masalah itu berpunca daripada sikap umat Islam sendiri.

Katanya, perpecahan di kalangan umat Islam di negara ini menyebabkan penganut agama lain secara terang-terangan berani mengambil kesempatan daripada kelemahan itu.

“Jika pemimpin politik yang berkuasa dan mempunyai pengaruh masih lagi tidak sedar dan insaf, kebarangkalian pada masa akan datang penganut agama lain untuk terus mengambil kesempatan adalah terlalu besar.

“Tidak mustahil akan ada lagi beberapa kejutan besar dan semuanya berpunca daripada kelemahan kita sendiri yang terlalu sibuk berpolitik. Fikir, renung dan muhasabah diri sendiri jangan sampai maruah agama terus tergadai,” katanya.

Mahmood Zuhdi seterusnya menggesa kerajaan supaya menggunakan peruntukan kuasa-kuasa pentadbiran legislatif dan eksekutif bagi merungkai ketegangan ini.

Ini kerana katanya, jika dibiarkan berlanjutan ia dikhuatiri boleh mengundang musibah yang akhirnya sukar untuk ditangani apabila isu tersebut menjadi terlalu serius.

“Pandangan saya ini bukan bermakna umat Islam tidak menghormati keputusan mahkamah, kita terima dan akur sebagai menghormati keluhuran undang-undang tetapi dengan perasaan penuh dukacita dan sedih,” katanya.

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) pula dalam satu kenyataan membantah keputusan mahkamah itu dan menggesa KDN supaya segera memfailkan rayuan.

Setiausaha Agungnya, Datuk Dr. Ma’amor Osman berkata, pihaknya bimbang keputusan itu boleh mencetuskan keadaan huru-hara dalam negara akibat sentimen beragama umat Islam yang amat sensitif terhadap perkara yang menyentuh soal kepercayaan mereka.

“PPIM hairan mengapa kini baru ditimbulkan soal merujuk tuhan agama Kristian sebagai Allah. Selama ini tuhan yang mereka sembah itu hanya dirujuk di dalam kitab suci mereka sebagai Lord sahaja.

“Kita percaya penerbitan itu mempunyai agenda tertentu apabila mahu menggunakan kalimah Allah dan sudah tentu ia bukan sesuatu yang baik untuk semua pihak termasuk penganut agama Kristian kerana tiada siapa yang beruntung jika rusuhan agama berlaku,” ujarnya.

Melayu berpecah Islam dipertikai January 2, 2010

Posted by membelaislam in Kes Kalimah Allah.
Tags: , , , , , , , , ,
add a comment
Oleh NAZMIL NASIRUDDIN
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 1 Jan. – Perpecahan orang Melayu menjadi penyumbang kepada tindakan pihak tertentu berani mempertikaikan sesuatu perkara yang menjadi hak Islam di negara ini.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, tahap perpaduan yang rendah itu memberi peluang kepada pihak terbabit sewenang-wenangnya menyuarakan pendapat mereka mengenai isu-isu yang menyentuh sensitiviti umat Islam.

Sedangkan, kata beliau, sebelum ini tidak pernah timbul isu mempertikaikan larangan penggunaan perkataan Allah.

”Keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan Gereja Katolik menggunakan perkataan Allah dalam penerbitan mingguannya, Herald The Catholic Weekly boleh dianggap sebagai penghinaan kepada umat Islam di negara ini.

”Tindakan tersebut juga hanya akan menambahkan lagi kekeliruan kepada banyak pihak,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Menurut Harussani, keputusan mahkamah itu dikhuatiri bakal mendatangkan kesan lebih buruk seperti kemungkinan tercetusnya pergaduhan dan perpecahan pada masa depan disebabkan perselisihan pendapat.

Beliau menegaskan realitinya perkataan Allah tidak boleh digunakan oleh agama lain memandangkan pegangan dan amalan yang berbeza.

”Mana boleh kita samakan Allah Yang Maha Esa bersifat tunggal dengan pegangan agama yang menganggap Tuhan sebagai tiga elemen,” jelasnya.

Ditanya mengenai kesan penggunaan perkataan Allah di tadika kelolaan guru beragama Kristian yang turut disertai kanak-kanak Islam, beliau berkata, perkara itu hanya akan mendatangkan kekeliruan berpanjangan kepada golongan tersebut.

“Mereka bakal keliru tentang perkataan Allah kerana menganggapnya sebagai sesuatu yang sama.

“Adalah bahaya jika ia dibiarkan berterusan sehingga mereka memasuki universiti nanti,” katanya.

Harussani turut menyifatkan tindakan mempertikaikan larangan penggunaan perkataan Allah selama ini seolah-olah mempunyai niat dan motif tersendiri untuk mengelirukan umat Islam.

“Kenapa mereka (pihak Kristian) perlu mempertikaikan larangan yang telah ditetapkan selama ini dan mahu terus menggunakan perkataan Allah,” jelasnya.

Beliau turut menyelar golongan liberal Islam yang menyokong penggunaan perkataan Allah oleh orang bukan Islam sebagai kononnya sesuatu yang tidak salah.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.