Pastikan Islam kekal agama Persekutuan April 9, 2010
Posted by membelaislam in Constitution, Rights of Muslims.Tags: agama persekutuan, IFC, Islam, Muhamad Burok, Muhamad Isa Abdul Ralip, Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Zainul Rijal
add a comment
KUALA LUMPUR 8 April – Persatuan Peguam Muslim Malaysia mahu kerajaan memastikan peranan jawatankuasa khas berhubung isu antara agama yang diumumkan penubuhannya kelmarin mengambil kira Islam sebagai agama Persekutuan.
Presidennya, Zainul Rijal Abu Bakar berkata, justeru pihak yang terlibat dalam jawatankuasa itu tidak boleh sesekali mahu menyamakan hak semua agama kerana Islam punya kedudukan istimewa di sisi Perlembagaan.
Kata beliau, ini supaya jawatankuasa tersebut tidak menjadi jalan keluar kepada kegagalan menubuhkan Suruhanjaya Antara Agama (IFC) yang ditolak kerajaan dan umat Islam sebelum ini.
‘‘Bagaimanapun umat Islam tidak menolak sebarang dialog bagi memupuk persefahaman dan keharmonian antara agama yang ada di negara ini.
‘‘Namun yang menjadi masalah ialah usaha dialog seumpama itu disalah guna bagi mencampuri urusan agama lain seperti IFC dan ini perlu dipastikan kerajaan tidak berlaku pada jawatankuasa tersebut,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Zainul juga berharap jawatankuasa itu akan menjadi dialog yang mampu mengukuhkan perpaduan seluruh rakyat negara ini.
Justeru katanya, untuk mencapai hasrat tersebut, jawatankuasa berkenaan harus dipastikan bergerak dalam landasan menghormati kedudukan istimewa Islam sebagai agama Persekutuan.
‘‘Kita tolak IFC sebab ia usaha untuk ubah dialog ‘inter agama’ kepada ‘intra agama’. Itu yang umat Islam tak boleh terima,’’ katanya.
Tambahnya, dialog antara agama bukanlah sesuatu yang baru kepada umat Islam sebaliknya ia telah lama wujud di negara yang berbilang kaum.
Sementara itu, Penasihat Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Datuk Muhamad Burok berkata, sekiranya jawatankuasa khas itu berjaya diadakan, ia mestilah bersifat bebas tanpa perlu wujud campur tangan pihak tertentu khususnya daripada parti politik.
Sehubungan itu katanya, jawatankuasa itu perlu dipimpin oleh mereka yang benar-benar pakar agar kredibiliti dan peranannya sebagai badan yang mewujudkan persefahaman di antara agama-agama diyakini dan diiktiraf oleh rakyat.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Muhamad Isa Abdul Ralip berkata, jawatankuasa itu wajar diwujudkan untuk menyelesaikan masalah berkaitan agama namun ia perlu dilarang sama sekali mempertikaikan kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan.
Justeru katanya, jawatankuasa itu perlu dipantau agar tujuan penubuhannya tidak lari daripada landasan yang ditetapkan.
“Sekadar dialog tiada masalah namun sekiranya ia dijadikan medan untuk memperjuangkan kesamarataan antara agama, ini yang perlu dihalang,” katanya.
dari Utusan Malaysia
Penghakiman Kes Kalimah Allah Memberi Kesan Terhadap Agama Persekutuan January 2, 2010
Posted by membelaislam in Artikel 121(1A) Perlembagaan Persekutuan, Constitution, Kes Kalimah Allah, Rights of Muslims.Tags: agama Islam, Allah, Artikel 121(1A) Perlembagaan Persekutuan, Enakmen Kawalan Pengembangan Agama Bukan Islam Di Kalangan Orang Islam, Herald-The Catholic Weekly, Islam, Kalimah Allah, KDN, Lau Bee Lian, MACMA, mahkamah sivil, Mahkamah Syariah, Mahkamah Tinggi, Majlis Agama Islam, Majlis Raja –Raja Melayu, NGO Islam, penghakiman, Perkara 11(4), Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan, Perkara 12(2) Perlembagaan Persekutuan, Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan, Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan, Perkara 74(2) Perlembagaan Persekutuan, Titular Roman Catholic Archbishop, Yang Di Pertuan Agong, Zainul Rijal
3 comments
OLEH:
ZAINUL RIJAL ABU BAKAR
Keputusan Hakim Datuk Lau Bee Lan 31 Disember 2009 lepas yang membenarkan Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan mingguannya, Herald –The Catholic Weekly merupakan suatu tamparan yang hebat kepada usaha memartabatkan agama Islam sebagai “ Agama Negara”. Masyarakat Islam arusperdana melihat penghakiman ini sebagai suatu perkara yang akan menimbulkan kekeliruan dan kegusaran di kalangan umat Islam. Penghakiman ini juga dilihat menghakis keistimewaan agama Islam sebagai agama Persekutuan.
Saya sendiri mendapat banyak panggilan telefon , emel dan surat bertanyakan kesan penghakiman tersebut terhadap kedudukan agama Islam di Malaysia khususnya. Dalam beberapa hari sahaja penghakiman tersebut dikeluarkan keluhan dan ketidakpuasan hati umat Islam ini telah dizahirkan di dalam media-media arusperdana dan media alternatif.
Sebenarnya pendirian umat Islam bukanlah hendak memadam kalimah Allah di dalam kitab-kitab suci agama lain tetapi hanyalah berkisar di sebalik undang-undang yang berkuatkuasa di dalam negara dan keluhuran Perlembagaan Persekutuan. Perkara ini jelas kerana agama Sikh umpamanya yang menggunakan kalimah Allah di dalam bahasa asal kitab suci mereka tidak pernah dihalang daripada membaca ataupun mengamalkan ajaran di dalam kitab asal mereka. Malah pendirian yang diambil oleh umat Islam bukanlah “peperangan antara kitab suci” tetapi lebih kepada memberi makna dan tafsiran yang jelas kepada peruntukan yang ada di dalam Perlembagaan Persekutuan yang disanjung oleh segenap warganegara Malaysia. Permasalahan yang timbul ialah penerbitan Herald- The Catholic Weekly ini boleh digapai oleh orang ramai termasuklah orang Islam. Ia sudah tentu diedarkan dan tiada jaminan ia tidak akan sampai kepada orang Islam.
Walaupun usaha beberapa Majlis Islam negeri-negeri seperti Selangor, Wilayah Persekutuan, Trengganu, Johor, Melaka, Pulau Pinang, Perak dan Kedah serta Malaysian Chinese Muslim Association (MACMA) gagal mencelah di dalam kes ini, namun usaha ini haruslah diberi penghargaan yang tinggi kerana khususnya Majlis Agama telah menjalankan tanggungjawab statutori mereka di dalam mempertahankan agama Islam dan MACMA yang merupakan NGO tunggal berbuat demikian. Namun persoalan lain pula, di manakah Majlis-Majlis Agama Islam negeri lain? Adakah mereka juga bersekongkol dan bersetuju kalimah Allah ini boleh digunakan oleh pihak Gereja di dalam penerbitan mereka? Majlis-Majlis Agama mempunyai tanggungjawab statutori menasihati Sultan di dalam hal ehwal agama malah menjaga agama juga diletakkan di bawah tanggungjawab Majlis Agama.
Hanya Islam sahaja satu-satunya agama yang disebut di dalam Perlembagaan Persekutuan. Tiada agama lain disebut secara spesifik di dalam Perlembagaan Persekutuan melainkan hanya disebut sebagai boleh diamalkan dalam keadaan aman dan harmoni dalam negara sahaja. Ini adalah jaminan Perlembagaan bahawa pengamalan agama lain oleh orang bukan Islam dibenarkan tertakluk kepada Perkara 11(4) iaitu berkaitan sekatan penyebaran agama bukan Islam kepada orang Islam.
Umat Islam adalah umat majoriti di negara kita. Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan Agama Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan. Makna ‘boleh diamalkan dengan aman dan damai’ ialah agama lain selain agama Islam boleh diamalkan di mana-mana bahagian Persekutuan selagi ia tidak menghakis kedamaian dan keamanan agama bagi Persekutuan iaitu Islam. Inilah kedudukan istimewa Islam.
Kedudukan istimewa Islam ini bolehlah di fahami kerana terdapat peruntukan-peruntukan yang lain yang memberi kelebihan kepada Islam sebagai agama Persekutuan sebagaimana yang termaktub di dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan, antaranya
a) Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa negeri-negeri boleh mewartakan undang-undang menghalang orang-orang bukan Islam menyebarkan dakyah agama mereka kepada orang Islam Undang-undang Negeri dan mengenai Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan ugama antara orang-orang yang menganuti ugama Islam.;
b) Perkara 12(2) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan Kerajaan Persekutuan diberikuasa untuk mengurus dan menghulur bantuan kepada institusi Islam seperti masjid, sekolah agama dan juga bagi tujuan pembagunan syiar Islam;
c) Perkara 74(2) Perlembagaan Persekutuan pula memperuntukkan Kerajaan Negeri berkuasa membuat undang-undang bagi mentadbir urusan agama Islam.
d) Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan juga telah memberi pengiktirafan kepada Mahkamah Syariah untuk mendengar kes-kes dan persoalan mengenai agama Islam dan Mahkamah Sivil tidak boleh campurtangan, membatalkan ataupun tidak menghiraukan keputusan Mahkamah Syariah.
Penghakiman Hakim Datuk Lau Bee Lan itu memberi kesan yang amat ketara terhadap orang Islam. Ini bermakna orang bukan Islam bebas menggunakan kalimah Allah di dalam penerbitan mereka tersebut selagi ianya adalah di edarkan di kalangan orang bukan Islam. Persoalan yang timbul pula apakah jaminan ianya tidak akan diedarkan kepada orang Islam? Penerbitan tersebut tidak hanya diedarkan di gereja sahaja. Kenapakah pihak gereja begitu beria-ia mahu menggunakan kalimah Allah ini? Tidakkah dengan menggunakan kalimah Allah ini ia akan menggugat kedamaian dan keamanan agama bagi Persekutuan?
Malah keujudan Enakmen Kawalan Pengembangan Agama Bukan Islam Di Kalangan Orang Islam yang digubal berdasarkan Perkara 11(4) juga tidak mempunyai signifikan secara realitinya. Enakmen yang telah ujud di beberapa negeri sejak berpuluh tahun masih tidak dilaksanakan. Malah ada negeri yang telah meluluskan enakmen ni masih tidak mewartakan dan memberi tarikh pelaksanaannya. Empat buah negeri pula iaitu Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak masih belum menggubal undang-undang yang sama walaupun mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi sendiri semasa menjadi Perdana Menteri telah berjanji dan mengarahkan negeri-negeri ini menggubal undang-undang tersebut. Sememangnya kepentingan agama Islam seringkali dipinggirkan semasa membuat sebarang tindakan oleh pelbagai pihak. Kenapa kita terlalu abai dalam perkara ini?
Dalam keadaan yang agak tegang ini saya menyeru kepada pihak kerajaan supaya dengan kadar yang segera memfailkan rayuan terhadap keputusan Hakim Lau Bee Lan ini serta memohon menggantung perintah yang dikeluarkan itu. Saya juga menyeru supaya pihak Kerajaan melaksanakan segera Enakmen Kawalan Pengembangan Agama Bukan Islam di Kalangan Orang Islam dan bagi negeri-negeri yang belum menggubal undang-undang tersebut hendaklah berbuat demikian dengan kadar segera.
Majlis Raja –Raja Melayu sebagai ketua agama negeri-negeri juga perlu membuat ketetapan yang tegas berkaitan dengan perkara ini selaras dengan sumpah jawatan baginda mempertahankan Islam pada setiap masa. Malah Yang Di Pertuan Agong menurut Perkara 130 Perlembagaan Persekutuan juga boleh merujuk ke Mahkamah Persekutuan bagi pentafsiran Perkara 3 tersebut.
Perkara 130 tersebut menyebut Yang di-Pertuan Agong boleh merujukkan kepada Mahkamah Persekutuan untuk pendapatnya apa-apa soal tentang kesan mana-mana peruntukan Perlembagaan ini yang telah berbangkit atau yang tampak padanya mungkin berbangkit, dan Mahkamah Persekutuan hendaklah mengumumkan pendapatnya tentang apa-apa soal yang dirujukkan sedemikian kepadanya itu di dalam mahkamah terbuka.
Oleh yang demikian jika Yang di Pertuan Agong merujuk kepada Mahkamah Persekutuan berkaitan isu ini mungkin akan meredakan ketegangan yang dihadapi oleh umat Islam sekarang.
Tindakan Kementerian Dalam Negeri melarang pihak Gereja menggunakan kalimah Allah adalah kerana KDN sebagai salah sebuah organ kerajaan perlu mempertahankan ikrar Yang Di Pertuan Agong semasa menaiki tahkta iaitu mempertahankan Islam pada setiap masa. Oleh itu segala tindakan yang dibuat oleh pihak kerajaan perlulah sejajar dengan ikrar mempertahankan Islam ini. Secara mudahnya, setiap urusan kerajaan adalah disifatkan sebagai Urusan Seri Paduka Baginda (sebagaimana tertera di dalam sampul surat jabatan kerajaan). Oleh yang demikian adalah tidak masuk akal, urusan tersebut mencabul ikrar yang dibuat oleh Seri Paduka Baginda itu.
Kementerian Dalam Negeri perlu segera merayu keputusan kes ini kerana ia melibatkan kedudukan agama Islam di Malaysia apatah lagi keputusan mahkamah tertinggi di dalam negara perlu bagi menyelesaikan kedudukan ini secara muktamad.
Penulis adalah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia dan boleh dihubungi di zainul.rijal@abubakar.my.
Mahkamah sivil, syariah tidak harus bersaing November 30, 2009
Posted by membelaislam in Artikel 121(1A) Perlembagaan Persekutuan, Constitution, Rights of Muslims.Tags: kes 'Subahsini vs Saravan, Mahkamah Persekutuan, Majlis Peguam, mualaf, Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan, Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan, Perlembagaan Persekutuan, PGSM, Zainul Rijal
add a comment
Oleh Zainul Rijal Abu Bakar
dari Berita Harian 30 November 2009
Pemahaman garis panduan dalam Perlembagaan Persekutuan perlu bagi elak pertembungan
BANYAK isu perundangan Islam dipaparkan dalam media sejak kebelakangan ini dan ia bagaikan tiada kesudahan. Pelbagai pihak tidak mahu ketinggalan untuk membincang dan membahaskannya meskipun sesetengahnya tidak terdidik dalam bidang berkaitan. Kerana terlalu teruja dan berhujah berasaskan akal fikiran semata-mata, maka mereka mengetepikan hukum syarak yang digariskan Allah dan Rasulnya.
Terbaru, Presiden Majlis Peguam, Ragunath Kesavan membantah cadangan yang membolehkan perkahwinan sivil seorang mualaf dibubarkan secara automatik selepas tiga bulan disahkan sebagai Islam. Beliau juga mahu mengenakan larangan kepada mualaf mendaftarkan penukaran agama anak yang berusia 18 tahun.
Menurutnya, agama seorang anak patut kekal seperti waktu ibu dan bapa mereka melangsungkan perkahwinan sehingga anak terbabit membuat keputusan memilih sendiri agama yang mahu dianuti apabila mencecah usia 18 tahun.
Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Mohd Isa Abd Ralip pula dengan tegas menyatakan, apabila seseorang itu memeluk Islam dengan kerelaannya sendiri, dia hendaklah ditadbir undang-undang Islam. Sudah tiada pilihan lagi dan tiada juga pilihan bagi orang Islam memilih undang-undang mana ingin dikawal.
Memang jelas kedua-dua pandangan di atas, bertentangan antara satu sama lain. Senario ini bukan baru berlaku, malah sudah kerap kali terjadi sehinggakan Majlis Peguam sendiri dilihat sebagai suatu badan yang bersifat anti-Islam oleh umat Islam arus perdana.
Sama ada perspektif ini betul atau sebaliknya, hanya Majlis Peguam dapat menjelaskannya dengan terperinci tetapi itulah lakaran yang digambarkan oleh Majlis Peguam kepada umat Islam. Sebagai seorang peguam bela dan peguam cara, dan juga peguam syarie, saya dapat mengkaji kedua-dua aspek undang-undang ini.
Sering kali saya menegaskan mahkamah sivil dan mahkamah syariah tidak harus bersaing antara satu sama lain, sebaliknya hendaklah saling lengkap melengkapi dalam segala aspek.
Oleh itu, segala undang-undang yang hendak digubal wajar mengambil kira untuk mengelakkan pertembungan ini. Suatu garis jelas yang tidak meminggirkan Perlembagaan Persekutuan patut digarap dan piawaian yang tinggi berdasarkan Perlembagaan Persekutuan itu, hendaklah mantap.
Amat jelas Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Islam adalah agama persekutuan seperti yang termaktub dalam Perkara 3. Malah agama bagi negeri-negeri di Malaysia mengikut perlembagaan negeri-negeri juga adalah Islam.
Islam dalam konteks perlembagaan ini mestilah diberi tafsirannya yang sebenar, bukan tafsiran Islam seperti difahami orang jahil. Sudah menjadi asas kaedah penafsiran perlembagaan memberikan makna sebenar sesuatu perkataan di dalam perlembagaan itu. Dalam hal yang demikian, bermakna Islam itu secara harfiah atau literal sebagai penyerahan diri kepada Allah dan suatu cara hidup yang sempurna.
Lantas, mengambil Islam dalam aspek yang tertentu saja, tidak tepat dan bertentangan dengan perlembagaan itu sendiri. Apatah lagi sekiranya kita mengambil suatu kedudukan yang bertentangan dengan agama Islam, sudah tentulah ia juga pincang daripada sudut perlembagaan. Pemakaian Islam tidak harus dihadkan kepada perkara tertentu kerana ia mencakupi perkara yang lebih luas lagi.
Seperti yang sering diperkatakan, tiada seorang pun mualaf yang dipaksa memeluk Islam. Mereka memeluk Islam atas kerelaan sendiri walaupun tujuan yang pelbagai. Malah Islam sendiri tidak mengiktiraf keIslaman seseorang yang dipaksa memeluk Islam.
Oleh itu, tatkala mualaf terbabit memeluk Islam, Perlembagaan Persekutuan itu sendiri menjamin haknya untuk mengamalkan agama barunya itu. Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan menjamin setiap orang menganut dan mengamalkan agamanya. Sekiranya mualaf ini masih lagi dipaksa, dikawal oleh undang-undang yang bertentangan dengan agama barunya itu, Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan akan hanya menjadi retorik dan tidak mampu dipertahankan. Begitu juga kedudukan pengIslaman kanak-kanak dan remaja bawah umur 18 tahun oleh salah seorang ibu atau bapa atau penjaganya yang mualaf. Perkara ini juga jelas di dalam Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan.
Malah Perkara 12(4) itu sendiri ditafsirkan Mahkamah Persekutuan di dalam kes ‘Subahsini vs Saravan @ Mohd Shafi’ beberapa tahun lalu. Dalam kes ini, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa Perkara 12(4) itu hanya memerlukan salah seorang ibu, bapa atau penjaga yang sah saja mendaftar keislaman anak kecil di bawah 18 tahun.
Ia tidak memerlukan ibu, bapa atau anak berkenaan kekal di dalam agama asalnya. Sekiranya kedudukan ini hendak diubah, maka Perlembagaan Persekutuan itu perlu dipinda dan bukan dengan mengadakan undang-undang baru yang bertentangan dengan perlembagaan dan tafsiran Mahkamah Persekutuan.
Kemelut ini tidak dapat dinoktahkan sekiranya skima perlembagaan tidak jadi penanda aras bagi menyelesaikannya. Kedua belah pihak perlu akur dengan kedudukan istimewa Islam di dalam perlembagaan.
Walaupun Islam diletakkan di tempat istimewa, agama lain masih boleh diamalkan dengan aman dan damai. Malah tidak ada seorangpun boleh dipaksa menukar agama mereka kepada Islam menurut undang-undang. Undang-undang Islam juga melarang orang bukan Islam dipaksa memeluk Islam kerana tiada paksaan di dalam beragama. Saranan Majlis Peguam supaya mereka dipanggil untuk berbincang jalan penyelesaian polemik ini adalah baik kerana Majlis Peguam adalah badan bertanggungjawab menegakkan undang-undang.
Bagaimanapun sekiranya Majlis Peguam berhasrat mencampuri urusan dalaman agama Islam atau hal-ehwal antara agama Islam itu sendiri, sudah tentu umat Islam tidak akan duduk diam kerana kegusaran terhadap tindakan Majlis Peguam sebelum ini memang mempunyai asas kukuh. Sebagai sebuah badan perundangan, Majlis Peguam perlu bersikap adil dan tidak dilihat menyebelahi mana-mana pihak.
Peguam Syarie kesal – 4 negeri belum gubal undang-undang kawal pengembangan agama lain September 29, 2008
Posted by membelaislam in Uncategorized.Tags: Article 11, Artikel 121(1A) Perlembagaan Persekutuan, Enakmen Pentadbiran Agama Islam, Peguam Syarie, pengembangan agama lain, Perkara 11 (4), PGSM, Zainul Rijal
add a comment
KUALA LUMPUR 28 Sept. – Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) kesal kerana sehingga kini empat negeri yang telah diarahkan menggubal undang-undang bagi mengawal atau menyekat pengembangan iktikad atau kepercayaan agama lain di kalangan orang Islam masih belum berbuat demikian.
Presiden PGSM, Zainul Rijal Abu Bakar berkata, isu tersebut sudah berlarutan lebih dua tahun sejak Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengarahkan negeri berkenaan iaitu Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan segera berbuat demikian.
‘‘Apa yang saya nampak macam tidak ada apa-apa pergerakan termasuk di Wilayah Persekutuan sendiri kecuali beberapa kenyataan daripada pemimpin negeri-negeri berkenaan yang menyatakan persetujuan mereka.
‘‘Tiada penjelasan diberikan mengapa banyak masa diambil untuk menggubal undang-undang tersebut. Saya pun tidak tahu kajian apa lagi yang hendak dibuat,’’ katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Pada Ogos 2006, Perdana Menteri mengarahkan empat kerajaan negeri mengambil tindakan yang sesuai untuk menggubal undang-undang bagi mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan agama lain di kalangan orang Islam.
Pada masa ini semua negeri beraja – Perlis, Johor, Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Selangor dan Terengganu serta Melaka sudah menjalankan kuasa itu melalui enakmen negeri masing-masing.
Kelantan adalah negeri paling awal berbuat demikian pada tahun 1981 dan paling akhir ialah Johor pada tahun 1991.
Berdasarkan laporan akhbar, pelaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang itu dikatakan amat mengecewakan kerana hampir tiada rekod menunjukkan undang-undang berkenaan pernah dilaksanakan.
Antara kesalahan yang disebut pada undang-undang ini ialah memujuk, mempengaruhi, memaksa atau menghasut seorang Islam untuk menjadi seorang pengikut atau anggota suatu agama bukan Islam.
Turut dianggap sebagai kesalahan ialah mendedahkan seorang yang beragama Islam di bawah umur lapan belas tahun kepada pengaruh-pengaruh suatu agama bukan Islam dan menghantar atau menyerahkan terbitan-terbitan mengenai apa-apa agama bukan Islam kepada seorang yang beragama Islam.
Sementara itu, Zainul menegaskan apa yang lebih penting pada enakmen itu ialah untuk menjadikannya lebih berkesan daripada sudut penguatkuasaan.
Kata beliau, kekurangan itu dapat dilihat bagaimana setakat ini bukan sahaja masyarakat umum kurang mengetahuinya tetapi di kalangan penguat kuasa sendiri juga tidak begitu arif mengenainya.
“Penguat kuasa enakmen ini bukan penguat kuasa agama tetapi pihak polis kerana ia melibatkan pengawalan terhadap mereka yang bukan beragama Islam,’’ jelasnya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya pihak berkuasa menubuhkan sebuah unit khas dengan menempatkan pegawai dan anggota yang khusus bagi menguatkuasa enakmen itu.
Katanya, melihat kepada perkembangan kebelakangan ini apabila banyak isu yang menyentuh sensitiviti umat Islam berlaku, tentunya penguatkuasaan undang-undang itu menjadi semakin mustahak.
“Namun perlu ditegaskan bukan tujuan kita untuk meminta ada sesiapa yang ditangkap di bawah enakmen ini. Cuma kita mahu enakmen ini mampu menimbulkan kegerunan yang secara langsung menjadi satu bentuk pencegahan.
“Harus diingat enakmen ini mempunyai asas rapat dengan Perlembagaan Persekutuan melalui Perkara 11 (4) yang membenarkan undang-undang digubal bagi mengawal dan menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan agama lain di kalangan orang Islam,’’ jelasnya.
Pada perkembangan yang sama, Zainul Rijal menyarankan negeri lain supaya mencontohi Kelantan yang telah meningkatkan hukuman dalam enakmen tersebut.
Katanya, dengan pindaan yang dibuat pada tahun lalu, membolehkan Kelantan mengenakan hukuman denda tertinggi dan penjara paling lama antara negeri-negeri di Malaysia.
Sementara itu, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim ketika diminta mengulas perkara tersebut berkata, kerajaan Persekutuan tidak boleh campur tangan dalam urusan kerajaan negeri berhubung perkara tersebut.
“Kita tiada kuasa untuk memaksa pihak berkaitan menggubal undang-undang itu kerana kuasa terletak di bawah kerajaan negeri terutama bagi negeri yang beraja.
“Apa yang boleh kita buat adalah kita meminta pihak berkaitan supaya mengambil perhatian perkara ini dengan segera kerana dalam keadaan hari ini, enakmen tersebut perlu diberikan perhatian,” jelasnya.
Beliau menambah, langkah itu perlu demi kepentingan dan masa depan umat Islam negara ini.
Majlis Peguam perlu adil August 30, 2008
Posted by membelaislam in Uncategorized.Tags: bantahan, forum memeluk Islam, IFC, Kontrak Sosial, Mahkamah Syariah, Majlis Peguam, Moorthy, Peguam Syarie, Zainul Rijal
add a comment
Dipetik dari http://peguamsyarie.blogspot.com/
PADA 9 Ogos lalu, Majlis Peguam mengadakan forum ‘Memeluk Islam’. Tindakan majlis berkenaan dikatakan menimbulkan kemarahan umat Islam. Lanjutan itu, lebih 1,000 orang berkumpul membantah penganjuran forum tersebut yang disifatkan sengaja mahu mencemarkan imej Islam.
Mengulas perkara itu, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Zainul Rijal Abu Bakar menyifatkan tindakan Majlis Peguam tersebut hanya akan mewujudkan tafsiran bahawa majlis berkenaan sememangnya anti Islam.
Bercakap dalam pertemuan dengan wartawan Mingguan Malaysia, ZULKIFLEE BAKAR dan HERMAN HAMID, beliau menganggap Majlis Peguam tidak bertindak jujur apabila mengadakan forum seumpama itu.
Ini kerana kata beliau, Majlis Peguam sengaja mempertikaikan perkara yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan biarpun majlis itu acap kali membuat kenyataan bahawa Perlembagaan harus dihormati dan diletakkan di tempat tertinggi serta tidak boleh dipertikaikan.
Bagi beliau, isu sensitif melibatkan agama seharusnya dibincangkan secara tertutup kerana ia boleh mencetuskan perbalahan.
Dalam pertemuan tersebut juga, Zainul Rijal turut meminta Majlis Peguam agar bertindak jujur dan ikhlas dalam tindakan mereka serta tidak terus melakukan provokasi dengan menganjurkan forum-forum yang dilihat hanya bertujuan memburukkan Islam. Contohnya, kata beliau walaupun kerajaan dan pelbagai pihak membantah forum tersebut namun Majlis Peguam tetap berdegil dengan meneruskannya.
‘‘Semua ini adalah satu tindakan provokasi yang boleh menimbulkan tafsiran bahawa majlis itu anti Islam dan ini pastinya boleh membangkitkan kemarahan orang Islam,’’ katanya.
Menurut beliau yang juga seorang peguam sivil, jika Majlis Peguam ikhlas mereka seharusnya menganjurkan forum tertutup bagi memberikan kefahaman kepada bukan Islam mengenai perkara-perkara berkaitan Islam. Tetapi malangnya kata beliau, Majlis Peguam tidak berbuat demikian. Mereka sebaliknya seolah-olah hanya mencari keburukan apabila seseorang memeluk Islam.
MINGGUAN: Apakah motif Majlis Peguam mengadakan forum ‘Memeluk Islam’ pada 9 Ogos lalu?
ZAINUL RIJAL: Sebenarnya Majlis Peguam mempertikaikan banyak perkara, tetapi dalam masa yang sama mereka berkata Perlembagaan Persekutuan adalah paling tinggi dan mesti dihormati serta tidak boleh dipertikaikan.
Tetapi apa yang kita lihat apa-apa perkara mengenai kelebihan Islam dan kedudukan orang Melayu seperti mana termaktub dalam Perlembagaan seolah-olah dipertikaikan. Ini jelas apabila mereka menganjurkan forum ‘Kontrak Sosial’ pada Jun lalu serta terkini forum ‘Memeluk Islam’.
Begitu juga dalam beberapa kes melibatkan hal ehwal Islam, majlis itu menghantar peguam pemerhati. Mereka bukan sahaja memerhati tetapi juga terlibat sama berhujah. Semua ini memberi gambaran di kalangan orang Islam seolah-olah Majlis Peguam anti Islam.
Pada hal Majlis Peguam mengatakan memperjuangkan Perlembagaan Persekutuan. Jadi mereka mempunyai pendirian yang berbeza satu masa kata macam ini, satu kata macam lain pula. Ini yang kita tidak boleh terima.
Kita sebagai rakyat Malaysia yang menjunjung Perlembagaan mesti mengakui hakikat bahawa ada perbezaan antara Islam dan juga agama-agama lain. Tetapi soal ini tidak diketengahkan oleh Majlis Peguam.
Apakah kesannya jika majlis berkenaan terus bertindak demikian?
ZAINUL RIJAL: Kesan segera yang kita dapat lihat ialah pada 9 Ogos lalu apabila umat Islam berkumpul di hadapan Pejabat Majlis Peguam di mana berlangsungnya forum ‘Memeluk Islam’.
Ia menyaksikan bagaimana orang Islam bangkit. Hakikatnya, orang Melayu Islam tidak mudah ‘naik semangat’ tetapi apabila betul-betul marah barulah tercetus suasana seperti mana kita lihat itu. Kita tidak mahu apa yang berlaku pada tahun 1969 berulang, ia tidak baik untuk negara.
Namun bagi orang Melayu apabila mereka melihat kedudukan agama dihakis barulah mereka bangkit. Begitulah juga apa yang berlaku pada 9 Ogos lalu apabila Majlis Peguam dilihat mempertikaikan agama Islam, barulah orang Melayu bersatu.
Secara terperinci apa bahayanya forum seumpama itu?
ZAINUL RIJAL: Pada mulanya saya berpendapat ia hanya satu forum, jadi saya tidak ada masalah. Saya yakin wakil orang Islam di dalam forum berkenaan boleh memberikan perspektif Islam yang betul. Tetapi apabila saya melihat kepada surat jemputan forum berkenaan yang turut tertera mereka yang memeluk Islam dijemput memberi pandangan tentang masalah yang dihadapi, saya mula terfikir mengenai tujuan forum berkenaan. Adalah jelas ia bertujuan untuk mengatakan apabila orang bukan Islam masuk Islam, ia akan ada masalah dan ini seolah-olah ingin menggambarkan memeluk Islam adalah satu kesalahan sedangkan ada ramai lagi yang memeluk Islam tetapi tidak ada masalah.
Namun malangnya Majlis Peguam tidak menjemput golongan yang tidak bermasalah tersebut walaupun mereka memahami bahawa dalam prinsip undang-undang, keadilan harus dilihat dilaksanakan.
Majlis Peguam tidak pernah berusaha untuk menunjukkan kebaikan mereka yang memeluk Islam. Kalau mereka mahu bertindak adil sepatutnya mereka jemput dua peserta yang berbeza iaitu seorang ada masalah apabila memeluk Islam dan seorang lagi tidak ada masalah. Oleh itu maksud sebenar majlis berkenaan mengadakan forum seumpama itu adalah untuk melakarkan bahawa memeluk Islam salah.
Apabila perkara seumpama itu ditimbulkan berkali-kali ia akan menimbulkan tafsiran bahawa tindakan memeluk Islam akan ada masalah. Ini agendanya. Ia akan menghalang orang bukan Islam daripada memeluk Islam. Inilah bahayanya jika kita membenarkan forum seumpama itu diadakan secara terbuka.
Di dalam forum itu mereka menjemput golongan yang memeluk Islam menghadapi masalah, adakah ia wajar?
ZAINUL RIJAL: Kita tidak kata semua orang yang memeluk Islam itu mempunyai niat yang baik. Kita tidak tahu niat orang. Mungkin ada satu dua kes yang dia hendak melarikan diri daripada undang-undang. Tetapi sebenarnya untuk kes seperti itu, orang berkenaan sendiri tidak faham undang-undang Islam kerana berpendapat apabila memeluk Islam dia tidak perlu membayar nafkah isteri dan anak-anaknya yang bukan Islam. Sedangkan jika ikut undang-undang Islam, tanggungjawab dia tidak terputus. Undang-undang Islam mempunyai mekanisme berhubung perkara itu.
Apakah mungkin tindakan orang Islam yang bercerai dengan mualaf menyebabkan Islam dilihat tidak adil?
ZAINUL RIJAL: Saya pernah cadangkan kepada pihak yang berkuasa bahawa sebelum kita hendak hukum orang yang mahu keluar daripada Islam, kita patut hukum orang Islam yang menyebabkan mualaf itu bertindak demikian.
Sebagai contoh, ada satu kes seorang wanita saudara baru bertunang dengan orang Islam. Belum sempat berkahwin mereka menjadi rakan kongsi dalam perniagaan bagaimanapun si lelaki meninggal dunia. Jadi wanita mualaf itu tidak boleh mewarisi harta yang ditinggalkan si mati kerana mereka baru bertunang. Walaupun ada insurans dan perniagaan, si wanita saudara baru ini tidak mendapat apa-apa kerana dihalang oleh keluarga lelaki. Padahal mereka tahu yang perniagaan diusahakan ialah secara bersama.
Malah dalam afidavit di mahkamah, keluarga lelaki itu menuduh wanita itu bukan Islam. Jadi wanita ini marah kerana dia memeluk Islam dan mengamalkan ajaran Islam. Lalu wanita itu kata orang Islam hanya menunjukkan dia jalan keluar daripada Islam, tetapi orang bukan Islam termasuk keluarganya yang bukan Islam sanggup mengalu-alukannya kembali. Jadi dalam kes ini kalau wanita itu mahu kembali ke agama lamanya macam mana. Siapa yang salah? Tentulah orang Islam yang zalim kepada wanita itu yang salah.
Sebab itu saya cadang sebelum ini jika ada kes macam ini kita hukum orang Islam berkenaan. Ertinya, kalau ada permohonan keluar Islam, kita siasat siapa orang Islam yang menyebabkan orang itu mahu keluar Islam. Kita tuduh dia di mahkamah kerana menyebabkan seseorang keluar Islam kerana seolah-olah orang itu reda kepada orang lain keluar Islam.
Dalam membincangkan masalah sensitif seperti soal memeluk Islam ini, benarkah hujah yang mengatakan tidak ada saluran lain untuk berbuat demikian selain forum terbuka?
ZAINUL RIJAL: Perkara-perkara sensitif seperti itu sudah banyak kali dibincangkan secara tertutup sebelum ini pun saya sudah menghadiri dialog tertutup yang bertajuk ‘dialog kehidupan’. Kami berbincang tidak ada masalah dan cuba memahami permasalahan yang ditimbulkan.
Dialog yang saya maksudkan ialah dialog antara agama dan bukannya seperti mana dilakukan oleh Majlis Peguam yang hanya menyaksikan pandangan satu pihak sahaja. Tindakan mereka seolah-olah menyuruh bukan Islam menunjukkan kepada orang Islam apa yang sepatutnya dilakukan jika ada orang memeluk Islam. Sedangkan dalam hukum Islam semua perkara itu sudah dinyatakan.
Begitu juga orang Islam, kalau kita hendak berdialog, kita tidak boleh mempertikaikan soal agama lain seperti tuhan mereka dan sebagainya. Apa yang boleh kita lakukan ialah menjelaskan sesuatu yang menimbulkan keraguan di kalangan bukan Islam mengenai Islam.
Atas sebab itulah kita tidak boleh menerima penubuhan Suruhanjaya Antara Agama (IFC) kerana mereka yang bukan Islam pun boleh jadi pesuruhjaya di dalamnya dan boleh membuat keputusan untuk pihak Islam.
Bagaimana satu hari nanti IFC ini dapat aduan contohnya, solat Jumaat itu menyusahkan bukan Islam kerana menimbulkan kesesakan lalu lintas dan IFC membuat keputusan tidak perlu solat Jumaat. bolehkah orang Islam terima? Jadi semua pihak perlu memahami sempadan masing-masing dan bukannya melepasi sempadan berkenaan.
Bagaimana pula dengan pandangan sesetengah peguam Islam sendiri yang menegaskan forum ‘Memeluk Islam’ itu perlu dibenarkan kerana ia bertujuan membincangkan masalah yang timbul apabila salah seorang pasangan bukan Islam memeluk Islam?
ZAINUL RIJAL: Memang permasalahan itu diakui. Namun bolehkah forum itu menyelesaikannya? Yang boleh atasi adalah pihak berkuasa. Sebenarnya masalah-masalah yang dikatakan itu tidak akan wujud sekiranya mereka bersedia untuk ke Mahkamah Syariah. Isunya sekarang mereka tidak mahu. Jadi ini yang jadi masalahnya. Mahkamah Syariah mempunyai mekanisme untuk menentukan soal nafkah, hak penjagaan dan isu-isu lain yang timbul selepas seseorang memeluk Islam.
Kalau setakat anjur forum sampai 20 kali pun, masalah tak akan selesai. Sebab itu yang penting semua pihak mesti beri kerjasama dengan mahkamah. Beri keterangan apabila diminta. Jangan hanya pandai menyalak. Dalam banyak kes, orang bukan Islam enggan ke mahkamah syariah.
Apakah tindak tanduk Majlis Peguam menyinggung perasaan peguam Islam?
ZAINUL RIJAL: Ada kalangan peguam Islam yang bertanya tidakkah ada cara bagi membolehkan mereka keluar dari Majlis Peguam. Ini kerana kita tidak boleh menerima apa yang dilakukan Majlis Peguam khususnya penganjuran forum 9 Ogos lalu.
Tetapi masalahnya undang-undang kita hanya membenarkan satu sahaja Majlis Peguam. Kalau kita keluar Majlis Peguam, kita tak boleh jadi peguam pula kerana kita bukan di Britain yang ada beberapa badan statutori peguam.
Itulah dilema yang kita hadapi. Kalau diikutkan memang ramai yang hendak keluar kerana tidak sehaluan. Malah dalam hal ini peguam syarie pun sedang berjuang menubuhkan Majlis Peguam Syarie tetapi sehingga hari ini belum terlaksana lagi. Jika ia dapat diwujudkan ia setidak-tidaknya dapat mengimbangi pandangan Majlis Peguam walaupun ia hanya untuk peguam syarie.
Apakah nasihat kepada Majlis Peguam supaya mereka menjaga sensitiviti orang Melayu dan Islam?
ZAINUL RIJAL: Sensitiviti masyarakat paling utama. Kalau kita gagal memahami sensitiviti masyarakat, negara akan kucar-kacir. Justeru kena faham dan hormat budaya masyarakat Malaysia. Pada saya, Majlis Peguam boleh buat perbincangan secara tertutup termasuk adakan dialog untuk satu-satu isu.
Sebagai contoh hendak tentukan jenazah orang Islam, kita boleh duduk berbincang. Sebenarnya Mahkamah Syariah hendak pastikan yang orang itu Islam atau tidak pada saat kematiannya. Itu sahaja. Dalam kes yang digembar-gembur seperti kes Moorthy, masalahnya pihak keluarga bukan Islam tidak mahu pergi ke Mahkamah Syariah. Mereka abaikan sapina.
Jadi bagaimana mahkamah hendak buat keputusan yang adil tanpa keterangan daripada keluarga mangsa. Dalam kes Nyonya Tahir, seluruh keluarga tampil ke Mahkamah Syariah dan kemuka keterangan yang Nyonya Tahir tak pernah amalkan Islam. Jadi Mahkamah Syariah putuskan yang Nyonya Tahir bukan seorang Islam di saat kematian. Selesai masalah, ini cara yang paling baik. Tapi oleh kerana orang bukan Islam tak menghormati Mahkamah Syariah, ini jadinya.
Orang bukan Islam perlu faham hukum Islam bahawa adalah satu kesalahan atau dosa kepada orang Islam untuk kebumikan orang bukan Islam ikut cara Islam dan satu kesalahan juga biarkan orang Islam dikebumi cara bukan Islam. Bukan kita hendak rebut semua orang meninggal dunia. Cuma bila ada keterangan prima facie yang si mati pernah peluk Islam melalui perakuan, maka Mahkamah Syariah perlu tentukan sama ada di saat kematiannya, si mati itu Islam atau tidak. Maka bantulah beri keterangan kepada Mahkamah Syariah. Kalau si mati ada pergi ke gereja atau kuil, beritahu mahkamah. Dan jika ini berlaku, mahkamah puas hati yang memang betul si mati tidak Islam, mahkamah akan benarkan keluarga bukan Islam tuntut si mati. Tapi ini tidak berlaku dalam banyak kes cuma segelintir kes sahaja seperti Nyonya Tahir.
Di Selangor, ada juga kes di mana jabatan agama berjumpa keluarga si mati memaklumkan yang si mati telah memeluk Islam melalaui perakuan sijil. Walaupun mayat telah dimasukkan dalam keranda, namun keluarga si mati benarkan untuk mayat itu diuruskan mengikut Islam. Namun mereka letakkan syarat supaya majlis pengkebumian dapat dibenarkan keluarga yang bukan Islam hadir. Jabatan agama tidak mempunyai masalah. Keluarga bukan Islam dibenarkan lihat dari awal proses sehinggalah ke liang lahad. Tidak timbul masalah, keluarga si mati itu berpuas hati bagaimana jenazah itu disempurnakan dengan penuh hormat.
Apa yang menjadi masalah jika keluarga tidak mahu memberikan kerjasama dengan pihak berkuasa Islam. Sepatutnya inilah yang perlu dilakukan oleh Majlis Peguam iaitu memberikan fahaman kepada bukan Islam. Tetapi malangnya mereka bertindak sebaliknya sehingga dilihat lebih gemar mencari keburukan Islam. Justeru Majlis Peguam seharusnya adil dalam memperkatakan soal Islam.
Provokasi terhadap kesabaran Melayu August 10, 2008
Posted by membelaislam in Uncategorized.Tags: forum memeluk Islam, Majlis Peguam, provokasi, Zainul Rijal
add a comment
Merujuk Isu – Forum Memeluk Islam Anjuran Bar Council
Dipetik dari blog Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) – Disiarkan dalam Utusan Malaysia 7 Ogos 08
KUALA LUMPUR 7 Ogos – Forum Memeluk Islam yang akan dianjurkan Majlis Peguam pada Sabtu ini disifatkan provokasi terhadap kesabaran masyarakat Melayu selain mengundang keresahan dan rasa tidak tenteram orang Islam.
Exco Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Pirdaus Ismail berkata, walau atas alasan apa sekali pun forum berkenaan diadakan kesabaran orang Islam tetap terusik.
”Tindakan Majlis Peguam merupakan pendekatan yang sama dengan usaha segelintir pihak yang suka mengganggu ketenteraman awam menerusi kenyataan sensitif, forum, penerbitan, laman web dan demonstrasi jalanan. ”Hal ini menunjukkan anasir luar sudah menyusup masuk untuk menggugat kestabilan dan keamanan negara,” kata beliau dalam kenyataannya, di sini hari ini.
Sementara itu, Presiden Persatuan Peguam Syariah Malaysia (PGSM), Zainul Rijal Abu Bakar berkata, tindakan Majlis Peguam seolah-olah mencemar kehormatan Perlembagaan Persekutuan negara.
”Saya tidak menghalang usaha untuk berdialog, namun dialog anjuran Majlis Peguam seolah-olah prejudis, berat sebelah dan ada agenda tersembunyi.
”Mereka hanya memperjuangkan hak bukan Islam bagaimana dengan hak orang Islam. Tidak semua orang bukan Islam teraniaya seperti didakwa Majlis Peguam apabila pasangannya memeluk Islam ada yang mendapat pembelaan yang sewajarnya,” katanya.
Tambah Zainul Rizal, mengenai perbezaan bidang kuasa Mahkamah Sivil dan Syariah, ia bukanlah satu kekurangan dalam perundangan Malaysia.
Mengenai hak ibu atau bapa bukan Islam yang membawa anak mereka memeluk Islam bersama-sama pula, beliau menjelaskan, Perlembagaan Persekutuan membenarkan salah seorang iaitu ibu atau bapa membawa anak kecil mereka mengikut agama mereka.
”Perlembagaan tidak menetapkan agama seseorang anak itu perlu ditentukan oleh kedua-duanya, tetapi salah seorang iaitu ibu atau bapa.
”Oleh itu, dalam kes Subashini yang menjadi rujukan Majlis Peguam, tindakan bekas suaminya yang memeluk Islam bersama salah seorang anaknya yang berusia empat tahun adalah sah mengikut undang-undang,” kata Zainul Rijal.
Perpaduan Islam wajar teras muzakarah July 31, 2008
Posted by membelaislam in Uncategorized.Tags: Anwar Ibrahim, hiwar, muqabalah, muzakarah, PAS, Peguam Syarie, perpaduan Islam, politik Islam, PRU 12, UMNO, Zainul Rijal
add a comment
Oleh Zainul Rijal Abu Bakar
[di petik dari Laman Rasmi Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sila layari http://peguamsyarie.blogspot.com]
Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) berasa amat gembira apabila pelbagai pihak mula membincangkan mengenai muzakarah antara PAS dan UMNO baru-baru ini. Ini bermakna sesi percambahan fikiran sedang diadakan. Kebaikan dan keburukan perkara ini diperhalusi oleh semua pihak yang akhirnya akan membuahkan suatu keputusan yang jitu lagi padu di kedua belah pihak.
Selepas semua perbincangan diadakan, terserahlah kepada pihak PAS dan UMNO membuat keputusan sendiri berhubung dengan isu ini setelah mengambil kira semua pertimbangan dan faktor semasa.
Cakap-cakap politik mengenai perkara ini terus rancak berhubung dengan pertemuan PAS dan UMNO dalam rangka kerjasama demi menjaga kepentingan agama Islam dan bangsa Melayu. Perkara ini terus diperkatakan sama ada di kedai-kedai kopi mahupun di peringkat pimpinan parti-parti politik PAS dan UMNO. Malah parti-parti siasah lain seperti PKR, MCA dan DAP juga turut memberi komentar masing-masing berhubung dengan perkara ini.
Dalam menangani isu politik negara, kita harus menerima hakikat bahawa kedudukan parti-parti politik di Parlimen ketika ini ialah tiada sebuah pun parti politik yang mempunyai kelebihan majoriti. Daripada 222 kerusi di Parlimen pembahagian kedudukan kerusi adalah seperti berikut: UMNO (79), PAS (22), PKR(31), DAP(28), MCA(15), MIC (3), PBB(14) dan seterusnya.
Jika diteliti sebaiknya, kedudukan kerusi ini memang wajar mendesak kedua pihak iaitu PAS dan UMNO untuk bersemuka bagi membincangkan kepentingan agama dan bangsa. Walau apa pun nama yang diberikan sama ada muzakarah (ingat mengingati), muqabalah (pertemuan), hiwar, musyawarah (bermesyuarat) ataupun muhadasah (perbincangan) namun tujuan utamanya adalah bagi membincangkan kepentingan agama Islam dan bangsa Melayu. Istilah ini tidaklah penting berbanding dengan pengisian yang ingin dicari melalui wadah yang dinyatakan tersebut.
Sudah tentu pemimpin pelbagai peringkat di kedua-dua buah parti akan berasa tidak selesa dan sedikit canggung dengan perkembangan terbaru ini kerana sejarah telah membuktikan betapa renggangnya hubungan antara kedua parti ini. Kita sering melihat kedua parti ini saling bercakaran antara satu sama lain, bahkan kadang-kadang sampai ke tahap yang agak membimbangkan.
Sering pula sesuatu strategi politik digarap bagi menjatuhkan parti yang satu lagi dan membiarkan parti lain yang tidak berteraskan Islam dan bangsa Melayu mempunyai ruang yang cukup mengatur percaturan politik mereka. Natijahnya orang Islam tidak bersatu dan saling bercakaran antara satu sama lain.
Melihat kepada senario kedudukan politik semasa, sebenarnya PAS mempunyai kata pemutus dalam banyak hal. Ini adalah kerana ke mana pun PAS berada, kerajaan Persekutuan akan dapat dibentuk. Sebagaimana yang dimaklumi, Kerajaan Persekutuan tidak mempunyai majoriti dua pertiga di Parlimen.
Sekiranya PAS menyokong usul Kerajaan maka Kerajaan mungkin juga mempunyai kuasa yang lebih besar lagi. Sekiranya PAS tidak menyertainya maka undang-undang hanya membenarkan Kerajaan bertindak dalam fungsi yang terhad sahaja.
Begitu juga di pihak Pakatan Rakyat, sekiranya terjadi pemindahan parti sebagaimana yang dikatakan oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekiranya PAS tidak menyertainya maka kerajaan Pakatan Rakyat mungkin tidak akan dapat dibentuk.
Walau apa pun kelebihan atau kekurangan, sepatutnya itu bukanlah itu faktor utama yang perlu diambil kira. Apa yang lebih penting ialah berbincang dan mencari jalan penyelesaian bagaimana dapat meletakkan Islam itu di tempat yang sebenar. Sudah tentulah pelbagai formula perlu digarap ke arah mencapai matlamat ini.
Walaupun sebelum PRU 12 perkara sebegini tidak pernah diperkatakan bahkan tidak terfikir di benak fikiran rakyat Malaysia, namun kemungkinan ini perlu diterokai semata-mata dengan harapan dapat mengembalikan kegemilangan Islam yang telah sekian lama pudar.
Beberapa minggu yang lepas ruangan ini telah menyiarkan beberapa pilihan yang ada bagi sebarang bentuk kerjasama, tetapi senarai pilihan tersebut tidaklah terhad kepada apa yang dinyatakan itu sahaja. Lebih banyak pilihan perlu dicari ke arah ini.
Reaksi yang diterima di kedua belah pihak adalah bercampur-campur. Ini dapatlah difahami kerana sejarah pertelingkahan antara kedua belah pihak sukar dilupakan oleh pihak pimpinan mahu pun pihak ahli kedua belah pihak. Ketidakpuasan hati ini mungkin tidak dapat dipadamkan dari memori pemikiran mereka.
Beberapa pemimpin NGO Islam seperti ABIM dan PKPIM juga telah menzahirkan sokongan mereka terhadap muzakarah ini. Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) juga menyokong sebarang langkah bagi mengukuhkan kedudukan Islam di Malaysia. Tetapi kedengaran juga suara yang mempertikai dan menempelak sokongan ini kerana khuatir parti-parti politik ini apabila bekerjasama akan menjadi terlalu bersifat perkauman dan menindas agama lain.
Perkara ini perlu diteliti dengan mendalam agar tidak ada mana-mana rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama akan ditindas hasil daripada kerjasama sebegini.
Sebenarnya kerjasama sebegini hendaklah diteraskan kepada semangat Islam. Jika teras Islam itu diterima oleh kedua belah pihak maka akan lebih mudahlah mendatangkan keadilan kepada semua pihak. Ini bermakna sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa, rasuah, penindasan, kekejaman dan mencabul hak asasi hendaklah dibuang dan tidak diamalkan. Malah orang bukan Islam juga tidak perlu khuatir kerana jika dilaksanakan Islam sebenarnya, hak-hak orang bukan Islam itu akan terus dijaga dan dipertahankan.
Oleh yang demikian sekiranya hanya melihat kepada rupa dan warna kulit sahaja, sudah tentu orang bukan Islam gusar dengan perkembangan ini. Namun Islam itu sebuah agama yang adil, ia adalah jaminan tidak akan berlaku penindasan kepada orang bukan Islam.
Berbalik kepada muzakarah antara PAS dan UMNO ini, penulis berpendapat sekiranya kedua-dua pihak ikhlas mahu mempertahankan Islam, maka ada baiknya setiap ruang di lihat bagi menilai sejauh mana kerjasama dapat dilakukan. Walaupun sekiranya kerajaan campuran tidak dibentuk, tetapi sekurang-kurang suatu tahap pemahaman dapat ditingkatkan antara kedua parti ini agar apa pun tindakan selepas ini ia semestinya berteraskan kepada Islam.
Pertelingkahan yang terlalu lama antara PAS dan UMNO tidak mudah dipadamkan dalam sekelip mata ataupun melalui beberapa siri pertemuan sahaja. Tetapi langkah pertama itu telah pun diambil bagi menuju ke arah ini.
Oleh itu kedua pihak mesti lebih berhati-hati selepas ini di dalam mengeluarkan sebarang kenyataan ataupun membuat sebarang tindakan agar ianya selaras dengan hasrat menegakkan kalimah Allah di bumi Malaysia. Tanpa kesatuan aqidah ini yang disertai dengan keikhlasan hati tidak mungkin sebarang kerjasama dapat diadakan.
Jika PAS dan UMNO menoleh ke belakang, sudah tentu tidak akan dapat dicapai kata sepakat. Tetapi lihatlah ke hadapan tentang masa depan Islam di Malaysia itu sendiri. Namun kedua belah pihak berhak berhati-hati dan berwaspada dalam semua tindakan mereka kerana mungkin terdapat pelbagai helah yang akan memakan diri sendiri dari sudut politiknya. Sudah sampai masanya orang Islam melihat sesuatu menjangkaui batasan siasah kepartian dan berusaha mempastikan Islam itu dipertahan.
Sebenarnya terlalu banyak lagi yang perlu dilakukan untuk Islam sama ada di Malaysia ataupun di peringkat global. Orang Islam perlu mengorak langkah ke hadapan dan menjadi model kepada orang lain, bukan menjadi bahan cemuhan dan diperlekehkan setiap masa.
Namun begitu, sekiranya muzakarah ini tidak berjaya menghasilkan sesuatu dalam masa terdekat, kita semua tidak boleh berputus asa. Apa yang lebih penting ialah kesedaran tentang perpaduan umat Islam ini dapat disemai di kedua belah pihak sekarang. Mungkin masa belum sesuai lagi bagi merealisasikan impian ini tetapi usaha ke arah itu hendaklah dimulakan mulai saat ini.
Dalam membincangkan perkara ini, penulis berpendapat adalah lebih molek sekiranya PKR yang diterajui oleh orang Islam juga dijemput menyertai muzakarah ini. Dengan cara ini umat Islam akan bersatu, dengan izin Allah. Selaku sebuah badan Islam, Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menyokong sepenuhnya sebarang usaha ke arah menjayakan muzakarah tersebut.
Penulis adalah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sila layari http://peguamsyarie.blogspot.com