Menjaga Keharmonian Sejagat

Tulisan Zainul Rijal Abu Bakar

SULTAN Perak, Sultan Azlan Shah, baru-baru ini mengingatkan rakyat supaya jangan menguji atau mencabar isu berkaitan agama Islam hingga ke peringkat boleh menimbulkan kegelisahan rakyat. Baginda dilaporkan bertitah bahawa ketenteraman awam boleh terjejas dan perang saudara mungkin tercetus kerana perkara mengenai agama amat sensitif dan menyentuh emosi. Baginda juga menegaskan secara jelas bahawa agama Islam sudah diberi pengiktirafan khusus dalam Perlembagaan Negara dan menjadi tunjang utama pembentukan minda serta budaya khususnya di kalangan orang Melayu.

Berdasarkan latar belakang dan faktor sejarah, Islam diterima dan diiktiraf sebagai agama Persekutuan dengan diberikan keistimewaan serta perlindungan mengikut Perlembagaan Persekutuan. Nasihat baginda jelas iaitu mana-mana pihak hendaklah tidak melakukan apa-apa perkara bersifat mencabar kedudukan Islam di Malaysia. Teguran itu dibuat tepat pada ketika kedudukan Islam sering dipertikaikan pihak tertentu dan dibuat secara berterusan. Dari aspek perundangan, kedudukan Islam amat jelas khususnya apabila Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan. Tiada agama lain yang disebut dalam Perlembagaan Persekutuan, namun orang bukan Islam bebas menganut dan mengamalkan agama mereka tanpa tekanan.

Penyebaran agama bukan Islam di kalangan orang Islam pula boleh dihadkan melalui undang-undang seperti diperuntukkan dalam Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan. Selanjutnya, Perlembagaan Persekutuan juga memperuntukkan ikrar Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong seperti termaktub dalam Jadual Keempat adalah seperti berikut: “Dan lagi kami berikrar mengaku dengan sesungguhnya dan dengan sebenarnya memuliharakan pada setiap masa agama Islam dan berdiri tetap di atas pemerintahan yang adil dan aman dalam negeri.” Malah, ikrar itu ditegaskan dengan menggunakan kalimah sumpah syarie seperti ‘wallahi, wabillahi, watallahi’.

Perkara di atas adalah sebahagian daripada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan berhubung kedudukan Islam. Ada banyak perkara lain diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan, tetapi tidak dapat diketengahkan dalam rencana ini kerana kesempitan ruang.
Kedudukan Islam ini tidak harus dicabar sesiapapun yang mendukung Perlembagaan Persekutuan sebagai dokumen undang-undang tertinggi negara yang mesti dihormati.

Sebagai bekas Ketua Hakim Negara, Sultan Azlan Shah terkenal sebagai seorang ilmuwan yang berpengalaman luas dalam bidang kehakiman dan perundangan. Justeru, teguran baginda itu amat mendalam dan wajar diambil perhatian semua rakyat. Malah, Sultan Azlan juga dilihat sebagai sultan yang amat dihormati dan prihatin dengan perkembangan perundangan negara dewasa ini.

Kita melihat kebelakangan ini sering kali ungkapan bersifat mencabar kedudukan Islam, kedudukan dan keistimewaan orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan di ketengahkan. Malah, dalam banyak keadaan perkara ini dibincangkan di kalangan golongan tertentu dan golongan Islam arus perdana tidak diberi tempat untuk menyuarakan pandangan. Atau ada pelbagai helah dibuat supaya golongan Islam arus perdana tidak dapat menghadirinya seperti masa forum yang terlalu hampir dengan waktu solat Maghrib dan sebagainya.

Pada masa sama golongan ini juga yang mengatakan Perlembagaan Persekutuan itu agung dan tiada apa boleh mengatasinya. Namun, apabila mereka berhadapan dengan keistimewaan Islam dan orang Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan, mereka mempertikaikannya seolah-olah peruntukan itu tidak wujud dalam Perlembagaan Persekutuan. Sikap ‘double standard’ dan memilih sesuatu perkara disukai dan membantah sesuatu yang tidak digemari amat dikesali.

Oleh itu, wajar bagi rakyat yang prihatin dan bertanggungjawab untuk mengambil kira pandangan serta teguran dititahkan Sultan Perak. Sebenarnya banyak kes yang sudah diputuskan di mahkamah sivil termasuk mahkamah Persekutuan sebagai mahkamah tertinggi sivil turut menegaskan bahawa Islam berada pada kedudukan lebih tinggi di Malaysia. Keputusan ini tidak diterima mereka malah dicemuh pula. Mereka masih mempertaruhkan harapan supaya kedudukan Islam perlu disama taraf dengan agama lain dengan membelakangkan Perlembagaan Persekutuan dan keputusan mahkamah.

Penulis mengambil kesempatan pada ruangan ini mengajak pembaca sekalian tanpa mengira agama anutan supaya mengambil sikap terbuka dan akur kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang memberikan keistimewaan kepada Islam dan orang Melayu. Sesungguhnya jika kedudukan ini dihormati, sudah tentu orang Islam juga akan lebih menghormati kebebasan dikecapi bukan Islam di negara ini.

Janganlah kita menerima apa yang ada di negara lain sebagai baik. Sebaliknya, kita perlu memperhalusi terlebih dulu sama ada sesuatu yang datang dari luar itu adalah sesuatu disemai di sanubari rakyat Malaysia atau sebaliknya. Islam sudah lama tertanam dalam hati dan jati diri rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia sama ada Islam atau tidak, memang sedar kedudukan Islam ini.

Sewajarnya kedudukan ini dihormati dan tidak dicari alasan untuk melupuskannya kerana risiko akan ditanggung ialah ketenteraman awam terganggu seperti dinukilkan Sultan Perak. Jika Islam diamalkan sepenuhnya, sudah tentu kedudukan orang bukan Islam akan lebih terjamin kerana perundangan Islam banyak membahaskan mengenai kedudukan orang bukan Islam dalam sebuah negara Islam.

Mereka dikategorikan sebagai ‘al dhimmi’ yang menikmati beberapa keistimewaan dan dijamin Islam. Malah, jika orang Islam sendiri tidak menjaga kepentingan al dhimmi, sesungguhnya orang Islam itu sudah melakukan dosa dan boleh diambil tindakan. Berdasarkan sejarah pula, orang Melayu sudah sekian lama berinteraksi dengan orang Islam dan bukan Islam di Malaysia tanpa masalah besar melainkan jika orang Melayu berasa tercabar dan agama mereka digugat.

Toleransi orang Melayu ini dapat dibuktikan jika kita pergi ke sebahagian kampung Melayu yang ada peniaga daripada kalangan orang berketurunan bukan Melayu. Kita akan dapati peniaga ini berjaya menjalankan perniagaan, malah dikunjungi orang Melayu. Tiada diskriminasi berlaku. Islam mengajar orang Melayu menghormati orang lain dan tidak mengambil hak orang lain secara salah. Namun, apabila hak dan agama orang Melayu mula dipersoalkan, dikhuatiri sesuatu yang tidak baik pula akan berlaku.

Oleh demikian, nasihat Sultan Perak amat bertepatan dan wajar diberikan pertimbangan serta diikuti. Bagi pihak rakyat Muslim arus perdana, penulis menjunjung kasih atas peringatan dinyatakan Sultan Perak. Sudah pasti keseluruhan rakyat gembira dengan teguran dibuat. Semoga ia menjadi pemangkin kepada hubungan antara agama di Malaysia. Diharapkan semua pihak dapat membuka lembaran baru bagi memulakan era baru hubungan antara agama dengan mengambil kira teguran diberikan semata-mata bagi menjaga keamanan dan ketenteraman keseluruhan rakyat di Malaysia. Kami menjunjung kasih tuanku.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sila layari http://peguamsyarie.blogspot.com

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s