Resolusi Forum Syariah Disokong

Sumber : Berita Harian 25 Julai 2006 (Selasa)

KUALA LUMPUR: Pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan Islam menyokong resolusi Forum Syariah dan Cabaran Semasa Umat Islam kelmarin yang mahu semua pihak tidak menjadikan Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan untuk menggugat Islam.

Ia penting bagi menjamin perpaduan masyarakat pelbagai kaum, memastikan Malaysia terus maju dari segala aspek, terutama politik, ekonomi dan sosial kerana tanpa perpaduan, Wawasan 2020 tidak mungkin menjadi kenyataan. Pengarah Unit Kajian dan Pembangunan (R&D) Pertubuhan Kebajikan Dakwah Islamiyah Malaysia (Pekida), Dr Masjuki Mohd Masri berkata, Islam tidak pernah menganjurkan umatnya mencipta ketegangan dengan penganut agama lain. Beliau berkata, Islam menganjurkan umatnya berdakwah secara hikmah, iaitu menggunakan diplomasi dan berusaha mengangkat kedudukan umat dalam pelbagai bidang yang secara tidak langsung mempamerkannya sebagai ugama yang syumul.

Bagaimanapun, musuh sentiasa mencari peluang untuk melemahkan umat Islam apabila menyedari kita alpa dan tidak bersatu padu. Jika kita terlalu menggunakan Artikel 11 Perlembagaan yang menyatakan Islam agama rasmi negara dan masyarakatnya bebas mengamalkan agama masing-masing tetapi agama lain tidak boleh disebarkan kepada umat Islam, kita akan dilihat sebagai tidak demokratik atas alasan hak asasi manusia, katanya ketika dihubungi, di sini semalam. Sehubungan itu, katanya, di samping mengingatkan masyarakat bukan Islam supaya menghormati Artikel 11, umat Islam sendiri tidak harus hanyut dalam arus kemajuan, sebaliknya berpegang teguh kepada akidah dan syariat Islam.

Beliau diminta mengulas resolusi dicapai pada forum berkenaan yang dihadiri kira-kira 10,000 umat Islam di Masjid Wilayah Persekutuan, kelmarin. Forum itu dihadiri ahli panel seperti Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria; Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Yusri Mohamad; Pengerusi Jawatankuasa Penaja Persatuan Peguam bela Islam, Zainur Zakaria; pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof Dr Abdul Aziz Bari dan peguam syarie, Kamar Ainiah Kamaruzaman. Perbincangan forum itu berkisar pada gesaan supaya kerajaan memastikan hal perundangan berkaitan Islam, terutama isu umat Islam memohon menukar agama tidak diputuskan mahkamah sivil, sebaliknya dikendalikan Mahkamah Syariah. Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), Mohd Nazri Yunus berkata, aspek menghormati Islam bukan bermaksud masyarakat bukan Islam harus memeluk Islam, sebaliknya tidak mencuba mencabar hak umat Islam. Sekarang ada golongan tertentu yang tidak tahu menghormati prinsip agama lain hingga berani mencabar hak penganut agama lain sedangkan perkara itu sudah termaktub dalam Perlembagaan. Sikap hormat menghormati semakin terhakis. Islam menganjurkan umatnya supaya menghormati agama lain tetapi pada masa yang sama mahukan umatnya mempertahankan agamanya jika dicabar pihak tertentu, katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s