Umat Islam Jangan Terpengaruh Dengan Ajaran Sesat

Oleh: Nurhidayah Muhd Hashim

dipetik dari: http://peguamsyarie.blogspot.com/2008/08/ajaran-sesat.html

Ajaran sesat yang berlawanan dengan pegangan agama yang diiktiraf sering kali mengganggu ketenteraman dan keharmonian hidup setempat. Walaupun sesuatu ajaran itu bersifat pelik dan menyeleweng dari apa yang biasa kita pelajari, tetapi masih ada segelintir umat Islam yang terpengaruh dan menjadi sebahagian dari pengikut ajaran-ajaran sebegini. Antara ajaran yang telah difatwakan sesat dalam negeri Selangor adalah ajaran Qadiani, fahaman Syiah, ajaran haji Banuar Roslan, ajaran tarikat Samaniah Ibarahim Bonjol, a-Arqam, ajaran Martabat Tujuh, ajaran zikir Hasan anak Rimau dan sebagainya.

Terdapat juga di kalangan pengikut ajaran sebegini tidak tahu bahawa apa yang dipegang dan dipertahankan itu adalah sesat dan menyimpang dari ajaran Islam. Justeru itu ilmu tentang asas agama sangat perlu kita pelajari supaya dengan akal dan iman yang waras, kita dapat mengenali bahawa sesuatu perkara baru yang diberitahu kepada kita adalah sesat ataupun sebaliknya.

Apakah yang dikatakan sesuatu ajaran itu sesat dan menyeleweng? Sesuatu ajaran sesat sebenarnya merujuk kepada ajaran atau amalan yang didakwa sebagai ajaran Islam sedangkan ia bercanggah dengan isi kandungan al-Quran dan al-Sunah.

Ajaran sesat ini sebenarnya mempunyai beberapa ciri yang perlu kita fahami agar kita dapat menyelamatkan diri. Antaranya ciri ajaran sesat adalah:

-Mencemarkan kesucian al-Quran dan hadis seperti memansuhkan, mengubah, mempertikai atau membuat satu tafsiran menyeleweng terhadap al-Quran dan hadis. Contohnya mengatakan bahawa ayat al-Quran mengenai sembahyang tidak ada dan telah dimansuhkan. Atau mengatakan bahawa Nabi Muhamad adalah bukan seorang yang terpuji, bukan Nabi terakhir dan ada lagi Nabi selepas Nabi Muhammad.

-Mengubah prinsip asas dalam akidah Islam seperti ajaran yang menggabungkan Islam dengan agama lain sehingga menjadi satu ajaran yang sangat pelik dan terasing. Atau mengatakan semua agama tidak berbeza dan sama taraf serta datang dari Tuhan yang sama.

-Memuja dan mendewakan ketua ajaran sehingga ke tahap mengatakan ketuanya suci dari dosa, menjadi Nabi, menjadi jelmaan Tuhan di dunia ini dan boleh mencipta dan membuat mukjizat seperti Nabi terdahulu. Apabila sampai ke tahap memuja, pengikut akan berusaha melakukan segala perkara untuk ketuanya sehingga kepada memberikan keseluruhan harta, mencium kaki, meminum air basuhan kaki pemimpin, meminta syafaat dari pemimpin serta pelbagai perkara yang tidak ada dalam ajaran Nabi Muhammad.

-Menolak perkara yang mutlak (qat’ie) dalam Islam. Contohnya mengatakan berkahwin secara batin tanpa saksi adalah sah, ketua ajaran dan pengikutnya boleh berkahwin dengan seberapa ramai yang dikehendaki. Ketua dan ahlinya sudah bebas dari hukum-hakam agama dan tidak perlu mengerjakan sembahyang, puasa dan sebagainya. Atau pun mengajarkan bahawa solat tidak perlu mengerjakan dengan perbuatan, sebaliknya memadai dilakukan dengan niat sahaja.

-Mengubah konsep pahala dan dosa seperti memberi kuasa pengampunan dosa kepada ketua ajaran. Ketua boleh memberi pahala dan menjamin pengikutnya masuk ke syurga atau pun semua yang mengikutnya tidak akan dihisab amalannya di akhirat kelak.

-Mendakwa boleh melakukan sesuatu yang pelik yang bersangkutan dengan perkara ghaib. Contohnya ketua ajaran mengatakan dia boleh bercakap dengan Tuhan, boleh memanggil roh simati termasuklah boleh berinteraksi dengan Nabi, Malaikat atau pun mengatakan syaitan tidak berani menggodanya kerana maqamnya terlalu tinggi dan sebagainya.

-Mendewakan sesuatu yang lain selain Allah atau mensyirikkan Allah dengan sesuatu sembahan yang lain. Ini termasuklah meminta bantuan bukan daripada Allah tetapi menyeru nama-nama jin, makhluk halus dan sebagainya.

-Menolak hadis Nabi serta membenci semua yang diriwayatkan dari Nabi Muhammad.

Apabila sesuatu ajaran bertentangan dengan prinsip asas dalam Islam, maka setiap kita yang beriman perlu menjauhinya dan berusaha menyelamatkan orang yang dikenali dari terpengaruh dengan ajaran sebegini.

Terdapat beberapa peruntukan dalam Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 berkenaan kesalahan ajaran sesat. Contohnya Seksyen 4 (1) memperuntukkan kesalahan melibatkan memuja alam semula jadi atau melakukan apa-apa perbuatan yang menunjukkan pemujaan atau rasa hormat kepada mana-mana orang, binatang, tempat atau benda dengan apa-apa cara menyalahi Hukum Syarak.

Seksyen 7 Enakmen yang sama pula memperuntukkan mengenai mana-mana orang mengajar atau menjelaskan apa-apa doktrin atau melaksanakan apa-apa upacara bertentangan dengan Hukum Syarak dan fatwa yang berkuat kuasa sama ada di tempat sendiri atau di tempat umum boleh disabitkan denda tidak lebih RM5000 atau dipenjara tidak lebih 3 tahun atau disebat tidak lebih 6 kali sebatan.

Apakah yang boleh kita lakukan jika kita mendapat tahu ada ajaran sesat yang berlaku dalam kawasan kita? Kita perlu membuat aduan kepada Pegawai Penguat kuasa Agama (PKA) di tempat kita berada memaklumkan terdapat satu ajaran yang disyaki bertentangan dengan Islam. Selepas aduan dibuat, pihak PKA akan mengadakan siasatan ke atas aduan tersebut.

Seksyen 54 dalam Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Selangor) 2003 memperuntukkan cara-cara seseorang awam boleh membuat aduan. Pengadu perlu memberi aduan bertulis dengan mengisi borang tertentu, mencatat dengan terperinci apa dan di mana perkara disyaki tersebut berlaku. Borang tersebut perlu ditandatangani dan maklumat tentang diri pengadu juga perlu disertakan. Ini bertujuan menjaga pertanggungjawaban pengadu terhadap aduan yang dibuat. Jika aduan diberi secara lisan, ia juga perlu dipindahkan kepada bentuk bertulis.

Walaupun pada dasarnya PKA akan bertindak apabila ada aduan, tetapi dalam keadaan tertentu berdasarkan Seksyen 57 Enakmen yang sama, PKA boleh juga terus bertindak dan menangkap walaupun tanpa aduan dari orang awam jika terdapat sebab untuk mensyaki perlakuan sesuatu kesalahan boleh tangkap berlaku. Contohnya kes yang sudah dihebohkan dalam media, PKA boleh terus bertindak melakukan siasatan kerana jika menunggu laporan dari orang awam terlebih dahulu, mungkin masa sudah menjadi terlalu lambat dan pihak bersalah juga mungkin berjaya melarikan diri. Ini perlu diperhalusi antara kes melibatkan kesalahan boleh tangkap, kes umum dan kes yang dikecualikan.

Demi untuk menyelamatkan masyarakat kita dari terjerumus dalam ajaran sesat yang dibawa oleh mana-mana pihak, kita mengharapkan supaya:

1- Semua orang Islam perlu berusaha mencari ilmu melibatkan ajaran Islam dari pihak-pihak yang diketahui berilmu atau dari badan-badan yang diiktiraf agar tidak terpengaruh dengan ajaran pelik yang terasing.
2- Kita juga perlu memantapkan kefahaman tentang perkara asas dalam Islam sehingga berjaya membezakan antara ajaran yang tepat dengan ajaran yang menyeleweng.
3- Membuat aduan kepada pihak bertanggungjawab atau PKA di tempat kita berkenaan apa-apa ajaran yang disyaki menyeleweng.
4- Memohon pihak Kerajaan menambah bilangan PKA yang profesional dan mahir dalam kaedah siasatan dan tangkapan di setiap negeri dan kawasan agar mampu menangani permasalahan dan kesalahan berbentuk agama yang bertambah.
5- Memohon setiap ajaran yang dikenal pasti sesat dan menyeleweng disegerakan fatwanya oleh pihak berwajib dan diwar-warkan kepada orang awam dengan seberapa segera.

Penulis ialah Exco Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sebarang komentar boleh dihantar ke excopgsm@yahoo.com. Sila layari http://peguamsyarie.blogspot.com

3 thoughts on “Umat Islam Jangan Terpengaruh Dengan Ajaran Sesat

  1. Askum pertama saya Rafa’kan Anugerah nikmat yang tidak terhingga kepada Allah ( Tuhan Sekalian Alam ) Tuhan Jin ,Manusia dan segalanya.Saya berterima kasih kepada saudara dan bersyukur kepada Allah kerna masih kedapatan manusia yang ingin perjuangkan AGAMA DUNIA AKHIRAT.Mudah.mudahan apa juga niat Ikhlas saudara akan diberi Hidayat dan dapat mengislamkan Melayu yang bertaqlid semata.Nak islamkan orang bukan islam lebih mudah daripada mengislamkan orang melayu yang telah islam dari di lahirkan.Mohon hidayah dari ALLAH dan bantuan nasihat n tunjuk ajar.Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada saya untuk di wawarkan kepada masyarakat yang ketandusan ilmu.Ok terima kasih wasalam.

  2. Salam…mcmana dgn kes meriam ahmad yang mengaku rasul wanita?
    sampai hari ni masih tiada siapa yang berani mengambil tindakan ke atasnya…dan tak kurang juga mempengaruhi orang ramai kerana pihak berkuasa tidak berani mengambil tindakan ke atas nya:

  3. Assalamualaikum saya ingin mengucapkan tahniah di atas keperihatian yang semangat dari saudara moga allah menyelamatkan saudara amin yarab.Cuma persoalannya ialah siapa yang power dimalaysia sekarang nie kita atau ketua2 ajaran sesat so cadangan saya supaya kita mengadakan satu perjumpaan samada dengan menteri yang telah diberikan tanggungjawab atau orang pertama malaysia iaitu Perdana Menteri untuk merancangkan sesuatu dan terus bertindak dengan hikmah sebab saya nampak masyarakat kita banyak bercakap dari bertindak so kita perlu berhijrah dari banyak bercakap kepada banyak bertindak.Wassalam

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s