Majlis Peguam perlu adil

PADA 9 Ogos lalu, Majlis Peguam mengadakan forum ‘Memeluk Islam’. Tindakan majlis berkenaan dikatakan menimbulkan kemarahan umat Islam. Lanjutan itu, lebih 1,000 orang berkumpul membantah penganjuran forum tersebut yang disifatkan sengaja mahu mencemarkan imej Islam.

Mengulas perkara itu, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Zainul Rijal Abu Bakar menyifatkan tindakan Majlis Peguam tersebut hanya akan mewujudkan tafsiran bahawa majlis berkenaan sememangnya anti Islam.

Bercakap dalam pertemuan dengan wartawan Mingguan Malaysia, ZULKIFLEE BAKAR dan HERMAN HAMID, beliau menganggap Majlis Peguam tidak bertindak jujur apabila mengadakan forum seumpama itu.

Ini kerana kata beliau, Majlis Peguam sengaja mempertikaikan perkara yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan biarpun majlis itu acap kali membuat kenyataan bahawa Perlembagaan harus dihormati dan diletakkan di tempat tertinggi serta tidak boleh dipertikaikan.

Bagi beliau, isu sensitif melibatkan agama seharusnya dibincangkan secara tertutup kerana ia boleh mencetuskan perbalahan.

Dalam pertemuan tersebut juga, Zainul Rijal turut meminta Majlis Peguam agar bertindak jujur dan ikhlas dalam tindakan mereka serta tidak terus melakukan provokasi dengan menganjurkan forum-forum yang dilihat hanya bertujuan memburukkan Islam. Contohnya, kata beliau walaupun kerajaan dan pelbagai pihak membantah forum tersebut namun Majlis Peguam tetap berdegil dengan meneruskannya.

‘‘Semua ini adalah satu tindakan provokasi yang boleh menimbulkan tafsiran bahawa majlis itu anti Islam dan ini pastinya boleh membangkitkan kemarahan orang Islam,’’ katanya.

Menurut beliau yang juga seorang peguam sivil, jika Majlis Peguam ikhlas mereka seharusnya menganjurkan forum tertutup bagi memberikan kefahaman kepada bukan Islam mengenai perkara-perkara berkaitan Islam. Tetapi malangnya kata beliau, Majlis Peguam tidak berbuat demikian. Mereka sebaliknya seolah-olah hanya mencari keburukan apabila seseorang memeluk Islam.

MINGGUAN: Apakah motif Majlis Peguam mengadakan forum ‘Memeluk Islam’ pada 9 Ogos lalu?

ZAINUL RIJAL: Sebenarnya Majlis Peguam mempertikaikan banyak perkara, tetapi dalam masa yang sama mereka berkata Perlembagaan Persekutuan adalah paling tinggi dan mesti dihormati serta tidak boleh dipertikaikan.

Tetapi apa yang kita lihat apa-apa perkara mengenai kelebihan Islam dan kedudukan orang Melayu seperti mana termaktub dalam Perlembagaan seolah-olah dipertikaikan. Ini jelas apabila mereka menganjurkan forum ‘Kontrak Sosial’ pada Jun lalu serta terkini forum ‘Memeluk Islam’.

Begitu juga dalam beberapa kes melibatkan hal ehwal Islam, majlis itu menghantar peguam pemerhati. Mereka bukan sahaja memerhati tetapi juga terlibat sama berhujah. Semua ini memberi gambaran di kalangan orang Islam seolah-olah Majlis Peguam anti Islam.

Pada hal Majlis Peguam mengatakan memperjuangkan Perlembagaan Persekutuan. Jadi mereka mempunyai pendirian yang berbeza satu masa kata macam ini, satu kata macam lain pula. Ini yang kita tidak boleh terima.

Kita sebagai rakyat Malaysia yang menjunjung Perlembagaan mesti mengakui hakikat bahawa ada perbezaan antara Islam dan juga agama-agama lain. Tetapi soal ini tidak diketengahkan oleh Majlis Peguam.

Apakah kesannya jika majlis berkenaan terus bertindak demikian?

ZAINUL RIJAL: Kesan segera yang kita dapat lihat ialah pada 9 Ogos lalu apabila umat Islam berkumpul di hadapan Pejabat Majlis Peguam di mana berlangsungnya forum ‘Memeluk Islam’.

Ia menyaksikan bagaimana orang Islam bangkit. Hakikatnya, orang Melayu Islam tidak mudah ‘naik semangat’ tetapi apabila betul-betul marah barulah tercetus suasana seperti mana kita lihat itu. Kita tidak mahu apa yang berlaku pada tahun 1969 berulang, ia tidak baik untuk negara.

Namun bagi orang Melayu apabila mereka melihat kedudukan agama dihakis barulah mereka bangkit. Begitulah juga apa yang berlaku pada 9 Ogos lalu apabila Majlis Peguam dilihat mempertikaikan agama Islam, barulah orang Melayu bersatu.

Secara terperinci apa bahayanya forum seumpama itu?

ZAINUL RIJAL: Pada mulanya saya berpendapat ia hanya satu forum, jadi saya tidak ada masalah. Saya yakin wakil orang Islam di dalam forum berkenaan boleh memberikan perspektif Islam yang betul. Tetapi apabila saya melihat kepada surat jemputan forum berkenaan yang turut tertera mereka yang memeluk Islam dijemput memberi pandangan tentang masalah yang dihadapi, saya mula terfikir mengenai tujuan forum berkenaan. Adalah jelas ia bertujuan untuk mengatakan apabila orang bukan Islam masuk Islam, ia akan ada masalah dan ini seolah-olah ingin menggambarkan memeluk Islam adalah satu kesalahan sedangkan ada ramai lagi yang memeluk Islam tetapi tidak ada masalah.

Namun malangnya Majlis Peguam tidak menjemput golongan yang tidak bermasalah tersebut walaupun mereka memahami bahawa dalam prinsip undang-undang, keadilan harus dilihat dilaksanakan.

Majlis Peguam tidak pernah berusaha untuk menunjukkan kebaikan mereka yang memeluk Islam. Kalau mereka mahu bertindak adil sepatutnya mereka jemput dua peserta yang berbeza iaitu seorang ada masalah apabila memeluk Islam dan seorang lagi tidak ada masalah. Oleh itu maksud sebenar majlis berkenaan mengadakan forum seumpama itu adalah untuk melakarkan bahawa memeluk Islam salah.

Apabila perkara seumpama itu ditimbulkan berkali-kali ia akan menimbulkan tafsiran bahawa tindakan memeluk Islam akan ada masalah. Ini agendanya. Ia akan menghalang orang bukan Islam daripada memeluk Islam. Inilah bahayanya jika kita membenarkan forum seumpama itu diadakan secara terbuka.

Di dalam forum itu mereka menjemput golongan yang memeluk Islam menghadapi masalah, adakah ia wajar?

ZAINUL RIJAL: Kita tidak kata semua orang yang memeluk Islam itu mempunyai niat yang baik. Kita tidak tahu niat orang. Mungkin ada satu dua kes yang dia hendak melarikan diri daripada undang-undang. Tetapi sebenarnya untuk kes seperti itu, orang berkenaan sendiri tidak faham undang-undang Islam kerana berpendapat apabila memeluk Islam dia tidak perlu membayar nafkah isteri dan anak-anaknya yang bukan Islam. Sedangkan jika ikut undang-undang Islam, tanggungjawab dia tidak terputus. Undang-undang Islam mempunyai mekanisme berhubung perkara itu.

Apakah mungkin tindakan orang Islam yang bercerai dengan mualaf menyebabkan Islam dilihat tidak adil?

ZAINUL RIJAL: Saya pernah cadangkan kepada pihak yang berkuasa bahawa sebelum kita hendak hukum orang yang mahu keluar daripada Islam, kita patut hukum orang Islam yang menyebabkan mualaf itu bertindak demikian.

Sebagai contoh, ada satu kes seorang wanita saudara baru bertunang dengan orang Islam. Belum sempat berkahwin mereka menjadi rakan kongsi dalam perniagaan bagaimanapun si lelaki meninggal dunia. Jadi wanita mualaf itu tidak boleh mewarisi harta yang ditinggalkan si mati kerana mereka baru bertunang. Walaupun ada insurans dan perniagaan, si wanita saudara baru ini tidak mendapat apa-apa kerana dihalang oleh keluarga lelaki. Padahal mereka tahu yang perniagaan diusahakan ialah secara bersama.

Malah dalam afidavit di mahkamah, keluarga lelaki itu menuduh wanita itu bukan Islam. Jadi wanita ini marah kerana dia memeluk Islam dan mengamalkan ajaran Islam. Lalu wanita itu kata orang Islam hanya menunjukkan dia jalan keluar daripada Islam, tetapi orang bukan Islam termasuk keluarganya yang bukan Islam sanggup mengalu-alukannya kembali. Jadi dalam kes ini kalau wanita itu mahu kembali ke agama lamanya macam mana. Siapa yang salah? Tentulah orang Islam yang zalim kepada wanita itu yang salah.

Sebab itu saya cadang sebelum ini jika ada kes macam ini kita hukum orang Islam berkenaan. Ertinya, kalau ada permohonan keluar Islam, kita siasat siapa orang Islam yang menyebabkan orang itu mahu keluar Islam. Kita tuduh dia di mahkamah kerana menyebabkan seseorang keluar Islam kerana seolah-olah orang itu reda kepada orang lain keluar Islam.

Dalam membincangkan masalah sensitif seperti soal memeluk Islam ini, benarkah hujah yang mengatakan tidak ada saluran lain untuk berbuat demikian selain forum terbuka?

ZAINUL RIJAL: Perkara-perkara sensitif seperti itu sudah banyak kali dibincangkan secara tertutup sebelum ini pun saya sudah menghadiri dialog tertutup yang bertajuk ‘dialog kehidupan’. Kami berbincang tidak ada masalah dan cuba memahami permasalahan yang ditimbulkan.

Dialog yang saya maksudkan ialah dialog antara agama dan bukannya seperti mana dilakukan oleh Majlis Peguam yang hanya menyaksikan pandangan satu pihak sahaja. Tindakan mereka seolah-olah menyuruh bukan Islam menunjukkan kepada orang Islam apa yang sepatutnya dilakukan jika ada orang memeluk Islam. Sedangkan dalam hukum Islam semua perkara itu sudah dinyatakan.

Begitu juga orang Islam, kalau kita hendak berdialog, kita tidak boleh mempertikaikan soal agama lain seperti tuhan mereka dan sebagainya. Apa yang boleh kita lakukan ialah menjelaskan sesuatu yang menimbulkan keraguan di kalangan bukan Islam mengenai Islam.

Atas sebab itulah kita tidak boleh menerima penubuhan Suruhanjaya Antara Agama (IFC) kerana mereka yang bukan Islam pun boleh jadi pesuruhjaya di dalamnya dan boleh membuat keputusan untuk pihak Islam.

Bagaimana satu hari nanti IFC ini dapat aduan contohnya, solat Jumaat itu menyusahkan bukan Islam kerana menimbulkan kesesakan lalu lintas dan IFC membuat keputusan tidak perlu solat Jumaat. bolehkah orang Islam terima? Jadi semua pihak perlu memahami sempadan masing-masing dan bukannya melepasi sempadan berkenaan.

Bagaimana pula dengan pandangan sesetengah peguam Islam sendiri yang menegaskan forum ‘Memeluk Islam’ itu perlu dibenarkan kerana ia bertujuan membincangkan masalah yang timbul apabila salah seorang pasangan bukan Islam memeluk Islam?

ZAINUL RIJAL: Memang permasalahan itu diakui. Namun bolehkah forum itu menyelesaikannya? Yang boleh atasi adalah pihak berkuasa. Sebenarnya masalah-masalah yang dikatakan itu tidak akan wujud sekiranya mereka bersedia untuk ke Mahkamah Syariah. Isunya sekarang mereka tidak mahu. Jadi ini yang jadi masalahnya. Mahkamah Syariah mempunyai mekanisme untuk menentukan soal nafkah, hak penjagaan dan isu-isu lain yang timbul selepas seseorang memeluk Islam.

Kalau setakat anjur forum sampai 20 kali pun, masalah tak akan selesai. Sebab itu yang penting semua pihak mesti beri kerjasama dengan mahkamah. Beri keterangan apabila diminta. Jangan hanya pandai menyalak. Dalam banyak kes, orang bukan Islam enggan ke mahkamah syariah.

Apakah tindak tanduk Majlis Peguam menyinggung perasaan peguam Islam?

ZAINUL RIJAL: Ada kalangan peguam Islam yang bertanya tidakkah ada cara bagi membolehkan mereka keluar dari Majlis Peguam. Ini kerana kita tidak boleh menerima apa yang dilakukan Majlis Peguam khususnya penganjuran forum 9 Ogos lalu.

Tetapi masalahnya undang-undang kita hanya membenarkan satu sahaja Majlis Peguam. Kalau kita keluar Majlis Peguam, kita tak boleh jadi peguam pula kerana kita bukan di Britain yang ada beberapa badan statutori peguam.

Itulah dilema yang kita hadapi. Kalau diikutkan memang ramai yang hendak keluar kerana tidak sehaluan. Malah dalam hal ini peguam syarie pun sedang berjuang menubuhkan Majlis Peguam Syarie tetapi sehingga hari ini belum terlaksana lagi. Jika ia dapat diwujudkan ia setidak-tidaknya dapat mengimbangi pandangan Majlis Peguam walaupun ia hanya untuk peguam syarie.

Apakah nasihat kepada Majlis Peguam supaya mereka menjaga sensitiviti orang Melayu dan Islam?

ZAINUL RIJAL: Sensitiviti masyarakat paling utama. Kalau kita gagal memahami sensitiviti masyarakat, negara akan kucar-kacir. Justeru kena faham dan hormat budaya masyarakat Malaysia. Pada saya, Majlis Peguam boleh buat perbincangan secara tertutup termasuk adakan dialog untuk satu-satu isu.

Sebagai contoh hendak tentukan jenazah orang Islam, kita boleh duduk berbincang. Sebenarnya Mahkamah Syariah hendak pastikan yang orang itu Islam atau tidak pada saat kematiannya. Itu sahaja. Dalam kes yang digembar-gembur seperti kes Moorthy, masalahnya pihak keluarga bukan Islam tidak mahu pergi ke Mahkamah Syariah. Mereka abaikan sapina.

Jadi bagaimana mahkamah hendak buat keputusan yang adil tanpa keterangan daripada keluarga mangsa. Dalam kes Nyonya Tahir, seluruh keluarga tampil ke Mahkamah Syariah dan kemuka keterangan yang Nyonya Tahir tak pernah amalkan Islam. Jadi Mahkamah Syariah putuskan yang Nyonya Tahir bukan seorang Islam di saat kematian. Selesai masalah, ini cara yang paling baik. Tapi oleh kerana orang bukan Islam tak menghormati Mahkamah Syariah, ini jadinya.

Orang bukan Islam perlu faham hukum Islam bahawa adalah satu kesalahan atau dosa kepada orang Islam untuk kebumikan orang bukan Islam ikut cara Islam dan satu kesalahan juga biarkan orang Islam dikebumi cara bukan Islam. Bukan kita hendak rebut semua orang meninggal dunia. Cuma bila ada keterangan prima facie yang si mati pernah peluk Islam melalui perakuan, maka Mahkamah Syariah perlu tentukan sama ada di saat kematiannya, si mati itu Islam atau tidak. Maka bantulah beri keterangan kepada Mahkamah Syariah. Kalau si mati ada pergi ke gereja atau kuil, beritahu mahkamah. Dan jika ini berlaku, mahkamah puas hati yang memang betul si mati tidak Islam, mahkamah akan benarkan keluarga bukan Islam tuntut si mati. Tapi ini tidak berlaku dalam banyak kes cuma segelintir kes sahaja seperti Nyonya Tahir.

Di Selangor, ada juga kes di mana jabatan agama berjumpa keluarga si mati memaklumkan yang si mati telah memeluk Islam melalaui perakuan sijil. Walaupun mayat telah dimasukkan dalam keranda, namun keluarga si mati benarkan untuk mayat itu diuruskan mengikut Islam. Namun mereka letakkan syarat supaya majlis pengkebumian dapat dibenarkan keluarga yang bukan Islam hadir. Jabatan agama tidak mempunyai masalah. Keluarga bukan Islam dibenarkan lihat dari awal proses sehinggalah ke liang lahad. Tidak timbul masalah, keluarga si mati itu berpuas hati bagaimana jenazah itu disempurnakan dengan penuh hormat.

Apa yang menjadi masalah jika keluarga tidak mahu memberikan kerjasama dengan pihak berkuasa Islam. Sepatutnya inilah yang perlu dilakukan oleh Majlis Peguam iaitu memberikan fahaman kepada bukan Islam. Tetapi malangnya mereka bertindak sebaliknya sehingga dilihat lebih gemar mencari keburukan Islam. Justeru Majlis Peguam seharusnya adil dalam memperkatakan soal Islam.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s