Jangan Gugat Hak Islam – KP JAKIM

[dari Utusan Malaysia]

MUTAKHIR ini terdapat cubaan sama ada secara disengajakan atau tidak untuk ‘menggugat’ keistimewaan kedudukan Islam sebagai agama rasmi Malaysia sebagaimana termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan Malaysia.Ia dilakukan melalui pelbagai cara. Antaranya penganjuran forum kontroversi ‘Memeluk Islam’ oleh Majlis Peguam, Ogos lalu, penyebaran artikel menghina dan merendah-rendahkan Islam menerusi blog dan juga campur tangan dalam upacara keagamaan Islam.

Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN menemu bual Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz di pejabatnya, Ahad lalu bagi mengupas persoalan ini.

UTUSAN: Apabila Islam itu agama rasmi negara, maka apakah hak bagi umat Islam untuk mempertahankannya?

WAN MOHAMAD: Perlembagaan di mana-mana negara di dunia pun dianggap undang-undang dasar tertinggi.

Di dalam Perlembagaan dinyatakan di bawah perkara berikut: Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan: (1) Agama Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan. Kedudukan Islam memang lebih tinggi daripada agama lain dan tidak ada persamaan dalam perkara ini. Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja Melayu adalah ketua bagi agama Islam di negeri-negeri berkaitan.

Jadi, apabila Islam dipilih sebagai agama bagi Persekutuan ia bermakna rakyat dan sistem pemerintahannya mesti seiring. Meletakkan Islam sebagai asas utama pentadbiran negara.

Menurut pakar undang-undang, tidak ada kesalahan yang lebih besar bagi rakyat selain menolak Perlembagaan negara.

Di Malaysia, antara contoh kesalahan ‘dosa besar’ adalah menyentuh atau mempertikai kedudukan raja-raja Melayu. Apa yang sepatutnya berlaku adalah ketentuan ini yang disokong dan diterima pakai oleh kontrak sosial mesti dijunjung oleh setiap rakyat. Bukan hanya orang Islam atau Melayu sahaja. Ini adalah teras kepada jalinan hubungan antara kepelbagaian etnik dan agama di negara kita. Justeru, kalau ada pihak yang hendak merungkainya, pasti ada pihak akan tampil mempertahankan Perlembagaan dan hak masing-masing.

Oleh itu, apabila ada yang mempertikai kenapa ada Jakim dan bukannya Jakam (Jabatan Kemajuan Agama-agama Malaysia) dan cadangan ditubuh pelbagai jabatan agama-agama lain, ini pastinya bertentangan dengan semangat Perlembagaan kita. Sudah pasti, pihak yang paling berhak mempertahankan Islam di Persekutuan adalah Jakim. Saya juga amat yakin banyak pihak bersama Jakim dalam hal ini.Mengapa hal ini perlu dibendung? Sejak merdeka bahkan sejak pra merdeka, bumi bertuah ini sudah lama menjadi negara pelindung. Dalam erti kata, menjadi tumpuan rakyat negara lain yang berhijrah ke Persekutuan Tanah Melayu. Mereka datang sama ada untuk bekerja atau menetap di sini.Dan dengan murah hati, kita (orang Melayu) memberi hak menjadi warganegara kepada mereka.

Selepas merdeka, hal ini makin ketara di mana keadilan ditegakkan kepada semua kaum dan agama. Ini terbukti melalui pelbagai petunjuk baik dalam segi ekonomi mahu pun sosial. Golongan yang asalnya pendatang itu tadi kini dapat hak yang sama sebagai warganegara.Oleh itu, mereka mesti hormati jaminan hak keistimewaan peribumi iaitu orang Melayu. Mereka perlu menghormati hak asasi manusia dan pada masa yang sama kena hormati hak peribumi dan Islam sebagai agama rasmi.

Apakah boleh saudara tunjukkan jika ada negara lain yang memberi ruang kepada sistem pendidikan yang bukan teras tradisi penduduk tempatan seperti Malaysia. Sebaliknya, kerajaan Malaysia membenarkan penubuhan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil dan juga Cina.

Sehinggakan orang Islam merasakan nasib sekolah-sekolah agama rakyat seperti diabaikan. Mujurlah, hal ini diatasi melalui penubuhan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama oleh Kementerian Pelajaran.

Yang menjadi masalah apabila tuntutan-tuntutan yang dikemukakan bukan berpunca daripada kehilangan hak. Sebaliknya hendak merebut hak orang lain (Islam). Pada masa yang sama nak menggugat kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan. Islam adalah agama toleransi. Tetapi setakat mana tolak ansur dibenarkan? Pada asasnya, hubungan Islam dengan agama lain adalah didasari oleh wasatiah atau kesederhanaan. Ini pula perlu ditafsir dengan tepat.

Islam menuntut dalam persoalan akidah tidak boleh paksa pihak lain terima akidah Islam. Ini juga ditegaskan Allah menerusi firman-Nya yang bermaksud: Tidak ada paksaan dalam agama (Islam)…(al-Baqarah: 256) Sebabnya akidah adalah soal hati yang juga disebut sebagai tunjang keimanan. Sebab itulah penganut bukan Islam di Malaysia boleh mengamalkan ajaran agama mereka dengan damai. Tetapi dalam bab kehidupan bernegara, kita semua terikat dengan undang-undang. Bagi orang Islam kita terikat dengan syariat Allah. Orang bukan Islam yang hidup di negara Islam, mereka bebas ada rumah ibadat masing-masing yang dibina mengikut undang-undang.Dan kita tidak pula mengambil langkah ekstrem seperti membakar atau meroboh rumah ibadat bukan Islam. Pernahkah ia berlaku di Malaysia?

Namun, nasib orang Islam di negara bukan Islam adalah sebaliknya. Masjid Babri di Ayodhya, India yang penuh dengan sejarah misalnya dirobohkan. Begitu juga masjid di Yugoslavia. Perbuatan ini bukan sekadar penghapusan etnik tetapi menolak terus hak orang Islam mempunyai rumah ibadat di negara berkenaan. Bahkan di Eropah hak orang Islam untuk menutup aurat diganggu. Islam memang mengajar umatnya bersikap moderate tetapi jangan lupa Islam juga mewajibkan kita mempertahankan agama sehingga ke tahap sanggup syahid.

Sebab itu, Jakim tampil membuat laporan polis untuk bendung kegelisahan dan keresahan umat Islam terhadap artikel yang disiarkan dalam blog Malaysia Today. Kita percaya bahawa undang-undang yang sedia ada mampu wujudkan ketenteraman awam.

Malangnya, ada segelintir masyarakat bukan Islam tidak menghargai semua ini. Mungkinkah kelemahan umat Islam masa kini menjadi punca mereka semakin berani mencabar kita?

Semua rakyat khususnya yang bukan Islam patut rasa tenang tinggal di Malaysia kerana mereka hidup dengan aman dan tidak ada suicide bomber. Selama ini siapakah yang bertanggungjawab mewujudkan suasana sederhana ini di negara kita kalau bukan sikap kerajaan yang amalkan pendekatan wasatiyah tadi. Toleransi umat Islam jika disalah guna dan dipandang rendah akan sebabkan timbulnya kumpulan militan yang sanggup mempertahankan maruah agama melalui apa juga cara termasuk kekerasan. Terutama apabila mereka fikir agama Islam itu dihina dan dicabar.

Ini yang sepatutnya kita bendung dan kita sudah pun berjaya membendungnya daripada berlaku dalam negara. Kalau situasi tidak terkawal ia akan merebak daripada pertembungan penganut agama kepada kaum. Sebabnya realiti etnik di Malaysia, penganut agamanya diwakili majoriti sesuatu kaum. Ini berbeza dengan negara lain termasuk di Asia Barat. Di Lebanon atau Syria, mereka semua berbangsa Arab tetapi ramai yang menganut Katholik dan Protestan.

Yang agak pelik, mereka yang mencabar Islam itu ada di antaranya orang Islam sendiri. Mengapa berlaku sedemikian? Hal ini bukanlah ganjil. Dalam konteks sejarah Islam, ia boleh disifatkan sebagai pengulangan sejarah. Ia pernah berlaku di dunia Arab, benua Indo-Pakistan hingga lahir ajaran Sikh, Bahai dan Qadiani. Semua ini asalnya diasaskan oleh sama ada orang Islam atau yang ada kaitan dengan Islam.

Di satu pihak lagi, musuh-musuh Islam lebih selesa dan rasa selamat jika memperalatkan orang Islam yang jahil untuk timbulkan keraguan terhadap agama Islam. Ini disebut strategi tashkik atau membangkitkan rasa syak terhadap agama sendiri. Malangnya, saudara-saudara kita mungkin tidak sedar permainan ini kerana ia mungkin bertopengkan kebebasan dan hak asasi manusia. Sebab itu, pelbagai konvensyen antarabangsa cuba dikenakan ke atas negara Islam supaya kita terikat sebagai penandatangan deklarasi tersebut.

Hal ini pula berjalan serentak dengan kempen melalui media antarabangsa. Isu yang selalu diguna adalah wanita dan kesaksamaan gender. Peluang tashkik ini direbut sepenuhnya apabila terdapat sesetengah negara Islam atau komuniti Islam yang ceduk nilai adat dalam ajaran Islam. Mereka mendakwa, nilai itu adalah ajaran Islam tetapi yang sebenarnya ia lebih untuk memenuhi kehendak golongan tertentu. Tidak menghargai kebebasan yang dinikmati adalah antara sebab tangkapan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dikenakan ke atas beberapa individu. Apakah pandangan Islam terhadap undang-undang seperti ISA?

ISA termasuk kategori undang-undang pencegahan. Mencegah sesuatu mudarat yang dijangkakan adalah menjadi tanggungjawab pemerintah.

Pemerintah perlu bertindak atas dasar memelihara maslahat (kepentingan) ummah. Dalam kaedah fiqh disebut tasorruful imam ala ar-ra’ieyat manutun bil maslahah. Ia bermakna setiap tindakan atau dasar yang diputuskan oleh pemerintah mesti diasaskan menjaga maslahat rakyat. Dalam menentukan maslahat ini, pemerintah melihat kepada kepentingan hak majoriti rakyat yang perlu diberi keutamaan berbanding hak asasi seorang atau sekelompok rakyat.

Ini bermakna, undang-undang pencegahan memang menjadi tanggungjawab pemerintah dan ia selari dengan tuntutan Islam. Yang selalu dipertikaikan adalah tahanan tanpa bicara. Kita mempunyai pelbagai undang-undang yang boleh digunakan untuk dakwa seseorang termasuklah Akta Hasutan 1948 dan juga di bawah Kanun Keseksaan.

Kerajaan pun sudah mengambil pendirian mengkaji semula ISA supaya tahanan tanpa bicara itu dilakukan dengan lebih teliti. Ia supaya tidak ada ruang berlaku salah guna. Apa pula tindakan yang perlu dilakukan oleh umat Islam dalam keadaan ditekan dan diserang sebegini?

Di Malaysia, kita perlu pastikan kesahihan sesuatu berita. Contoh, apabila tersebar berita orang Islam atau institusi Islam dihina, dicemari ia bukan bermakna kita boleh ambil tindakan bersendirian. Kita hidup dalam masyarakat yang bersistem. Islam di Malaysia ada pelindungnya iaitu raja-raja Melayu yang diperkasa dengan peruntukan undang- undang.

Cara terbaik, bagi ruang kepada sistem perundangan berjalan supaya orang yang menghina Islam diadili mengikut proses undang-undang. Hatta, jika kita terpaksa bangkit mempertahankan hak dan maruah Islam pun perlu melalui undang-undang. Hanya orang yang tidak sabar sahaja yang tergamak mengambil tindakan di luar batasan jadi ia membawa kepada wujudnya gerakan militan atau subversif. Pengalaman negara jiran, tertubuhnya gerakan ini kerana mereka rasa sistem undang-undang begini tidak berjalan dan agama tidak mendapat perlindungan pemerintah.Hal ini tidak boleh dibenarkan wujud di Malaysia sebab ia akan menghancurkan negara, rakyat sama ada yang Islam atau bukan Islam. Sebab itu kita ingin melihat ruang yang ada digunakan sepenuhnya supaya tidak dijadikan alasan oleh kumpulan ekstrem tadi. Kalau bertindak di luar batasan undang-undang, mereka juga berhak dikenakan tindakan undang- undang.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bukan Islam pula jangan ‘mengundang’ kumpulan militan Islam Malaysia bertapak di sini. Sebaiknya bagi kepercayaan kepada kerajaan melaksanakan undang-undang yang sebaiknya demi kepentingan rakyat pelbagai kaum. Jangan cuba bawa kumpulan pelampau luar negara yang mempunyai sejarah pertelingkahan agama ke Malaysia. Jangan juga import masalah ke sini seperti tindakan Hindraf. Apa komen Datuk tentang sikap segelintir umat Islam yang seolah-olah tidak berasa apa-apa pun apabila agama mereka dihina?

Deria sensitiviti umat Islam semakin lemah. Sampaikan orang hina Nabi Muhammad SAW masih ada yang boleh ketawa.

Apakah sehingga orang lain menghina emak atau ayah kita baru nak merah muka? Hanya anak yang terencat akal tidak ada rasa kasih sayang pada ibu bapa yang merelakan ibu bapanya dihina. Tetapi saya masih bersangka baik, umat Islam masih sayangkan agama tetapi sikap pasif ini menunjukkan betapa lemahnya pegangan dan iman kita. Jangan tunggu terkena atas batang hidung baru nak bangkit. Benarkah dakwaan sesetengah pihak yang Jakim seronok atau berasa ‘menang’ dengan penangkapan Raja Petra di bawah ISA? Jangan ingat kita seronok atau melompat kegembiraan bila Raja Petra ditahan ISA. Sebenarnya kita doakan agar dia cepat dibebaskan dengan syarat dia segera insaf.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s