Pinda Undang-undang Keluarga Islam: Di mana janji Pak Lah?

Pindaan Undang-Undang Keluarga perlu disegerakan

Oleh Zainul Rijal Abu Bakar

Disiarkan di dalam ruangan Peguam Syarie Menulis Berita Harian 10 Disember 2008

MASIH belum luput daripada fikiran kita beberapa tahun lalu apabila kemelut yang dibangkitkan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) wanita mengenai Rang Undang-Undang Keluarga Islam Pindaan 2006 diluluskan oleh Parlimen.

Dikatakan Undang-Undang terbabit menindas golongan wanita. Lantaran desakan NGO wanita itu, maka kerajaan mengambil keputusan menangguhkan pelaksanaan undang-undang yang sudah dibentangkan di Parlimen.

Keputusan itu mendapat bantahan ramai termasuk Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). PGSM berpandangan, melaksanakan undang-undang yang sudah diluluskan dan kemudian boleh dikaji semula atau dipinda jika perlu, agak mengambil masa. Jika ditangguhkan akan ada suatu tempoh yang lama bagi pindaan berikutnya.

Lantaran itu Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri sudah berjanji untuk mengkaji semula dan melantik pakar bagi penambahbaikan undang-undang berkenaan. Kajian itu diselia oleh Peguam Negara sendiri.Perdana Menteri mengarahkan perkara itu diselesaikan segera. Difahamkan beberapa mesyuarat diadakan dan cadangan menyeluruh sudah digarap bagi penambahbaikan itu. Semua cadangan penambahbaikan sudah disiapkan oleh jawatankuasa berkenaan dengan cepat. Banyak cadangan baik sudah diutarakan dan disepakati.

Namun begitu, sehingga hari ini selepas dua tahun berlalu, Rang Undang-Undang Keluarga (pindaan) itu masih belum lagi dibawa ke Parlimen walaupun jawatankuasa pakar sudah menyiapkannya lebih setahun lalu. Di mana silapnya? Adakah kajian yang dilakukan masih belum lengkap?

Nampaknya pihak kerajaan tidak nampak pentingnya undang-undang ini. Undang-Undang Keluarga adalah undang-undang yang perlu disegerakan kerana hal ehwal kekeluargaan biasanya amat sensitif dan perlu ditangani segera.Sebenarnya Rang Undang-Undang pindaan yang dibentangkan pada 2006 itu adalah undang-undang seragam yang sudah pun dipersetujui Majlis Raja-Raja dalam mesyuarat Duli-Duli Yang Mulia Raja-Raja Melayu.

Malangnya, Wilayah Persekutuan yang mencadangkan Rang Undang Undang itu terkebelakang dalam melaksanakannya. Negeri seperti Terengganu, Kelantan dan Selangor sudah meluluskan undang-undang itu sejak 2002.

Buat masa ini kebanyakan negeri sudah melulus dan melaksanakan undang-undang keluarga itu. Itulah sebabnya sejak kebelakangan ini amat kurang kita dengar rasa tidak puas hati berkaitan perbezaan undang-undang keluarga Islam antara negeri di Malaysia.

PGSM mendesak supaya undang-undang yang sudah ditambah baik itu secepat mungkin dibentangkan di Parlimen dan dilaksanakan segera. Oleh kerana menurut Perlembagaan Persekutuan, agama adalah di bawah bidang kuasa negeri, Dewan Undangan Negeri juga perlu meluluskan undang-undang yang sama supaya segala pindaan akan dapat diseragamkan dan tiada lagi keresahan undang-undang yang berbeza antara negeri.

Beberapa isu penting yang dibincangkan dalam cadangan pindaan itu berkaitan dengan poligami, nafkah, pembubaran perkahwinan dan harta sepencarian penting untuk diperhalusi supaya tidak ada lagi cemuhan yang mengatakan Undang-Undang Islam menindas wanita.

Walaupun hakikat sebenarnya undang-undang Islam tidak pernah mendiskriminasi mana-mana golongan, kerana ketidakfahaman falsafah undang-undang dan perundangan Islam, menyebabkan tanggapan negatif terhadap undang-undang Islam.

Dengan perkembangan semasa beberapa isu baru juga perlu diberi perhatian. Undang-undang substantif yang baik saja tidak mencukupi kerana di mahkamah, pihak terikat dengan tatacara dan kaedah pembuktian.

Dalam hal demikian, undang-undang tata cara Mahkamah Syariah juga perlu diberi nafas baru supaya ia lebih ‘mesra pelanggan’, tidak terlalu formal dan membebankan serta dapat menghasilkan keadilan dengan kadar lebih segera.

Undang-Undang Keterangan yang memberi garis panduan berhubung pembuktian dan sebagainya juga perlu dipinda bagi menyesuaikan dengan kehendak moden di samping tidak mengetepikan hukum syarak.

Beberapa isu baru seperti DNA, keterangan pakar dan sebagainya boleh dimasukkan di dalam undang-undang keterangan ini bagi memastikan ia boleh diterima di Mahkamah Syariah.

Ada banyak lagi perkara yang perlu diberi penekanan bagi memastikan pihak yang bertikai di Mahkamah Syariah mendapat keadilan dengan kadar segera. Apa yang menyedihkan ialah apabila Mahkamah Syariah dikatakan lewat atau gagal menjalankan perbicaraan adil, keseluruhan kesalahan itu dibebankan kepada mahkamah.

Tanpa menyelidik latar belakang dan fakta sebenar, sering kali Mahkamah Syariah dijadikan bahan cemuhan pelbagai pihak. Mahkamah Syariah hanya pelaksana. Apa yang dilaksanakan adalah apa yang diperuntukkan oleh undang-undang.

Jika undang-undang tidak memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah maka tiadalah kuasa mahkamah itu. Jika pun diberi kuasa, beberapa kekangan dihadapi Mahkamah Syariah seperti kekurangan kakitangan, peruntukan dan bangunan masih lagi menghambat mahkamah daripada melaksanakan keadilan. Walaupun dalam kekangan itu, Mahkamah Syariah dapat mengekalkan wibawa mereka dengan cemerlang.

Berbalik kepada undang-undang pindaan di atas, sekali lagi PGSM mendesak kerajaan supaya mempercepatkan penggubalan Rang Undang-Undang Keluarga Islam. Sudah terlalu lama undang-undang itu dibincangkan dan sepatutnya ia sudah dibentangkan di Parlimen untuk diluluskan. Dewan Undangan Negeri juga perlu meminda Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam bagi diseragamkan dengan pindaan terbaru ini.

Selepas daripada itu beberapa undang-undang lain pula perlu dipinda seperti Undang-undang tatacara mal Mahkamah Syariah dan Undang-Undang Keterangan Mahkamah Syariah. Dengan cara itu Mahkamah Syariah akan dapat menghasilkan keputusan yang adil dalam kadar segera.

Semoga segala cemuhan terhadap Mahkamah Syariah akan menjadi sejarah.

PGSM merayu Perdana Menteri agar memastikan Rang Undang-Undang Keluarga Islam yang sudah ditambah baik ini dapat dibentang di Parlimen sebelum beliau mengundur diri seperti dijanjikan.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s