RUUKI 2005 – Subseksyen 23(9): Hak kepada mana-mana pihak dalam perkahwinan untuk menuntut harta sepencarian apabila suami berpoligami

Di antara Peruntukan-Peruntukan Dalam Rang Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2005 yang dipertikaikan atas alasan mendiskriminasikan wanita adalah:

Subseksyen 23(9):  Hak kepada mana-mana pihak dalam perkahwinan untuk menuntut harta sepencarian apabila suami berpoligami.

1. Peruntukan ini memberi kuasa kepada Mahkamah, atas permohonan mana-mana pihak kepada perkahwinan, untuk memerintahkan apa-apa aset dalam perkahwinan itu dibahagikan antara mereka atau dijual dan hasil jualan itu dibahagikan.  Penggunaan istilah mana-mana pihak kepada perkahwinan dikatakan membawa erti bahawa suami juga boleh menuntut harta sepencarian daripada isteri dan isteri-isteri sedia ada.  Peruntukan ini boleh disalahgunakan oleh suami yang tidak bertanggungjawab.

2. Pihak yang mempertikaikan pindaan di bawah seksyen ini khuatir suami akan dapat menuntut supaya harta isteri sedia ada dibahagikan kepada suami.

KOMEN:

Bagi mendapat gambaran yang jelas mengenai isu ini, peruntukan subseksyen 23(9) perlu diperturunkan sepenuhnya:

“(9)  Tiap-tiap Mahkamah yang memberikan kebenaran [permohonan poligami] atau memerintahkan supaya suatu perkahwinan didaftarkan di bawah seksyen ini hendaklah mempunyai kuasa atas permohonan mana-mana pihak kepada perkahwinan itu –

(a)    untuk menghendaki seseorang untuk membuat pembayaran nafkah kepada isteri atau isteri-isterinya yang sedia ada; atau

(b) untuk memerintahkan supaya apa-apa aset yang telah diperolehi oleh pihak-pihak itu dalam masa perkahwinan itu melalui usaha bersama mereka dibahagikan antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagikan.”

(Perkataan dalam kurungan [ ] ditambah serta perkataan relevan dalam italic.)

Berdasarkan kepada subseksyen di atas adalah jelas bahawa –

1. Mana-mana pihak kepada perkahwinan, iaitu sama ada isteri atau suami boleh membuat permohonan kepada Mahkamah untuk mendapatkan perintah supaya apa-apa aset yang diperolehi dalam masa perkahwinan melalui usaha bersama mereka dibahagikan. Peruntukan ini hanya menyatakan siapakah yang boleh membuat permohonan kepada Mahkamah dan terpulanglah kepada Mahkamah sama ada aset yang dituntut adalah harta sepencarian untuk dibahagikan antara mereka.

2. Aset yang diperoleh oleh suami isteri dalam masa perkahwinan perkahwinan melalui usaha bersama mereka, adalah sinonim dengan “harta sepencarian” dan tidak melibatkan aset isteri yang diperolehi  dari usaha tunggalnya sendiri atau harta pusaka yang diwarisinya. “Harta sepencarian” telah ditafsirkan oleh Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) sebagai “harta yang diperoleh bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuatkuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syara’;” Antara syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syara’ ialah –

a. takat sumbangan (the extent of contributions) yang dibuat oleh setiap pihak dalam bentuk wang, harta atau kerja bagi memperolehi asset itu;

b. apa-apa hutang yang belum dijelaskan oleh salah satu pihak yang telah dilakukan bagi manfaat mereka; dan

c. keperluan anak-anak yang belum dewasa dari perkahwinan itu, jika ada

3. Dalil hukum Syara’ mengenai harta sepencarian boleh diambil dari surah al-Nisa’ ayat 32 yang bermaksud: “Orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan dan orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan”.

4. Pembahagian harta sepencarian sebenarnya mempunyai hubungkait dengan adat yang seringkali dihubungkan dengan kelaziman masyarakat Melayu Nusantara. Amalan ini berlaku kerana menghormati usaha pemilikan harta yang diperoleh secara bersama dalam tempoh perkahwinan. Walaupun pada kebiasaannya tidak timbul soalan mengenai pembahagian harta jika perkahwinan mereka tidak bermasalah, namun dalam keadaan tertentu, misalnya apabila berlaku perceraian atau suami ingin atau telah berpoligami, akan timbul desakan daripada pihak isteri untuk menuntut haknya kerana dia telah memberi sumbangan sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam memperolehi harta itu. Islam mengiktiraf bahawa adat yang tidak bercanggah dengan hukum Syara’, baik secara khusus atau umum, adalah menjadi salah satu sumber hukum Syara’.Sesuatu adat itu boleh diterima apabila sudah menjadi kelaziman. Kaedah fiqh yang menjadi sandaran dalam hal ini ialah “al-Aa’dah Muhakkamah” yang ertinya sesuatu adat adalah menjadi hukum. Walaupun harta sepencarian tidak secara khusus dibincangkan dalam kitab-kitab fiqh, namun, ia boleh diterima sebagai suatu adat bagi pasangan Melayu Islam yang bersama-sama berusaha untuk memperoleh harta, baik dalam rumah atau di luar rumah. Harta yang diperoleh dari usaha bersama itu akan menjadi harta bersama. Adat ini telah diterimapakai/diamalkan dan dijadikan asas kepada prinsip harta sepencarian yang dimasukkan ke dalam Undang-Undang Keluarga Islam yang diamalkan di negara kita sekarang ini. Undang-undang Keluarga Islam memberikuasa kepada Mahkamah untuk membahagikan harta sepencarian ini antara suami dan isteri apabila tuntutan dibuat di Mahkamah.

5. Sumbangan secara tidak langsung oleh isteri seperti sumbangan ke arah kebajikan keluarga dengan memelihara rumahtangga atau menjaga keluarga diambilkira sebagai sumbangan untuk memperolehi harta sepencarian.  Dalam kes Boto’ binti Taha lwn Jaafar bin Muhamed [1985] 2 MLJ 98, penyertaan isteri dalam kerja-kerja suaminya walaupun secara tidak langsung seperti hanya mengiringi suami dalam perjalanan untuk menjalankan perniagaan hendaklah dianggap sebagai sumbangannya dalam perolehan harta kerana penyertaan isteri itu memberi kedamaian dan ketenteraman kepada suami sehingga berjaya dalam pekerjaannya. Oleh itu apa-apa aset/harta sama ada harta alih atau harta tak alih yang diperolehi semasa perkahwinan adalah menjadi harta sepencarian.

6. Sumbangan tidak langsung ini telah diiktiraf oleh hukum Syara’. Dalam ayat 228 surah al-Baqarah, Allah berfirman yang bermaksud: ”… Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang hukum Syara’)…..”. Dalam menjelaskan maksud ayat ini, Syed Sabiq dalam Kitabnya Fiqh al-Sunnah, Jilid 2, Edisi 21, 1999, hal. 130 mengatakan: ”Ayat ini memberikan hak-hak kepada isteri sama seperti hak yang diberikan kepada suami. Justeru, apa-apa yang dituntut ke atas isteri untuk melakukannya, suami juga dituntut sedemikian. Dasar yang ditetapkan oleh Islam dalam mengatur dan menguruskan kehidupan suami isteri adalah merupakan suatu dasar yang sesuai dengan fitrah dan tabiat semulajadi manusia itu sendiri. Lelaki lebih mampu bekerja, bersungguh-sungguh berusaha dan mencari pendapatan di luar rumah, manakala perempuan lebih mampu menguruskan rumahtangga, mendidik anak-anak, menjadikan suasana rumahtangga menyenangkan dan penuh ketenteraman. Oleh kerana itu ditugaskan kepada lelaki kerja-kerja yang sesuai dengan fitrahnya, manakala ditugaskan kepada perempuan dengan tanggungjawab yang sesuai dengan fitrahnya.

7. Selanjutnya Syed Sabiq membawa contoh hukum yang ditetapkan oleh Rasulallah SAW  antara Syaidina Ali dengan isterinya Fatimah di mana Rasulallah SAW memutuskan supaya Fatimah bertugas atau menjalankan pekerjaan di rumah, manakala Ali pula berusaha dan bekerja di luar rumah. Pekerjaan bekerjaan telah diakui oleh Rasulallah SAW sebagai tanggungjawab masing-masing. Oleh itu, adalah patut dan wajar harta yang diperolehi dari usaha bersama itu dijadikan harta bersama (sepencarian) antara suami isteri selagi tidak ada apa-apa bukti atau pengakuan bahawa harta-harta yang diperolehi itu adalah hak masing-masing dari pemberian orang lain atau pusaka dan sebagainya.

8. Dari kenyataan di atas jelas bahawa dalam suatu tuntutan harta sepencarian, sumbangan satu pihak hanya timbul jika suami sahaja yang berkerja mendapatkan harta tersebut manakala pihak isteri berada di rumah untuk menjalankan tanggungjawabnya sebagai isteri. Dalam keadaan ini isteri dianggap sebagai memberi sumbangan secara tidak langsung dan sumbangan itu diakui oleh Syara’. Jika isteri bekerja dan memperoleh harta sedangkan suami tidak bekerja tetapi mendakwa bahawa beliau telah memberi sumbangan secara tidak langsung dengan menjaga keluarga seperti menghantar isteri ke tempat kerja dan menjaga anak-anak di rumah, maka tuntutan suami untuk mendapatkan bahagiannya daripada harta tersebut tidak diiktiraf oleh hukum Syara’. Ini adalah kerana tanggungjawab sebenar mencari rezeki dan mencari harta untuk kebahagian rumahtangga adalah terletak pada  suami. Tuntutan harta sepencarian oleh suami hanya akan dipertimbangkan oleh Mahkamah jika harta diperoleh dengan usaha bersama suami isteri sahaja dalam tempoh perkahwinan. Inilah yang dimaksudkan oleh subseksyen 23 (9) (b) tersebut.

9. Semakan terhadap kes-kes yang telah diputuskan oleh Mahkamah Syariah menunjukkan bahawa tidak ada harta isteri yang diperoleh dari usahanya sendiri atau harta pusaka yang diwarisinya telah diperintahkan dibahagi antara mereka.

10. Sebelum subseksyen 23(9)  dicadang untuk dimasukkan ke dalam Akta 303, pembahagian harta sepencarian hanya boleh diperintahkan oleh mahkamah apabila berlaku perceraian seperti yang diperuntukkan dalam seksyen 58 Akta 303 . Walaupun begitu, Mahkamah Syariah pernah, atas budibicaranya memerintahkan supaya harta sepencarian dibahagikan antara suami isteri selepas kematian salah satu pihak kepada perkahwinan. Ini berdasarkan kepada hukum Syara’ yang terdapat di dalam Kitab Bughyah al-Mustarsyidin yang menjelaskan seperti berikut: ” Jika berlaku perceraian atau kematian dan terdapat harta yang diperolehi suami isteri semasa perkahwinan di mana tidak terdapat tanda-tanda yang dapat mempastikan takat sumbangan masing-masing dalam memperolehinya, maka tidak sah jika salah seorang dari suami isteri atau warisnya membuat apa-apa transaksi terhadap harta tersebut sebelum penghakiman dibuat atau penyelesaian dicapai.”.

11. Dalam kes Hajah Saudah Bt. Che Mamat lwn Hanafi Haji Daud dan lain-lain (1997) JHXI Bhg. i, hal. 21, Mahkamah Kadi Besar Negeri Kelantan telah memutuskan bahawa pemohon adalah berhak mendapat separuh bahagian daripada empat lot tanah arwah suaminya dan separuh lagi adalah pusaka arwah yang hendaklah dibahagi secara faraid. Ini menunjukan bahawa Mahkamah Syariah mempunyai bidangkuasa untuk memutuskan tuntutan harta sepencarian selepas kematian salah satu pihak kepada perkahwinan.

12. Dengan pindaan ini, tuntutan terhadap harta sepencarian boleh dipohon dan diperintahkan sebelum kebenaran untuk berpoligami diberikan oleh Mahkamah berdasarkan kepada prinsip ”siayasah al-syar’iyyah” walaupun tidak terdapat nas yang jelas mengenainya mengikut mpendapat mazhab muktabar demi kepentingan awam(maslahah ammah). Dengan demikian, pembahagian harta sepencarian dapat ditentukan berdasarkan usaha-usaha bersama antara suami dan isteri atau isteri-isteri yang sedia ada tanpa membabitkan bakal isteri. Sewajarnyalah peruntukan ini akan melindungi bahagian harta sepencarian pihak isteri.

13. Justeru, dengan adanya frasa “atas permohonan mana-mana pihak dalam perkahwinan itu” dalam subseksyen  23(9) akan mendorong suami untuk berlaku jujur kepada isteri . Ini adalah kerana isteri yang tidak bekerja boleh juga memohon supaya bahagiannya dalam harta tersebut dibahagikan sebelum Mahkamah membenarkan suami berpoligami.  Sebaliknya, jika tiada peruntukan seperti ini, suami bebas untuk melupuskan harta tersebut tanpa memberi peluang kepada isteri untuk menuntut haknya.

————————————————————————————————————-

Peruntukan-Peruntukan Dalam Rang Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2005 yang dipertikaikan atas alasan mendiskriminasikan wanita adalah:

  1. Subseksyen 23(9): Hak kepada mana-mana pihak dalam perkahwinan untuk menuntut harta sepencarian apabila suami berpoligami.

  2. Subseksyen 23(9)(a)(b): Memilih nafkah ATAU pembahagian harta sepencarian apabila suami berpoligami

  3. Subseksyen 23(4): Kelonggaran berpoligami

  4. Subseksyen 52(1): Melanjutkan hak fasakh seorang isteri kepada suaminya

  5. Subseksyen 107(A): Permohonan kepada Mahkamah untuk menahan/menegah isteri/suami daripada melupuskan harta masing-masing semasa dalam prosiding.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s