Bulan Dakwah Selepas 30 Tahun

KUALA LUMPUR, 5 Jan (Bernama) — Lambang huruf ‘Kha’ dengan sarang labah-labah sudah sinonim dengan sambutan Maal Hijrah negara. Lambang itu diperkenal pada 1978 serentak dengan pelancaran program Bulan Dakwah kebangsaan selama sebulan, mulai 1 Muharram.

Kini selepas 30 tahun, program Bulan Dakwah ini mahu dihidupkan semula melalui Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) bagi menyegarkan kesedaran dakwah dalam kalangan masyarakat Islam.

Pelancaran Bulan Dakwah ini bagaimanapun dirancang pada Februari-Mac depan dengan pelancarannya dicadangkan pada 15 Feb.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, selaku menteri yang bertanggungjawab mengenai hal ehwal agama Islam mencadangkan penghidupan semula program ini, bertemakan “Dakwah Pemangkin Khairu Ummah” atau umat terbaik, kata Ketua Pengarah Jabatan Penerangan, Datuk Abdullah Morad, selaku Pengerusi Jawatankuasa Media dan Publisiti program Bulan Dakwah ini.

MATLAMAT BULAN DAKWAH

Matlamatnya ialah mendidik, membina kesedaran dan penghayatan cara hidup mengikut ajaran Islam secara menyeluruh dan komtemporari.

Strategi yang bakal diambil ialah memberi penjelasan dan penghayatan kepada masyarakat Islam tentang pentingnya mengamalkan prinsip kehidupan dalam masyarakat (nizamul hayah) berasaskan ketamadunan (hadharah).

Bulan Dakwah ini juga bertujuan merealisasikan Islam sebagai agama yang membentuk penyatuan ummah dan fikrah ke arah membangunkan tamadun sejagat.

Pada mesyuarat jawatankuasa media dan publisiti Bulan Dakwah baru-baru ini, Abdullah berkata program Bulan Dakwah ini dirangka berasaskan 10 kluster – Aqidah dan Pegangan Hidup, Perpaduan Ummah, Kekeluargaan, Pendidikan dan Dakwah, Ekonomi dan Keusahawanan, Kesihatan dan Kebersihan Alam Sekitar, Sains dan Teknologi, Kebajikan dan Masyarakat Prihatin, Keselamatan dan Perundangan, Kesenian dan Kebudayaan.

Katanya, masing-masing kluster akan bertanggungjawab terhadap pengisian khusus program Bulan Dakwah.

Umpamanya sempena majlis pelancaran Bulan Dakwah ini, yang dijadual disempurnakan Yang di-Pertuan Agong, sebuah buku akan dilancarkan bertajuk “Integriti dan Islam: Aplikasi Berkesan Membangun Ummah” terbitan Institut Integriti Malaysia.

PROGRAM MENGISI BULAN DAKWAH

Antara program menarik yang bakal mengisi Bulan Dakwah ini ialah Karnival Halal – mengenai perusahaan produk halal yang diusahakan Industri Kecil dan Sederhana Melayu dan Bumiputera – dan akan diadakan di tiga tempat – Kuala Terengganu bagi Zon Timur, Sungai Petani bagi Zon Utara dan Melaka bagi Zon Selatan.

Abdullah berkata, konsep halal telah pun diterima secara meluas oleh masyarakat tempatan mahu pun antarabangsa dan merupakan bidang perniagaan baru yang mempunyai potensi pasaran global mencecah berbilion ringgit.

Tetapi tujuan karnival ini bukan bagi usahawan kecil menembusi pasaran global itu kerana ia lebih kepada memberi pengetahuan, pendedahan dan pada masa yang sama mendidik orang ramai mengenai bidang halal.

SEMINAR DAN DIALOG

Satu seminar bertemakan “Pengekalan Alam Melayu sebagai Rantau Ahlus Sunnah Wal Jamaah” akan diadakan selama tiga hari.

Seminar ini bertujuan membuka perbincangan dalam kalangan intelektual dan ulama negara-negara mengenai pegangan ajaran ahlus sunnah berjamaah sebagai teras.

Dan satu “dialog di antara agama” juga akan diadakan bertujuan cuba memahami beberapa persamaan yang terdapat pada agama-agama dan mengeratkan hubungan.

Dialog tertutup ini, menurut Abdullah, bukan perdebatan tetapi lebih bermatlamat untuk saling belajar antara satu sama lain dan meningkatkan kefahaman agama masing-masing.

Dialog ini eksklusif kepada golongan intelektual agama melibatkan tokoh-tokoh agama Islam, Kristian, Hindu dan Buddha serta agama lain yang akan tertumpu terhadap penyelesaian dan masalah semasa serta bersama yang memberi kesan langsung kepada keharmonian dalam kehidupan.

KEMBARA DAN EKSPEDISI DAKWAH

Kembara Dakwah Motosikal akan turut diadakan selama dua minggu melibatkan negeri-negeri di Semenanjung bermula dari Masjid Putrajaya ke selatan tanah air, pantai timur ke utara Semenanjung dan berakhir di Masjid Negara.

Sepanjang kembara ini, menurut Abdullah, peserta bermotosikal akan mengadakan beberapa program khidmat bakti seperti pemuliharaan alam sekitar, membersihkan masjid, melawat hospital, mengadakan ceramah motivasi, sukaneka, persembahan nasyid, senamrobik dan sebagainya di beberapa kawasan terpilih.

Penyertaan terbuka kepada mereka yang berusia 18 tahun ke atas, melibatkan motosikal berkuasa rendah dan tinggi. Turut dicadangkan menyertai kembara ini ialah 50 buah kereta dan 50 orang anggota polis serta helikopter.

Di Sabah dan Sarawak pula ekspedisi dakwah berkenderaan akan diadakan melibatkan kerjasama agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan di kedua-dua negeri.

Akitiviti seperti ceramah dan pemeriksaan kesihatan, majlis berkhatan, solat jemaah dan tazkirah akan diadakan di beberapa buah kampung bertujuan mengeratkan hubungan sesama Muslimin, menggalakkan aktiviti permuafakatan dan sebagainya.

Secara langsung program khidmat sosial juga akan dianjurkan, yang dinamakan Ops Tautan Kasih iaitu program operasi khidmat masyarakat di kampung angkat tertentu, membina rumah untuk keluarga termiskin di kampung itu secara bergotong royong.

Beliau berkata, segala program atau aktiviti berkaitan Bulan Dakwah ini akan diberikan hebahan meluas oleh sekretariat media dan publisiti dengan kerjasama semua media, bertujuan menarik penyertaan dan menyedarkan masyarakat akan usaha mendekatkan mereka dengan dakwah dan tanggungjawab sebagai umat Islam.

Maka program bual bicara televisyen dan radio akan diadakan, kapsul, lagu tema, siaran langsung, liputan berita kain rentang dan brosur, hebahan, liputan ceramah dan forum, khutbah dan sebagainya termasuk aktiviti di negeri-negeri.

FOKUS REMAJA ISLAM

Walaupun sasaran Bulan Dakwah ini ialah masyarakat umum tetapi fokus adalah terhadap anak-anak muda yang mengikut trend sekarang semakin tidak terkawal dalam pegangan agama dan perlakuan sosial serta masalah yang dihadapi mereka, kata Abdullah.

Beliau memberikan contoh gejala sosial seperti penagihan dadah, amalan budaya pengkid, mat rempit, bohsia, bersekedudukan, membuang anak dan sebagainya yang melibatkan ramai anak muda Islam.

“Kami mengharapkan melalui pengisian Bulan Dakwah ini jati diri remaja dan anak muda Islam yang semakin rapuh dan mudah runtuh ini akan dapat dikembalikan dan menjadikan kita umat Islam yang lebih baik, lantas tema ‘Dakwah Pemangkin Kairu Ummah’ ini dipilih”, katanya.

Selepas 30 tahun, katanya, Bulan Dakwah ini dianggap sebagai pengisian program agama yang lebih fokus dan teratur, melibatkan pelbagai pihak.

Ini tidak bermakna kita ketandusan atau kegersangan aktiviti dakwah selama ini tetapi ia melengkapkan pengisian dakwah yang berterusan menerusi sambutan hari kebesaran Islam seperti Maal Hijrah, Maulidur Rasul, Nuzul Al-Quran, Isyraq Mikraj dan sebagainya.

— BERNAMA

_____________________________________________________________________________

Komen:

Semoga program dilaksana dengan baik dan memberi hasil yang baik dan bermanafaat. Pengajur/urusetia wajar memikirkan agar program-program yang dilaksanakan itu:

  • yang memberi kesan yang efektif,
  • mempunyai daya tarikan sesuai dengan zaman kini,
  • tidak terlalu banyak hiburan,
  • tidak melalaikan,
  • tidak bercampur unsur-unsur maksiat,
  • tidak lari dari matlamat asal,
  • tidak membazir dan boros,
  • tidak dipolitikkan, dan
  • menjaga ketulenan Islam yang murni

Diharapkan perbelanjaannya tidaklah akhirnya membazir sahaja – penat dan lelah sahaja yang dapat.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s