Nazri: Tiada Cadangan Pinda Perkara 11(1) Perlembagaan

dipetik dari: http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsgeneral.php?id=391678

KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) — Dewan Rakyat hari ini diberitahu keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung kes Azlina Jailani atau Lina Joy jelas menunjukkan bahawa seseorang Islam tidak boleh keluar daripada agama Islam sesuka hatinya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamad Nazri Abdul Aziz berkata kerajaan tidak bercadang meminda Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan ekoran keputusan kes itu.

Beliau berkata sekiranya kebebasan sedemikian diberikan sudah pasti akan huru-hara keadaan umat Islam dan akan menjejaskan kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi Malaysia.

“Hak kebebasan beragama yang diperuntukkan dalam Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan tidaklah boleh ditafsirkan dengan begitu meluas sehingga meliputi hak kebebasan seseorang Islam untuk memilih dan menukar agama pada bila-bila masa sesuka hatinya.

“Bagi orang Islam yang berhasrat untuk keluar daripada agama Islam, orang itu perlulah mendapatkan perintah atau pengisytiharan terlebih dahulu daripada Mahkamah Syariah yang berbidang kuasa sepertimana yang diperuntukkan di bawah enakmen Pentadbiran Agama Islam di negeri-negeri,” katanya ketika menjawab soalan Zulkifli Noordin (PKR-Kulim Bandar Baru) di Dewan Rakyat hari ini.

Zulkifli bertanya sama ada kerajaan bercadang meminda Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan dengan memperuntukkan bahawa tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya, termasuk untuk menukar agamanya (kecuali bagi penganut agama Islam yang hendak tertakluk kepada undang-undang dan Syariat Islam).

Mohamad Nazri berkata tindakan Jabatan Pendaftaran Negara dalam kes Lina Joy tidak boleh dikatakan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa undang-undang negeri dan Persekutuan boleh digubal untuk mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama bukan Islam di kalangan orang yang menganuti agama Islam.

Katanya pada masa kini, 10 buah negeri di negara ini mempunyai enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam kepada Orang Islam, iaitu Terengganu, Kelantan, Selangor, Perak, Melaka, Kedah, Pahang, Negeri Sembilan, Johor dan Perlis.

Dalam kes itu, permohonan Lina Joy untuk memadam perkataan ‘Islam’ dalam kad pengenalannya ditolak oleh Jabatan Pendaftaran Negara atas alasan tidak sempurna tanpa perintah daripada Mahkamah Syariah yang mengisytiharkan bahawa beliau telah keluar daripada agama Islam.

Dalam penghakimannya, Ketua Hakim Negara Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim berkata Perkara 11(1) tidak wajar dihujah sebagai peruntukan yang memberi hak kebebasan untuk menukar agama yang tidak terbatas.

Oleh itu, permohonan Lina Joy telah ditolak kerana gagal mengemukakan perintah atau pengisytiharan daripada Mahkamah Syariah yang berbidang kuasa.

— BERNAMA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s