Tanpa Islam keistimewaan hak, warisan Melayu lenyap

dipetik dari laman blog Persatuan Peguam Syar’ie Malaysia

Oleh Zainul Rijal Abu Bakar

PELANTIKAN Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia keenam sudah pasti membawa implikasi besar kepada negara. Perubahan pucuk kepemimpinan negara akan merubah landskap politik dan kepimpinan nasional juga.Apatah lagi keputusan pilihan raya kecil serentak untuk tiga kawasan yang dijalankan semalam juga pasti memberi impak kepada watan.

Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) mendoakan Perdana Menteri dapat menjalankan tanggungjawabnya seperti diikrarkan di hadapan Yang di- Pertuan Agong tempoh hari. Sebagai Perdana Menteri sewajarnya Najib berusaha sedaya upaya memenuhi ikrar iaitu pada setiap masa mempertahankan Islam.

Sebagai pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam, penulis tidak dapat lari daripada bersemuka dengan ahli parti politik tidak kira daripada parti kerajaan mahupun pembangkang bagi membincangkan dan melontar idea memartabatkan Islam.Bagaimanapun, dalam pemilihan kepemimpinan ini adalah penting pemimpin yang dipilih mempunyai komitmen tinggi kepada Islam yang menjadi jati diri orang Melayu. Tanpa Islam orang Melayu akan punah.

Pemimpin yang baik adalah pemimpin berusaha menegakkan Islam dalam kepemimpinannya. Usaha dilakukan menjadi bukti komitmen seseorang itu terhadap Islam.

Tidak perlulah diingatkan kedudukan istimewa Islam diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan yang bukan saja perlu dipertahankan malah dipertingkatkan lagi supaya menampakkan keindahan Islam sebagai sebuah tatacara kehidupan lengkap.

Kebelakangan ini kita melihat perkembangan positif apabila rakyat mula mengambil berat dan peka terhadap hak diperuntukkan kepada mereka melalui undang-undang tertinggi negara iaitu Perlembagaan Persekutuan.

Fenomena positif itu menunjukkan rakyat celik undang-undang adalah aset kepada perkembangan negara di samping tidak mudah diperkotak-katik orang yang ingin mengambil kesempatan terhadap mereka.

Ruangan kali ini cuba mengupas kedudukan undang-undang Islam, adat Melayu, kebebasan beragama, hak kewarganegaraan, undang-undang adat di Sabah dan Sarawak serta hak berkaitan bahasa yang tidak akan terjejas walaupun negara dalam keadaan darurat atau tidak aman.

Perkara ini jelas dalam perkara 150 (6a) menegaskan ada enam hak tidak boleh digugat walaupun negara dalam keadaan darurat iaitu hak berkaitan undang-undang Islam, adat Melayu, kebebasan beragama, hak kewarganegaraan, undang-undang adat di Sabah dan Sarawak serta hak berkaitan bahasa.

Sebenarnya keistimewaan ini bukan hanya diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan. Sebelum Perlembagaan Persekutuan digubal, kedudukan Islam memang sudah gah di sisi masyarakat dan bukanlah perkara asing bagi penduduk negara ini.

Keistimewaan undang-undang Islam tidak pernah berganjak walaupun negara sudah dijajah beberapa penjajah selama ratusan tahun. Jika penjajah pun tidak berani menyentuh ketinggian undang-undang Islam, takkan selepas lebih 50 tahun negara merdeka dan diperintah anak watan, keutuhan undang-undang Islam diperlekehkan.

Seharusnya pendekatan yang diambil meningkatkan lagi kedudukan undang-undang Islam bagi mencakupi segenap lapangan kehidupan umat Islam.

Adalah penting bagi rakyat bukan saja mengetahui hak mereka, malah memahami falsafah serta semangat perlembagaan mengikut kerangka dalam Perlembagaan Persekutuan.

Perlembagaan Persekutuan bukanlah matlamat atau destinasi akhir kita tetapi hanya alat bagi mencapai keadilan dan kesepakatan antara rakyat. Ia adalah garis panduan bagi memudahkan rakyat memakmurkan negara.

Negara kita bukan bermula tatkala Perlembagaan Persekutuan diwujudkan tetapi kehidupan dan kesepakatan itu sudah ada jauh lebih dulu sebelum Perlembagaan wujud. Perlembagaan Persekutuan hanyalah mengesahkan susun atur yang disepakati antara rakyat negara ini.

Ia adalah dokumen berharga dan manifestasi keharmonian rakyat. Parameter digariskan Perlembagaan Persekutuan hendaklah dihayati kerana tanpanya negara mungkin goyah.

Walau apapun idea atau perjuangan ingin dibawa Perdana Menteri hendaklah memastikan kedudukan Islam dan orang Melayu seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan perlembagaan negeri tidak terhakis.

Tidak dapat dinafikan ada perbezaan antara rakyat negara ini, tetapi perbezaan itu hendaklah dilihat daripada aspek positif iaitu menjadi kekuatan kepada pembinaan negara dan bukan kelemahan.

Kita hendaklah bersatu dalam perbezaan itu. Adalah mustahil kita bersatu tanpa sebarang perbezaan.

Masyarakat majoriti tidak boleh menindas minoriti manakala minoriti pula hendaklah menghormati hak majoriti apatah lagi dalam perkara yang sudah sepakat.

PGSM merayu kepada Najib supaya dalam apapun tindakan beliau, kayu pengukur yang hendak digunakan adalah Islam. Islam adalah rahmat ke seluruh alam.

Dengan piawaian Islam sudah pasti kemakmuran negara dan kedaulatan Islam akan berjalan seiring.

PGSM akan berdiri di belakang Perdana Menteri dalam setiap usaha mempertahankan Islam dan melaksanakan fungsinya sebagai badan pendesak jika ada penghakisan kedaulatan Islam kerana sebagai NGO, PGSM tidak terikat dengan mana-mana parti siasah.

PGSM mendoakan supaya Perdana Menteri memberi komitmen sepenuhnya kepada Islam dan mengajak umat Islam bersatu padu demi agama tercinta.

Jangan diulangi kesilapan terdahulu, lihatlah ke depan demi menggalas cabaran negara.

Penulis ialah mantan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s