100 NGO bantah keputusan Kabinet

dari Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 24 April – Lebih 100 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam di negara ini membantah keputusan Kabinet yang menetapkan kanak-kanak bawah umur kekal menganut agama asal ketika ibu bapanya berkahwin walaupun selepas salah seorang pasangan itu menukar agama.

Menurut mereka, keputusan yang bersifat reaktif terhadap tekanan daripada masyarakat bukan Islam tidak wajar dilaksanakan kerana ia dibuat tanpa melibatkan perbincangan menyeluruh dengan para mufti, pakar perundangan dan NGO Islam.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Mohamad Isa Abd. Ralip berkata, pihaknya tidak bersetuju dengan keputusan Kabinet itu kerana ia telah menafikan hak ibu atau bapa yang telah memeluk Islam untuk mendidik anak-anak mengikut agama baru yang dianutinya.

Beliau berkata, ibu atau bapa harus dibenarkan untuk mengislamkan anak-anak mereka selaras dengan kaedah fikah yang menetapkan apabila seseorang itu telah memeluk Islam maka dia hendaklah mempertahankan agama dan keturunannya.

”Keputusan Jemaah Menteri bertentangan dengan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2007 yang memberikan hak kepada Muhammad Shafi Saravanan Abdullah untuk mengislamkan kedua-dua anaknya tanpa pengetahuan atau mendapat persetujuan isterinya, R. Subashini yang masih beragama Hindu.

”Walaupun tiada peruntukan khusus dalam enakmen keluarga Islam berhubung perkara itu, kita tetap perlu mengikut keputusan mahkamah tertinggi iaitu Mahkamah Persekutuan,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar bersama-sama wakil daripada lebih 100 NGO Islam di Sekretariat PGSM di sini hari ini.

Mohamad Isa mengulas keputusan Kabinet itu yang diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz semalam.

Keputusan itu adalah berdasarkan syor yang dibuat oleh jawatankuasa khas Kabinet bagi menyelesaikan kes K. Pathmanaban, 40, atau nama Islamnya, Mohd. Ridzuan Abdullah yang bertindak menukar agama anaknya, Tevi Darsiny, 12, Karan Dinesh, 11, dan Prasana Diksa, setahun, serta memohon hak penjagaan terhadap tiga anaknya itu di Mahkamah Syariah Ipoh.

Langkah itu telah dibantah oleh ibu kanak-kanak terbabit, M. Indra Ghandhi, 35, yang masih beragama Hindu kerana mendakwa Mohd. Ridzuan berbuat demikian tanpa pengetahuannya.

Setiausaha Agung Peguam Pembela Islam (PPI), Zainul Rijal Abu Bakar pula berkata, Kabinet seharusnya mengambil kira pandangan kebanyakan ulama yang secara jelas menyatakan bahawa apabila salah seorang daripada ibu atau bapa memeluk Islam, maka anak-anaknya mesti menganut agama itu.

Menurut beliau, sebarang keputusan untuk mengekalkan anak-anak dengan agama asal ibu bapa juga harus mengambil kira Perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan yang menyebut salah seorang ibu atau bapa boleh menentukan agama anak-anak.

”Peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan telah disahkan menerusi keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes R. Subashini yang memutuskan adalah memadai salah seorang ibu atau bapa membuat keputusan untuk anaknya yang di bawah umur memeluk Islam,” ujarnya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s