Polemik tukar agama anak

dipetik dari Utusan Malaysia – 6 Mei 2009

Polemik yang melanda antara agama Islam dan agama lain bukan satu perkara baru. Setiap kali isu tersebut timbul, semua pihak dilihat mengambil langkah drastik dalam menyelesaikan pertikaian dan pergeseran yang berlaku demi menjamin kerukunan dan kelangsungan keharmonian bersama.

Menilai dan mempertimbangkan semua aspek semasak-masaknya sebelum menjurus kepada suatu keputusan akhir demi menangani isu yang timbul memang sangat dialu-alukan. Lebih-lebih lagi jika keputusan yang dibuat bakal merubah struktur asal yang menjadi nadi atau teras undang-undang serta kesucian Perlembagaan.

Sebagai contoh, Kabinet pada 23 April lalu telah menetapkan bahawa kanak-kanak bawah umur akan kekal menganut agama asal ketika ibu bapa berkahwin, sungguhpun selepas salah seorang pasangan itu bertindak menukar agama.

Itu antara intipati keputusan Kabinet yang diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz pada tarikh tersebut.

Sebenarnya dalam membuat sesuatu ketetapan lebih-lebih lagi jika melibatkan undang-undang, implikasi daripada keputusan tersebut perlu dikaji dari segenap sudut, sejak awal lagi.

Selama ini, kita menjunjung tinggi Perlembagaan Persekutuan yang merupakan teras undang-undang tertinggi Malaysia.

Jika begitu interpretasinya maka ia juga mestilah dijunjung dan dijadikan rujukan atau kayu ukur oleh menteri-menteri Kabinet agar keputusan yang dibuat mereka tidak tersasar daripada landasan yang telah ditetapkan.

Membicarakan lebih lanjut topik tersebut, nasihat dan pendapat pakar undang-undang terutamanya para peguam tidak harus dipandang sepi. Ini kerana, berdasarkan pandangan dan pendapat mereka, barangkali segala kelemahan mampu diperbaiki.

Malah, mungkin boleh mengetengahkan syor baru yang lebih bernas demi kepentingan semua pihak.

Melihatkan pergeseran tersebut, Timbalan Presiden, Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berusaha mengupas keputusan tersebut dari aspek undang-undang.

”Saya tidak nampak keputusan yang dibuat Jemaah Menteri sebagai langkah penyelesaian jangka panjang berhubung isu pertikaian status agama kanak-kanak berkenaan apabila ibu atau bapa mereka menukar agama.

“Malah, ia akan mencetuskan kontroversi yang lebih hebat dan pertikaian semasa dan agama masyarakat di negara ini.

”Keputusan tersebut perlu ditangguhkan dan dikaji semula dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), orang awam dan ahli akademik,” kata Musa.

Beliau menambah kata, banyak implikasi ketidakadilan yang akan berlaku jika keputusan tersebut diteruskan. Sama ada berkaitan pembubaran perkahwinan, agama anak mahupun hak penjagaan anak.

Andainya kes berkaitan pertikaian ini didengar di Mahkamah Sivil maka undang-undang yang akan diterima pakai adalah Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976.

Seksyen 51 akta tersebut, menurut Musa, jika salah seorang pasangan terbabit memeluk agama Islam, hanya pasangan yang kekal dengan agama asal yang boleh memfailkan petisyen pembubaran perkahwinan. Iaitu selepas tiga bulan pasangannya memeluk Islam.

Ini bermakna selagi dia tidak memfailkan petisyen perceraian tersebut di Mahkamah Sivil bererti perkahwinan sivilnya bersama pasangan yang telah memeluk Islam tetap dianggap sah di bawah akta tersebut.

Sehubungan itu, pada pandangan Musa, adalah jelas berlaku ketidakadilan kepada pasangan yang telah memeluk Islam kerana langsung tidak mempunyai hak untuk memfailkan petisyen perceraian seperti yang dihuraikan di bawah seksyen itu.

Kepada suami atau isteri yang telah memeluk Islam pula, hak mereka hanya diperuntukkan di bawah Akta Undang-Undang Keluarga Islam.

Musa berkata, Seksyen 46(2) Akta Undang-Undang Keluarga Islam memperuntukkan jika salah satu pihak kepada sesuatu perkahwinan asal bukan Islam memeluk Islam, maka perbuatan yang demikian tidak boleh dengan sendirinya berkuat kuasa untuk membubarkan perkahwinan itu melainkan sehingga disahkan oleh Mahkamah (Syariah).

Namun timbul satu persoalan, adakah pasangan yang tidak memeluk Islam itu boleh disaman untuk hadir ke Mahkamah Syariah?

Walhal Seksyen 4 akta tersebut telah memperuntukkan bahawa ia terpakai untuk orang Islam semata-mata. Katakanlah Mahkamah Syariah memutuskan permohonan untuk membubarkan perkahwinan menurut Seksyen 46(2) akta tersebut dilakukan.

Namun, adakah ia diiktiraf sebagai perintah membubarkan perkahwinan asal dalam agama mereka yang dahulunya telah di daftarkan di bawah Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976?

Di sinilah timbul tanda tanya adakah benar keputusan Kabinet itu boleh menyelesaikan krisis tersebut?

”Pada pandangan saya, ia bukan menyelesaikan masalah, sebaliknya mengundang pelbagai persoalan dan merumitkan lagi keadaan. Saya berpendapat, bentuk penyelesaian terbaik adalah dengan meminda Seksyen 51 Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 tersebut dengan memasukkan peruntukan mana-mana pihak (sama ada yang memeluk Islam atau yang masih kekal dalam agama asal) boleh memfailkan petisyen pembubaran perkahwinan, sebaik-baik sahaja salah seorang pasangan memeluk Islam. Barulah ia adil kepada kedua-dua pihak,” kata Musa.

Dalam perkara yang melibatkan agama anak pula, menurut Musa, keputusan Kabinet tersebut nyata sekali bertentangan dengan Perkara 12(3) dan 12(4) Perlembagaan Persekutuan serta kes Subashini melawan Saravanan yang telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

Mahkamah tertinggi negara itu telah memutuskan bahawa salah seorang ibu atau bapa boleh menentukan keislaman anak tersebut.

Pada hemat Musa, keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut juga telah menjawab percanggahan keputusan beberapa mahkamah bawahan seperti kes Chang Ah Mee dan Gengga Devi Chelliah yang memutuskan bahawa persetujuan kedua-dua ibu bapa diperlukan untuk menukar agama anak di bawah 18 tahun. Serta kes Nenduchelian di Mahkamah Tinggi Johor Bahru yang memutuskan hanya kebenaran salah seorang ibu atau bapa diperlukan.

”Secara tidak langsung keputusan kes ini seolah-olah telah mengambil roh tersirat dalam Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa agama bagi seseorang yang di bawah umur 18 tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapanya atau penjaganya (parent or guardian),” ujar beliau.

Bagi Musa sejajar dengan kehormatan Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi negara, ia seharusnya dijunjung oleh semua menteri Kabinet.

Sekiranya kita menjunjung Perlembagaan tersebut sudah tentu kita mengakui hakikat keputusan Mahkamah Persekutuan itu adalah selari dengan kehendak Perlembagaan, katanya lagi.

”Saya tidak mahu berhujah mengenai hukum syarak dalam perkara ini kerana kalangan bukan Islam tidak mahu mengambil tahu atau memahami hukum syarak dan Islam.

”Sedar atau tidak, ia menyebabkan orang yang berniat masuk Islam akan berfikir banyak kali. Orang yang berniat memeluk Islam akan berada dalam keadaan serba salah kerana mereka seolah-olah diberi dua pilihan. Iaitu, masuk Islam tinggalkan anak-anak dalam agama asal.

“Atau kekal dalam agama asal bersama anak-anak. Tetapi saya melihat keputusan Kabinet tersebut memberi gambaran seolah-olah ‘masuk Islam, tinggal anak’,” tegas beliau.

Beliau menyatakan sebelum ini sentimen persaudaraan dilihat boleh menjejaskan niat seseorang untuk memeluk agama Islam (sebagai contoh hubungan dengan keluarga agama asal akan terjejas jika memeluk Islam).

Tetapi dengan keputusan terbaru ini jemaah menteri seakan-akan menimbulkan sentimen yang baru, iaitu membabitkan hubungan ayah atau ibu dengan anak.

Justeru, Musa amat berharap agar jemaah menteri mengkaji semula keputusan tersebut supaya tidak mencacat asas yang telah dibina sebelum ini.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s