Gereja Katolik Tidak Boleh Cabar Larangan Pengunaan Istilah Allah

petikan dari berita BERNAMA

KUALA LUMPUR, 14 Dis (Bernama) — Penerbit Majalah Mingguan Katolik Herald tidak boleh mencabar larangan Menteri Dalam Negeri mengenai penggunaan istilah Allah dalam penerbitannya, Mahkamah Tinggi diberitahu hari Isnin.

Peguam Kanan Persekutuan Datuk Kamaluddin Md Said berkata Menteri Dalam Negeri mempunyai kuasa untuk mengenakan larangan seperti itu sebagai syarat yang diselitkan dalam permit yang dikeluarkan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

“Permit yang diberikan di bawah akta itu perlu mengandungi syarat. Syarat itu adalah sebahagian daripada kandungan menyeluruh permit dan tidak boleh dibaca secara berasingan dan anda tidak mempunyai pilihan kecuali mematuhinya.

“Oleh itu, anda tidak boleh mencabar syarat yang dikenakan oleh menteri ke atas permit itu…anda hanya boleh mencabar jika menteri enggan mengeluarkan sebuah permit,” katanya ketika menjawab kes permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh Gereja Roman Katolik Kuala Lumpur mengenai penggunaan istilah Allah dalam penerbitannya.

Kamaluddin juga menyatakan bahawa akta merupakan salah satu perundangan dalam negara ini bagi mengawal kebebasan bersuara dan berucap seperti tertakluk dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Pada 16 Feb lepas, Ketua Paderi Roman Katolik Kuala Lumpur, Tan Sri Murphy Pakiam, sebagai penerbit majalah itu, memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman bagi menuntut satu deklarasi bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri, melarang beliau menggunakan istilah Allah dalam majalah itu adalah haram dan perkataan itu bukan eksklusif bagi agama Islam.

Pada 7 Jan lalu, Menteri dalam Negeri meluluskan permit ‘The Herald’ dengan syarat penggunaan perkataan Allah dilarang dan perkataan ‘Terhad’ perlu dicetak di muka depan majalah tersebut, iaitu hanya diedarkan kepada penganut Kristian sahaja.

Menteri berkenaan melarang penggunaan perkataan Allah atas alasan keselamatan negara dan mengelak salah faham dan kekeliruan di kalangan orang Islam.

Kamaluddin, ketika berhujah, berkata perkataan Allah adalah eksklusif kepada agama Islam kerana ianya nama khas Tuhan orang Islam dan oleh itu kesuciannya perlu dilindungi.

“Dalam negara kita, sekiranya seseorang merujuk Allah atau menyebut kalimah Allah, ia akan membawa peringatan kepada Tuhan bagi orang Islam. Kalimah Allah adalah suci kepada orang Islam dan diletakkan pada kedudukan tertinggi dan kesuciannya perlu dilindungi,” katanya.

“Penggunaan kalimah Allah sebagai terjemahan perkataan Tuhan mungkin menyebabkan kekeliruan, sensitiviti agama dan merosakkan keharmonian antara orang Islam dan Kristian,” kata Kamaluddin, yang memetik ayat Al-Quran mengenai Allah yang bermaksud ‘Allah yang Maha Besar’.

Dalam pada itu, peguam pemohon, Porres Royan berkata Menteri Dalam Negeri telah bertindak secara tidak rasional dan tidak munasabah dengan melarang pemohon menggunakan perkataan Allah dalam majalah mingguan itu.

Katanya perkataan Allah tidak eksklusif kepada agama Islam kerana penganut Kristian dan Islam di negara-negara yang menggunakan bahasa Arab telah menggunakan perkataan Allah untuk sekian abad yang lama ketika merujuk kepada satu Tuhan.

Royan juga berkata di bawah akta itu, Menteri Dalam Negeri tidak mempunyai kuasa untuk mengenakan larangan kepada pemohon dan menteri berkenaan telah bertindak ‘ultra vires’ atau melebihi kuasanya dalam akta tersebut.

“Penerbitan itu adalah majalah Katolik mingguan dan untuk penyebaran berita dan maklumat mengenai Gereja Katolik di Malaysia dan ia tidak untuk orang awam khususnya kepada orang yang menganuti agama Islam.

“Terbitan ini tidak mengandungi sesuatu yang kemungkinan menyebabkan rasa bimbang, mencemaskan orang awam atau menyentuh sensitiviti agama Islam,” katanya.

Perbicaraan dihadapan Hakim Datuk Lau Bee Lan disambung esok.

— BERNAMA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s