Selangor Ada Kuasa Sekat Penyalahgunaan Kalimah Allah: MB

SUNGAI BESAR, 4 Jan (Bernama)– Kerajaan Selangor boleh menghalang sekiranya ada pihak yang menggunakan nama Allah dengan tujuan untuk merosakkan Islam, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

“Jika perkara-perkara yang dibuat memberi kesan negatif kepada agama Islam, sudah tentulah kerajaan negeri mempunyai kuasa untuk menyekat berlakunya perkara itu,” katanya kepada pemberita selepas mengiringi Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menghadiri Majlis Menuai Padi di Kampung Parit 15, Simpang Lima di sini Isnin.

Beliau diminta mengulas isu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh akhbar mingguan Catholic Herald baru-baru ini. Keputusan itu telah menimbulkan rasa marah umat Islam.

Ditanya mengenai pemimpin-pemimpin Parti Keadilan Rakyat yang menyokong keputusan mahkamah itu, Khalid berkata ada antara mereka yang berbeza pendapat daripada segi konsep kebebasan penggunaannya tetapi kebanyakan mereka bersetuju supaya kalimah itu tidak digunakan.

Ketua Pembangkang Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo ketika ditemui pada majlis yang sama, berkata penganut agama lain perlu melihat sensitiviti penggunaan kalimah Allah di Malaysia, dan tidak membandingkannya dengan keadaan di negara-negara Islam yang lain seperti Mesir.

“Orang Melayu boleh hilang adat atau harta tetapi untuk agama, mereka menjagainya dan akan mempertahankannya bersungguh-sungguh,” katanya.

Beliau berharap rayuan akan dibuat nanti di mahkamah bakal didengar bukan sahaja daripada perspektif undang-undang tetapi juga daripada perspektif agama, kesatuan dan perpaduan kaum.

— BERNAMA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s