Wanita Umno Perak Cadang Usul Kalimah Allah Dibincang Di Parlimen, DUN

IPOH, 4 Jan (Bernama) — Wanita Umno Perak mencadangkan supaya satu usul mengenai isu kebenaran penggunaan kalimah Allah oleh sebuah penerbitan Kristian dibincang di Parlimen dan semua Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membolehkan satu undang-undang digubal bahawa kalimah itu adalah satu nama khas dan hak mutlak agama Islam.

Ketuanya Datuk Rusnah Kassim berkata penggunaan kalimah Allah oleh agama lain boleh membawa kesan terhadap umat Islam dan ini bertentangan dengan Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan yang melarang agama lain berdakwah kepada umat Islam di negara ini.

“Allah adalah nama khas Tuhan untuk agama Islam dan penganutnya, agama lain boleh guna perkataan umum seperti God atau illah,” katanya kepada pemberita di sini Isnin.

Rusnah berkata Wanita Umno Perak memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong selaku ketua agama Islam serta Raja-raja Melayu sebagai ketua agama Islam negeri memainkan peranan dalam menangani masalah itu.

Pemuda Umno Perak pula tidak mahu kalimah Allah digunakan oleh agama lain kerana ia boleh menyesatkan akidah dan mengelirukan umat Islam terutamanya anak muda.

Ketuanya Maslin Sham Razman berkata pergerakan itu berharap Majlis Raja-raja Melayu dapat campur tangan dalam isu ini memandangkan ia bertanggungjawab terhadap hal ehwal agama Islam.

“Kita tidak memusuhi agama lain dan kita tidak halang mereka mengamalkannya dari dulu, kini dan pada masa akan datang. Kita hanya mahu agama Islam dan kesucian kalimah Allah dihormati dan tidak dicabuli,” katanya.

Setiausaha Veteran Umno Perak Muhamad Mukhtar Asli berkata walaupun umat Islam di negara ini amat bertoleransi dengan penganut agama lain, Islam tidak seharusnya dipersenda kerana ini boleh menggugat kestabilan dan ketenteraman negara.

— BERNAMA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s