Kerana memeluk Islam – 7 beranak sasaran bunuh

Oleh Hadzlan Hassan- hadzlan@hmetro.com.my 2010/01/27

KUALA TERENGGANU: Hanya kerana memeluk Islam tanpa restu sanak-saudara kira-kira tiga tahun lalu, kehidupan seorang mualaf berusia 48 tahun bersama isteri dan lima anaknya kini umpama pelarian apabila terpaksa menyembunyikan diri dan identiti semata-mata bagi memastikan keselamatan terjamin.

Lebih menyedihkan, mereka kini terpaksa tinggal dalam lori kerana selain dapat dijadikan tempat berteduh, ia memudahkan mereka melarikan diri jika diserang.

Menurut lelaki itu, mereka enam beranak memeluk Islam dengan mengucap dua kalimah syahadah di Rawang, Selangor manakala anak bongsunya dilahirkan sebagai seorang Islam, tujuh bulan lalu.

Katanya, berikutan tindakan itu, dia sekeluarga terpaksa melarikan diri ke negeri ini untuk meneruskan kelangsungan hidup dan bersembunyi daripada ahli keluarga dan kenalannya yang kurang senang dengan tindakannya memeluk Islam.

“Apa yang ingin saya ceritakan ini hanya untuk memberitahu keadaan sebenar. Tolong jangan siarkan nama atau gambar saya kerana nyawa kami boleh melayang bila-bila masa.

“Jangan tanya mengapa saya tak buat laporan polis, tapi jawab dulu soalan saya, adakah pihak yang mampu memastikan keselamatan keluarga saya 24 jam,” katanya dalam pertemuan dengan Harian Metro yang diuruskan Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) Terengganu, semalam. Menurutnya, dia tidak berani memberikan nama sebenar kerana mendakwa ahli keluarganya mempunyai ramai kenalan yang berkhidmat dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sehingga membolehkan mereka mengenalinya dengan hanya memeriksa nama baru pada kad pengenalan.
Katanya, selepas sekian lama memeluk Islam, baru-baru ini beberapa ahli keluarganya mengetahui mengenai perkara itu sebelum mereka meluahkan rasa kurang senang dengan tindakannya menyebabkan dia dicerca dan dihina ahli keluarga selain ada yang mengugut mahu mencedera dan membunuhnya dan keluarga.

“Saya sedih kerana adik-beradik yang saya tatang ketika mereka kecil dengan memberi wang dan pendidikan, kini sanggup mengugut kami sekeluarga, malah keadaan menjadi semakin tak keruan apabila keluarga saya turut menerima ancaman bunuh menyebabkan kami terpaksa melarikan diri ke Terengganu,” katanya ketika meluahkan rasa hatinya kepada Pengerusi Kimma Terengganu, Mohamed Salahudin Mohamed Shahabudin dan timbalannya, Shawkath Ali Mohamed Kassim.

Menurutnya, sejak tiga tahun lalu, dia terpaksa menyembunyikan diri di negeri ini dan melakukan pelbagai kerja bagi menyara keluarga selain menerima bantuan tahunan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) Terengganu.

Bagaimanapun, katanya, kehidupannya sekeluarga mulai berubah menjadi semakin buruk selepas dia hilang pekerjaan, anak pula ditimpa kemalangan dan terbaru ibunya sakit.

Menurutnya, ketika masalah pertama berlaku, dia cuba mendapatkan bantuan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) dan mendapat bantuan tahunan berupa duit raya setiap tahun.

Katanya, satu ketika dulu, dia mampu menggunakan lorinya untuk menyara hidup dengan mengangkut barang membuat jalan, namun selepas projek berkenaan selesai, kenderaan itu dijadikan tempat dia sekeluarga berteduh kerana tidak lagi mempunyai sumber pendapatan untuk menyewa rumah.

“Keadaan bertambah buruk apabila anak saya cedera terkena mesin rumput ketika membantu saya bekerja mencari sesuap nasi.

“Selepas tiada sumber kewangan, saya dihalau dari rumah sewa dan kini kami lima beranak tinggal dalam lori. Jadi, saya tak terlalu risau dengan keselamatan keluarga kerana percaya kami tidak akan ditemui kerana tidak menetap di satu-satu tempat secara tetap.

“Saya bukan mahu meminta wang atau simpati orang ramai, tapi mahu mereka tahu ada saudara baru mengalami masalah ini dan mungkin bukan saya seorang. Saya hanya berharap tragedi hitam yang menimpa saya sekeluarga tak berlaku kepada saudara baru lain,” katanya.

Lelaki itu juga mendakwa ibunya yang sakit kini dijaganya dan turut berhasrat memeluk Islam.
“Cuma saya hanya menunggu dia sembuh bagi membolehkannya melafazkan kalimah syahadah secara rasmi di depan saksi.

“Saya kini begitu memerlukan pekerjaan dan mempunyai sebuah lori yang bukan saja dijadikan tempat tinggal, malah digunakan untuk mendapat sesuap nasi selain membayar bil perubatan ibu,” katanya.

Sementara itu, Mohamed Salahudin berkata, pihaknya berharap ada agensi kerajaan berkaitan dapat meringankan bebanan keluarga mualaf itu.

“Kimma akan berusaha mencari pendekatan sesuai dan berharap agensi kerajaan berkaitan dapat meringankan beban mangsa untuk kebaikan saudara baru itu dan keluarga,” katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s