KENYATAAN MEDIA PPMM MENJAWAB NGO DAN GOLONGAN YANG MASIH KELIRU

Petikan dari Kenyataan Media PPMM:

KENYATAAN MEDIA PERSATUAN PEGUAM-PEGUAM MUSLIM MALAYSIA (PPMM) MENJAWAB NGO DAN GOLONGAN YANG MASIH KELIRU

Saya merujuk kepada kenyataan-kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh beberapa pihak seperti Sisters in Islam, AWAM, Majlis Peguam dan beberapa pihak lain yang mempertikaikan pelaksanaan sebatan syariah ke atas tiga orang pesalah syariah wanita baru-baru ini.  PPMM hairan kenapa masih ada golongan yang tidak memahami dwi sistem perundangan yang diamalkan di Malaysia. Malah  bantahan ini menggambarkan seolah-olah apa sahaja yang dibuat oleh pihak bekuasa berkaitan agama Islam ada sahaja yang tidak kena.

Perlulah ditegaskan sekali lagi di sini bahawa sebatan syariah jauh berbeza dari sebatan sivil. Sebatan syariah tidak mencederakan mahupun melukakan pesalah berbanding dengan sebatan sivil yang meninggalkan parut dan kesan dalam jangka masa dua tahun. Sebatan syariah adalah umpama bapa atau guru yang merotan anak yang telah melakukan kesilapan.

Telah banyak rencana, makalah dan kajian dibuat tentang pelaksanaan hukuman sebat dalam Islam ini diadakan. Malah pelbagai  bengkel, seminar dan forum juga digarap ke arah memberi pemafahaman tentang hukuman ini. Tidak ketinggalan juga beberapa demonstrasi sebatan syariah telahpun dibuat namun inisiatif ini langsung tidak diambilkira oleh golongan yang menentang sebatan syariah ini secara membuta tuli.

Dalam perjuangan SIS mendapatkan hak samarata kenapa pula wanita tidak boleh disebat secara syariah sama seperti lelaki? Logiknya, jika semuanya ingin disamaratakan, hukumanpun hendaklah disamaratakan dan tidak mendiskriminasi golongan lelaki.  Adakah kesamarataan yang diperjuangkan oleh SIS ini ialah samarata sekiranya memberi manfaat kepada wanita sahaja?

Menggambarkan sebatan syariah adalah  zalim dan kejam adalah amat keterlaluan dan tidak mempunyai asas perundangan dan Hukum Syarak. Malah saya percaya pegawai SIS  sendiri tidak pernah menyaksikan pelaksanaan sebatan syariah yang dilabelkan sebagai kejam dan zalim itu.

Dalam masa yang  sama PPMM bersetuju  sebatan sivil itu adalah kejam dan perlu dihapuskan. Sebatan sivil itu juga tidak Islamik.  Sebatan yang mencedera dan mengerikan itulah yang patut dihapuskan kerana melanggar hak asasi manusia. Namun sebatan syariah mempunyai falsafahnya yang tersendiri dan berakar umbi dari sumber hukum Islam yang utama seperti Al Quran dan Al Sunnah. Mempertikaikan efektif atau tidaknya hukuman sebatan Islam ini samalah seperti mempertikaikan hikmah dan mukjizat Al Quran dan Rasul Allah saw.

Sebatan yang melanggar hak asasi manusia ialah sebatan sivil bukan sebatan syariah. Malah Resolusi Majlis Peguam yang diluluskan beberapa tahun lepas juga memberi penekanan aspek kekejaman sebatan sivil. Ini adalah kerana sebatan syariah tidaklah sekejam yang digambarkan itu. PPMM percaya ahli-ahli PPMM di dalam Bar Malaysia tidak bersetuju sebatan syariah dihapuskan kerana ia adalah sebahagian dari ajaran agama Islam yang mana Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada Dewan Undangan Negeri dan Parlimen bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan  mengadakan hukuman bagi sebarang kesalahan melanggar perintah agama.

Seksyen 289 Akta Kanun Jenayah yang dirujuk oleh En Ragunath adalah tidak terpakai di mahkamah syariah. Undang-undang yang terpakai di mahkamah syariah bagi pelaksanaan sebatan syariah ialah Akta Tatacara Jenayah Mahkamah Syariah. Oleh yang demikian Presiden Majlis Peguam itu perlulah merujuk kepada Akta tersebut terlebih dahulu (yang juga diluluskan oleh Parlimen) sebelum membuat sebarang komentar.  Malaysia adalah sebuah negara unik yang mempunyai dua sistem perundangan dan kedua-dua sistem ini haruslah lengkap melengkapi antara satu sama lain serta menghormati pihak yang satu lagi.

Malaysia adalah sebuah negara yang berdaulat. Adalah menjadi peraturan asas (trite law) bahawa rujukan kepada konvensyen-konvensyen antarabangsa bukanlah nas yang sahih di sudut perundangan negara selagi ia tidak dijadikan undang-undang.

Saya juga menyeru mana-mana hukuman sebatan syariah  yang masih lagi belum dilaksanakan sebatan syariah  di seluruh negara termasuklah kes Kartika Sari Dewi Sukharnor  dilaksanakan dengan kadar segera agar keadilan kepada pesalah syariah itu sendiri dapat dilakukan. PPMM menyokong usaha kerajaan memartabatkan perundangan syariah melalui sebatan syariah bagi pesalah yang telah disabitkan atas kesalahan yang membawa hukuman sebat.

HAJI ZAINUL RIJAL ABU BAKAR

PRESIDEN

PERSATUAN PEGUAM-PEGUAM MUSLIM MALAYSIA (PPMM)

Bertarikh: 18 Febuari 2010

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s