JAIS pantau dua lagi kumpulan Syiah

KUALA LUMPUR 17 Dis. – Selepas menyerbu kegiatan satu ajaran sesat Syiah tegar di Batu Caves kelmarin, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kini memantau dua lagi kumpulan ajaran berkenaan di negeri itu.

Pengarahnya, Datuk Muhammed Khusrin Munawi ketika mengesahkan perkara itu berkata, pihaknya sedang mengumpul maklumat sebelum tindakan dapat diambil.

“Kita percaya ada lagi kumpulan ajaran sesat itu khususnya di Selangor. JAIS juga menyiasat di negeri-negeri lain seperti Kedah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mengenai kumpulan ajaran sesat Syiah yang ditumpaskan itu, menurutnya, JAIS sedang mengesan pengikutnya di negeri-negeri lain.

“Situasi itu amat membimbangkan kita memandangkan kegiatan ajaran sesat tersebut turut berlaku di beberapa negeri lain.

“Pelbagai tindakan akan dilakukan bagi menyekat kegiatan ajaran sesat tersebut daripada terus berkembang,” katanya.

Katanya, kumpulan yang menggunakan nama Hauzah Ar Ridha Alaihissalam itu merupakan kumpulan pertama ditahan oleh JAIS.

“Bagaimanapun dikhuatiri masih ramai lagi pengikutnya bergiat aktif menyebarkan ajaran itu. Ada juga daripada mereka merupakan warga asing iaitu Myanmar dan Indonesia.

“Mereka pada mulanya terdiri daripada jumlah pengikut yang kecil dan berkembang sehingga membentuk pelbagai kumpulan dari pelbagai negeri,” ujarnya lagi.

Muhammed Khusrin memberitahu, kumpulan itu juga mempunyai kaitan dengan ajaran sesat dari luar negara.

“Ini berdasarkan penahanan seorang lelaki warga Iran yang menyampaikan khutbah kepada kumpulan tersebut,” katanya lagi.

Mengulas perkembangan siasatan kes itu, beliau berkata, pihaknya masih menyiasat pemilik premis yang dijadikan lokasi bagi kegiatan kumpulan tersebut.

“Semakan akan dibuat di pejabat tanah dan Majlis Perbandaran Selayang bagi menyiasat status tanah dan bangunan tersebut,” ujarnya lagi.

Tambahnya, pihaknya juga akan bekerjasama dengan pasukan polis sekiranya terdapat kes jenayah yang membabitkan kumpulan tersebut.

Kelmarin, kegiatan satu ajaran Syiah tegar yang dikhuatiri boleh mengancam keselamatan negara ditumpaskan berikutan penahanan 200 pengikut dan dua ketua kumpulannya.

Kumpulan yang ditahan di sebuah rumah kedai di Taman Sri Gombak, Batu Caves, dekat sini itu, dikatakan berbahaya kerana menganggap penganut Islam mazhab lain sebagai kafir dan halal dibunuh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s