Fahaman Pluralisme Agama Wajar Ditentang

sumber: Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 14 Dis. – Golongan yang mempertikaikan kedudukan Islam dan orang Melayu seperti mana yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan merupakan mereka yang berfahaman pluralisme ala John Hick.

Justeru, tokoh cendekiawan Islam, Dr. Muhammad ‘Uthman El-Muhammady mahu golongan tersebut ditentang kerana fahaman yang mereka anuti itu jelas berlawanan dengan ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW.

Malah, beliau berkata, mereka yang memperjuangkan fahaman itu tidak ubah seperti membawa satu agama baru yang akhirnya boleh menyebabkan seseorang Islam itu menjadi murtad.

“Oleh itu fahaman pluralisme atau kesamarataan di dalam agama perlu ditolak dan ditentang kerana ia hanya akan membawa kehancuran serta kecelakaan kepada kehidupan manusia.

“Fahaman ini amat berbahaya dan merupakan ancaman yang perlu ditangani segera. Hakikatnya, Islam tidak boleh disamakan dengan apa jua kepercayaan dan agama kerana martabatnya terlalu tinggi. Islam agama yang terpelihara sehingga Hari Kiamat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab satu soalan peserta selepas membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Beberapa Isu Dalam Pluralisme Agama – Satu Pengamatan Ringkas’ pada wacana Membanteras Gerakan Pluralisme Agama dan Pemurtadan Ummah di Masjid Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Mengulas lanjut Muhammad ‘Uthman berkata, fahaman pluralisme tidak akan membawa kebahagiaan walau apa hujah sekali pun sebaliknya hanya akan membuatkan manusia menuju ke neraka.

Dalam pada itu beliau berkata kewujudan teori fahaman yang boleh merosakkan umat Islam itu berlaku pada era pascamodenisme.

“Teori ini amat berbahaya terutama kesannya terhadap akidah umat Islam. Ia perlu ditangani dan ditentang oleh semua pihak,” katanya lagi.

Sementara itu beliau berkata, pemikiran pelopor fahaman pluralisme iaitu John Hick hendaklah ditolak kerana jelas kenyataan-kenyataannya bersifat mengelirukan manusia.

Di dalam kertas kerjanya Muhammad ‘Uthman turut menjelaskan jenis atau kategori golongan yang terpengaruh dengan fahaman tersebut.

“Mereka yang terpengaruh dengan pluralisme agama menyatakan baik agama Islam, Kristian, Yahudi, Sikh dan Hindu mempercayai adanya `kebenaran yang lebih tinggi’ serta mengatasi amalan lahiriah dan ibadat.

“Kalaulah pendirian yang demikian dianggap jalan kebenaran di sisi Tuhan, maka perjuangan Rasulullah SAW mendepani agama penyembah berhala, agama Yahudi dan Kristian pada zaman Baginda adalah tidak bererti,” katanya.

Jelas beliau berkata, pernyataan sedemikian tidak benar dan tidak berasas serta tidak pernah wujud di dalam ajaran Islam.

“Seperti mana saya tekankan sebentar tadi fahaman pluralisme akan membawa kerosakan, kecelakaan dan kecelaruan kepada kehidupan manusia. Fahaman ini akhirnya akan membawa manusia ke neraka ,” ujarnya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s