NGO Islam harus jadi penentu arah politik

sumber: Berita Harian

BEBERAPA tahun lalu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam arus perdana bersetuju membentuk gabungan melalui wadah yang dinamakan PEMBELA untuk bergerak atas nama Islam dan menyatukan umat tanpa mengira fahaman politik kepartian, bangsa, ras dan sempadan negeri.

PEMBELA ditubuhkan ketika umat menghadapi polemik murtad, cabaran terhadap kedudukan agama Islam dan penubuhan gerakan Interfaith Commission (IFC) serta banyak lagi keadaan berbangkit yang mencemaskan umat Islam.

Walaupun ia hanya gagasan yang longgar antara NGO Islam, impak yang dihasilkan PEMBELA sangat bermakna. PEMBELA berjaya mengumpulkan puluhan ribu umat Islam di Masjid Wilayah, Jalan Duta, menzahirkan kesatuan fikrah menentang cubaan menghakis kedaulatan Islam. PEMBELA juga berjaya mendapatkan lebih 800,000 tandatangan umat Islam dan diserahkan kepada Majlis Raja-Raja merayu mempertahankan kedudukan umat Islam. Ahli PEMBELA juga ke serata negara memberi penerangan hal keadaan sebenar dan tindakan perlu diambil umat Islam.

Hasilnya, kerajaan mendengar suara PEMBELA. Namun, kini PEMBELA yang dipelopori NGO Islam arus perdana itu tidak bersinar seperti sebelumnya. Mungkin disebabkan isu politik telah mengambil tempat utama dalam gerakan NGO dan sekali gus meminggirkan peranan NGO Islam.

NGO Islam seharusnya menjadi penentu arah politik tanah air, berada di landasan yang betul bagi memandu ahli politik ke arah kebenaran dan tidak dikongkong oleh parti siasah tertentu. Bersikap non partisan terhadap politik kepartian adalah penting bagi mempertahankan NGO Islam.

Penubuhan NGO Islam tertegak atas kebenaran dan sepatutnya mampu menegur ahli politik dengan bebas tanpa mengira mereka golongan kerajaan mahupun pembangkang.

Memandangkan beberapa isu Islam kembali meruncing, PEMBELA perlu diberi nafas baru bagi menyedarkan umat Islam supaya mempertahankan, memelihara dan memperkasa kedudukan, keistimewaan serta ketinggian Islam seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

PEMBELA harus menerajui misi menjangkaui batasan bangsa dan ras kerana pertautan akidah sepatutnya dapat menambat NGO Islam dalam memperjuangkan agama suci ini.

PEMBELA boleh menjadi wadah bagi menyedarkan umat Islam keperluan berusaha ke arah fikrah yang satu serta pemuafakatan antara aliran politik berbeza dengan memberi kepentingan umat tempat teratas dalam segala resolusi hendak digarap. Umat perlu diperkasa dan tidak ada kompromi.

Ancaman terhadap umat Islam yang datang dari dalam dan luar negara perlu menjadi agenda PEMBELA untuk menanganinya. Gerakan musuh Islam dan propaganda sekian hari kian menonjol melalui yayasan, dana asing berlindung atas nama kebajikan, pendidikan, hak asasi, perlu dikekang.

Cubaan untuk menyerap masuk ke dalam pemikiran dan kehidupan umat Islam jangan dipandang enteng dan perlu rancangan bersepadu bagi menentang usaha sebegini termasuklah pandangan yang ingin diperteguhkan dengan mengatakan Malaysia negara sekular.

Begitu juga sesetengah NGO, institusi dan parti politik yang memperalatkan agenda demokrasi, kebebasan dan hak asasi bagi melemahkan kedudukan Islam di Malaysia bertentangan dengan penegasan Perlembagaan Persekutuan. Golongan ini sebenarnya menafikan hakikat sejarah. Mereka melupai sejarah semata-mata bagi memenuhi kehendak sendiri.

Ancaman yang wujud dari kalangan umat Islam sendiri perlu diletakkan dalam perspektif yang betul. Begitu ramai yang mendahului ulama, memberi fatwa mereka sendiri serta mengeluarkan pandangan populis yang menongkah arus atas pelbagai alasan.

Kesemua ini hanya akan mengundang kekeliruan dalam kalangan masyarakat awam. Umat Islam perlu diberi kesedaran terhadap ancaman dan bahaya yang terbit daripada kekeliruan mereka menyebarkan fahaman merosakkan ajaran Islam ditunjangi ajaran liberalisme, pluralisme, sekularisme dan literalisme agama sama ada melalui individu tertentu ataupun organisasi.

PEMBELA harus menjadi gerakan pertengahan yang berwibawa menjadi perantara kepada pelbagai permasalahan wujud dalam kalangan umat Islam mengukuhkan panji ahlul sunnah wal jamaah dalam akidah syariah dan akhlak.

Masih belum terlambat untuk menghidupkan semula PEMBELA yang perlu lebih kreatif seiring senario dakwah semasa.

Kes seperti Lina Joy, Subahsini, Shamala dan Sulaiman Takrib semua sudah diputuskan mahkamah. Janganlah menunggu hingga ada lagi kes mencabar kedudukan Islam dan umatnya baru hendak bersatu.

Menggarap strategi yang mantap bagi memartabatkan Islam di Malaysia bukan perkara mudah. Ia memerlukan keprihatinan tinggi, kejituan pemikiran dan keikhlasan budi sepanjang usaha diberikan disulami dengan kesepakatan dan ketakwaan kepada-Nya.

Jika pemimpin NGO sendiri gagal bersepakat dalam hal ini sudah pasti jalan yang diambil akan dipenuhi liku yang hanya akan melambatkan perjuangan Islam itu sendiri. Bukan masanya untuk menggembar gemburkan perselisihan antara NGO.

Sebaliknya, inilah masa mencari persamaan antara NGO Islam melalui pertautan akidah untuk bersatu bergerak mencapai matlamat yang sama.

Leave a comment