NGO Islam: Kristian agresif ancam Muslim Malaysia

sumber: MalaysianInsiders

KUALA LUMPUR, 7 Mei – Islam di Malaysia berhadapan dengan ancaman ekoran sikap agresif komuniti Kristian yang mahu bertekad menarik Muslim yang tidak kukuh akidah menganut agama itu, dakwa beberapa kumpulan Islam hari ini.

Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela) mendakwa masyarakat Kristian sedang menyusun perancangan terperinci untuk memastikan lebih ramai Muslim meninggalkan kepercayaan mereka, tindakan yang bertentangan dengan Perlembagaan negara.

Presiden Pembela Dr Yusri Mohamad berkata, tuntutan-tuntutan masyarakat Kristian berhubung isu Allah dan juga Alkitab membuktikan mereka mahu mempengaruhi Muslim menganuti Kristian dan meninggalkan Islam.

“Kita berhadapan dengan kumpulan Kristian yang agresif, ambil sikap konfrontasi,” katanya.

“Tuntutan-tuntutan mereka berhubung Al-Kitab, kalimah Allah berkaitan dengan usaha mereka menyebarkan Kristian… mereka menggunakan strategi ini untuk menjinakkan Muslim, dengan menggunakan terma-terma yang dekat dengan agama kita,” kata Yusri ketika satu majlis di sini hari ini.

Peguam syariah itu berkata ini ada usaha-usaha secara langsung untuk mengkompromikan kedudukan Islam yang merupakan agama rasmi negara ini.

Seorang saudara baru, Ann Wan Seng, yang merupakan sebahagian daripada panel hari ini yang membincangkan sama ada “Islam berhadapan dengan ancaman” berkata, masalah di kalangan Muslim negara ini ialah mereka tidak merasakan berhadapan dengan ancaman.

“Kita perlu merasakan terancam… masalahnya ialah orang kita tidak merasakan apa-apa meskipun apabila kita berhadapan dengan ancaman.

“Kita tidak boleh hanya mempersalahkan (komuniti) Kristian atas kerja mereka, kita tidak melakukan kerja kita,” katanya lagi.

Ann mendakwa Petaling Jaya kini berperanan sebagai hab bagi menyebarkan agama Kristian dan Muslim menjadi murtad.

“Pihak Kristian melakukan yang ini secara diam-diam dan juga secara terbuka, mereka menyebakan risalah kepada pelajar Muslim kita.

“Saya ada melihat perkara ini berlaku di Universiti Malaya (UM). Pelajar-pelajar wanita memakai tudung tetapi apabila anda mengalihkan tudung, mereka memakai salib,” dakwa Ann.

Ann juga mendakwa keadaan yang serupa berlaku di Johor di mana Persatuan Kristian Melayu Singapura menghantar anggotanya ke Johor untuk menarik Muslim menjadi Kristian.

Seorang lagi anggota panel Zaid Kamaruddin dari Jemaah Islamiyah Malaysia (JIM) berkata, Muslim tidak boleh berpuas hati dengan keadaan semasa dan mengharapkan hak-hak mereka dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan ataupun oleh parti-parti politik.

“Kesemua kumpulan Islam, NGO perlu bersatu atas matlamat bersama,” katanya lagi.

Utusan Malaysia edisi hari ini membawa laporan muka depan bertajuk “Kristian agama rasmi” berdasarkan tulisan dibawa beberapa blogger pro-Umno.

Blog-blog itu menuduh DAP menghasut dengan cuba meminda undang-undang negara untuk menjadikan mereka yang beragama Kristian menjadi perdana menteri, dengan menunjukkan gambar berbintik-bintik yang didakwa mereka sebagai pakatan rahsia antara DAP dan pastor-pastor di sebuah hotel di Pulau Pinang, Rabu lalu.

Perlembagaan Persekutuan tidak memperuntukkan syarat agama atau kaum bagi seseorang menjadi perdana menteri.

Pertubuhan National Evangelical Christian Fellowship (NECF) bersama Global Day of Prayer, Marketplace Penang dan Penang Pastors Fellowship menegaskan dakwaan terhadap komuniti adalah pembohongan dan telah pun menafikan dakwaan blogger berkenaan malam tadi.

Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi juga menafikan dakwaan kononnya beliau menganjurkan satu majlis pertemuan paderi dari seluruh negara, yang didakwa turut membincangkan agenda menjadikan Kristian sebagai agama rasmi Persekutuan, sekali gus melantik Perdana Menteri dalam kalangan penganut agama itu.

Menurut wakil rakyat DAP itu, beliau hanya menghadiri majlis kesyukuran yang diadakan secara tertutup untuk paderi-paderi tersebut sebagai tetamu.

Dalam respons, seorang anggota panel forum anjuran Pembela ini berkata, meskipun tiada peruntukan undang-undang mengenai soal agama atau kaum untuk menjadi perdana menteri, penyandang jawatan itu mestilah seorang yang beragama Islam.

“Perdana menteri mestilah seorang Muslim, atau tidak dia tidak boleh menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam hal-hal berkaitan agama Islam.

“Bagaimana anda boleh ada bukan Islam menasihati Agong dalam soal-soal mengenai Islam,” kata peguam Datuk Zainal Rejal.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s