Terima hakikat Islam agama rasmi – PM

sumber Utusan Malaysia

PUTRAJAYA 11 Mei – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, semua pihak harus menerima hakikat tentang kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara yang tidak boleh diubah dalam apa jua keadaan.

Perdana Menteri justeru meminta semua pihak tidak berasa bimbang dan gundah-gulana dalam isu Kristian baru-baru ini kerana peruntukan Perlembagaan Persekutuan menjamin status agama suci itu.

Beliau memberitahu hasil pertemuan selama sejam dengan para pemimpin dan cendekiawan Islam di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini, turut sepakat yang semua pihak harus membendung emosi daripada membuat apa jua perkara yang boleh menggugat keamanan, keharmonian dan kesejahteraan negara.

“Ini kerana hakikat dan realitinya, kita mempunyai Perlembagaan negara dan peruntukan Perlembagaan amat jelas tentang kedudukan Islam dan agama-agama lain dan dalam apa jua keadaan, Perlembagaan negara tidak boleh dipinda.

“Oleh itu semua pihak tidaklah seharusnya berasa bimbang, gundah-gulana dan gelisah tentang hal ini,” kata beliau kepada pemberita.

Beliau mengulas laporan mengenai pertemuan paderi dari seluruh negara di Pulau Pinang yang antara lain didakwa membawa agenda menjadikan Kristian sebagai agama rasmi Persekutuan.

Antara pemimpin dan cendekiawan Islam yang hadir ialah Mufti Negeri Perak, Tan Sri Harussani Zakaria; Pengerusi Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor dan Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Abdul Shukor Husin.

Menurut Perdana Menteri, para pemimpin Islam sependapat bahawa kerajaan mesti memberi satu jaminan kepada rakyat untuk menangani isu Kristian itu dengan penuh bijaksana tanpa membiarkan ia merosakkan segala apa yang telah dibina sekian lama di negara ini.

“Ini terutama sekali keharmonian antara agama dalam negara yang banyak (pihak) merasakan ia contoh model sebuah negara yang boleh dibanggakan, ” katanya.

Ditanya sekiranya masih ada pihak cuba mengeksploitasi isu Kristian itu, Perdana Menteri berkata: “Kalau mereka nak buat apa pun, dia tidak akan dapat mengubah hakikatnya (Islam agama rasmi)…realitinya tidak boleh diubah.

“Tapi kalau ada pihak yang mengeksploitasi isu ini sehingga boleh menjejaskan keharmonian negara ini, pihak berkuasa boleh mengambil tindakan ke atas mereka. Kita tidak mahu sebarang tindakan yang dilakukan oleh mana-mana pihak yang melanggar peraturan dan undang-undang negara sebab yang paling penting adalah keharmonian dan keamanan negara kita.”

Mengenai saranan para pemimpin Islam dalam isu itu, Najib berkata, mereka mahu rakyat menolak fahaman yang keterlaluan dan ekstrem oleh mana-mana pihak.

“Memang saya ada berjumpa dengan pemimpin Islam dari semasa ke semasa tetapi dalam keadaan yang berlaku ini amat penting saya berjumpa dengan kumpulan ini untuk sekali lagi kita bincangkan isu ini.

“Kita tak cakap soal politik, yang penting untuk kita tentukan soal prinsip dan pokoknya,” kata Perdana Menteri.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s