Tuntutan hak eksklusif Islam

TIAP-TIAP kumpulan agama berhak menguruskan hal ehwal agamanya sendiri. Itu janji yang sudah termeteri di bawah Artikel 11(3)(a) Perlembagaan Persekutuan yang terjamin dan tidak boleh diganggu-gugat.

Sayang sekali, peruntukan yang sedia ada itu tidak dipergunakan sebaik-baik mungkin sehingga merugikan agama itu sendiri khususnya agama Islam.

Dalam konteks ini, peguam bela, peguam cara dan juga peguam syarie berpengalaman, DATUK ZAINUL RIJAL ABU BAKAR memberitahu wartawan Utusan Malaysia NORAZLITA MOHD. SIES di pejabat beliau di Subang Jaya, Selangor baru-baru ini bahawa pada masa sekarang orang Islam tidak secara eksklusif boleh mentadbir agama mereka sendiri apabila Jemaah Menteri bukan Islam, Ahli Parlimen bukan Islam, Ahli Dewan Negara dan Dewan Rakyat turut mengambil bahagian dalam perbahasan menyentuh kemurnian agama tersebut.

Malah terdapat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan yang bukan Islam turut mempertikai Undang-Undang Islam yang dibentangkan.

Bertitik tolak daripada kesedaran itu, Zainul Rijal yang juga Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) terpanggil untuk mengemukakan satu memorandum dalam masa terdekat bagi ‘menuntut’ hak tersebut.

UTUSAN: Apa sebenarnya idea yang hendak disampaikan oleh PPMM kepada peringkat tertinggi negara?

ZAINUL RIJAL: PPMM mahu mencadangkan supaya mekanisme membuat undang-undang ini ditukar cara pembikinannya kerana kerangka yang ada sekarang ini sudah tidak sesuai lagi untuk menggubal undang-undang berkaitan Islam. Pada masa sekarang semua undang-undang yang digubal dibincangkan oleh Jemaah Menteri dan dibahaskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara sebelum perkenan diberikan untuk dijadikan undang-undang yang berkuat kuasa. PPMM mengesyorkan agar mekanisme ini diubah tanpa perlu meminda Perlembagaan Persekutuan.

Boleh jelaskan apakah kesan daripada cadangan ini seandainya ia diterima dan diluluskan?

PPMM mencadangkan draf undang-undang (rang undang-undang) khusus tentang agama Islam yang didraf oleh Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Sivil/Syarak Jakim kemudian dimajukan kepada Jabatan Peguam Negara untuk gubalan. Setelah itu ia akan dibawa kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI), kemudian akan dibawa kepada Majlis Raja-Raja untuk mendapatkan perkenan.

Seterusnya ia akan hanya dipanjangkan kepada Jemaah Menteri untuk disahkan tanpa perlu dibahaskan kerana ia sudah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong. Begitu juga apabila dibentangkan untuk bacaan pertama dan kedua tidak perlu juga dibahaskan kerana ia telah mendapat perkenan Majlis Raja-Raja.

Perbezaannya adalah perkenan Majlis Raja-Raja atau Yang di-Pertuan Agong ini diperoleh terlebih dahulu sebelum perkara ini dibawa ke Jemaah Menteri dan Parlimen. Ia bertujuan mengelakkan perbahasan tentang Rang Undang-Undang Islam oleh orang bukan Islam termasuklah oleh orang Islam yang tidak mempunyai keilmuan dalam undang-undang Islam.

Dengan cara ini, orang bukan Islam tidak boleh lagi mencampuri urusan agama Islam dan orang Islam dapat mentadbir agamanya mengikut acuan Islam itu sendiri. Ia memberi kesan kepada Perkara 11(3) untuk orang Islam mentadbir agamanya secara eksklusif, terlaksana. Perkara ini mungkin akan dikaji tetapi saya sudah melihat dan bercakap dengan ramai peguam dan pensyarah undang-undang, mungkin ia boleh kita jadikan sebagai satu realiti.

Dalam konteks ini juga ia menggambarkan bidang kuasa agama dapat dikeluarkan dan bebas daripada campur tangan pihak-pihak tertentu atas dasar kepentingan politik masing-masing ataupun kedangkalan ilmu Islam itu sendiri. Ini kerana apabila undang-undang itu dibuat ia terus dibentangkan kepada Majlis Raja-Raja.

Bukan niat menidakkan peranan ahli politik bukan Islam dalam perkara ini namun apa kewajarannya bagi mereka untuk mencampuri urusan agama dan undang-undang dan fatwa ini. PPMM juga mengesyorkan agar mufti berurusan terus dengan Majlis Raja-Raja dan tidak tertakluk kepada arahan pihak kerajaan.

Perkara ini penting kerana pada masa ini sudah berlaku pencabulan terhadap kemuliaan institusi mufti ini. Terdapat sebuah negeri di utara yang mensyaratkan sesuatu fatwa sebelum disemak hendaklah mendapat persetujuan Exco atau pimpinan negeri. Malah terdapat Exco agama yang menulis kepada mufti mempertikaikan fatwa mufti kerana tidak selari dengan pandangan kerajaan.

Selain mengekang ahli politik, siapakah lagi yang PPMM sasarkan dalam memorandum ini?

Majlis Agama Islam dan Jabatan Agama Islam yang melaksanakan polisi Majlis Agama Islam juga sepatutnya diletakkan terus di bawah Sultan masing-masing dan bukannya tertakluk di bawah Exco agama. Ia mungkin satu cadangan yang drastik tetapi mempunyai asas dari segi undang-undang dan perlembagaan kerana kita tidak mahu lagi isu agama Islam dipertikaikan.

Mufti juga sepatutnya bebas daripada elemen-elemen politik dan tidak boleh diletakkan di bawah jabatan serta perlu menasihati kerajaan. Ada negeri-negeri yang meletakkan mufti ini sebahagian daripada Exco dan terdapat kebaikan serta keburukan apabila mufti menjadi Exco.

Baiknya adalah mufti boleh menasihati dalam jawatankuasa Exco itu tetapi persepsi negatif timbul apabila kerajaan meluluskan satu peruntukan yang bertentangan dengan agama Islam dan mufti akan dilihat sebagai salah seorang dalam jawatankuasa itu dan seolah-olah sebahagian daripada pembuat dasar.

Sehubungan itu, saya melihat lebih baik mufti dibawa keluar daripada jawatankuasa Exco itu sendiri dan mufti boleh bebas menasihati, membuat teguran kepada kerajaan.

Dalam hal ehwal Islam, mufti sepatutnya lebih proaktif, peka dan lebih bebas berbanding berada dalam Exco sendiri yang akan tertakluk kepada pelbagai syarat serta protokol dan ini yang menjadi masalah kepada PPMM yang mahu satu undang-undang dibuat bagi membebaskan mufti daripada kongkongan politik sebaliknya terus kepada Raja-Raja Melayu untuk menasihati dan membuat teguran.

Apakah mesej yang hendak disampaikan oleh PPMM di sebalik langkah drastik ini?

PPMM tidak mengatakan atau mengehadkan campur tangan golongan tertentu terhadap agama Islam semata-mata tetapi ia secara menyeluruh. Dengan kata lain, PPMM juga tidak mahu pihak tertentu turut mencampuri urusan agama lain misalnya Kristian, Buddha dan Hindu kerana tidak mengetahui hal agama tersebut selain perlu menghormati fahaman agama mereka.

Tetapi perkara sebaliknya berlaku kerana apabila perbahasan yang melanggar hukum syarak seperti yang berlaku terhadap Undang-Undang Keluarga Islam yang berlangsung di Parlimen beberapa tahun yang lalu, ahli-ahli Dewan Negara yang bukan Islam turut serta dalam perbahasan dengan melabelkan undang-undang Islam zalim dan menindas serta tidak memihak kepada wanita.

Ini perkara yang tidak seharusnya terjadi kerana Perkara 11(3) menyatakan Islam itu ditadbir oleh golongan daripada agama itu sendiri dan yang lain tidak boleh masuk campur. Oleh itu untuk mengelak perkara ini berlaku, saya mencadangkan supaya rang undang-undang terus mendapat perkenan daripada Tuanku kemudian baru disahkan oleh Jemaah Menteri dan juga Parlimen tanpa perlu dibahas memandangkan ia sudah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong yang merupakan Ketua Agama.

Amatlah tidak dapat diterima sekiranya sesuatu rang undang-undang yang telah diperkenan itu dibahas dan ditolak oleh Jemaah Menteri ataupun Parlimen.

Itu antara prinsip yang akan PPMM ketengahkan dan cadangkan kepada kerajaan supaya satu perubahan drastik dapat dilakukan. PPMM akan membuat memorandum untuk dihantar kepada kerajaan dan Majlis Raja-Raja yang menyentuh pelbagai isu antaranya mengenai kalimah Allah dan Bible (Injil) Melayu.

Ramai yang mempersoalkan undang-undang Islam mengenai enakmen kawalan perkembangan agama dan sebagainya. Ia tidak seharusnya dipersoal oleh bukan Islam kerana akan terjumlah kepada mencampuri urusan orang Islam sendiri. Misalnya mufti membuat suatu kenyataan ataupun Mahkamah Syariah menjatuhkan hukuman sebat ke atas wanita, semua orang hendak berikan komen dan ramai ‘berlagak’ seperti mufti.

Untuk menghalang perkara ini daripada berterusan, PPMM juga mencadangkan status mufti, Majlis Agama Islam diletakkan di tempat yang sewajarnya dan Mahkamah Syariah diletakkan sama tarafnya dengan Mahkamah Sivil dari segi bidang kuasa, gaji, strukturnya perlu sama.

Dengan cara ini kita baru dapat lihat bahawa undang-undang syariah boleh dilaksanakan dan tiada campur tangan daripada pihak lain yang menghina, mempertikai serta memperkecilkan undang-undang syariah itu sendiri.

Ingin saya tegaskan jika dilihat Jadual Keempat Perlembagaan Persekutuan, mengenai sumpah Yang di-Pertuan Agong yang berikrar mengaku taat setia menjalankan dengan adilnya pemerintahan bagi Malaysia mengikut undang-undang dan perlembagaan negeri serta pada setiap masa akan memelihara agama Islam dan berdiri tetap di atas pemerintahan yang adil dan aman dalam negeri.

Sumpah ini bukan untuk dekorasi tetapi ada kesan dan mesejnya. Apabila Yang di-Pertuan Agong bersumpah akan memelihara Islam setiap masa, Baginda akan dinasihati oleh Perdana Menteri dan kerajaan yang mempunyai tanggungjawab berperlembagaan untuk menzahirkan sumpah Yang di-Pertuan Agong ini. Sumpah ini mempunyai implikasi yang amat besar terhadap perundangan Islam di negeri. Malangnya ramai yang tidak mengetahui akan kewujudan sumpah ini.

Jadi tidak boleh kita terima surat daripada kerajaan, di luar sampulnya tertera Urusan Seri Paduka Baginda (yang telah bersumpah memelihara Islam pada setiap masa) tetapi isi kandungannya melawan Islam pula. Walaupun di pihak kerajaan, orang itu bukan Islam namun beliau perlu melaksanakan sumpah Yang di-Pertuan Agong untuk memelihara Islam.

Ini perlu kita jelaskan kerana sesetengah orang kata tidak perlu melaksanakannya sebab kita ada Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua yang perlu memelihara Islam pada setiap masa.

Apabila sumpah itu wujud, kerajaan sepatutnya melihat tanggungjawab berperlembagaan ini untuk melaksanakan Islam dan tidak boleh campur tangan, tidak boleh mengabaikan Islam sebab banyak perkara dalam perlembagaan ini yang ramai kurang arif, sepatutnya undang-undang berkaitan Islam jika hendak dipinda pun perlu mendapat perkenan Majlis Raja-Raja sebelum hasrat itu dizahirkan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s