sumber: Utusan Malaysia
IPOH 16 Mei – Majlis Ulama Indonesia (MUI) menetapkan fatwa yang mengharamkan fahaman pluralisme dan liberalisme agama kerana ia bertentangan dengan ajaran agama Islam.
Setiausaha MUI, Drs. Mohammad Ichwan Sam berkata, fahaman tersebut haram diikuti oleh umat Islam kerana ia mencampuradukkan akidah dan ibadah umat Islam dengan fahaman dan ibadat agama lain.
“Adanya fatwa MUI tersebut, tidak bermaksud mengekang dan membatasi pergaulan sosial umat Islam dengan agama lain.
“Apalagi untuk merosakkan hubungan dan menimbulkan ketegangan serta rusuhan antara agama,” katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Liberalisme dan Pluralisme Menepati Atau Menyanggahi Akidah Ahli Sunah Wal Jamaah pada Muzakarah Ulama dan Cendekiawan Islam 2011, di sini hari ini.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.
Hadir sama, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun; Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.
Mohammad Ichwan berkata, MUI memandang serius fahaman itu kerana gerakan pembaharuan pemikiran Islam tersebut menyalahgunakan dan mentafsirkan al-Quran mengikut pemikiran Barat yang tidak sempurna berbanding fahaman Islam yang sebenar.
Sehubungan itu, MUI mencadangkan umat Islam supaya mendalami ajaran Islam, memberi pendidikan kepada anak-anak dan keluarga agar masyarakat bebas daripada fahaman yang boleh menyesatkan Islam.