Pembela: Individu tiada kuasa tak layak lancar perang jihad

Pembela: Individu tiada kuasa tak layak lancar perang jihad

Oleh Syed Mu’az Syed Putra (Malaysian Insiders)
May 18, 2011

KUALA LUMPUR, 18 Mei — Sementara kontroversi kenyataan ‘perang jihad’ disuarakan Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali masih hangat diperbahaskan, Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela) menegaskan, tiada individu yang layak untuk “melahirkan seruan jihad atau syahid” tanpa kuasa yang sah.

Justeru tegas Pengerusi Pembela Dr Yusri Mohamad, hanya pemimpin yang mempunyai kuasa rasmi dalam sesebuah negara Islam sahaja yang boleh bertindak demikian.

Oleh itu tambah beliau, tindakan mengeluarkan seruan jihad dan syahid boleh menimbulkan tanggapan salah terhadap Islam dan penganutnya.

“Hakikatnya, walaupun jihad dan syahid adalah prinsip-prinsip yang termaktub dalam agama Islam, prinsip-prinsip ini tertakluk rapi dengan syarat-syarat dan batasan syariat.

“Ia tidak boleh diisytiharkan dan ditentukan oleh mana-mana individu kecuali pemimpin yang mempunyai kuasa rasmi dalam sesebuah negara Islam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tegas Yusri, sikap ekstrim terhadap agama harus dielakkan sebaliknya ditangani perkara itu itu dengan sebaik mungkin.

“Pembela juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengajak semua pihak agar mengelakkan sikap ekstrim dalam menangani isu-isu berkaitan agama di negara kita.

“Ini termasuklah mengelakkan daripada mengeluarkan seruan jihad dan syahid kerana ia boleh di salah faham dan menimbulkan tanggapan yang salah terhadap Islam,” katanya.

Dalam ceramahnya akhir minggu lalu, Ibrahim memberi amaran kepada komuniti Kristian bahawa beliau akan melancarkan “perang jihad” jika mereka meneruskan agenda mahu merampas kedudukan Islam negara ini.

Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas itu berkata, beliau bersedia untuk jatuh atas kenyataannya itu demi mempertahankan maruah Islam.

Bagaimanapun beberapa pemimpin dari Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat membantah tegas terhadap kenyataan tersebut dan meminta agar tindakan dikenakan terhadap Ibrahim.

Selain itu Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein pula berkata, apa yang dikatakan Ibrahim itu tidak mewakili keseluruhan masyarakat Melayu.

Pertikaian antara agama Islam dan Kristian timbul apabila Utusan Malaysia menyiarkan laporan bertajuk “Kristian agama rasmi?” pada 7 Mei lalu, mendakwa wujudnya perbincangan untuk menjadikan Kristian sebagai agama rasmi negara, sekali gus melantik perdana menteri dari kalangan penganut itu.

Akhbar milik Umno itu juga mendakwa ada konspirasi mahu menjadikan Kristian sebagai agama rasmi, usaha didakwa disokong oleh pemimpin-pemimpin DAP.

Bagaimanapun pemimpin DAP dan pemimpin Kristian telah menafikannya.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan semalam, Ibrahim mempertahankan kenyataannya tempoh hari atas alasan ia pandangan peribadi dan sekadar peringatan.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, Yusri berkata, kegagalan kerajaan bersikap tegas dan terlalu melayan tuntutan penganut agama lain adalah faktor yang menyebabkan kedudukan Islam semakin tercabar.

“Pembela merasakan bahawa kegagalan bertegas dan sikap terlalu melayan tuntutan dan dakwaan sesetengah pihak yang bercanggah dengan kedudukan istimewa agama Islam sebagai agama Persekutuan adalah menjadi antara faktor yang menggalakkan lagi sikap dan tuntutan seumpama itu.

“Misalnya, ada yang mengaku akur dengan Perkara 3(1) yang memperuntukkan Islam sebagai agama persekutuan tetapi tidak henti-henti cuba menuntut kedudukan yang sama tinggi bagi agama-agama lain. Sering pula tuntutan ini dibuat dengan cara yang kasar dan dengan pendekatan konfrontasi yang menunjukkan sikap tidak hormat dengan falfasah peruntukan ini,” katanya.

Justeru kata beliau, pihaknya memberikan sokongan penuh terhadap titah Sultan Perak Sultan Azlan Shah yang mengingatkan agar tindakan tegas wajar diambil kepada mana-mana pihak yang mempertikaikan kedudukan Islam dan bidang kuasa Raja-raja Melayu.

“Pembela juga amat mengalu-alukan teguran Baginda bahawa falsafah tersirat di sebalik peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan perlu dihormati dan bukan sekadar memperakui apa yang tersirat.

“Ini adalah kerana Pembela memperhatikan bahawa ada kecenderungan sesetengah pihak untuk akur kepada peruntukan yang tersurat tetapi sering disusuli sikap dan perbuatan yang bercanggah dengan semangat peruntukan Perlembagaan yang terbabit,” katanya.

Kelmarin Sultan Azlan Shah bertitah status agama Islam dan bidang kuasa Raja dalam hal ehwal Islam tidak boleh sama sekali dipertikaikan.

Titah baginda, sebarang pengucapan yang mempertikaikan perkara itu perlu ditangani secara tegas dan pantas kerana kerukunan hubungan di kalangan warga pelbagai agama boleh terjejas.

Teks penuh kenyataan media: Media Release 18May2011 – Sokong Titah Sultan Perak

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s