Kenyataan Media PEMBELA 29 Ogos 2012

 

KENYATAAN MEDIA

PERTUBUHAN-PERTUBUHAN PEMBELA ISLAM (PEMBELA)

29 Ogos 2012 bersamaan 11 Syawal 1433

  1. PEMBELA mengulangi penegasan bahawa pertubuhan-pertubuhan Islam yang diwakilinya tidak berminat dengan persaingan mendapatkan sokongan melalui politik kepartian. PEMBELA juga tidak terpengaruh dengan sebarang sikap dan tindakan partisan para pemimpin Negara, sama ada di pihak kerajaan ataupun di pihak pembangkang yang ghairah memperjuangkan dasar dan manifesto masing-masing, khususnya di dalam mengemudi kehangatan bahang Pilihanraya Umum ke-13.
  1. Tetapi, PEMBELA tidak akan berdiam diri mahupun berkompromi apabila persoalan kedaulatan Islam disentuh dan dijadikan modal percakaran di kalangan parti-parti politik.
  1. Umat Islam menjadi semakin gusar, khususnya apabila saban hari menyaksikan kebiadaban para pemimpin politik yang secara terang-terangan menghina Islam bukan sahaja disebabkan kejahilan mereka, tetapi provokasi yang disengajakan untuk mendapat publisiti murahan dan meraih keuntungan politik yang bersifat sementara.
  1. PEMBELA bertegas bahawa sikap dan tindakan sebegini adalah sangat tidak bertanggungjawab, kerana melanggar keluhuran Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam sebagai agama Negara melalui Perkara 3 (1). Kenyataan-kenyataan yang biadab sebegini harus segera dihentikan dan ditarik semula.
  1. Kedua-dua Yang Berhormat Karpal Singh a/l Ram Singh, selaku Pengerusi DAP dan Yang Berhormat Donald Lim Siang Chai, selaku Pengerusi MCA Negeri Selangor merangkap Timbalan Menteri Kewangan I, serta lain-lain pemimpin politik di setiap lapisan, wajib menghentikan kenyataan-kenyataan yang tidak bertanggungjawab mengenai Islam di Negara ini.
  1. YB Karpal Singh bersungguh-sungguh memperjuangkan konsep Negara sekular dan ini menggambarkan kejahilan beliau yang melampau tentang peranan Islam yang telah membina masyarakat Islam yang baik di Negara ini hatta sejak sebelum Perlembagaan Persekutuan hadir di dalam sejarah penubuhan Negara. Prinsip-prinsip ideal dan sumbangan Islam dalam membina individu Muslim yang baik telah menyumbang kearah pembinaan masyarakat Malaysia yang mantap, sejahtera dan harmoni. Mengapa YB Karpal Singh beria-ia memperjuangkan konsep Negara sekular, yang jelas rapuh, bermasalah dan telah terbukti menghancurkan tamadun lain di dunia, khususnya Negara-negara barat?
  1. Kenyataan YB Donald Lim yang ingin menghalang sebuah Negara Islam pula bersifat pramatang, menghasut serta mencerminkan sikap tidak bertanggungjawab di dalam menjaga sensitiviti terhadap umat Islam yang menjalankan kehidupan beragama mengikut lunas dan ruang lingkup Perlembagaan Persekutuan. Khususnya bagi seseorang yang berstatus menteri kabinet Kerajaan Persekutuan, kenyataan tersebut menggambarkan kejahilan beliau tentang kedudukan Islam sebagai agama Negara, hakikat perlindungan terhadap agama-agama lain dan sumpah Yang DiPertuan Agong bagi memelihara dan mempertahankan kemuliaan Islam yang jelas termaktub pada perkara 37(1), Jadual Keempat Perlembagaan Persekutuan.
  1. Adalah sangat malang bahawa YB Karpal Singh dan YB Donald Lim, mahupun mana-mana pihak yang sealiran dengan mereka membiarkan pemikiran dipengaruhi unsur-unsur stereotaip dan label media-massa musuh-musuh Islam di dalam membuat kenyataan-kenyataan mengenai Islam, yang jelas tidak berwibawa dan berprasangka jahat terhadap Islam. Malah, ramai di kalangan pemimpin Muslim sendiri tidak membantu menjernihkan kekeliruan ini, tetapi sebaliknya menambah-kusut kecelaruan mereka disebabkan sikap prasangka buruk, hasad dengki dan taasub kepartian mahupun individu, lantas membuat kenyataan-kenyataan yang mengesahkan kejahilan mereka tentang kedudukan Islam di Malaysia.
  1. PEMBELA menegaskan kepada para pemimpin politik khususnya, bahawa sebarang pendekatan yang boleh memprejudis kedaulatan agama Islam sebagai agama Negara boleh menghakis prinsip “Kesetiaan kepada Raja Negara” dan prinsip “Keluhuran Perlembagaan” yang menghilangkan kelayakan untuk menyertai proses pemerintahan Negara.

Justeru dalam menangani masalah yang timbul dari sikap sebegini, PEMBELA dengan ini:

1. Bersepakat dengan pertubuhan-pertubuhan Islam untuk membuat aduan polis terhadap kedua-dua YB Karpal Singh dan YB Donald Lim, serta mendesak pihak berkuasa melakukan penyiasatan kenyataan-kenyataan mereka di bawah Akta Hasutan 1948 dan peruntukan undang-undang yang relevan, serta mengambil tindakan-tindakan yang perlu mengikut saluran sedia wujud;

2. Menyeru agar semua pertubuhan-pertubuhan Islam di Negara ini menyertai PEMBELA dan rakan-rakan pertubuhan Islam lain di dalam menzahirkan kegusaran dan bantahan terhadap sikap tidak bertanggungjawab para pemimpin politik Muslim dan non-Muslim, tidak kira di pihak kerajaan mahupun pembangkang, yang membuat kenyataan-kenyataan jahat dan tidak adil mengenai Islam di Malaysia;

3. Memohon persefahaman dan kerjasama utuh dengan Majlis-majlis Agama Islam Negeri dalam usaha melaksanakan hasil percambahan fikiran strategik dari masa ke semasa, demi mengurangkan pergeseran di kalangan umat Islam dan mendepani salah faham tanggapan terhadap kedudukan Islam di Negara ini di kalangan Muslim dan non-Muslim;

4. Menyeru umat Islam terus mengekalkan iktibar dan didikan bulan Ramadhan yang baru sahaja berlalu, di dalam bermunajat kepada Allah SWT supaya diberikan taufiq dan hidayahNya untuk mengukuhkan kesatuan hati dan menghadapi mehnah kecelaruan pemikiran di kalangan masyarakat yang menyebabkan Islam terus-menerus diserang dan diganggu-gugat anasir-anasir daripada kalangan non-Muslim dan Muslim sendiri.

PEMBELA ingin menegaskan bahawa seruan dan tindakan kami hendaklah dilihat sebagai usaha mengekalkan keharmonian beragama di kalangan masyarakat Malaysia. Dengan menyanggah kenyataan-kenyataan tidak bertanggungjawab para pemimpin politik, PEMBELA sebenarnya mengembalikan citra dan keizzahan jati diri Islam sebagai agama Negara, yang telah dimomokkan dan diganggu-gugat persaingan politik partisan yang tidak bertanggungjawab.

Sambutan dan iktibar ulang tahun kemerdekaan ke 55 tanahair ini tidak akan bermakna sekiranya kekuatan Islam yang diibaratkan Mahkamah Tinggi sebagai “pohon jati”, dan tidak dipersoalkan sehingga ke Mahkamah Persekutuan, tetapi diremehkan dan diberikan kedudukan yang tidak adil di sisi Perlembagaan Persekutuan yang disanjung seluruh warganegara Malaysia.

Bagi pihak PEMBELA

Hj. Aminuddin Yahya

Pengerusi

Pertubuhan-pertubuhan yang bersama menyokong kenyataan PEMBELA – Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT), Pertubuhan Jalur Tiga (JATI), Pertubuhan Profesional Muslim dan Ukuwwah Ummah (PROMUSLIM), Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA), Institut Kajian Islam dan Strategik (ISSI), Persatuan Ulama Malaysia -Pulau Pinang, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Institut Pemikiran Tradisional Islam (IPTI), Jamiyah Dakwatul Islamiyah atau Persekutuan Islam (JAMIYAH), Persatuan Ulamak Malaysia (PUM) Cawangan Pulau Pinang, Angkatan Bertindak Banteras Islam Liberal (ABABIL), Pertubuhan Menanggani Gejala Sosial (UNGGAS), Persatuan Kebajikan Aman Pattani Malaysia (AMANI), Persatuan Kebangsaan Pelajar-pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

Sekretariat PEMBELA

d/a Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT)

25 Jalan Bandar 3

Taman Melawati

53100 Kuala Lumpur

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s