PEMBELA: Mensyukuri Keputusan 22 Ogos, Bersedia Menghadapi 10 September

Logo PEMBELA baru

Kenyataan Media Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA)

23 Ogos 2013

Mensyukuri Keputusan 22 Ogos, Bersedia Menghadapi 10 September

Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) yang merupakan antara gabungan pertubuhan-pertubuhan Islam utama di Malaysia ingin merakamkan setinggi kesyukuran ke hadrat Allah dan mengalu-alukan keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes nama suci Allah SWT semalam. Mahkamah telah menolak permohonan pihak Archbishop Roman Katolik Kuala Lumpur yang cuba untuk mengenepikan rayuan pihak Kerajaan, Majlis-majlis Agama Islam dan NGO Islam terhadap keputusan Hakim Mahkamah Tinggi sebelum ini yang membenarkan penggunaan nama suci Allah SWT oleh orang bukan Islam.

PEMBELA amat bersetuju dengan pandangan Mahkamah Rayuan yang menyifatkan bahawa tindakan pihak Archbishop Roman Katolik Kuala Lumpur cuba mengenepikan proses rayuan dalam kes ini sebagai suatu yang drastik dan berupa penafian terhadap hak perayu untuk membuat rayuan. Mahkamah juga menegaskan bahawa persoalan dalam kes ini masih belum selesai dan bukan hanya isu akademik. PEMBELA merasakan bahawa dari awal lagi sepatutnya pihak Archbishop Roman Katolik Kuala Lumpur tidak cuba mengenepikan proses rayuan dan sebaliknya bersedia berlawan hujah di peringkat rayuan. Percubaan ini sedikit sebanyak menunjukkan sikap angkuh dan tidak sensitif mereka terhadap perasaan umat Islam, seolah-olah isu yang begitu besar ini boleh diketepikan dengan alasan yang bersifat sampingan dan teknikal.

PEMBELA juga ingin menarik perhatian terhadap laporan berita pasca keputusan yang mengelirukan dan tidak jujur oleh portal berita Kristian Katolik, Asianews bertajuk “Authorities again stop Catholics from using the word Allah” yang dimuat naik semalam. http://www.asianews.it/news-en/Authorities-again-stop-Catholics-from-using-the-word-Allah-28808.html Tajuk makalah tersebut memberi gambaran buruk seolah-olah Kerajaanlah yang membuat keputusan sedangkan ianya adalah keputusan badan kehakiman yang bebas dan terpisah daripada cabang eksekutif kerajaan. Dalam capaian yang terdapat dalam makalah yang sama, terdapat juga tuduhan bahawa Kerajaan Malaysia terpaksa membuat rayuan setelah kalah di Mahkamah Tinggi hanya kerana tekanan daripada kumpulan-kumpulan ‘ekstremis Islam’. PEMBELA menegaskan bahawa pendirian mempertahankan nama suci Allah SWT daripada disalah-gunakan adalah pendirian arus perdana umat Islam Malaysia. Oleh itu, pihak Majlis-majlis Agama Negeri-negeri serta NGO-NGO Islam yang diwakili oleh MACMA telah berusaha mencelah sebagai perayu-perayu tambahan selain daripada kerajaan Malaysia sendiri. Adalah sangat menyesatkan jika hendak dituduh bahawa Majlis-majlis Agama Negeri-negeri dan NGO-NGO Islam arus perdana sebagai kumpulan-kumpulan ekstrimis.

PEMBELA juga ingin merakamkan kegusaran dan perasaan tidak senang kami dengan kehadiran wakil kedutaan Amerika Syarikat ke perbicaraan tersebut. Kami tidak dapat menemukan alasan yang kuat kenapa mereka perlu terlibat sampai ke tahap itu dalam isu ini. Kehadiran mereka sebenarnya lebih banyak menimbulkan persepsi negatif dan mengukuhkan tanggapan kecenderungan pihak-pihak luar untuk campur tangan dalam hal-ehwal dalaman Negara-negara umat Islam.

Akhirnya PEMBELA ingin merakamkan tahniah dan penghargaan kepada semua pihak yang mewakili umat Islam dalam kes ini serta barisan peguam yang mewakili mereka. Begitu juga kepada semua pimpinan, wakil NGO serta umat Islam yang bersama-sama hadir atau mengikuti secara tekun usaha mempertahankan nama suci Allah SWT ini. Semoga Allah Subhanahu wata`ala sentiasa memelihara keutuhan agama, bangsa dan negara di tanah air yang kita cintai ini.

Dr. Yusri bin Mohamad                                                      

Pengerusi PEMBELA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s