Islam di Gelanggang Mahkamah: Kes Nama Suci Allah dan Kes Buku Irshad Manji yang Menghina Islam

Kenyataan Media

Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA)

Logo PEMBELA baru

7 September 2013

 

 Islam di Gelanggang Mahkamah:

Kes Nama Suci Allah dan Kes Buku Irshad Manji yang Menghina Islam

 

 

Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) yang merupakan antara gabungan pertubuhan-pertubuhan Islam utama di Malaysia ingin menarik perhatian Umat Islam di negara kita terhadap perbicaraan rayuan kes Nama Suci Allah SWT yang akan bermula pada hari Selasa, 10hb Oktober 2013 ini. Ini merupakan perbicaraan rayuan penuh dan sebenar selepas percubaan pihak Archbishop Roman Katolik Kuala Lumpur untuk mengenepikan rayuan ini telah ditolak oleh mahkamah pada 22hb Ogos lepas. Rayuan ini difailkan oleh pihak Kerajaan Malaysia, Majlis-majlis Agama Islam Negeri-negeri dan MACMA mewakili NGO2 Islam setelah keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Lau Bee Lan pada akhir tahun 2009, memihak kepada pihak Archbishop Roman Katolik Kuala Lumpur. Perbicaraan ini mungkin akan mengambil masa lebih daripada satu hari sebelum Mahkamah Rayuan yang biasanya bersidang dalam panel tiga orang hakim mengumumkan keputusannya.

Walaupun PEMBELA yakin dan sedar bahawa gelanggang mahkamah dan perundangan bukan satu-satunya medan yang menentukan kedudukan Islam di Negara kita, ia tetap merupakan di antara gelanggang yang terpenting dan bersifat penentu. Oleh itu PEMBELA menyeru seluruh Umat Islam di Malaysia khasnya untuk bermunajat ke hadrat Allah SWT, Yang Maha Penentu, Hakim dan Pembuat Keputusan sebenar dalam segenap sesuatu, untuk menentukan keputusan yang akan memelihara kedudukan Nama Suci Nya di Negara kita ini daripada dieksploitasi dan disalahgunakan. Walaupun hakikatnya tiada apa yang mampu dilakukan oleh mana-mana makhluk untuk memberi apa-apa kesan terhadap sesuatu tanpa izin Allah SWT, apatah lagi mencemari kesucian dan kemuliaan Allah SWT, kita dituntut secara zahir untuk memperjuangkan keagungan Allah SWT, kemuliaan NabiNya SAW dan ketinggian agamaNya di muka bumi ini. Peluang menyumbang sedikit sebanyak saham dalam perjuangan ini di tanah air sendiri adalah peluang yang tidak harus disia-siakan oleh mana-mana individu Muslim Mukmin.

Oleh itu PEMBELA menyeru seuruh Umat Islam untuk bermunajat ke hadrat Allah  melalui doa-doa dan solat-solat hajat sama ada bersendirian mahupun berjemaah untuk membuktikan kesungguhan kita bahawa kita tidak redha Nama Suci Allah SWT dieksploitasi dan disalahgunakan di Negara kita. Kita juga perlu bersama-sama mengingatkan saudara-saudara kita yang lain tentang isu ini agar munajat besar ini dikongsi oleh seramai mungkin Umat Islam. Satu lagi cara menunjukkan kesungguhan kita dalam isu ini adalah untuk hadir bersama-sama bermunajat dan memberi sokongan kepada pasukan peguam yang mewakili Umat Islam pada hari perbicaraan tersebut. PEMBELA menyeru dan menjemput umat Islam terutama wakil-wakil pertubuhan dan organisasi utama umat Islam untuk bersama-sama hadir mengikuti perbicaraan pada hari tersebut dalam semangat ikatan Tawhid dan ukhuwwah Islamiyyah Imaniyyah. InshaAllah, mereka yang hadir akan hadir secara aman dan tertib tanpa mengganggu dan menghalang urusan Mahkamah dan mereka yang berurusan di Mahkamah.

PEMBELA juga mengambil kesempatan ini untuk merakamkan rasa dukacita atas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam proses rayuan kehakiman yang difailkan oleh pihak penerbit buku terjemahan bahasa melayu oleh penulis kontroversi Irshad Manji. Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dua hari lepas telah membenarkan semakan dan membatalkan pengharaman oleh Menteri. Buku bertajuk “Allah, Kebebasan dan Cinta” dan penulisnya adalah jelas-jelas telah menghina dan mencemari kesucian Islam disamping boleh menimbulkan kekeliruan bagi mereka yang tidak punya asas agama Islam yang kukuh.

Sedarkah kita bahawa buku dan penulis ini telah mempromosi pandangan-pandangan yang terlampau menghina seperti menyatakan bahawa Nabi SAW telah memilih nama Allah SWT daripada nama salah satu berhala, Nabi SAW telah dipengaruhi syaitan ketika penerimaan wahyu, amalan gay dan lesbian tidak haram, boleh solat ikut cara sendiri dan lain-lain lagi fahaman sesat dan menghina Islam?

PEMBELA berpendapat, walaupun Mahkamah Tinggi telah membuat keputusan tersebut, pertimbangan utama keputusan tersebut lebih bersifat teknikal. Memahami keterbatasan yang ada dalam proses perbicaraan fakta kes, PEMBELA berpendapat, kalaupun belum ada bukti jelas bahawa buku tersebut telah mengancam ketenteraman awam tetapi jelas bahawa buku tersebut sangat berpotensi mencetuskan situasi tersebut. Dari segi polisi juga adalah tidak wajar bahawa kita menunggu tercetusnya gangguan terhadap ketenteraman awam barulah kita mengharamkan sesuatu yang berbahaya dan beracun seperti buku tersebut. Dari sudut hukum syarak dan peruntukan undang-undang negara termasuk Kanun Keseksaan, isi kandungan buku tersebut tetap haram dan perlu diharamkan. Perlu diingat bahawa masih terdapat dua kes lain di Mahkamah Shariah Selangor dan Wilayah Persekutuan terhadap pengedar dan penerbit buku ini dibawah Enakmen dan Akta Jenayah Syariah negeri-negeri ini. PEMBELA juga berpendapat mana-mana pihak yang menjual atau mengedarkan buku ini tetap melakukan kesalahan menyentuh sensitiviti beragama yang boleh menggugat ketenteraman awam di bawah Kanun Keseksaan . Jika mereka berdegil, mereka harus bersedia menghadapi tindakan undang-undang serta kemarahan Umat Islam yang cemburu dan prihatin terhadap agama mereka.

Semoga Allah Subhanahu wata`ala sentiasa memelihara keutuhan agama, bangsa dan negara di tanah air yang kita cintai ini.

Dr. Yusri bin Mohamad                                                      

Pengerusi PEMBELA

VERSI PDF: klik

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s