Isu dakwaan Kassim Ahmad menghina Islam – Jangan hina Islam dan intelektual umat

Kenyataan Media
Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA)

Isu dakwaan Kassim Ahmad menghina Islam – Jangan hina Islam dan intelektual umat
19 Februari 2014

Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) yang merupakan antara gabungan pertubuhan-pertubuhan Islam utama di Malaysia ingin menegaskan bahawa pihak-pihak yang tidak mempunyai kepakaran dalam ilmu Islam dan diiktiraf oleh badan-badan agama Islam di negara ini mestilah berhenti mengeluarkan kenyataan-kenyataan ‘cetek dan dangkal’ berkaitan Islam dan hukum-hakam. Tindakan tidak bertanggungjawab ini nyatanya mengundang polemik, kekeliruan dan perbahasan yang tidak diperlukan di dalam masyarakat Malaysia.

Dalam isu terbaru ketika “Seminar Pemikiran Kassim Ahmad” yang diadakan di Putrajaya baru-baru ini, Kassim Ahmad didakwa telah mengeluarkan beberapa kenyataan yang bersifat kontroversi. Di antaranya:
1. Islam di negara ini telah diselewengkan oleh “kasta paderi” yang dipanggil ulama.
2. Mempertikaikan kredibiliti Rasulullah s.a.w
3. Mempertikaikan rambut wanita sebagai sebahagian daripada aurat

Sekiranya dakwaan ini benar, PEMBELA beranggapan kenyataan tersebut telah dikeluarkan oleh seseorang yang cetek ilmu Islam dan keliru dengan agamanya sendiri. Barangkali, inilah kesan daripada pembelajaran agama tanpa melalui displin-displin serta cabang-cabang ilmu dalam Islam.

PEMBELA tidak ada masalah sekiranya Kassim Ahmad hendak berbicara tentang pengetahuannya dari sudut sastera mahupun falsafah. Namun, dalam bab Islam, beliau bukanlah seseorang yang diiktiraf sebagai layak dan berilmu. Oleh yang demikian, beliau tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang hanya akan mengelirukan umat Islam yang lemah pengetahuan agamanya.

Islam tidak menghalang umatnya untuk mengeluarkan pendapat, tetapi untuk ‘berfatwa’ ianya adalah hal yang berbeza.

Kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan ini juga secara tidak langsung telah menghina institusi ulama, cerdik pandai agama malahan majoriti umat Islam sendiri. Apakah Kassim Ahmad fikir umat Islam sejak beratus tahun begitu bodoh, tidak boleh berfikir dan dirinya sendiri begitu luar biasa pandai? Apa kredibiliti Kassim Ahmad? Hafaz Al-Quran dengan lengkap, mahir bahasa Arab kelas tinggi, mahir Asbabun Nuzul setiap inci ayat Al-Quran, mahir ilmu Usul Fiqh, tahu yang mana satu ayat Muhkamat atau Mutasyabihat, tahu yang mana satu ayat Makkiah dan yang mana satu ayat Madanniyah? Berapa ribu hadis yang dihafal oleh Kassim Ahmad lengkap dengan perawi-perawinya? Dan ijazah sanad apa yang dimilikinya?

Justeru itu, bagi membendung amalan menafsir agama ‘ikut suka hati’ yang semakin berleluasa ketika ini (dalam hal ini, kes melibatkan Kassim Ahmad), PEMBELA memohon agar Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dapat mengaturkan suatu dialog tertutup dengan kehadiran pakar-pakar dan alim ulama di mana kenyataan-kenyataan yang didakwa dibuat oleh Kassim Ahmad dapat diteliti untuk dijadikan sebagai asas pertuduhan. Seterusnya, Kassim Ahmad perlu didenda dan diperintah melalui proses pemulihan sebagaimana sepatutnya. Sekiranya ia gagal dipatuhi oleh Kassim Ahmad, tindakan lebih keras wajib diambil bagi mengelakkan mudharat dan kekeliruan lebih luar biasa di kalangan umat.

Akhir sekali, PEMBELA menyeru umat Islam seluruhnya untuk mengabaikan mana-mana kenyataan-kenyataan ‘cetek dan dangkal’ daripada pihak yang mendakwa kononnya mewakili Islam, tetapi tiada kredibiliti ilmu sewajarnya.

Dalam kes Kassim Ahmad, buku beliau “Hadis : Satu Penilaian Semula” sendiri telah difatwakan sebagai bercanggah dengan akidah Islam oleh Jawatankuasa Fatwa Majlis-Majlis Agama Islam Negeri Perak, Selangor, Pulau Pinang, Kelantan, Pahang, Terengganu, Melaka, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan.

Rujuklah kepada badan-badan agama Islam sedia ada yang diiktiraf. Sentiasalah kita beringat dengan pesan Rasulullah s.a.w, “Aku tinggalkan untuk kalian dua perkara. Kalian tidak akan sesat selama berpegangan dengannya, yakni Kitabullah (Al-Quran) dan sunnah Rasulullah s.a.w “ – Hadis Riwayat Muslim

 
Ustaz Mohamed Hafiz Mohamed Nordin
Pengerusi PEMBELA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s