Tuntutan-tuntutan kontroversi COMANGO sah ditolak oleh Kerajaan Malaysia

Kerajaan Malaysia kini telah sah menolak pelbagai tuntutan tidak munasabah Hak Asasi Manusia (berdasarkan syor-syor negara-negara anggota Majlis Hak Asasi Manusia) yang telah dituntut oleh COMANGO melalui proses UPR, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Walaubagaimanapun, syor-syor yang munasabah dalam usaha memperbaiki keadaan HAM di negara ini telah diterima oleh Kerajaan Malaysia. Secara keseluruhan, daripada sejumlah 232 syor-syor tersebut, 113 syor-syor diterima secara sepenuhnya sementara 21 syor secara prinsipnya diterima manakala 83 lagi telah ditolak. Pendirian-pendirian Malaysia ini telah dinyatakan semasa Sesi Penerimaan Muktamad pada 20 Mac 2014.

Serentak dengan keputusan ini, komitmen Malaysia terhadap usaha memperbaiki tahap dan keadaan Hak Asasi Manusia di negara ini, tanpa berkompromi dengan peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan realiti sejarah, agama dan budaya negara telah berjaya dibuktikan. Demikian pula maruah sebagai sebuah negara Islam contoh yang mengamalkan keserdehanaan, telah turut dipertahankan.

Di antara syor-syor yg ditolak termasuklah fasal-fasal berikut di dalam deraf laporan 24 Oktober 2013 semasa sesi UPR: 146.2, 146.3, 146.4, 146.8, 146.10, 146.12, 146.13, 146.15, 146.16, 146.17, 146.18, 146.19, 146.21, 146.25, 146.28, 146.99, 146.100, 146.101, 146.102-104, 146.129, 146.41-43, 146.145-146, 146.152, 146.156-159, 146.166-168, 146.174, 146.77, 146.203, 146.209, 146.210, 146.211, 146.225.

Kebanyakan syor-syor yang ditolak adalah tuntutan-tuntutan yang terkandung di dalam laporan yang dihantar Gabungan NGO Hak Asasi Manusia (COMANGO) bertarikh 11 Mac 2013 kepada sesi pusingan kedua UPR 24 Oktober 2013 yang lalu.

Di antara tuntutan-tuntutan yang telah dikemukakan COMANGO yang diklasifikasikan sebagai melanggar batas Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undang negara adalah gesaan memansuhkan atau meminda undang-undang yang mengharamkan perlakuan jenayah termasuklah aktiviti-aktiviti LGBT, gesaan menandatangani ICCPR, ICERD (mempersoalkan Perkara 153 berkenaan hak istimewa Bumiputera dan hak hak absah kaum lain). Artikel 18 ICCPR apabila dibaca bersama Artikel 18 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) adalah berkaitan hak kebebasan beragama, yang termasuk hak untuk meninggalkan agama atau murtad.

Malaysia juga, telah secara khusus menolak gesaan untuk mengkaji semula sistem undang-undang syariah, dengan menegaskan tiada konflik berkenaan kecekapan Mahkamah Sivil dan Syariah atas dasar keutuhan dan kejelasan pembahagian bidangkuasa menurut Perkara 121(1A) di dalam Perlembagaan Persekutuan (Syor 146.50).

Prinsip-prinsip dan pendirian yang dinyatakan oleh Kerajaan Malaysia ini sudah tentu disambut dengan penuh kesyukuran oleh umat Islam di Malaysia, khususnya di kalangan NGO Islam sendiri (termasuk PEMBELA) yang mengikuti rapat isu tuntutan COMANGO. Adalah menjadi harapan bahawa ketegasan ini akan berterusan kerana dalam tempoh 4 tahun mendatang, Malaysia dijangka bakal berdepan lagi proses yang sama.

Semoga Allah terus-terusan melindungi dan memberi rahmat kepada seluruh umat Islam di Malaysia.

Media PEMBELA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s