8 sebab mengapa RUU Harmoni harus diwaspadai kandungannya

Akta Hasutan 1948 [Akta no. 15] mempunyai latarbelakang sejarah dan alasan penggubalan yang signifikan di dalam usaha membina perpaduan dan keharmonian Negara. Undang-undang tersebut telah melindungi asas-asas Negara khususnya Perkara 153, Perkara 152, Perkara 181 dan Bahagian Ketiga Perlembagaan Persekutuan yang tidak boleh dipersoalkan sama sekali termasuk oleh ahli-ahli Parlimen. Pada waktu akta tersebut digubal, kesemua kaum di Negara ini telah bersepakat mengenai kepentingan kewujudannya. Perkara-perkara yang dilindungi Akta tersebut juga tidak boleh dipinda tanpa persetujuan Majlis Raja-raja.
Susulan pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB Nancy Shukri pada 30 Mei 2014 berkenaan hasrat kerajaan memperkenalkan akta baharu yang akan menggantikan Akta Hasutan 1948 tiga deraf rang undang-undang berkaitan iaitu Rang Undang-undang Harmoni Nasional (National Harmony Bill), Rang Undang-undang Perpaduan Nasional (National Unity Bill) dan Rang undang-undang Suruhanjaya Perpaduan dan Integrasi Nasional (National Unity and Integration Commission Bill) (selepas ini dirujuk sebagai RUU) telah dikemukakan dan kini sedang dikaji Pejabat Peguam Negara.

Selepas artikel ini ditulis, nama-nama RUU tersebut telah dipinda dan sekarang dikenali sebagai RUU Jenayah kebencian (Hate Crime) Kaum dan Agama, RUU Harmoni dan Rekonsiliasi dan RUU Suruhanjaya Harmoni dan Rekonsiliasi.

Pada hakikatnya, wujud beberapa asas kukuh yang menjadi sebab kebimbangan masyarakat Malaysia, khususnya umat Melayu-Islam, tentang beberapa aspek yang dicadangkan, sama ada dari sudut pemansuhan Akta Hasutan 1948, kandungan deraf RUU tersebut serta tujuan dan fungsi “Unfair Discrimination Tribunal” yang dinyatakan di dalam salah satu deraf RUU tersebut.

Berdasarkan pengamatan awal penulis, berikut digariskan secara ringkas 8 sebab mengapa RUU Harmoni tersebut perlu diwaspadai kandungannya dan tidak patut diterima sewenang-wenangnya:

 

PERTAMA
Hakikat bahawa penggubalan RUU yang sangat penting tidak dibincangkan dengan teliti dan dirujuk kepada pihak-pihak berkepentingan terlebih dahulu menimbulkan pertanyaan serius tentang motifnya. RUU tersebut melibatkan isu-isu berkaitan agama, perpaduan antara kaum dan sebagainya, namun demikian tidak disembahmaklum terlebih dahulu kepada Majlis Raja-raja. Deraf tersebut juga tidak dirujuk kepada Majlis-majlis Agama Islam Negeri dan tidak dibincangkan bersama Jawatankuasa Mempromosi Persefahaman dan Keharmonian Di antara Penganut Agama (JMPKPA) dan lain-lain badan berkepentingan. Sebaliknya, badan-badan yang kurang kredibiliti seperti Proham dan Global Movement of Moderates dibiarkan memonopoli perbincangan isi kandungan deraf RUU tersebut.

Malah, RUU tersebut yang disediakan Majlis Peguam, sebagai sebuah badan sekular, telah diserahkan terus kepada YB Nancy, lantas mengenepikan khususnya institusi-institusi keagamaan yang bakal terjejas secara langsung oleh penguatkuasaannya kelak. Ini jelas merupakan langkah provokasi yang boleh mencetuskan keresahan serta kebimbangan ramai pihak.

 

KEDUA
RUU tersebut mengenepikan kedudukan Islam sebagai Agama Negara menurut Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan Agama Negeri yang telah termaktub di Negeri-negeri sejak berabad. Kedudukan ini tidak pernah diganggu-gugat oleh British dan Kerajaan Persekutuan. Selain Perkara 3(1), Agama Islam telah dimartabatkan sebagai Agama Negara dengan diberikan berbagai kedudukan terhormat dan perlindungan Perlembagaan seperti Perkara 11(4), 12(2), 37(1), 74(2) Jadual Kesembilan, 121(1A) dan Perkara 150(6A). Hatta sebelum pengiktirafan seumpama ini dinyatakan di dalam Perlembagaan Persekutuan, kedudukan agama Islam telah terlebih dahulu diperundangkan di dalam Perlembagaan negeri-negeri, sebagai contoh peruntukan di dalam Perlembagaan Negeri Johor 1865 dan Perlembagaan Negeri Terengganu 1911.

Malah, hakikatnya Perkara 3(1) merupakan fasal pertama yang menggunakan istilah ‘harmoni’ dalam Perlembagaan Persekutuan. Setelah mengiktiraf kedudukan Islam, prasyarat pengamalan agama-agama lain dinyatakan dengan jelas iaitu boleh diamalkan dengan aman dan harmoni di mana-mana bahagian Persekutuan (…other religions may be practised in peace and harmony in any part of the Federation). Hubung kait Perkara 3(1) ini membawa maksud bahawa Islam tidak boleh diketepikan di dalam membincangkan usaha mewujudkan perpaduan dan keharmonian antara agama dan kaum.

 

KETIGA
RUU Perpaduan Nasional (“National Unity Bill”) menyatakan pada seksyen 2(2) bahawa “Nothing in this Act derogates from the provisions of Article 153 of the Federal Constitution”. (Perkara 153 ialah berhubung kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera mana-mana negeri Borneo dan kepentingan-kepentingan sah kaum-kaum lain). Walaubagaimanapun RUU Perpaduan Nasional tersebut sendiri bercanggah oleh kerana seksyen 7 menggunakan istilah-istilah seperti ‘racial superiority”, “exclusivity based on religion, belief, race…” dan “…maintaining exclusive control by persons of a particular religion, belief, race…”. Pada hakikatnya penggunaan istilah-istilah sebegini merupakan kritikan dan percubaan merubah Perkara 153. Penggubal RUU Perpaduan Nasional ini perlu diingatkan tentang Perkara 38(5) bahawa “Majlis Raja-raja hendaklah diminta fikirannya sebelum dibuat apa-apa perubahan tentang dasar mengenai tindakan pentadbiran di bawah Perkara 153″. Penggunaan istilah-istilah tersebut di atas cenderung merujuk pada sentimen dan faham hak asasi manusia dan boleh mewujudkan salah tafsiran terhadap konteks peruntukan Perkara 3(1) dan 153 di Negara ini.

 

KEEMPAT
Kaedah penggubalan ketiga-tiga rang undang-undang ini bertentangan dengan norma penggubalan undang-undang Negara. Penggubal yang terlibat adalah Majlis Peguam, yang merupakan kelompok elit kecil yang telah mencadangkan kepada Jawatankuasa Kerja di dalam Majlis Konsultansi Perpaduan Negara (MPKN). Hanya 3 orang pemain utama terlibat di dalam penggubalan deraf rang undang-undang tersebut dan kesemua ahli-ahli lain di dalam MPKN telah tidak dirujuk secara sepenuhnya sebelum diserahkan kepada YB Nancy. Majlis Peguam yang hanya mempunyai kira-kira 12, 000 ahli (yang juga tidak dirujuk apabila mereka mengeluarkan deraf RUU tersebut) tidak mewakili kelompok majoriti umat Islam di Negara ini yang akan menerima kesan langsung dari peruntukan-peruntukan RUU tersebut. Malah, Majlis Peguam mengisytiharkan organisasinya sebagai badan sekular justeru bukanlah pihak yang berkelayakan menyentuh isu-isu keagamaan. Sebagai pihak yang terlibat secara langung membuat pelbagai tuntutan hak asasi manusia yang tidak munasabah dan anti-agama, termasuk menerusi keanggotaan dan peranannya di dalam gabungan NGO hak asasi manusia (COMANGO) menjadikannya entiti yang tidak mempunyai kredibiliti untuk dirujuk berhubung usaha memupuk perpaduan dan keharmonian antara agama di Negara ini.

 

KELIMA
Di dalam mencanang tema perpaduan dan keharmonian Negara, ketiga-tiga RUU tersebut jelas lebih tertumpu pada niat menjulang hak kesamarataan menurut Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan, tetapi gagal merujuk pada fasal-fasal utama lain di dalam Perlembagaan Persekutuan yang merupakan perkara-perkara asas yang membentuk Negara ini dan asas-asas perpaduan dan keharmoniannya, sebagai contoh, dengan memberikan tumpuan hanya kepada prinsip hak kesamarataan (‘equality’) yang bersifat mutlak, penggubal telah mengenepikan prinsip “positive discrimination” yang merupakan kekecualian Perlembagaan Perlembagaan itu sendiri yang dimaktubkan pada Perkara 8(2).

RUU tersebut juga mengenepikan kedaulatan Negeri-negeri dalam perbagai aspek hanya kerana terpaksa tunduk kepada prinsip kesamarataan yang terlalu umum yang dipegang oleh penggubal. Mereka yang telah menggubal deraf tersebut ternyata hanya menjunjung secara melulu konvensyen-konvensyen hak asasi manusia berkerangka liberal-sekular termasuklah International Convention of Elimination of All Forms of Racial Discrimination (ICERD), yang asal usulnya telah disandarkan pada sentimen anti-semitik dan pengalaman perkauman di Negara-negara Eropah. Anti-semitik merupakan suatu sikap permusuhan atau prasangka terhadap kaum Yahudi dalam bentuk-bentuk penganiayaan/penyeksaan terhadap agama, etnik, mahupun kelompok ras, mulai daripada kebencian terhadap individu sehingga lembaga. Ia termasuklah anti Yahudi, anti Israel dan anti Zionis. Dari sudut sejarah, orang Arab juga Semetik kerana menggunakan bahasa Semetik purba. Sesiapa bercakap mengenai soal Yahudi, bangsa mereka, mengenaiholocaust atau berkias mengenainya – akan dicap sebagai anti-semitik atau anti-Yahudi. Fenomena yang paling terkenal akan anti-semitisme adalah ideologi Nazisme dari Adolf Hitler, yang menyebabkan pemusnahan terhadap kaum Yahudi Eropah. Sejarah dan latarbelakang ICERD ini ternyata sangat berbeza dengan sejarah, latarbelakang budaya Malaysia. Malah, Malaysia tidak meratifikasi ICERD dan tidak perlu tunduk pada konvensyen seumpama ini yang belum tentu merupakan model terbaik bagi mewujudkan perpaduan dan keharmonian Negara.

 

KEENAM
Tafsiran ‘belief’ dan “religion” atau kepercayaan dan agama pada seksyan 4 (1) RUU Perpaduan Nasional dinyatakan sebagai “any religious or philosophical belief and a reference to belief includes a reference to a lack of belief” dan “any religion and includes any belief or lack of a religious belief“. Oleh yang demikian, tafsiran ini membuka ruang yang boleh termasuk di dalam tafsirannya golongan yang tidak percaya Tuhan (atheist) dan kebebasan meninggalkan agama. Ini ternyata bercanggah dengan prinsip pertama rukun Negara iaitu “Kepercayaan kepada Tuhan”. Malah, tafsiran sebegini cenderung pada Perkara 18 Deklarasi Hak Asasi Manusia (UDHR) yang apabila dibaca bersama-sama Artikel 18 International Covenant of Civil and Political Rights (ICCPR) mengiktiraf fahaman tidak bertuhan dan mengizinkan kebebasan beragama menurut kehendak individu, termasuk kebebasan meninggalkan agama atau murtad. Jika tafsiran yang longgar sebegini dibiarkan, fahaman kepercayaan sesat juga akan diiktiraf yang pada akhirnya akan mengakibatkan keresahan dan kacau bilau di kalangan masyarakat berbilang agama.

 

KETUJUH
Isu-isu di sekitar keharmonian antara agama dan kaum adalah terlalu penting untuk diserahkan hanya kepada sebuah tribunal yang dicadangkan di dalam deraf rang undang-undang Suruhanjaya Perpaduan dan Integrasi Nasional. Fungsi sebuah “Unfair Discrimination Tribunal” yang dicadangkan di dalam rang undang-undang tersebut ternyata mengambilalih peranan institusi kehakiman dalam memutuskan isu-isu berkaitan perlembagaan, serta peranan Raja-raja Melayu sebagai ketua bagi agama Islam di negeri-negeri tanah Melayu.

Malah, jika diperhalusi, kuasa dan fungsi tribunal tersebut mengingatkan kita kepada cadangan penubuhan Suruhanjaya Antara Agama (Interfaith Comission) yang telah ditolak sekeras-kerasnya cadangannya oleh pelbagai pihak khususnya NGO Melayu Islam dan kerajaan Pusat. Bahagian 3 di dalam RUU Suruhanjaya Perpaduan dan Integrasi Nasional yang dicadangkan menyatakan kuasa dan fungsi Suruhanjaya tersebut, dan memperuntukkan kuasa memberikan nasihat, membantu dan mengesyorkan kepada kerajaan (seksyen 13 (1) (i) untuk memantau kedudukan perpaduan nasional, integrasi dan non-diskriminasi dan kesamarataan dan ii) untuk menyemak undang-undang, peraturan, polisi dan amalan berkaitan untuk memastikan pematuhan RUU yang dicadangkan). Seterusnya Bahagian 4 RUU tersebut seolah-oleh mengenepikan peranan pihak berkuasa sedia ada oleh kerana seksyen 15 (3) membolehkan Suruhanjaya tersebut melakukan penyiasatan sendiri apa-apa keadaan yang difikirkan sebagai diskriminasi tidak adil. Ini jelas bertindan dengan Seksyen 298(A) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan kesalahan atas alasan agama yang boleh menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat jahat atau memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan. Sekiranya peruntukan sebegini sudahpun wujud dan pihak berkuasa boleh melaksanakan penguatkuasaannya, maka tidak wujud keperluan untuk memberikan kuasa kepada Suruhanjaya tersebut.

 

KELAPAN
Seksyen 23 di dalam RUU Suruhanjaya Perpaduan dan integrasi Nasional tersebut memperuntukkan kuasa tribunal yang dicadangkan penubuhannya. Kuasa yang sangat luas tersebut termasuklah untuk memanggil mana-mana individu untuk memberikan keterangan apabila sesuatu perbicaraan sedang dijalankan tribunal. Ini sudah pasti membolehkan tribunal tersebut memanggil mana-mana pihak, khususnya daripada kalangan mereka yang berotoriti agama Islam, termasuk mufti dan para alim ulama’ untuk memberikan keterangan kepada tribunal tersebut, termasuk sekiranya dibuat pertuduan bahawa mereka menimbulkan suasana tidak harmoni dan kegelisahan antara agama. Aspek ini meletakkan hal ehwal Islam di bawah sebuah entiti yang tidak mempunyai kompetensi dan pengetahuan selayaknya mengenai Islam.

Perlu ditegaskan bahawa cadangan tribunal ini tidak wajar berselindung di sebalik usaha perpaduan dan keharmonian Negara untuk mengadjudikasi isu-isu sensitif berkaitan agama dan bangsa. Kita mempunyai insitusi kehakiman yang berwibawa untuk menangani isu-isu berkait perlembagaan. Isu-isu berkaitan perpaduan dan keharmonian tidak sepatutnya ditangani melalui cara legalistik semata-mata, oleh kerana realiti sejarah, kebudayaan dan latarbelakang keagamaan di Negara ini terlalu bermakna untuk diketepikan begitu sahaja.

Peranan dan tanggungjawab memelihara kedaulatan Negara meliputi tugas-tugas melindungi institusi Raja-Raja Melayu, Hak Keistimewaan Melayu, Agama Negara dan Kenegaraan dan hal ini merupakan asas utama yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan. Perkara-perkara ini tidak wajar sama sekali disentuh atas sebarang sebab sekalipun, memandangkan perkara-perkara asas ini terbukti berjaya memelihara keharmonian Negara dan kemajuan kepada semua bangsa selama ini.

Oleh yang demikian pihak Kerajaan Pusat digesa untuk mendengar kegusaran pelbagai pihak berhubung perkembangan ini, termasuk melihat semula secara serius keputusan memansuhkan Akta Hasutan 1948 berdasarkan perkembangan mutakhir yang berlaku. Jika kerajaan meneruskan hasrat untuk memperkenalkan ketiga-tiga akta baharu tersebut, maka kami menggesa penelitian yang lebih mendalam supaya usaha menghakis asas-asas kenegaraan tidak berlaku atas nama menjulang hasrat perpaduan dan keharmonian nasional.

Pada hakikatnya, jika asas-asas kenegaraan terus dirobek, hasrat melihat perpaduan dan keharmonian tidak akan berjaya, sebaliknya, generasi akan datang akan menderitai kehilangan jati diri kenegaraan berdasarkan kerangka Perlembagaan Persekutuan yang telah sekian lama dipupuk berdasarkan kedudukan istimewa Islam sebagai agama Negara, kematangan hubungan antara kaum dan kemajmukan budaya dengan Melayu-Islam sebagai teras kenegaraan Malaysia.

 

AZRIL MOHD AMIN ialah seorang peguam dan mengetuai MuslimUPRo, iaitu delegasi pertubuhan-pertubuhan Islam Bukan Kerajaan dip roses Semakan Berkala Sejagat di Geneva, Switzerland.

Pautan artikel asal :
http://azrilmohdamin.com/2014/06/09/8-sebab-mengapa-ruu-harmoni-harus-diwaspadai-kandungannya/

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s