Surat Terbuka PEMBELA Berkenaan Isu Pendakwaan Selektif Pejabat Peguam Negara

Pihak kami ingin merujuk kepada hasil pertemuan dengan Tan Sri Khalid Abu Bakar, Ketua Polis Negara, yang telah diadakan dengan Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) pada 25 Ramadhan 1435 H (24 Julai 2014).

 

Pihak PEMBELA menerusi saya, telah menyampaikan rasa ketidakpuasan hati masyarakat Islam secara umumnya berkenaan trend penghinaan ke atas Agama Islam, Raja-Raja Melayu, Perlembagaan Persekutuan serta Kedaulatan Undang-Undang Negara yang dilakukan secara terang dan terancang tanpa dikenakan sebarang tindakan.

 

Pertemuan diadakan supaya permasalahan ini ditangani dengan lebih CEKAP, CEPAT dan melalui proses undang-undang yang BETUL. Pihak kami memahami bahawa semua hasil laporan polis telah dibawakan untuk perhatian dan tindakan selanjutnya oleh Pejabat Peguam Negara di bawah Tan Sri Abd Gani Patail.

 

Persoalan yang mahu kami kemukakan serta tuntut penjelasan yang tuntas dari Tan Sri Abd Gani Patail ialah, kenapa sehingga hari ini, pelaku-pelaku jenayah kebencian agama dan jenayah kebencian perkauman di kalangan pelaku bukan Islam masih belum dikenakan sebarang bentuk dakwaan dan didakwa di Mahkamah? Pihak kami sebelum ini telah membangkitkan sedikit daripada contoh perlakuan jenayah ini menerusi pendedahan di dalam laman web Bangkit.info.
Kini terdapat satu bentuk persepsi yang sangat menebal wujud di kalangan umat Islam di negara ini. Bagi umat Islam, seolah terdapat satu bentuk kesengajaan pendakwaan selektif melibatkan Pejabat Peguam Negara di bawah Tan Sri Abd Gani Patail.

 

Apabila jenayah kebencian agama dan kebencian perkauman melibatkan segmen-segmen tertentu masyarakat, tindakan susulan Pejabat Peguam Negara kepada laporan demi laporan Polis yang diserahkan dilihat terlalu tumpul, perlahan serta dilakukan secara sambil lewa. Tetapi apabila melibatkan umat Islam, segalanya kelihatan tajam, pantas, lengkap dan tuntas. Apa sebenarnya yang sedang berlaku di dalam Pejabat Peguam Negara di bawah Tan Sri Abdul Gani Patail?
Pihak kami menuntut Tan Sri Abdul Gani Patail tampil memberikan penjelasan TERPERINCI supaya isu persepsi pendakwaan selektif yang bakal melibatkan impak negatif terhadap keupayaan Kerajaan di bawah Dato’ Seri Najib Tun Razak dapat ditangani dengan sewajarnya.

 

Pihak kami juga menuntut semua kes melibatkan penghinaan terhadap Agama Islam, Raja-Raja Melayu dan Perlembagaan Persekutuan oleh golongan bukan Islam diselesaikan dengan SEGERA oleh Pejabat Peguam Negara.

 

PEMBELA tidak akan berhenti daripada terus membela maruah serta kedaulatan Agama Islam. Jika isu ini tidak ditangani dengan tuntas oleh Tan Sri Abd Gani Patail, pihak kami akan mengusahakan beberapa bentuk tindakan susulan sehingga semua bentuk penyakit yang menjangkiti Pejabat Peguam Negara ditangani serta diberikan rawatan yang secukupnya.

 

Semuanya dilakukan demi Allah, Islam serta maruah umat Islam di Malaysia.

 

Bersama Mendaulatkan Islam Sebagai Agama Negara.

 
Ustaz Mohamed Hafiz bin Mohamed Nordin,
Pengerusi,
Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s