Kenyataan Media PEMBELA: Menuntut Penjelasan Status Tindakan Pihak Bertanggungjawab Dalam Isu KPop

Perkembangan perlahan dan tindakan lemah dalam menangani isu penghinaan terhadap undang-undang serta prinsip-prinsip Rukun Negara oleh penganjur konsert KPop, mengundang pihak kami untuk memberikan kenyataan rasmi ini.

Kami, Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) ingin menuntut pihak yang berkepentingan dan bertanggungjawab di dalam isu perlakuan kurang sopan di dalam konsert KPop yang berlangsung baru-baru ini, untuk tampil memberikan penjelasan mengenai perkara-perkara berikut :

1)     Apa status serta peringkat siasatan PDRM berkenaan isu pencabulan maruah dan gangguan seksual ke atas wanita-wanita Islam di pentas secara terbuka oleh segmen di dalam konsert tersebut?

2)     Kenapa Penganjur yang jelas melanggar syarat permit oleh PUSPAL (AGENSI PUSAT PERMOHONAN PENGGAMBARAN FILEM DAN PERSEMBAHAN ARTIS LUAR NEGARA) di bawah Kementerian Komunikasi & Multimedia, masih belum dikenakan apa-apa tindakan termasuk pembatalan permit untuk konsert-konsert KPop yang bakal menyusul?

3)     Kenapa Pihak Berkuasa yang bertanggungjawab di dalam soal kelulusan permit persembahan membenarkan konsert dengan pengisian yang mencemarkan Kedaulatan Islam sebagai Agama Negara dan prinsip-prinsip asas Rukun Negara dijalankan di bumi Malaysia?

4)     Jelas melalui pelbagai bentuk pendedahan yang telah dibuat, sebahagian besar dari elemen KPop ini telah disalahgunakan oleh gerakan evangelis Antarabangsa dan digunakan untuk menyebarkan dakyah Kristianisasi secara halus ke seluruh dunia.Di Malaysia ia jelas melanggar Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan berkenaan sekatan dakyah agama bukan Islam kepada umat Islam. Kenapa sesetengah artis KPop yang jelas terlibat secara langsung dengan usaha perkembangan dakyah ini dibenarkan masuk ke Malaysia dan diakses oleh peminat mereka secara terbuka?

5)     Kenapa PUSPAL tidak menjadikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebagai stakeholder yang mesti dirujuk sebelum sesuatu permit persembahan itu diluluskan? JAKIM juga hendaklah mengambil sikap tegas di dalam memastikan tiada umat Islam dibenarkan melanggar batasan hukum-hukum Islam sebelum sesuatu permit persembahan itu dibenarkan.

6)     Kenapa Y.B. Menteri dan Timbalan Menteri Komunikasi & Multimedia seolah bersikap lepas tangan di dalam isu yang berlaku ini, sedangkan PUSPAL berada di bawah kementerian Y.B.?

7)     Kenapa Y.B. Menteri dan Timbalan Menteri Komunikasi & Multimedia membenarkan sumpah perjawatan Yang Di Pertuan Agong untuk memelihara Agama Islam setiap masa dikompromi dengan sikap berlepas tangan dalam isu ini?

8)     Suasana konsert dan percampuran antara pelbagai jantina yang bebas tanpa kawalan di dalam konsert tersebut mendedahkan para remaja yang menghadirinya kepada elemen-elemen negatif seperti pencabulan, penggunaan bahan-bahan terlarang, membuang masa dan pembaziran masa, kewangan dan tenaga yang amat ketara. Jika negara ingin fokus kepada pembentukan sahsiah anak muda negara bagi mencapai status negara maju yang unik, kenapa perkara seumpama ini dibenarkan berlaku?

PEMBELA tidak menentang keterbukaan dalam pengimportan budaya-budaya bermanfaat dari luar negara seperti sikap berdisplin, teknologi dan ilmu, sikap mementingkan kebersihan dan integriti, kebudayaan dan kesenian bernilai tinggi yang memberi impak kepada ketamadunan manusia yang berhemah cemerlang.

Apa yang ditentang oleh PEMBELA, ialah pengimportan budaya-budaya rosak, lucah, budaya yang boleh meruntuhkan anak-anak muda yang merupakan tiang seri negara, budaya membuang masa dan tidak produktif untuk negara.

Justeru itu, pihak kami ingin menuntut, pihak PUSPAL di bawah Y.B. Menteri dan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Pihak Berkuasa Tempatan, Polis Di Raja Malaysia (PDRM) tampil memberikan penjelasan kenapa sehingga hari ini, pihak penganjur yang jelas telah melanggar syarat-syarat permit PUSPAL, Prinsip-Prinsip Asas Rukun Negara, Menghina Islam sebagai Agama Negara, masih belum dikenakan tindakan yang tegas oleh pihak yang berwajib.

Pihak kami juga ingin mendesak supaya konsert susulan yang bakal berlangsung pada 7 Februari 2015 ini, ditarik balik permit kebenarannya. Ia sehingga pihak PUSPAL dapat membuktikan Garis Panduan PUSPAL yang dibuat oleh pihak mereka, benar-benar dapat dibuktikan berupaya mengawal, mengekang serta berupaya untuk mengambil tindakan ke atas sebarang perlakuan yang melanggar syarat-syarat permit. Setakat ini, berdasarkan kes B1A4, PUSPAL nyata tidak berdaya untuk mengawal selia Garis Panduan tersebut yang berada di bawah tanggungjawab mereka.

Kepada pihak-pihak yang telah diamanahkan dengan kuasa pemerintahan dan tanggungjawab dalam memelihara asset negara ini, iaitu generasi anak-anak muda kita, tolong jangan jadikan Malaysia sebagai negara lambakan serta longgokan budaya-budaya yang tidak diingini.

Bersama Mendaulatkan Islam Sebagai Agama Negara,

Ustaz Mohamed Hafiz bin Mohamed Nordin,

Pengerusi,

Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s