Putrajaya: Kerajaan Kelantan boleh melaksanakan hukum hudud tanpa melakukan pindaan Perlembagaan yang hanya membabitkan kesalahan tertakluk dalam Senarai Negeri di bawah Senarai II Jadual Kesembilan merangkumi zina, qazaf (menuduh zina), minum arak dan murtad.
Bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad berkata, perkara itu adalah pilihan pertama berhubung pelaksanaan hukum hudud dalam kerangka Perlembagaan yang ada sekarang.
Namun, menurutnya, Parlimen Persekutuan mesti terlebih dahulu meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 bagi membolehkan Badan Perundangan Negeri berbuat demikian.
“Undang-undang itu adalah di bawah senarai negeri dan terpakai hanya kepada orang Islam serta ditadbirkan oleh Mahkamah Syariah.
“Di samping itu, kerajaan negeri boleh memohon kebenaran di Parlimen di bawah Perkara 76A (1) bagi kesalahan hudud yang terletak di bawah bidang kuasa Persekutuan (misalnya menyebabkan kematian, mencuri dan merompak) dan juga bagi kesalahan qisas (pembalasan serupa atau seimbang atas jenayah yang dilakukan penjenayah) dan ta’zir (hukuman dera ke atas penjenayah yang sudah disabitkan kesalahan dalam mahkamah dan hukumannya tidak dikenakan hudud dan qisas),” katanya.
Abdul Hamid berkata demikian ketika menyampaikan ucap tama bertajuk Pelaksanaan Undang-Undang Jenayah Islam (hudud, qisas, ta’zir) di Malaysia-Prospek dan Cabaran pada Seminar Pelaksanaan Hudud di Malaysia (Sejarah dan Masa Depan) anjuran Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (MTMZA), di sini, semalam.
Bagi pilihan kedua, Abdul Hamid berkata, untuk kesalahan hudud yang terletak di bawah bidang kuasa Persekutuan (misalnya menyebabkan kematian, mencuri, merompak) dan juga bagi kesalahan qisas serta ta’zir, undang-undang boleh dibuat Parlimen Persekutuan yang memakai hukuman hudud, qisas dan ta’zir.
“Ia boleh dilakukan dengan hanya meminda Kanun Keseksaan dengan majoriti mudah. Undang-undang itu adalah undang-undang jenayah serta terpakai kepada orang Islam dan bukan Islam dan ditadbir oleh Mahkamah Sivil.
“Jika perlu Hakim Syarie membicarakan kes itu (di Mahkamah Sivil), orang yang berkelayakan menjadi majistret, hakim mahkamah sesyen dan hakim mahkamah atasan serta berkelayakan dalam syariah. Sekiranya ada, boleh dilantik ke jawatan berkenaan,” katanya.
Abdul Hamid berkata, bagi pilihan kedua, bidang kuasa untuk melakukannya adalah Kerajaan Persekutuan.
“Sama ada Kerajaan Persekutuan mahu atau tidak, boleh atau tidak melakukannya…adalah soal lain,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, baik pilihan pertama dan kedua ia bukan penyelesaian baik dan dari segi perundangan serta pentadbiran, ia melahirkan masalah baru yang dulunya tidak ada.
“Jangan salahkan Perlembagaan, Perlembagaan tidak menjangkakan (envisage) perkara seperti itu. Ia sudah membahagikan dengan jelas bidang kuasa terhadap undang-undang jenayah dan kesalahan terhadap suruhan agama Islam.
“Masalah timbul apabila kerajaan negeri hendak mengambil alih kuasa membuat undang-undang bagi kesalahan jenayah yang terletak di bawah bidang kuasa persekutuan…itulah puncanya,” katanya.
Sementara itu, Abdul Hamid berkata, sekiranya Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) 2015 dilaksanakan, ia akan mengubah struktur pentadbiran undang-undang jenayah.
“Saya dapati dalam soal hudud ini, banyak orang terkeliru di antara hukum dengan pelaksanaan dan kita mesti membezakan di antara perbincangan mengenai hukum dengan pelaksanaannya.
“Saya percaya soal sama ada Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) 2015 itu sah atau tidak dari segi Perlembagaan akan pergi ke mahkamah juga.
“Mahkamah yang mempunyai bidang kuasa memutuskannya adalah Mahkamah Sivil kerana itu adalah isu Perlembagaan,” katanya.